Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati?

gambar hiasanDi dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul seseorang yang mengisi kekosongan hati. Kebetulan beliau seorang penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai dua pilihan. Pertama, meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua orang tua, kemudian meratap sedih. Sudah tentu, pilihan kedua adalah lebih arif, namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah s.w.t telah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Telah jelas, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali beberapa hal yang dilarang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”

Pada zaman nabi, anak kepada Umar Al-Khattab r.a. iaitu Abdullah Ibnu Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Kerana sebab-sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu dan menyuruh anaknya mencerai si isteri. Abdullah r.a. mengabaikan perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, “Wahai Abdullah Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.”[1]. Kisah ini direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadith hassan sahih.

Di dalam sebuah hadith lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “aku memiliki seorang isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “orang tua-tua adalah pertengahan pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh menjaga ia.”[2] Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikkan yang besar kerana seorang kekasih hati?

Di dalam sebuah hadith riwayat sahabat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rugi besar! Rugi Besar! Rugi Besar!.” Ditanyakan, “siapakah yang Rasulullah s.a.w.?” Beliau menjawab, “Orang yang pada usia dewasa mempunyai kedua orang tua yang masih hidup, baik salah satu atau keduanya, tetapi kemudian orang tersebut tidak masuk syurga.”[3]

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu dapat mengenal pasti “ciri-ciri menantu idaman” daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai “piawaian” yang berbeza.

Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan tip-tip daripada ibu bapa tadi. InsyaAllah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan.

Wallahu’alam

.

.

.

.

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1110, hassan sahih
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1822, sahih
[3] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim : 4628

Rujukkan
~~~~~~
Uts Shamsuri Hj Ahmad, audio mukhadimmah Kuliah Kitab Bahrul Mazi 7, http://www.savefile.com/files/1135075

.

.

.

.

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran

162 Trackbacks