(Siti Fatimah Tan Abdullah @ Tan Ean Huang with her counsel Ahmad Jailani Abdul Ghani after the court decision allowing her to renounce Islam.)
Anda kenal siapa Fatimah Tan? Beliau adalah seorang wanita cina yang memeluk Islam pada 1998. Beliau memeluk Islam semata-mata kerana ingin berkahwin dengan seorang lelaki Iran yang kemudiannya menghilangkan diri beberapa bulan selepas itu. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh kebanyakan akhbar tempatan, beliau tidak pernah mengamalkan Islam semenjak berkahwin.
Beberapa hari yang lalu, permohonan beliau untuk kembali semula ke agama asal telah mendapat kelulusan daripada Mahkamah Syariah Pulau Pinang. Lalu ramai pihak yang mula ‘melompat’, menuduh institusi Mahkamah Syariah membenarkan murtad. – Kita lupakan soal itu.
Sebenarnya ramai lagi Fatimah Tan yang wujud di kalangan kita. Mungkin mereka tidak bernama Fatimah dan tidak ‘berbangsa’ Tan tetapi mereka mungkin dianiaya oleh para suami yang beragama Islam. Sebahagian mereka mungkin boleh bersabar, sebahagiannya memohon pembubaran perkahwinan, sebahagiannya mula membenci Islam.
Ada pula yang lebih malang daripada Fatimah Tan. Mereka berkahwin dengan ‘orang-orang yang beragama.’ Harapan mereka agar rumahtangga mereka diredhaiNya. Pasangan mereka rajin solat, rajin ke masjid. Pasangan mereka faham tentang fekah thaharah, faham tentang pembatasan aurat. Pasangan mereka boleh berdebat tentang fekah muamalat, tentang haram itu dan halal ini.
Harapan mereka meleset, di suatu sudut mereka dilayan seperti hamba abdi di dalam rumahtangga. Diam-diam mereka membenci Islam kerana imej pasangan mereka.
Sedangkan Islam adalah agama yang menyayangi wanita, menghormati wanita, menjaga wanita, bertoleransi dengan wanita, memuliakan wanita. Islam agama pemaaf, agama yang ‘friendly’, agama kasih sayang, agama senyum dan mengambil berat. Sedangkan Islam mengajar cara pergaulan yang betul di dalam rumahtangga, di hadapan ibu bapa dan guru-guru serta di dalam masyarakat. Serta banyak lagi ajaran Islam yang penting-penting tetapi selalu dipinggirkan.
Justeru, apabila memilih pasangan hidup, biarlah yang beragama seperti saranan Rasulullah agar hidup terjamin. Namun, insan beragama yang dimaksudkan adalah mereka yang mengamalkan agama secara keseluruhan. Bukan yang separuh-separuh atau sebahagian. Bukan yang ada janggut tapi masih menabur fitnah. Bukan yang bertudung labuh tetapi menyakiti orang dengan lidah. Bukan yang memakai pakaian agama tetapi berhati syaitan.
Firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 208, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Wallahu’alam.
.
.
.
Rujukan
- http://www.nst.com.my/
- Tafsir Al-Azhar
- Kuliah Tafsir Dr Danial Zainal Abidin
9 Trackbacks