Jangan Salah Faham, myJodoh Bukan Agensi Pencari Jodoh

(Imej Laman web myJodoh pada Ogos 2002, yang direkod oleh Webarchive.org)

Jangan salah faham, myJodoh bukan agensi pencari jodoh. myJodoh tidak akan mencari pasangan hidup untuk anda, sebaliknya anda perlu berinterasi di myJodoh untuk mencari pasangan hidup dengan sendiri.

myJodoh adalah tempat untuk mereka yang mencari pasangan hidup berkumpul, berdaftar dan mengiklankan maklumat diri melalui pakej yang disediakan. Sesiapa yang ada jodoh di sini, maka itu adalah jodoh anda. Sesiapa yang tidak ada boleh memanjangkan tempoh pengiklanan atau mencuba kaedah lain.

Dengan menggunakan kuasa internet, myJodoh akan memberitahu anda siapa yang sedang mencari pasangan hidup. Dalam masa yang sama myJodoh juga akan memberitahu pengguna lain tentang kewujudan anda. Jika berminat, anda atau si dia boleh berhubung melalui kaedah yang disediakan. Sedikit caj akan dikenakan untuk mengiklankan maklumat berhubung anda (Pakej A) atau mendapatkan maklumat berhubung mereka yang tidak mengiklan. (Pakej B)

Kaedah ini amat mudah, murah dan menjimatkan masa. Dengan teknik yang betul, pencarian pasangan hidup akan menjadi mudah. Dengan teknik yang betul juga, sebarang bentuk penipuan mudah dihindarkan.

Secara am, tugas utama saya adalah menambah jumlah kepenggunaan laman web, agar tidak tinggal aku, engkau dan si Leman sahaja di myJodoh. Lebih ramai pengguna yang aktif, lebih besar kebarangkalian seseorang bertemu pasangan hidup. Setakat ini alhamdulillah, setiap hari pasti ada pengguna baru yang berdaftar.

Pendirian saya amat mudah, saya tidak layak mencari pasangan hidup untuk sesiapa. Saya tidak mengenal kebanyakan pengguna secara peribadi. Untuk berkata “aku kenal si fulan dan ia sesuai untuk engkau” tidak semudah yang disangkakan. Menurut Dr Abdullah Nashih Ulwan di dalam Tarbiyatul Aulad, ia memerlukan syarat-syarat khas. (Kalau saya tolong carikan pun, tidak bermaksud saya syorkan, dan ia dilakukan secara percuma.)

Maklumat yang kita dapat daripada kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil, ijazah-ijazah, penampilan luaran, kata-kata, tidak mencukupi untuk kita berkata, “aku kenal engkau..” atau ..”engkau tidak sesuai dengan dia ni, engkau lebih sesuai dengan si fulanah ..”

Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim, Utsman r.a. pernah menyatakan tawaran kepada Ibnu Mas’ud, “Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah.” Ibnu Mas’ud kemudian membacakan hadith masyhur yang sering kita dengar. (Riwayat Imam Muslim: 2485) Melalui riwayat ini kita tahu bertapa rapatnya hubungan di antara para sahabat sehingga mereka boleh mencadangkan seorang jodoh untuk sahabat mereka. Hubungan tersebut mungkin berbeza dengan orang yang tidak kita kenali.

Maafkan saya, saya tidak berani melangkah masuk ke wilayah ini. Apatah lagi, membina rumahtangga adalah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Ia melibatkan soal hati, soal keluarga dan ia merupakan rancangan masa panjang ke akhirat. Justeru, adalah lebih baik pengguna belajar mengenali dan mencari sendiri. Saya akan memberi khidmat nasihat sedaya mampu sekiranya diperlukan. Alhamdulillah, kaedah ini telah banyak menyebabkan ramai pandai memilih dan ramai yang bertemu jodoh di myJodoh.

Seperkara lagi, myJodoh juga tidak pernah mengadakan apa-apa majlis untuk menemukan anda dengan sesiapa. Biasanya majlis-majlis, aktiviti, program dan sebagainya yang pernah diadakan adalah anjuran komuniti myJodoh sendiri. (Tidak dinafikan ada peserta yang bertemu jodoh ketika menghadiri program-program tersebut … dah jodoh mereka.) Saya hanya membantu mempromosikan program tersebut sekiranya ada komuniti yang meminta berbuat demikian. Program terakhir, Gathering Aidil Fitri telah diadakan pada bulan syawal tahun lalu.

Pengguna juga tidak semestinya memberitahu saya sekiranya mereka telah menjumpai pasangan hidup di sini. Melalui pengalaman, saya belajar rata-rata mereka yang lanjut usia, janda, duda, anak-anak dato, orang-orang kenamaan atau yang berpoligami tidak mahu perkahwinan mereka diketahui orang. Ini merupakan antara sebab saya tidak menyiarkan senarai mereka yang sudah bertemu jodoh di sini.

Justeru, semuanya terpulang kepada anda, sekiranya dijemput, sudah tentu saya akan angkut anak isteri pergi makan kenduri. Saya akan ambil gambar dan simpan sebagai kenangan di hari tua saya esok dan mendoakan anda. Sekiranya hanya diberitahu 1 tahun kemudian, pun saya akan ambil gambar dan juga mendoakan anda. (ada jugak orang buat macam ni..)

Sekiranya tidak diberitahu, its ok. Semoga anda diberkati.

Dan …. jangan terlalu risau, maklumat statistik dan pemerhatian saya menunjukan lebih 90% daripada pengguna myJodoh akhirnya akan berumahtangga setelah menyertai myJodoh. Walaupun bukan semua yang bertemu jodoh di myJodoh, tetapi mereka selalunya mendapat pasangan hidup setelah menyertai myJodoh.

Ini bukan menunjukan myJodoh ini ada keramat atau kuasa ajaib. Tetapi ia mungkin menunjukan para pengguna berkenaan mengalami beberapa perubahan diri ketika menjadi komuniti myJodoh. Ini termasuk ilmu, tambah kenalan, cara pemikiran, cara pergaulan, cara memilih, persepsi, penilaian, dikecewakan dan sebagainya.  Akhirnya mereka lebih berpengalaman dan lebih mudah mengenal pasti pasangan hidup mereka walaupun di tempat lain.

Rasanya cukup setakat ini, harap-harap selepas ini tidak akan wujud sebarang salah faham.

Terima kasih.

Wallahu’alam.

18 Trackbacks