Pernah Terlanjur, Perlukah Bersikap Jujur?

Assalamu’alaikum Bro Azrul …
First of all I like to say thanks for creating myjodoh. I am now engaged to a kind man and we are getting married soon. My problem is that he doesn’t know much about my past. I have made a mistake in the past that I regret very much. I’ve given up something that is very precious, something that only should be given to a rightful husband. I feel so sorry for him by keeping this up. Yet, I afraid that I couldn’t find another as kind as him. Please advice.

Assalamu’alaikum Bro Azrul,
Pertama, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana membina myJodoh. Saya telah bertunang dengan seorang lelaki yang baik dan akan berkahwin tidak lama lagi. Masalah saya adalah beliau tidak banyak mengetahui tentang kisah silam saya. Saya telah melakukan kesilapan dan saya amat menyesali perbuatan itu. Saya telah kehilangan sesuatu yang berharga, sesuatu yang hanya patut diberikan kepada seorang suami yang sah. Saya merasa kesal kerana merahsiakan hal ini daripada beliau. Namun, saya khuatir tidak akan menjumpai lagi lelaki sebaik beliau. Please advice.

(Artikel yang amat fakir ini bukan khusus untuk menjawab soalan di atas. Namun, mudah-mudahan ia sedikit sebanyak dapat membantu dalam mencari jawapan. Mudah-mudahan para pembaca dapat memberi pandangan, terima kasih.)

icon_menyesal.jpgIni adalah suatu kesulitan yang amat besar. Cerita salah, tak cerita rasa bersalah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Namun seperti biasa, apabila kita menghadapi kebuntuan di dalam sesuatu hal, kembalilah kita merujuk Al-Quran dan hadith.

Secara ringkasnya, seseorang hanya disunatkan mengaku bersalah pada semua jenis kesalahan yang boleh mengakibatkan hukum dera, seperti berzina dan mencuri. Islam telah menganjurkan agar seseorang yang telah melakukan kesalahan tersebut menyimpan rahsia dan bertaubat nasuha. [1]

Di dalam sebuah riwayat yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., seorang lelaki dari kalangan orang Islam datang kepada Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berada di masjid. Lelaki itu memanggil baginda s.a.w, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina.” Rasulullah s.a.w berpaling darinya dan menghadapkan wajahnya ke arah lain.

Lelaki itu berkata lagi kepada baginda, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah melakukan zina.” Sekali lagi Rasulullah s.a.w berpaling daripadanya.

Perkara itu berlaku sebanyak empat kali. Apabila dia mengaku ke atas dirinya sampai empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w memanggilnya dan bersabda, “Adakah kamu gila?”

Lelaki itu menjawab, “Tidak.”

Rasulullah s.a.w bertanya lagi, “Apakah kamu sudah berkahwin atau berumah-tangga?”

Lelaki itu menjawab, “Ya”.

Maka Rasulullah s.a.w bersabda kepada para sahabatnya, “Bawalah dia pergi dan laksanakanlah hukuman rejam ke atas dirinya.”[2]

Berdasarkan tingkah laku Rasulullah s.a.w. inilah, para ulama berpendapat bahawa dianjurkan untuk tidak mengaku berzina di hadapan seorang hakim. Lalu mengapa pula perkara itu perlu disebut di hadapan orang lain?

Rasulullah s.a.w pernah menyatakan, “Setiap umatku diampunkan dosanya kecuali yang menyatakan secara terang-terangan (telah melakukan dosa). Termasuk terang-terangan ialah seseorang yang melakukan dosa pada malam hari, sehingga waktu pagi rahsianya ditutupi oleh Allah, (tetapi) waktu paginya dia berkata: Hai Si anu, semalam aku telah melakukan itu dan ini (dosa), sedangkan Allah menutup perbuatannya (dari pengetahuan manusia) sepanjang malam itu. Sepanjang malam itu Allah menutup rahsianya (perbuatan dosa), tetapi waktu pagi dia membuka apa yang telah ditutup oleh Allah.”[3]

Di dalam Tafsir Al-Azhar, karangan Prof Dr. Hamka, diceritakan pada zaman permerintahan Umar Al-Khattab r.a. terdapat seorang wanita yang telah berzina dan telah mencemarkan nama baik diri sendiri dan abangnya. Beliau merasa kecewa dengan kehidupan dan bertekad untuk melakukan dosa yang lebih besar lagi, iaitu membunuh diri.

Wanita tersebut cuba memotong urat lehernya dengan sebilah pisau. Namun beliau sempat diselamatkan oleh abangnya, lalu dirawati. Setelah sembuh, beliau dipindahkan ke rumah bapa saudara mereka di Madinah. Di sanalah beliau mula memperbaiki kehidupannya dengan bertaubat dan taat beribadat sehingga menjadi seorang wanita yang warak.

Tidak lama kemudian, beliau telah dipinang. Bapa saudaranya berasa gelisah lalu berjumpa dengan Khalifah Umar Al-Khattab r.a. untuk mengadu. Mana mungkin seorang wanita yang pernah terlanjur berkahwin sedangkan perkara itu telah dinyatakan dengan terang dalam surah An-Nur ayat 3, “Lelaki yang berzina tidak dinikahi melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu tidak dinikahi melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Demikian itu terlarang kepada orang yang beriman.”

Bapa saudara wanita itu juga menyatakan kepada Umar tiada sesiapa yang mengetahui hal ini, hanya kepada Umar sahaja perkara ini dirujuk.

Lalu berkata Umar r.a., “Jangan engkau sekali-kali membuka rahsia ini kepada orang lain. Tutup mulutmu rapat-rapat. Sekiranya engkau berani menceritakan, nescaya hukuman ke atasmu amat berat. Sekarang, anak saudaramu itu wajib dikahwinkan secara layaknya perkahwinan orang-orang terhormat.”

Penasihat Umar ketika itu, Ubay Bin Ka’ab r.a. juga berada di sisi dan mengetahui hal berkenaan. Ubay r.a. juga telah dipesan supaya merahsiakan hal berkenaan. Lalu berkata Ubay r.a., “Keputusanmu amat tepat wahai Amiril Mukminin, sedangkan orang yang musyrik lagi diterima taubatnya …”[4]

Firman Allah di dalam Surah Al-Anfal ayat 29, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”

Di dalam surah As-Syura ayat 25 Allah telah berfirman, “Dan Dia lah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Ia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”

Pada surah An-Nisa ayat 10 pula, berfirman Allah lagi, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Terdapat banyak lagi ayat-ayat di dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang menunjukkan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Ini adalah kerana, menurut sebuah riwayat daripada Rasulullah s.a.w., “Sekiranya kamu semua tidak ada yang melakukan dosa, nescaya Allah akan menciptakan suatu makluk yang baru, yang melakukan dosa, lalu mereka memohon keampunan daripadaNya, kemudian Allah mengampuni mereka.” [5]

Kita harus bersyukur kerana masih lagi beragama Islam dan mengaku Allah itu satu serta nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Sedangkan di luar sana ramai yang telah jauh terpesong, ramai yang tergolong dari kalangan anti-hadith atau anti-sunnah, ramai terjebak dengan ajaran sesat dan yang paling buruk ialah murtad.

Sekiranya seseorang itu ikhlas bertaubat, sudah tentu Allah bersedia memberi keampunan dan limpah kurniaNya. Keampunan Allah dan rahmatNya akan memberi kesan bagaimana manusia sekeliling melayani dan menerima dirinya.

.

Mungkin audio ini dapat membantu http://www.savefile.com/files/1301002

.
Wallahu’alam ..

.

.

.

.

.
[1] Bahrul Mazi, Sheikh Idris Al-Marbawi rah., Jilid 10, “Bab Yang Datang Ia Pada Mengajar Jangan Mengaku Berjahat Pada Hukum Dera”, Masalah 121.
Audio syarah bab berkenaan oleh Ustaz Shamsuri Hj Ahmad : http://www.savefile.com/files/1301002
[2] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim: #3202
[3] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim: #5306, http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari: #5608,
[4] Tafsir Al-Azhar, Prof Dr. Haji Abdul Malik Abdul Karim (HAMKA), Pustaka Panjimas, Jakarta, 1982. Juzuk 18, ms 132.
[5] http://hadith.islam.com , Sahih Muslim # 4934

.

.

.

.

.

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran
Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati
Kuasa Hebat Solat Istikharah
Sabar Dalam Memilih

107 Trackbacks