Pada suatu hari, saya terpaksa membawa anak kecil saya yang baru berusia dua tahun ke sebuah bengkel kereta. Kereta yang kami naiki tiba-tiba mengalami masalah ketika sedang berjalan-jalan, lalu kami singgah untuk membaikinya.
Sebaik tiba di bengkel, beberapa mekanik mula memeriksa kereta tersebut. Anak saya pula berdiri memerhati dengan penuh minat segala yang dilakukan oleh mereka.
Setelah selesai dibaiki, salah seorang mekanik menghidupkan enjin lalu memandu kereta keluar dari bengkel untuk diuji.
Tiba-tiba anak saya menangis sambil berkata:
“Adam punya! Adam punya!”
Dia menyangka kereta itu benar-benar “miliknya” dan sedang dibawa pergi oleh orang lain.
Semua pekerja dan pelanggan di bengkel tertawa kecil melihat gelagatnya.
Apabila tangisannya mula reda, salah seorang mekanik menghampirinya lalu bertanya sambil tersenyum:
“Mana kereta Adam? Mana kereta Adam?”
Anak saya terus diam, berlari bersembunyi di belakang saya lalu menjawab perlahan:
“Kereta tak dak... habih dah…”
sambil matanya memandang ke arah luar bengkel.
Suasana yang tegang seketika tadi terus bertukar menjadi ceria.
Kadangkala, gurauan kecil yang lembut seperti itulah yang membuatkan manusia menjadi lebih dekat antara satu sama lain.
Rasulullah SAW Juga Bergurau
Rasulullah SAW sendiri pernah bergurau dengan cara yang sangat lembut dan menyenangkan hati.
Dalam hadis riwayat Imam Tirmizi, Rasulullah SAW pernah menziarahi rumah Anas bin Malik r.a. Adik Anas yang masih kecil mempunyai seekor anak burung yang sangat disayanginya. Pada suatu hari, anak burung itu mati menyebabkan dia bersedih dan menangis.
Apabila Rasulullah SAW melihat keadaan tersebut, Baginda berkata kepada kanak-kanak itu:
“Wahai Abu Umair, bagaimana dengan anak burungmu?” [1]
Itu bukan sindiran atau ejekan. Itu adalah gurauan mesra seorang nabi untuk menceriakan hati seorang anak kecil yang sedang bersedih.
Daripada kisah ini, kita belajar bahawa gurauan yang baik sebenarnya boleh menjadi satu bentuk kasih sayang dan kemahiran sosial.
Anas bin Malik r.a. pernah menceritakan bahawa seorang lelaki meminta kepada Nabi SAW untuk memberinya kenderaan (unta).
Maka Baginda bersabda:
"Sesungguhnya aku akan membawamu menaiki anak unta betina."
Lelaki itu bertanya:
"Apa yang dapat aku lakukan dengan anak unta betina?"
Maka Nabi SAW bersabda:
"Bukankah semua unta dilahirkan oleh unta betina?"[2]
Lelaki tersebut terfikir bahawa "anak unta betina" masih kecil dan tidak mampu ditunggangi. Rasulullah SAW kemudian menjelaskan dengan gurauan yang lembut bahawa semua unta dewasa sekalipun pada hakikatnya adalah "anak kepada unta betina" kerana setiap unta pasti dilahirkan. Hadis ini menunjukkan gurauan Baginda yang sarat dengan makna tetapi tetap benar berdasarkan fakta
Hassan Al-Basri pernah menceritakan seorang wanita tua datang kepada Nabi SAW dan berkata:
"Wahai Rasulullah, berdoalah kepada Allah agar Dia memasukkanku ke dalam syurga."
Maka Baginda bersabda:
"Wahai ibu si Fulan, sesungguhnya syurga tidak dimasuki oleh wanita tua."
Wanita itu pun pergi sambil menangis. Kemudian Baginda bersabda (kepada para sahabat):
"Beritahulah dia bahawa dia tidak akan memasukinya dalam keadaan tua. Sesungguhnya Allah SWT berfirman: 'Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari syurga) dengan langsung, dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan, yang penuh cinta lagi sebaya umurnya. (Surah al-Waaqi'ah, 35-37)'"[3]
Orang Yang Ceria Selalunya Disenangi
Cuba kita fikirkan tentang sahabat atau kenalan yang paling menyenangkan untuk didampingi.
Biasanya mereka bukan orang yang terlalu serius sepanjang masa. Mereka pandai menyelitkan sedikit gurauan ketika berbual. Bukan untuk merosakkan suasana, tetapi sekadar menceriakan keadaan.
Mereka tidak membuat orang ketawa terbahak-bahak tanpa henti, tetapi cukup membuatkan orang tersenyum dan rasa selesa.
Apabila mereka ada, suasana menjadi ringan.
Apabila mereka tiada, orang mula terasa rindu.
Dan apabila mereka hilang daripada hidup kita, kita mula tercari-cari kehadiran mereka.
Sifat ceria seperti ini sebenarnya membantu seseorang mempunyai lebih ramai kenalan dan hubungan yang lebih baik dengan orang lain.
Islam Tidak Melarang Gurau Senda
Ada orang menyangka menjadi “baik” atau “warak” bermaksud perlu sentiasa serius.
Hakikatnya, Islam tidak melarang gurau senda.
Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Aku juga bergurau, tetapi aku tidak berkata melainkan yang benar.” [4]
Hadis ini sangat penting kerana ia menunjukkan bahawa bergurau itu dibenarkan, asalkan tidak melibatkan penipuan, penghinaan atau perkara yang melampau.
Menurut Prof Dr. Yusuf Al-Qaradawi, bergembira dan bergurau senda adalah fitrah semula jadi manusia. Islam sebagai agama fitrah tidak menghalang perkara seperti ini. (al-Halal wa al-Haram fi islam)
Anas bin Malik r.a. juga pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW memanggilnya dengan gurauan:
“Wahai orang yang mempunyai dua telinga!”
Para ulama hadis menjelaskan bahawa panggilan itu hanyalah gurauan mesra Rasulullah SAW. [5]
Ini menunjukkan bahawa seseorang tidak perlu terlalu kaku untuk menjadi seorang Muslim yang baik.
Tetapi Gurauan Ada Batasnya
Walaupun Islam membenarkan gurau senda, bukan semua gurauan itu baik.
Ada gurauan yang melukakan hati, menjatuhkan maruah, membuka aib atau membuat orang lain rasa terhina.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 11:
“Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan lebih baik daripada mereka…”
Ayat ini mengajar bahawa gurauan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina orang lain.
Kadangkala seseorang berkata:
“Aku bergurau saja.”
Tetapi orang yang mendengar membawa luka dalam hati selama bertahun-tahun.
Sebab itu Rasulullah SAW mengajar agar seseorang menjaga lidah dan perasaan orang lain walaupun ketika bergurau.
Jangan Jadikan Gurauan Sebagai Gaya Hidup
Selain gurauan yang melampau, terlalu banyak bergurau juga tidak digalakkan.
Dalam Ihya’ Ulumuddin, Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa yang tercela ialah:
- terlalu berlebih-lebihan dalam bergurau,
- atau menjadikan seluruh hidup hanya untuk bergelak ketawa.
Beliau berkata bahawa terlalu banyak ketawa boleh menyebabkan hati menjadi keras, menghilangkan kewibawaan diri dan kadangkala menimbulkan permusuhan sesama manusia. [4]
Orang yang terlalu suka bergurau juga kadangkala sukar dipandang serius apabila bercakap tentang perkara penting.
Bergurau Dengan Bijak
Gurauan yang baik ialah gurauan yang:
- menceriakan suasana,
- tidak menghina,
- tidak memalukan orang lain,
- tidak menyentuh kelemahan seseorang,
- dan tidak dilakukan berlebihan.
Kadangkala senyuman kecil dan gurauan ringan lebih bernilai daripada lawak yang memaksa orang ketawa.
Jadilah seorang yang ceria, tetapi bukan terlalu riuh.
Jadilah seorang yang mudah mesra, tetapi bukan terlalu berlebihan.
Dan jadilah seorang yang mampu membuat orang lain rasa tenang apabila bersama kita.
Kerana dalam kehidupan ini, ramai orang lupa apa yang kita katakan — tetapi mereka akan sentiasa ingat bagaimana kita membuat mereka rasa dihargai dan selesa.
Wallahu a‘lam.