.. mencari si dia yang soleh ..
Header

Jodoh Yang Lebih Baik (Bahagian 2)

December 29th, 2008 | Posted by azrul.alwi in Panduan Memilih Si Dia

susulan  bahagian 1

love-spells3Abdullah merupakan seorang pejuang yang baik. Beliau mengikut serta Rasulullah di dalam perang Badar dan Uhud. Di dalam perang Uhud beliau mendapat kecederaan. Sebulan selepas Perang Uhud, Rasulullah telah mendengar Bani Asad ingin melancarkan serangan ke atas kaum muslimin di Madinah, baginda lalu mengarahkan Abdullah untuk mengetuai satu ekspedisi ke Qathn bagi menangani masalah tersebut.

Abdullah dengan penuh semangat telah pergi ke Qathn dengan mengetuai 150 pejuang muslim yang lain. Mereka mendapat kemenangan dan pulang bersama harta rampasan. Kejayaan itu sedikit sebanyak menjadi pengubat hati kaum muslimin yang kalah ketika perang Uhud dan memberi tanda kepada musuh bahawa kaum muslimin masih kuat.

Semasa di Madinah, Hindun dan Abdullah telah memperoleh tiga lagi cahaya mata, iaitu Umar, Zainab dan Durrah. Abdullah adalah suami dan pendidik yang baik. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa suatu hari Abdullah pulang dengan ceria setelah menemui Rasulullah. Dia berkata kepada Hindun, “Aku telah mendengar langsung daripada Rasulullah satu ucapan yang membuat hatiku gembira kerananya.” Beliau telah bersabda, “Tidak sekali-kali seorang muslim ditimpa suatu musibah, lalu dia ber-istirja’ ketika musibah menimpanya, kemudian mengucapkan Allahuma jurni fi mushiibati waklufli khairan minha (Ya Allah, berikan daku pahala dalam musibahku ini, dan gantikanlah buatku yang lebih baik daripadanya) melainkan terjadi kepadanya seperti apa yang diminta.” Hindun kemudiannya menghafal doa tersebut daripada Abdullah. Doa ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Menurut Imam Ibn Katsir, istirja’ bermaksud mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi roji’un” yang membawa maksud, “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam ayat 155 hingga 157 surah Al-Baqarah, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Semenjak pulang dari ekspedisi Qathn, Abdullah merasakan luka-luka yang dideritainya semasa perang Uhud semakin parah. Beliau meninggal beberapa bulan kemudian. Ibnu Abdil Barr menulis di dalam kitab Al-Isti’ab, bahawa pada detik-detik akhir hidupnya, Abdullah telah mendoakan kebajikan kepada keluarga yang akan ditinggalkannya.

Hindun pernah berkata kepada Abdullah, “Aku mendengar bahawa sekiraya suami dan isteri merupakan ahli syurga, maka suami akan dapat bersama kembali dengan isterinya di syurga nanti jika si isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya. Begitu jugalah si isteri akan dapat bersama suaminya di syurga kelak jika suaminya tidak berkahwin lain selepas kematian isterinya. Berjanjilah kepadaku bahawa antara kita, sekiranya sesiapa meninggal dunia terlebih dahulu maka yang masih hidup janganlah berkahwin lain.”

Mendengar kata-kata isterinya yang dikasihi, Abdullah lalu bertanya, “Apakah kamu akan mendengar kataku?” Hindun menjawab, “Sebab itulah aku bermesyuarat, iaitu untuk menurut cakapmu.”

“Aku mahu kamu berkahwin selepas kematianku,” kata Abdullah, seraya berdoa dan memohon agar Hindun dikurniakan seorang suami yang lebih baik dari dirinya setelah beliau meninggal dunia.

Ketika Abdullah meninggal dunia, Hindun pun ber-istirja’ dan membaca doa seperti yang pernah diajar oleh suaminya. Beliau kemudian berkata kepada diri sendiri, “dari mana akan aku dapat suami yang lebih baik daripada Abdullah?”

Setelah tempoh iddah Hindun selesai, Rasullah telah meminang Hindun. Hindun atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah kini telah mendapat jodoh yang lebih baik dari sebelumnya. Kini beliau bergelar Ummul Mukminin Ummu Salamah Hindun binti Umayyah.

Rujukan

  • H.M.H. Al-Hamid Al-Husaini, Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1999
  • Muhammad Hussein Haikal, Hayat Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera Antaranusa, Jakarta, 2006.
  • Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibnu Kathir – juz 2 (terjemahan Bahrun Abu Bakar), Sinar Baru Algensindo, Bandung, 2004.
  • Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya, Kisah-kisah para sahabat, Era Ilmu Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2005.
  • Zulkifli Mohd. Yusof, Biografi Muhammad Bin Abdullah, PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2006 .
  • Sahih Muslim #1526

You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0 You can leave a response, or trackback.

8 Responses

  • Pingback: Jodoh Yang Lebih Baik (Bahagian 1)

  • Omarm says:

    ‘Alhamdulilah’ Alangkah beruntungnya Ummu Salmah dapat hidup bersama kekasih Allah.. Nabi Muhammad s.a.w yg telah di janjikan Syurga allah… mendapat jodoh yg lebih baik dari sebelumnya.

    Merenung maksud hijrah, maka terbayang difikiran kita, kebanyakan umat Islam terdahulu … melarikan diri kesuatu tempat lain demi untuk menyelamatkan agamanya dari musuh Islam… Ada yg meninggalkan harta benda, tanah air dan perniagaan yg di miliki…..

    Kini maksud itu telah dipeluaskan lagi sesuai dengan kemajuan era dan alaf baru ini… “dari yg baik kepada yg lebih baik lagi”. Pengajaran yg kita dapati pula ialah sekiranya hijrah itu kerana Allah SWT, maka segala kebesaran dunia itu menjadi kecil dan mudah di atasi….

    Umur kita setiap tahun akan terus meningkat seiring dengan detik masa yang berlalu, sehinggalah suatu ketika nanti apabila tiba masanya, insan akan dijemput kematian, maka tiada lagi masa dan kehidupan baginya di atas muka bumi ini. kita renong dan fikirkan tentang masa yang telah berlalu, tahukah kita masa yang telah berlalu itu adalah kehidupan kita yang tidak akan berulang lagi?!masa terus berlalu. Apakah yang telah kita isikan pada kehidupan yang tidak mungkin kembali lagi itu?
    Andai masa dan kehidupan yang telah berlalu dipenuhi dan diisikan dengan ketaatan kepada Allah Ta’ala, maka itulah kejayaan dan keberuntungan yang akan berterusan. Akan kita kecapi di akhirat nanti…..

    Namun jika masa dan kehidupan itu dipenuhi dan diisi dengan kemungkaran, maksiat dan perkara sia-sia, itulah hakikat sebenarnya kerugian yang berpanjangan…..
    “kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran” (Al-‘Asr:3-4)
    Kewajipan wanita sebagai anak, isteri, ibu dan sebagai hamba Allah yg solehah. Segala tjwb ini wajib dilaksanakan dgn sebaik munkin supaya mdapat keberkatan dan pahala drp Allah.
    Keikhlasan dlm melaksanakan sgala tjwb bukan utk mmbebankan tetapi sebagai kasih sayang Allah pada Wanita….

    Setiap yg terjadi kpd kita… hanyalah ujian Allah menguji keimanan kita, sejauh mana ketabahan.menguji keimanan dan ketakwaan… melatih manusia sentiasa bersabar dan menimbulkan keinsafan serta kesedaran. Jika frust menonggeng pun ada hikmah di sebaliknya… jangan anggap diri kita kosong setelah yg tersayang meninggalkan kita… walau pun cinta kita sehebat “Mawi ngan Ikin” tpi udah tiada jodoh jgn di kesali….perbetulkan niat & Istiqamah diri sendiri bagi membentuk peribadi mulia.. Semuga kita menjadi muslim yg sejati dan bertakwa kpd Allah SWT.

    Wallahua’lam.

  • PuRpLe says:

    Terima Kasih atas nasihat2 Bro Omarm..Rajin bg nasihat2 yg berfaedah.. :)

    Kita pun rajin baca panduan dan nasihat dari Bro Omarm..sbb apa yg bro nasihat mungkin berdasarkan pengalaman yg pernah bro lalui..

    Bolehlaa adik baca sambil menghayati pengalaman2 dr org2 lama..Ehh bukan org lama,org yg jauh berpengalaman.. 😉

    Kesimpulannya,gunalah usia kita dgn sebaik2nya..Jgn guna usia kita dr perkara2 yng merugikan..Muhasabah utk diri ini gak..Insyaallah..Yang buruk boleh dijadikan sbg pedoman supaya perkara lama tidak berulang..Hidup ini sentiasa berputar2…Alangkah baiknya klu kita bersabar dan ingatkanNYA selalu..

    Adalakanya jenuh utk memikirkan teka-teki dalam kehidupan ini..Kita sbg manusia biasa tak lari dari masaalah,dugaan,ujian dan cabaran..Kekadang ia membuat kita berfikir sedalam2nya..Kita hidup di bumi ini hanya krn Allah Ta’ala..
    Macam..,bila saya baca buku Mukjizat Nabi2 dan Rasul,Ia buat saya merenung diri sendiri dan sambil berfikir..Apa yg berlaku,semua dah ditetapkan Allah..Cerita2 Nabi dan apa yg berlaku pada Nabi2 pun dah ditetapkan olehNya..
    Ada hikmah apa yg dilalui oleh Nabi2..Buat saya terharu,merenung dan berfikir..

    Entahlaa,saya nie bila baca buku apa2 dan kutip dari pengalaman kawan2,saya suka merenung dan berfikir..ia membuat saya jadi matang..

  • jae says:

    isk, critera-critera spt ini ibarat lagenda, mcm mimpi… soalnya kisah ini punya orientasi masa yg cukup silam. beribu tahun dulu… umumnya tak tertangkap dek mata, ape lagi nak dicerna ngan minda. cuma bila terasa di hati, jadi rindu…

    Kita hanya sedar bila diuji kan?
    kalau tak sampai bila2 kita cuma perasan.

    Allah Ahad.

  • sitiscorpio says:

    Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yg terbaik buat hambanya..redha dengan ketetapannya dan bersabarlah..

  • Rin says:

    Cinta tak semestinya memilki dan tak semestinya bersatu. Apa yang berlaku ada maksud tersirat dan hanya Dia yang tahu..

  • aqsa says:

    Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan iman seseorang. Malangnya bagi mereka yg hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup menerima penderitaan.

  • kalis^cinta says:

    best la cter nih…syabas kpd penulis yer



Leave a Reply