10 Amalan Terbaik di 10 Hari Terbaik Zulhijjah

10 Amalan Terbaik di 10 Hari Terbaik Zulhijjah

Hari-hari terbaik dalam setahun telah tiba. Umat Islam di seluruh dunia pasti tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

Rasulullah ﷺ bersabda dalam hadis riwayat Bukhari:
"Tiada hari di mana amalan soleh lebih dicintai oleh Allah daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari ini."

Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, tidak juga jihad di jalan Allah?" 

Baginda menjawab: "Tidak juga jihad di jalan Allah, kecuali seorang lelaki yang keluar (berjihad) dengan jiwa dan hartanya, lalu dia tidak kembali dengan sesuatu pun (mati syahid)." [1]

Jadi, apakah pelan kita? Mari kita lihat 10 perkara yang boleh kita lakukan dalam 10 hari terbaik ini.

1. Memohon kepada Allah agar diberi kemampuan

Pertama sekali, berdoalah kepada Allah: "Ya Allah, aku memohon kepada-Mu agar Engkau memudahkan aku untuk beribadah dalam 10 hari ini." Tanpa pertolongan Allah, kita tidak mampu bertasbih, tidak mampu solat, tidak mampu berpuasa.

2. Bertaubat dengan sungguh-sungguh

Duduklah sebentar bersama diri sendiri. Setiap daripada kita pasti mempunyai dosa. Khususnya, bertaubatlah daripada dosa-dosa yang dilakukan secara sembunyi.

Rasulullah ﷺ bersabda tentang seorang lelaki yang datang pada hari kiamat dengan amalan sebesar gunung, tetapi Allah menjadikannya debu yang berterbangan. Para sahabat bertanya: "Apa yang dilakukan oleh orang ini?" Baginda menjawab: "Dia antara kamu. Dia solat, dia qiamullail, tetapi apabila bersendirian, dia melanggar batasan Allah." [2]

3. Perbaharui niat dalam setiap amalan

Jadikan setiap gerak-geri kita - niat kerana Allah. Pergi ke pasar raya membeli makanan untuk keluarga? Niatkan kerana menunaikan tanggungjawab. Tidur? Niatkan untuk menguatkan badan bagi bangun qiyam dan solat Subuh. Senyum pun adalah sedekah, juga niat kerana Allah. Tanpa niat, amalan akan sia-sia.

4. Perbaiki hubungan sesama manusia

Ada sepupu, saudara atau ipar yang lama tidak bertegur sapa? Hubungi mereka segera, bukan esok atau lusa. Hantar pesanan ringkas: "10 hari terbaik tahun ini akan bermula. Semoga Allah mengampuni aku dan kamu. Assalamualaikum."

Rasulullah ﷺ bersabda: "Mahukah aku tunjukkan suatu amalan yang lebih baik daripada puasa sunat, solat sunat dan sedekah sunat?" Para sahabat berkata: "Ya." Baginda bersabda: "Memperbaiki hubungan antara dua orang yang berselisih." [3]

5. Berdakwah dengan akhlak

Setiap Muslim adalah pendakwah. Dakwah bukan hanya dengan lidah atau memberi risalah. Senyumanmu adalah dakwah. Akhlakmu adalah dakwah. Kemurahan hatimu adalah dakwah. Lihatlah anak saudara yang tidak solat? Jangan diam. Tegurlah dengan cara yang lembut dan bijaksana. Kita tidak bertanggungjawab atas hidayah mereka, tetapi kita bertanggungjawab menyampaikan pesan.

6. Sempurnakan solat

Kita semua solat, tetapi pasti ada kekurangan. Dalam 10 hari ini, usahakan:

  • Solat tepat pada waktunya. Kelewatan 5 minit, 10 minit, satu jam – itu dari syaitan.
  • Sebelum solat, katakan pada diri: "Allah sedang melihatku. Bagaimana aku mahu solatku jika imam, isteri atau anakku melihatku?"
  • Katakan juga: "Ini adalah solat terakhirku." Bayangkan jika kita tahu itu solat terakhir, pasti kita akan memperbaikinya.

7. Bersedekah setiap hari

Setiap orang akan berada di bawah naungan sedekahnya pada hari kiamat, ketika matahari hanya sejauh satu batu. Mahukan naungan yang besar? Tentukan sekarang.

Sedekah dalam 10 hari ini lebih baik daripada sedekah di hari-hari lain. Pastikan setiap hari ada sedekah.

8. Dapatkan pahala haji dan umrah tanpa perlu bermusafir

Ini adalah rahmat Allah. Sesiapa yang solat Subuh berjemaah, kemudian duduk di masjid (atau di rumah untuk wanita) sambil berzikir atau membaca Al-Quran sehingga matahari terbit, kemudian solat sunat dua rakaat (solat Dhuha), maka dia mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna. Sabda Rasulullah ﷺ: "Sempurna, sempurna, sempurna." [4]

Haji dan umrah tanpa perlu membayar ribuan ringgit!

9. Memperbanyakkan zikir

Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan tidak ada amalan yang lebih dicintai oleh-Nya daripada amalan yang dilakukan pada sepuluh hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Maka perbanyaklah pada hari-hari itu bacaan tahlil (لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ), takbir (اللَّهُ أَكْبَرُ), dan tahmid (الْحَمْدُ لِلَّهِ).[5]

Rasulullah ﷺ menggunakan kata-kata: Ahab (lebih dicintai), Afdhal (lebih utama), A'zam (lebih agung) untuk mengambarkan hari-hari ini. Baginda bersabda: "Maka perbanyakkanlah tahlil (La ilaha illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)."

Ibnu Abbas berkata, “Dan berzikirlah kalian kepada Allah pada hari-hari yang ditentukan, sepuluh hari pertama Zulhijah, dan juga hari-hari tasyriq.” Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah pernah keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zulhijah, lalu mereka bertakbir, lantas manusia pun ikut bertakbir. Muhammad bin ‘Ali pun bertakbir setelah salat sunnah. [8]

Sekalipun anda di hospital, di atas katil kematian, anda masih boleh berzikir. Zikir terbaik adalah membaca Al-Quran. Tetapkan berapa muka surat yang akan dibaca setiap hari.

10. Puasa – terutamanya puasa Arafah

Puasa sunat pada 9 hari pertama (kecuali hari raya) adalah amalan yang terbaik. Rasulullah ﷺ bersabda: "Barang siapa berpuasa satu hari kerana Allah, Allah akan menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan." [6]

Jangan lupa puasa pada hari Arafah (9 Dhul Hijjah). Baginda ﷺ menjanjikan: "Puasa pada hari Arafah menghapuskan dosa dua tahun: setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."[7]

Penutup

Ramai orang tidak mengetahui keagungan 10 hari ini. Sebarkan pesanan ini kepada saudara-saudara kita. Galakkan keluarga agar seluruh rumah turut serta dalam amalan kebaikan. Ajar anak-anak sejak kecil tentang keagungan 10 hari ini.

Ya Allah, peliharalah kami untuk menyaksikan 10 hari ini. Ya Allah, berilah kami kemampuan untuk melakukan sebaik-baik amalan di dalamnya. Ya Allah, terimalah daripada kami semua. Ameen.

Sumber rujukan: https://www.youtube.com/watch?v=F0fo_M6vsFg

Leave a Comment