sambungan dari Petua Megnet Jodoh – Episod 1
“ye ker betul nak tahu ni?” Sengaja saya nak mengusik.
“Ye la,” suara budak pompuan tu memang bersungguh.
“Dah tahu jangan lupa buat tau,” pesan saya. Di dalam hati ada terasa macam tak nak kasi tahu dia.
Bukan apa, saya takut dia akan memandang “lekeh” dengan amalan para nabi. Pernah sebelum itu saya memceritakan rahsia “mencegah mulut laser” kepada seseorang. Orang itu sedar, disebab mulutnya yang laser itulah, semua orang menjauhinya. Sampai sekarang tidak siapa yang mahu berkawan dengannya.
Pada mulanya beliau memang benar-benar ingin tahu, tetapi setelah saya memberitahunya, “beristighfar 100 seratus kali sehari.”[1] Beliau berkata, “laaaa .. itu jer?”
Saya memang sedih apabila mengetahui orang ramai tidak berpegang kepada sunnah nabi. Mereka tidak mempercayai kehebatan sunnah nabi dan para sahabat. Mereka tidak mempercayai bahawa Islam itu penyelesai masalah. Mereka tidak yakin Al-Quran itu ubat.
“Antara aku dan engkau, engkau lebih beruntung kerana dekat dengan agama,” saya berfikir waktu itu.
Saya bersekolah di sekolah cina kafir selama 12 tahun. Mujurlah ada abah. Beliaulah yang bertanggungjawab mengajar saya membaca Al-Quran dan mengajar perkara-perkara fardhu ain. Jika tidak ada didikan dari abah, sudah tentu saya akan hanyut jauh di dalam masyarakat cina.
Berbandingkan dengan orang yang belajar di sekolah kebangsaan biasa. Pendedahan mereka lebih formal. Ada guru agama yang terlatih, ada peperiksaan dan ada ujian. Namun, sesetengahnya apabila bercerita soal Allah dan rasul, mereka memandangnya sebagai sesuatu yang “second class”.
Apabila bercerita tentang agama, mereka menganggap agama adalah sesuatu yang tidak punya apa-apa. Apabila dilanda kesusahan mereka mengadu kepada Allah. Apabila menerima wang “bonus” atau kenaikkan gaji, mendapat kekasih baru, mereka berkata itu tidak ada kena mengena dengan tuhan. Semuanya terhasil dari usaha mereka.
Ini adalah golongan yang kurang memberi perhatian kepada Al-Quran. Sekiranya mereka meneliti dan mengkaji AL-Quran, sudah tentu mereka akan berjumpa dengan ayat 49 dan 50 surah Fusillat yang membicarakan gelagat mereka. Semuanya telah diceritakan oleh Allah sebelum mereka dilahirkan lagi.
Jika mereka membaca semua ini terlebih awal, sudah tentu mereka akan mengambil inisiatif untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang dimaksudkan oleh ayat-ayat Al-Quran itu.
Itulah sering terjadi apabila manusia menjauhi Al-Quran. Sedih. Sedih.
“InsyaAllah, kalau caranya baik dan saya mampu buat, saya akan buat.” kata budak pompuan tu.
bersambung Episod 3
.
.
Nota kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Musnad Ahmad #22330; “Sahabat Huzaifah r.a. pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang keburukkan yang ada pada lisannya. Maka Rasulullah bersabda, “Bagaimanakah engkau dengan istighfarmu wahai Huzaifah? Sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah s.w.t.seratus kali setiap hari.”
2 Trackbacks