Adat Perkahwinan Melayu – Bersanding

BERSANDING

Sebelum majlis persandingan dijalankan, pelamin akan disiapkan terlebih dahulu. Pelamin adalah berbentuk seperti suatu singgahsana yang dilengkapi dengan bangku atau kaus atau dua buah kerusi yang dipanggil peterakna sebagai tempat duduk kedua-dua pengantin tersebut semasa bersanding. Pelamin diperbuat daripada kayu dan kertas tebal yang dibalut dan dihiasi dengan kertas-kertas bunga dan kain-kain sutera yang berwarna-warni. Biasanya bagi masa dahulu, terdapat pelbagai pelita kecil yang bermacam warna diletakkan di sekeliling bagi menambah keindahannya. Besar atau kecil, mahal atau murah, dan elok atau buruknya pelamin itu adalah bergantung kepada kemampuan tuan rumah dan kepandaian tukang pelamin tersebut. Ketinggian pelamin biasanya adalah dua atau tiga tingkat, dan setiap satu tingkat hanyalah lebih kurang satu kaki sahaja tingginya. Peterakna atau kaus tempat duduk pengantin semasa bersanding akan dibalut dengan kain sutera atau baldu berwarna-warni dan bertekat sulam yang indah. Peterakna itu diletakkan di tingkat yang atas sekali dan di hadapannya diletakkan satu pahar yang dipanggil oleh orang Melayu dengan nama astakona. Ia berisi nasi kunyit yang dihiasi dengan bunga-bunga telur bercelup merah dan di kemuncak gubahan nasi kunyit itu dicacakkan sejambak karangan bunga yang diperbuat daripada kertas perada dan manik jemeki yang berwarna-warni dan berkilauan.

Apabila sampai masa untuk kedua-dua pengantin itu disandingkan, maka perkara yang mula-mula sekali dilakukan ialah memakaikan pengantin perempuan, dan apabila pemakaian pengantin perempuan dimulakan, pihak mempelai akan diberi khabaran awal bagi memudahkan mereka bersiap untuk berangkat datang. Apabila pengantin perempuan sudah hampir siap atau sudah siap berpakaian, khabaran akhir akan dihantar kepada pihak mempelai dengan tujuan supaya mempelai itu boleh berangkat datang tepat pada masanya.

Setelah lengkap pengantin perempuan itu dipakaikan dengan pakaian Melayu asli yang serba indah, maka beliau pun dipimpin oleh emak pengantin bersama-sama dengan seorang budak perempuan sebagai pengapit yang turut dihias indah berjalan perlahan-lahan naik ke pelamin dan didudukkan di atas peterakna pelamin di sebelah kiri. Pengapit akan berdiri di kiri pengantin dengan satu kipas bertekat di tangannya dan berperanan mengipas pengantin itu secara periahan-lahan. Jika mengikut adat, pengantin perempuan itu hendaklah sentiasa duduk sepanjang berada di atas pelamin dengan kedua-dua matanya memandang ke bawah dan menundukkan kepala sedikit sebagai tanda malu dan sopan yang memang sinonim dengan wanita Melayu. Biasanya, rombongan mempelai akan mula berarak keluar dari rumah menuju ke rumah pengantin perempuan betul-betul selepas pengantin perempuan dibawa duduk di atas pelamin. Namun begitu, sekiranya rumah mempelai terletak agak jauh maka mempelai itu akan dibawa keluar berarak sebelum pengantin perempuan itu diletakkan di atas pelamin supaya tidak menyakiti pengantin perempuan itu kerana terlalu lama duduk menunggu. Perkataan menyakiti dalam konteks ayat ini bermaksud pengantin perempuan akan berasa kurang selesa sepanjang persandingannya kerana pakaian yang dipakaikan kepadanya adalah pakaian khas pengantin yang terlalu sarat dengan perhiasan yang berat-berat dan kainnya diperbuat daripada jenis yang tebal, terutamanya perhiasan di kepala.

Pengantin lelaki yang juga sudah siap berpakaian selengkap pakaian cara Melayu asli iaitu bertengkolok, berbengkong dan berkeris, akan mula dibawa berarak dengan berjalan kaki. Pada zaman dahulu, di kampung-kampung terutamanya, bagi pengantin lelaki dari keluarga yang berpangkat atau yang berkemampuan, beliau akan diarak dengan didudukkan di atas usungan yang dipanggil tandu. Di antara adat dalam mengarak pengantin adalah seperti berikut:

Di hadapan sekali yang mengetuai rombongan tersebut adalah pasukan berebana, berkompang atau bermarhaban. Di belakang pasukan ini adalah orang yang membawa tepak sirih atau puan yang lengkap dengan isinya dan siap bertudungkan penudung yang diperbuat daripada perak atau tembaga putih berbentuk seperti kepala merak jantan. Pembawa tepak sirih itu akan diapit oleh dua orang yang membawa kaki dian yang sudah sedia terpasang dan di belakang ketiga-tiga pembawa hantaran itu adalah mempelai bersama pengapitnya. Sama seperti pengantin perempuan, pengapitnya akan turut disiapkan dalam pakaian yang indah dan biasanya terdiri dari kalangan pemuda yang belum berkahwin. Turut ada bersama ialah seorang lelaki yang berpangkat tua dalam keluarga di sisi mempelai. Di belakang pengantin mempelai adalah rombongan ahli keluarga dan sahabat handai bagi mewakili pihak lelaki. Pada masa dahulu, rombongan itu biasanya akan turut membawa beberapa batang penyuluh api minyak tanah atau andang, sambil mereka beramai-ramai berzikir dan bermarhaban berselang-seli dengan paluan kompang serta pukulan rebana. Biasanya, sekumpulan wakil kaum perempuan dari pihak mempelai akan tiba terlebih dahulu dari rombongan pengantin. Mereka akan disambut dengan taburan beras kunyit dan akan duduk menunggu di hadapan pelamin yang biasanya dibina di ruang tamu rumah.

Di hadapan halaman rumah pengantin pula adalah tempat untuk orang-orang lelaki berhimpun untuk menyambut ketibaan mempelai. Mereka turut bersedia dengan paluan kompang dan rebana, seorang pembawa tepak sirih yang tudungnya berbentuk seperti kepala merak betina, dan diikuti dengan dua orang pembawa dian. Marhaban dan zikir turut dialunkan bagi memeriahkan suasana. Apabila rombongan mempelai telah tiba, mereka akan berhenti pada jarak lebih kurang sepuluh ela dari rumah pengantin. Si pembawa tepak sirih mempelai akan membuka silat mencabar pembawa tepak sirih pengantin perempuan. Kedua-duanya akan mempersembahkan silat pengantin yang gayanya seperti merak mengigal. Oleh yang demikian, biasanya pembawa tepak sirih akan dipilih dari kalangan lelaki yang mahir dalam silat Melayu dan pertunjukan ini biasanya sangat dinantikan oleh semua yang hadir.

Pertunjukan silat akan dijalankan dalam masa beberapa minit. Sebagai penutup, mereka akan menemukan kedua-dua muncung merak yang menjadi tudung kepada kedua-dua tepak sirih itu dan akan disambut dengan sorak-sorai yang gemuruh daripada tetamu yang hadir. Mempelai kemudiannya akan dipimpin ke pintu rumah dan sebelum masuk, salah seorang wakilnya akan membacakan selawat sebanyak tiga kali dengan alunan yang sedap dan kuat sebagai tanda memberi selamat kepada mempelai sebelum masuk ke rumah. Pada tangga terbawah sekali di luar pintu masuk rumah akan dihamparkan dengan permaidani yang panjang sehingga ke tapak tingkat pelamin sebagai alas untuk mempelai berjalan.

Biasanya pada zaman dahulu, sebelum mempelai dibawa masuk melalui pintu hadapan, beliau akan disekat oleh sekumpulan pemuda yang ditugaskan untuk mengutip bayaran tebus pintu mengikut seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Jika terdapat dua pintu untuk dilalui, maka mempelai dimestikan membayar dua kali sebelum dibenarkan masuk. Lain pula cerita di pelamin. Sekumpulan pemudi akan bersedia di pelamin, menyekat mempelai untuk duduk bersanding di sisi pengantin perempuan selagi mereka belum menerima bayaran harga tebus pelamin.

Setelah bayaran tebus diselesaikan maka mempelai akan dibawa naik sehingga ke hadapan peterakna untuk disandingkan di sebelah kanan pengantin perempuan. Akan tetapi sebelum itu, beliau sekali lagi terpaksa membayar bayaran tebus yang akhir, iaitu bayaran tebus kipas, yang pada masa itu sedang dipegang oleh emak pengantin bagi mendinding muka pengantin perempuan itu. Bayaran tebusan ini pun mesti disempurnakan, dan di antara ketiga-tiga bayaran tebus itu bayaran tebus kipas inilah yang termahal sekali. Setelah bayaran disempurnakan maka barulah emak pengantin membuka muka pengantin perempuan itu dan menyambut mempelai untuk didudukkan di sebelah kanan pengantin perempuan dan pengapit mempelai itu berdiri di sebelah kanan mempelai itu.

Kedua-dua pengantin akan duduk bersanding di hadapan kesemua tetamu dan keadaan inilah yang disinonimkan dengan istilah raja sehari. Hal ini kerana keadaan pengantin itu duduk di atas pelamin di hadapan kesemua tetamu adalah sama seperti situasi rakyat jelata yang sedang mengadap raja dan permaisurinya. Apa yang berbeza hanyalah mereka tidak dijunjung duli dan hanya menjadi tontonan.

Semasa bersanding, emak pengantin akan menjalankan adat bersuap-suapan di antara kedua-dua pengantin. Emak pengantin akan menjemput sedikit nasi kunyit daripada pahar astakona dan diletakkannya ke tangan pengantin perempuan. Dengan memegang nasi itu menggunakan dua jari, tangan pengantin perempuan akan diangkat oleh emak pengantin lalu disuapkan ke mulut mempelai itu. Setelah itu, giliran pengantin lelaki pula.

Setelah selesai adat bersuap-suapan, emak pengantin pun turun daripada pelamin dan sekelian sanak saudara dan sahabat handai pengantin lelaki yang belum naik melihat persandingan itu dijemput naik. Ini kerana adat persandingan adalah upacara terbesar dan paling disukai oleh masyarakat Melayu. Bunga telur yang dicucuk pada nasi kunyit di astakona tersebut akan dicabut dan dibahagikan kepada tetamu perempuan yang hadir dalam majlis itu seorang sebiji atau sekadar yang mencukupi.

Setelah itu, kedua-dua pengantin dibawa oleh emak pengantin turun daripada pelamin berjalan perlahan-lahan dengan keadaan kedua-duanya berpimpin tangan dan jari kelengkeng mereka dikaitkan satu sama lain. Mereka dibawa terus masuk ke dalam bilik peraduan pengantin, yang sudah sedia disiapkan dan dihiasi dengan perhiasan yang cantik dan indah.

Di dalam bilik, kedua-dua pengantin akan duduk bersanding di atas tikar sila, yang bertekat dan bersulam dengan benang emas terletak di hadapan katil. Setelah kedua-duanya duduk, emak pengantin akan mengambil kedua belah tangan pengantin perempuan lalu dipersalamkannya dengan tangan mempelai itu sebagai tanda mula berkenalan di alam suami isteri. Inilah yang dikatakan orang Melayu zaman dahulu, adat berkahwin dahulu kemudian berkasih.

Emak pengantin akan keluar dari bilik serta menutup pintunya dan meninggalkan kedua-dua pengantin suami isteri itu bersendirian kira-kira sejam dua bagi memberi peluang kepada mereka untuk berkenalan. Selepas sejam, emak pengantin itu akan masuk semula dan membawa pengantin perempuan keluar dari bilik, manakala mempelai itu akan ditinggalkan bersendirian.

Pengantin perempuan itu tidak akan dibawa masuk semula ke dalam biliknya, melainkan jika persandingan itu selesai selepas maghrib. Pengantin perempuan hanya akan dibawa masuk ke bilik semula pada waktu makan malam untuk melayani suaminya makan atau makan bersama-samanya, dan selepas makan malam pengantin perempuan itu mengikut adat, masih tidak lagi dibenarkan duduk berdua dengan suaminya. Adat ini akan berlangsung selama dua hari dua malam selepas pengantin perempuan itu menjalani upacara bersanding di mana beliau akan disalinkan dengan pakaian yang indah-indah empat kali sehari iaitu pada makan pagi (futur), makan tengah hari, minum teh petang dan makan malam. Pada waktu melayan makan suaminya, pengantin perempuan digalakkan duduk lebih lama di dalam bilik bersama suaminya bagi memberikan mereka peluang bergurau senda dan bermesra.

Pada hari yang ketiga, atau ada juga pada hari yang keempat, tibalah masanya untuk pengantin suami isteri itu tidur bersama di waktu malam. Mengikut adat, selepas selesai makan malam bersama suaminya dan sebelum masuk tidur, pengantin perempuan akan dibawa keluar dari bilik pengantin oleh emak pengantin dan disalinkan dengan pakaian serba putih sama seperti cadar di katil pengantin yang sudah siap ditukar. Pada malam itu juga, akan diadakan persembahan bunyi-bunyian dan tarian seperti zapin atau yang seumpamanya, bagi meraikan malam persatuan hayat kedua-dua pengantin suami isteri itu.

Pada esok paginya, sebelum adat mandi-mandian atau berlimau dijalankan, emak pengantin akan bertemu dengan pengantin lelaki untuk memeriksa daripadanya tanda yang membuktikan isterinya itu masih lagi anak dara dan biasanya, suami atau mempelai itu akan menyerahkan sehelai sapu tangan putih yang mengandungi tanda yang dikehendaki itu kepada emak pengantin dan sapu tangan tersebut akan dibawa oleh emak pengantin lalu ditunjukkan kepada ibu bapa pengantin lelaki. Setelah selesai semuanya adat mandi-mandian atau berlimau akan diadakan.

6 Trackbacks