Jangan Tunggu Lama-Lama, Nanti Lama-Lama …

Suatu ketika dahulu pada tahun 1981, kumpulan rock Sweet Charity telah melancarkan album bernama Sejuta Wajah. Ada di dalam album itu sebuah lagu bernama “Jangan tunggu lama-lama.” Mereka yang membesar di zaman itu sudah tentu ingat. Lagu itu pernah berkumandang di radio hampir setiap hari 27 tahun dahulu.

Ia menasihati para lelaki agar “jangan tunggu lama-lama” sekiranya telah berjumpa dengan seseorang sesuai dikahwini. Jangan berlengah-lengah sekiranya telah menjumpai insan yang boleh dijadikan pasangan hidup.

1400 tahun yang lalu, Rasullullah s.a.w. pernah mengemukakan nasihat yang lebih baik. Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali r.a., “Wahai Ali, jangan dilengahkan tiga perkara! Solat apabila telah sampai waktunya, jenazah apabila hadirnya, wanita bujang apabila telah ditemui kufunya.”[1]

Solat ialah tiang agama. Di dalam sebuah riwayat Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya solat dan puncaknya adalah jihad.”[2] Mendirikan solat di awal waktu merupakan satu tuntutan. Di dalam sebuah riwayat Imam Tirmizi, daripada Ummu Farwah bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah amal yang paling utama.?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Solat pada awal waktunya.”[3]

Begitu juga di dalam hal menguruskan jenazah. Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah, Rasullullah s.a.w. telah bersabda, “Bersegerakanlah menguburkan janazah. Apabila jenazah itu baik, kamu lekas mendekatkannya dengan kebaikkan. Sedang jikalau ia jahat kamu sedang meletakkan sesuatu yang jahat di atas belakangmu.”[4] Justeru, semua jenazah harus disegerakan, tidak boleh ditangguh-tangguh. Ada jenazah yang sedang menanti kebaikkan tuhan di dalam kuburnya. Ada jenazah pula ibarat beban ke atas yang masih hidup kerana tidak mendapat rahmat tuhan.

Di dalam hal perkahwinan, Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kepada golongan lelaki, “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah ia berkahwin, Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan pandangannya, menjaga kemaluannya (kehormatannya). Dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu ibarat pengembiri baginya (dapat menundukkan nafsu).”[5]

Bagi golongan wanita, Rasullullah s.a.w. pernah menyatakan kepada para sahabat, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” Menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti itu, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Walaupun jika ada padanya?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali.[6] Di dalam Bahrul Mazi, Al-Marbawi menyatakan, wa in kana minhu – walaupun jika ada padanya, bermaksud jika ada sesuatu yang tidak disukai pada diri lelaki tersebut, seperti kemiskinan, tidak masyhur dan sebagainya.[7]

Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama …

Wallahu’alam.

.

.

..

Nota Kaki

[1] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (156), hassan gharib. Imam sayuthi berpendapat hadith ini hassan. Albani berpendapat hadits ini daif.
[2] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (2541), hassan sahih.
[3] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (155), hassan gharib. Imam sayuthi berpendapat hadith ini sahih. Albani berpendapat hadith ini sahih.
[4] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (936), Bukhari (1231), Muslim (1569) sahih.
[5] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari,(4677) hadith riwayat Ibnu Mas’ud
[6] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (1005), hassan gharib. Albani berpendapat ia hadith hassan.
[7] Al-Marbawi, Bahrul Mazi, Jilid 8. Bab 15.

13 Trackbacks