Seseorang yang mengalami putus cinta selalunya akan melalui tekanan emosi yang mendalam. Ada yang termenung mengenangkan kenangan lama, ada yang menangis sendirian pada waktu malam, dan ada juga yang cuba kelihatan kuat walaupun hatinya sedang hancur.
Perpisahan bukan sesuatu yang mudah untuk diterima, lebih-lebih lagi apabila terlalu banyak harapan dan perasaan telah disandarkan kepada seseorang.
Hati menjadi tidak tenteram. Kenangan lama datang silih berganti. Kadangkala rasa sedih bertukar menjadi marah, kecewa atau penyesalan. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk benar-benar pulih, manakala ada juga yang mampu bangkit dalam tempoh yang lebih singkat.
Setiap manusia mempunyai kekuatan jiwa yang berbeza.
Namun apa yang pasti, luka emosi yang tidak dirawat dengan baik boleh mengganggu seluruh kehidupan seseorang. Pelajaran mula merosot, kerja menjadi tidak produktif, tidur terganggu, emosi tidak stabil dan hidup terasa kosong.
Lebih membimbangkan apabila seseorang mula mempersoalkan takdir Allah kerana terlalu sukar menerima kenyataan sebuah perpisahan.
Hakikatnya, hati manusia sememangnya mudah rapuh. Sebab itu Allah menyediakan satu penawar yang sangat agung untuk menenangkan jiwa.
Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28:
أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
“Ketahuilah, dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.”
Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Ia bukan sekadar menyebut nama Allah dengan lisan, tetapi menghadirkan hati kepada-Nya dalam setiap keadaan.
Membaca Al-Quran juga termasuk dalam zikrullah kerana Al-Quran sendiri disebut sebagai Adz-Zikr — peringatan daripada Allah untuk manusia.
Apabila seseorang membaca Al-Quran sambil menghayati maksud ayat-ayatnya, sedikit demi sedikit jiwanya akan dipujuk oleh kalam Allah. Luka yang dalam mungkin tidak hilang serta-merta, tetapi hati akan mula belajar menerima, reda dan kembali kuat.
Selain membaca Al-Quran, zikir-zikir ringkas seperti tasbih, tahmid, tahlil dan takbir juga sangat digalakkan.
Zikir-zikir ini mudah diamalkan di mana sahaja — ketika memandu, berjalan, sebelum tidur atau ketika hati sedang berserabut.
Menurut Imam Nawawi dalam kitab Al-Azkar, zikir yang paling baik ialah zikir yang dilakukan dengan hati dan lisan secara bersama.
Jabir bin Abdullah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Zikir yang paling utama ialah La ilaha illallah, dan sebaik-baik doa ialah Alhamdulillah.” [1]
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:
“Ada dua kalimah yang ringan di lidah, berat dalam timbangan dan sangat dicintai oleh Allah Yang Maha Pengasih: Subhanallah wa bihamdihi, Subhanallahil ‘Azim.” [2]
Maksudnya:
“Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung.”
Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca Subhanallah wa bihamdihi 100 kali sehari, maka semua doasanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan.[3]
Jika disenaraikan jenis-jenis zikir, artikel ini akan menjadi begitu panjang sehingga mungkin terbentuk laman web baru yang mengkhususkan tentang zikir. Namun, memadailah seperti apa yang telah dipaparkan sebagai amalan.
Zikir bukan sekadar amalan orang tua atau orang alim. Ia adalah penawar hati manusia.
Kadangkala kita terlalu sibuk mencari ketenangan daripada manusia, sedangkan ketenangan sebenar datang daripada Allah.
Tidak salah bersedih kerana kehilangan seseorang. Tetapi jangan biarkan kesedihan itu menjauhkan diri daripada Tuhan yang sentiasa mendengar rintihan hati kita.
Perbanyakkan zikir. Mudah-mudahan hati menjadi lebih tenang, jiwa menjadi lebih kuat, dan kehidupan kembali dipenuhi cahaya harapan.
Insya-Allah.
Wallahu a‘lam.
Arkib post asal :
https://web.archive.org/web/20080115024621/http://webblog.myjodoh.net/2007/07/02/apabila-%E2%80%9Cfrust%E2%80%9D-bercinta/