Posts tagged sayang

Hari Kekasih dan Umat Lubang Biawak

Nabi bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” (Riwayat Muslim)

Sebahagian umat Islam hari ini telah menjadi umat Islam pak turut atau lebih tepat menjadi umat lubang biawak berdasarkan hadis di atas. Mereka tidak lagi berbangga mematuhi landasan Islam sebaliknya lebih berbangga untuk meniru gaya dan cara hidup golongan Yahudi dan Nasara. Salah satu keramaian yang disambut oleh sebahagian umat Islam ialah sambutan hari Kekasih atau St. Valentine’s Day.

Asal usul hari Valentine sering kali dikaitkan dengan amalan golongan pagan jahiliah di zaman Rom Kuno dahulu. Pada bulan Februari mereka mengadakan keramaian yang dikenali sebagai Lupercalia untuk memuja tuhan Lupercus. Pada hari itu nama-nama gadis desa diletakkan dalam sebuah kotak dan setiap pemuda akan mengambil salah satu nama dari kotak tersebut secara rambang. Gadis yang terpilih akan menjadi kekasih pemuda itu sepanjang tahun.

Ketua paderi ketika itu, Paderi Gelasius 1, kemudiannya menjadikannya sebagai satu aktiviti agama Kristian dengan membuat beberapa pengubahsuaian. Antaranya dengan menggantikan nama-nama wanita dengan nama-nama tokoh Kristian di dalam kotak untuk dipilih dengan harapan masyarakat akan menjadikan tokoh-tokoh itu sebagai idola mereka. (http://www.christianitytoday.com/ct/2000/februaryweb-only/11.0a.html)

Mengikut Catholic Encyclopedia (http://www.newadvent.org/) Hari Valentine atau St. Valentine’s Day dikaitkan dengan tiga orang tokoh pejuang agama Kristian bernama Valentine, iaitu Valentine dari Terni, Valentine dari Rom dan seorang lagi dari Afrika. Wikipedia (en.wikipedia.org) memperincikan tentang ketiga-tiga tokoh ini. Valentine dari Terni ialah ketua paderi di Interamna (kemudiannya dikenali sebagai Terni) lebih kurang pada tahun 197 M. Beliau dibunuh oleh Maharaja Aurelian dan dikebumikan di Via Flaminia. Valentine dari Rom pula merupakan seorang paderi di Rom dan dibunuh pada tahun 269 M dan juga dikebumikan di Via Flaminia. Manakala tentang Valentine dari Afrika tidak banyak maklumat yang diketahui tentangnya.

Sebenarnya golongan Kristian Katolik mengiktiraf sebelas sambutan Hari Valentine salah satunya pada tanggal 14 Februari setiap tahun sehinggalah pada tahun 1969 apabila ia tidak lagi dianggap sebagai aktiviti rasmi Kristian Katolik.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Sumber : http://mindasuper.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=144&Itemid=9

  • Share/Bookmark

Malu Tapi Mahu – Teknik Menyatakan Hasrat

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang. Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!

Namun, jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya.

Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.

Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya  untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.

Dalam proses itu Nurfaisah mulu-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya.  Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah.

Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.

Kesimpulannya, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.

Wallahu’alam.

Rujukan

  • Hayatu Muhammad (Terjemahan Ali Audah), Dr Muhammad Husain Heakal, Litera Antaranusa, Jakarta, Cetakan 2006. ms66-67.
  • Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w., HMH Al-Hamid Al-Husaini, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1996. ms70-71
  • As-Siratu An-Nabawiyah Liibni Hisyam (Terjemahan Fadhli Bahri Lc), Ibnu Hisyam, Pustaka Dini, Kuala Lumpur, Cetakan 2006. Jilid 1 ms250-253.
  • Sirah Riwayat Hidup Muhammad S.A.W., Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur. Cetakan 2005. ms161-ms163.
  • http://taaherah.blogspot.com/2007/07/kekasih-awal-dan-akhir-khadijah.html
  • Share/Bookmark

Tips Ramai Kenalan – Bergurau Sekali Sekali

05012008001-copy.jpgAnak kecil saya yang berumur 2 tahun itu terpaksa menunggu saya di sebuah bengkel pada suatu hari. Kereta yang kami dinaiki tiba-tiba mengalami sedikit masalah. Tidak dapat kami teruskan “jalan-jalan” kami. Setiba di bengkel, kereta itu mula dibaiki. Anak saya yang baru berusia 2 tahun itu, memerhati dengan teliti apa yang dilakukan oleh mekanik tersebut.

Setelah siap, si makenik menghidupkan enjin dan memandu kereta itu keluar dari bengkel untuk mengujinya. Anak saya tiba-tiba menangis dan berkata, “Adam punya! Adam punya!” Dia menangis kerana “keretanya” telah dibawa pergi oleh orang lain. Semua pekerja dan pelanggan yang berada di situ tertawa dengan gelagatnya.

Apabila tangisannya reda, salah seorang mekanik menghampirinya dan bertanya, “Mana kereta Adam? Mana kereta Adam?” Si Adam terdiam, berlari bersembunyi di belakang saya dan berkata, “kereta tak dak .. habih daaaahh,” kata Adam sambil melihat ke luar bengkel.

Rasulullah s.a.w. pernah melakukan perkara yang sama pada suatu ketika dahulu. Menurut sebuah hadith riwayat daripada Imam Tirmizi, Rasulullah s.a.w. pernah menziarahi rumah Anas Bin Malik r.a. Adik Anas r.a. pernah sekali bermain-main dengan anak burung, lalu anak burung itu mati. Insiden itu telah membuat saudara kecil Anas r.a. itu bersedih dan menangis. Apabila bertemu, berkata Rasulullah s.a.w. kepada anak kecil itu, “Wahai Abi Amir, bagaimana dengan anak burung kamu?”

Itu merupakan contoh gurauan mesra daripada seorang nabi dengan seorang anak kecil.

Pernahkah anda mempunyai sahabat-sahabat yang selalu membuat anda ceria dengan kerenah mereka? Mereka pandai menyelitkan gurau-senda di tengah-tengah perbualan serius. Bukan untuk mempermain-mainkan perbualan, tetapi sekadar menceriakan keadaan. Bukan membuat anda ketawa terbahak-bahak, tetapi sekadar tersenyum hingga nampak gusi. Kehadiran mereka akan membuat anda selesa. Ketiadaan mereka akan membuat anda rindu. Kehilangan mereka akan membuat anda tercari-cari.

Islam tidak melarang gurau senda. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Aku pun bergurau senda, tetapi tidak akan mengucapkan melainkan yang haq.” [1 ]Menurut Dr. Yusof Qadrawi, bergurau senda dan bersukaria merupakan naluri semula jadi seorang manusia. Islam yang menjadi agama fitrah tidak menghalang perkara sebegini. [2]

Anas bin Malik r.a. juga menceritakan di dalam sebuah riwayat bahawa Rasulullah pernah memanggilnya, “Wahai orang yang mempunyai dua telinga!” Menurut keterangan daripada para perawi hadith, tujuan Rasulullah s.a.w. adalah untuk bergurau. [3] Serta banyak lagi contoh-contoh di dalam riwayat-riwayat yang terpercaya.

Namun, setiap sesuatu itu ada batasan. Begitu juga dengan bergurau senda. Di dalam surah Al-Hujurat ayat 11, Allah s.w.t. telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.”

Justeru, batasan bergurau senda di dalam Islam tidak boleh melebihi seperti yang ditetapkan sehingga menyakiti, mempersenda, menakutkan orang lain dan sebagainya. Di dalam sebuah riwayat dinyatakan, “jangan kamu berbantah-bantah dengan saudaramu, janganlah bergurau senda dengannya dan janganlah kamu berjanji dengannya dan kamu selisihkan.”[4 ]

Begitu juga dengan sikap yang terlalu suka bergurau senda, ia juga dicela. Di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali berkata, “Ketahuilah bahawa yang dilarang itu berlebih-lebihan atau berkekalan dalam bergurau. Berkekalan bermaksud menghabiskan seluruh waktu dengan bergurau senda.”

Katanya lagi, “Berlebih-lebihan bergurau akan mempusakai ketawa. Dan banyak ketawa mematikan hati dan mewarisi kedengkian pada setengah keadaan. Dan menjatuhkan kehebatan diri dan kemuliaan.”[5]

Justeru, jadilah seorang yang periang tetapi tidak terlampau riang. Seorang yang ceria, tetapi tidak terlampau ceria. Berjenaka dengan sederhana, mudah-mudahan diri disayangi.

Wallahu’alam.

.

.

..
[1] إني لأمزح و لا أقول إلا حقا
Hadith sahih Riwayat Thabrani daripada Ibnu Umar, #4259 di dalam Jamiul Saghir.
[2] http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503544110
[3] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi; #1915. Menurut Al-Albani, hadith ini bertaraf sahih.
[4] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi;#1918 Menurut Tirmizi bertaraf gharib. Menurut Imam Sayuthi bertaraf daif. Menurut Sheikh Al-Albani bertaraf daif.
[5] Ihya Ulumuddin, Al-Imam Al-Ghazali, “Kitab Bahaya Lidah; Bab bergurau senda”

Tips Ramai Kenalan – Berikan Penghargaan
Tips Ramai Kenalan – Jangan Mencari Kesalahan Orang Lain.

Tips Ramai Kenalan – Jaga Kebersihan Diri

.

.

.

.

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran
Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati

  • Share/Bookmark

Masih Mencari Cinta ?

Ramai yang ingin bercinta sebelum berkahwin. Bagi mereka, apabila bertemu seseorang yang dapat menyentuh hati dan perasaan seperti di dalam filem-filem telenovela Korea, atau filem-filem Hindi barulah mereka akan bersedia mendirikan rumahtangga.

heart.jpgSelagi belum ada yang boleh mengusik hati dan perasaan, mereka akan menganggap semua itu bukanlah satu “cinta sejati”. Lalu mereka akan menjalani hidup mereka dengan berkhayal untuk menjumpai “Mr Right” atau “Ms Right” mereka.

Mereka akan berasa gembira dan ingin mendirikan rumahtangga apabila individu-individu ini tiba-tiba muncul dalam hidup. Itupun setelah mereka “betul-betul mengenali” individu ini, berselisih faham, bertekak dan berbaik semula, BARULAH mereka mendakwa diri mereka sedang dilamun cinta.

Apabila mendirikan rumahtangga, perasaan cinta itu dibawa bersama dengan harapan ia akan terus kekal begitu. Ramai yang terlupa atau tidak sedar bahawa tanggungjawab suami atau isteri adalah berbeza sekali dengan tanggungjawab sepasang kekasih, ia tidak terhad kepada menghantar dan menjemput dari tempat kerja sahaja. Ia lebih daripada itu.

Ada pula yang terlampau “bahagia” sehingga melupakan kedua orang tua. Ada juga yang berasa tertekan dengan kehadiran anak-anak yang dikurniakan oleh Allah.

Akhirnya alam perkhawinan mereka tidak menjadi seperti yang diinginkan, tidak seindah filem-filem telenovela Korea atau filem-filem cinta Hindi kerana ia akan diselubungi dengan pelbagai masalah.

ALAM PERCINTAAN SEBELUM BERKAHWIN
Bercinta sebelum berkahwin adalah sebahagian daripada budaya Hedonisme yang mengajar manusia fahaman “kebahagiaan hanya dicapai apabila ada keseronokkan di hati”. Akibatnya kebahagian itu hanya seketika kerana keseronokkan yang dilakukan kadang-kala mendatang masalah sosial dan masalah peribadi yang lain. Sedangkan Islam mengajar sesuatu yang lebih baik.

Budaya ini telah lama menyerap ke dalam masyarakat Melayu semenjak Hikayat 1001 malam dibukukan. Seseorang yang sedang khayal dan seronok bercinta dengan pasangannya akan menganggap diri mereka sedang menikmati kebahagiaan. Lalu kerana rasa bahagia inilah mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.

Persoalannya adalah mudah, mampukah kebahagian tersebut kekal 10 atau 20 tahun akan datang? Boleh atau tidak mereka berasa bahagia apabila hadir di antara mereka anak-anak dengan pelbagai kerenah.


WANITA MENGADU TENTANG CINTA KEPADA UMAR

Pada zaman Umar Al-Khattab r.a. sebagai khalifah, ada seorang wanita yang datang mengadu dan mengaku kepada beliau r.a. bahawa dirinya tidak lagi mencintai suaminya. Dia lalu meminta nasihat daripada Umar r.a. apakah cara terbaik dalam mengatasi masalah ini. Katanya hidup yang tidak dihiasi dengan cinta amat membosankan.

Lalu Umar berkata “Jika ada di antara kamu, wahai perempuan, yang tidak cinta kepada seorang di antara kami para lelaki, tidak usahlah hal itu dikhabarkan kepadanya (suami itu). Kerana hanya sedikit rumahtangga yang dibina berdasarkan cinta. Kebanggaan hanyalah (rumahtangga) yang didirikan atas dasar hasab.”

Hasab di sini bermaksud kemulian budi, sifat dermawan, sopan santun, akhlak yang baik dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu disegani. Dalam erti kata moden, imej yang baik.

Kata-kata ini membawa maksud bahawa, amat jarang sekali sesuatu perkahwinan yang membanggakan dibina berdasarkan cinta. Perkahwinan yang menjadi kebanggaan biasanya dibina atas dasar hasab yang baik.

Ini adalah satu kata-kata emas yang jika direnung, ia membawa maksud yang amat mendalam. Sebenarnya terdapat pelbagai elemen lain yang dapat mempengaruhi kebahagiaan dan kebanggaan sesuatu rumahtangga selain cinta dan seks.

DISEBALIK PERKAHWINAN
Sepasang manusia yang diijab-kabulkan akan melalui pelbagai ujian daripada Allah swt. Masing-masing akan melihat kelemahan dan kelebihan diri yang lain. Justeru akan muncul pula perasaan benci, marah dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai manusia kita tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Keadaan akan menjadi buruk apabila kesilapan-kesilapan yang dilakukan menghakis sedikit demi sedikit perasaan cinta yang menjadi asas perkahwinan tersebut.

Dititik inilah biasanya muncul masalah “suami curang” atau “isteri curang”. Masing-masing cuba mencari cinta baru dari luar rumah. Perilaku-perilaku ini seterusnya akan mewujudkan situasi yang amat buruk apabila perasaan cinta itu didorongi pula oleh nafsu seks.

Apabila cinta itu terhakis, apa lagi yang tinggal dalam perkahwinan? Adakah ia mampu bertahan sehingga ke akhir hayat atau sebaliknya. Kita melihat banyak kes-kes penceraian di dada akhbar setiap hari. Kebanyakkannya berkahwin kerana “cinta semasa mereka” dan bukannya kerana menganggap bahawa perkahwinan adalah suruhan agama.

APABILA CINTA TIDAK MENJADI ASAS
Berbeza keadaan dengan rumahtangga yang tidak dibina atas asas cinta. Percintaan hanya wujud selepas perkahwinan. Banyak rumahtangga yang berjaya dibina berpuluh-puluh tahun lamanya dan dapat bertahan sehingga dipisahkan oleh liang lahat. Semakin hari semakin mesra, semakin sayang, semakin bahagia.

Setiap hari kedua-dua pasangan sama-sama belajar mengenali satu sama lain. Berbeza dengan mereka yang mendirikan rumahtangga yang berasaskan cinta dan seks, mereka yang mendirikan rumahtangga atas sebab hasab akan menjumpai lebih banyak nikmat lain, mereka akan menjumpai kebahagian di dunia.

Atas dasar itulah kita sering lihat masalah penceraian adalah perkara biasa pada zaman sekarang. Padahal ia adalah sesuatu yang jarang didengari dalam masyarakat Melayu lama. Masyarakat Melayu lama berkahwin bukan kerana soal seks atau cinta, tetapi pernikahan mereka adalah berdasarkan hasab.

khadijahdf91.jpgSiti Khadijah r.a. tidak pernah bercinta dengan Rasulullah s.a.w. . Beliau terpikat dengan Rasulullah s.a.w. disebabkan budi pekerti dan akhlak Rasulullah s.a.w. yang mulia. Perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w. kekal sehingga akhir hayat beliau. Faktor usia, harta dan keturunan bangsawan Rasulullah s.a.w. bukanlah faktor utama.

Terdapat beberapa riwayat hadith yang menceritakan bagaimana sayangnya Rasulullah s.a.w kepada Khatijah r.a. melebihi isteri-isterinya yang lain. Di antaranya :

Aisyah r.a. berkata, Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun dari isteri Nabi s.a.w seperti cemburuku kepada Khadijah karena Rasulullah banyak menyebutnya dan menyanjungnya dan setiap kali menyembelih kurban Nabi s.a.w. akan menyisihkannya sebahagian untuk dikirimkan kepada perempuan-perempuan sahabat Khadtijah. Kadang-kala aku berkata, “Seperti bumi ini tidak ada perempuan lain selain Khadtijah” Nabi s.a.w bersabda, “Demikian banyak kelebihan Khadtijah, dan darinya aku memperoleh anak. {Riwayat Bukhari}

Sejarah tidak melakarkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melalui zaman percintaan bersama dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berumahtanggga. Malah Muhammad Hussein Haekal menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bimbang akan kedudukkan kewangannya apabila dicadangkan oleh Nurfaisah untuk berkahwin dengan Khadtijah r.a. {Sejarah Hidup Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera AntarNusa, Mac 2006, m/s 67}

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada apa-apa hubungan dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berkahwin. Perkahwinan beliau r.a. dengan Khadtijah r.a. merupakan satu perkahwinan yang terhormat dan berasaskan hasab.

Ini adalah selaras dengan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita agar memilih calon-calon pasangan hidup yang beragama dan bukannya berasaskan percintaan. Hanya mereka yang menjiwai agama adalah mereka yang mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik.

Kesimpulan
Amat bijak sekali sekiranya kita mengambil keputusan untuk tidak menunggu lagi kemunculan “cinta sejati” Sebaliknya kita mula mencari mereka yang mempunyai agama yang baik, kahwinilah dan belajar mencintai mereka selepas berkahwin, kerana kebahagiannya telah pun dijamin oleh Rasulullah s.a.w., malah Allah telah menjanjikan rahmatNya.

  • Share/Bookmark

Jika Si Dia Bukan Milikmu

Setiap kali selepas solat, ada sepotong doa yang biasa dibaca yang bermaksud “Ya Allah, hidupkanlah aku/kami di dalam iman dan matikanlah aku/kami di dalam iman dan masukkanlah aku/kami ke Jannah bersama iman.”

frustration.jpgIman adalah penting. Pengeritan iman yang telah sedia kita ketahui adalah mempercayai kewujudan Allah yang Esa, kewujudan para malaikat sebagai para pegawai yang melaksanakan sistem tuhan, kewujudan kitab-kitab yang terdiri daripada firman-firman pencipta, kewujudan para Rasul sebagai utusan dan ketua manusia yang memberi peringatan dan amaran, juga mempercayai kewujudan Hari Kiamat, hari segala-galanya akan berakhir.

Namun, yang paling tidak dapat diterima ‘tanpa disedari’ oleh kebanyakkan orang adalah beriman dengan Qadak dan Qadar atau takdir.

Sebagai seorang Islam bergelar Muslim, kita harus memajukan diri kita menjadi seorang Mukmin. Perkataan Mukmin bermaksud orang yang beriman. Untuk menjadi seorang yang beriman, prinsip yang paling asas adalah mempercayai kesemua rukun iman yang di atas. Seterusnya mengikut garis panduan pada surah Al-Mukminun.

BERIMAN DENGAN TAKDIR
Bukan senang untuk beriman dengan takdir. Kita mungkin berkata kita percaya, tetapi apabila datang dugaan-dugaan tertentu, ada yang akan cuba bertindak seolah-olah tidak dapat menerima ketentuan tuhan. Firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 9, “Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.”

Orang yang berusaha dengan niat untuk beramal akan “berasa lain” sekiranya mereka gagal mencapai matlamat. Mereka akan sentiasa berasa tenang walaupun didatangi kesusahan atau kesenangan. Mereka terdiri daripada golongan yang bahagia di dunia dan sedang menanti kebahagiaan di akhirat. Tiada satu perkara yang berlaku pada diri mereka yang dapat menggugat ketenangan itu.

Sebaliknya, mereka yang berusaha untuk kebahagiaan dunia mungkin akan merasa bahagia apabila matlamat tercapai. Namun sekiranya gagal, mereka akan berasa amat dukacita. Sekiranya mereka kehilangan sesuatu, mereka akan bermatian-matian untuk mempertahankan atau mendapatkannya semula. Sekiranya mereka gagal mendapatkannya semula, hati mereka akan berasa gelisah dan hidup mereka mula menderita. Lalu mereka menyalahkan orang lain dan akhirnya menyalahkan tuhan.

Jika seseorang itu jodoh kita, dia tetap jodoh kita. Jika seseorang itu bukan jodoh kita, dia tetap bukan jodoh kita, walaupun apa pun yang kita lakukan, tidak ada gunanya memaksa diri mempertahankan. Dengan menyerahkan kepada ketentuan, lazimnya tuhan akan membuka jalan-jalan yang tidak pernah kita fikirkan.

AMAL DAN TAKDIR
Amat penting untuk kita faham, hidup ini adalah untuk beramal bukan menentukan takdir. Kita akan dihidupkan semula dan disoal tentang amalan bukan apa yang pernah kita “capai”. Kita akan ditanya tentang “what did you do ? ” bukannya ” so… what’s the outcome? “.

Di dalam ayat 154 surah Ali Imran diceritakan pada zaman Nabi s.a.w ada sesetengah orang tidak mahu ikut berperang dengan alasan takut mati, lalu Allah s.w.t berfirman “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. “

Jelas sekali, manusia bebas beramal. Namun “final result” adalah hak Allah s.w.t.

Jadi tak perlu susah-susah, Ali r.a. berkata, bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Beramallah, setiap orang akan `dipermudahkan` seperti apa yang telah ditentukan.” Lalu beliau s.a.w membaca ayat 5-10 surah Al-Lail.

* Orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), * Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik * Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya “kemudahan” untuk mendapat kesenangan (Syurga).

* Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya * Serta ia mendustakan perkara yang baik * Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya “kemudahan” untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;

{Riwayat Bukhari}

BUKAN USAHA TETAPI DOA
Sebuah hadith daripada Salman r.a., bahawa Nabi s.a.w telah bersabda “Tidak boleh diubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang boleh menambah umur kecuali perbuatan baik. ” {Riwayat Tirmizi, hassan gharib}

Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’ad ayat 39, “Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya. (Ingatlah) pada sisiNya ada Ummu al-Kitab”. Firman Allah lagi di dalam surah Mukmin ayat 60, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. ”

Abu Hurairah r.a juga melaporkan bahawa, “Nabi s.a.w selalu memohon perlindungan dari suratan takdir yang buruk, dari ditimpa kecelakaan, dari keghairahan musuh dan dari terkena bala.” {Riwayat Muslim}

Doa sahaja yang dapat mengubah takdir, bukan usaha.

ANTARA PUTUS ASA DAN BERSERAH KEPADA TAKDIR
Mempercayai takdir bukan bermaksud berputus asa. Frasa “putus asa” sepatutnya tidak wujud di dalam kamus hidup seorang mukmin. Kita tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan rahmat Allah.

taif_large.jpgSemasa peperangan di Thaif, umat Islam telah mengepung kota Thaif. Ibnu Ishaq meriwayatkan Thaif telah dikepung selama 17 malam dan diserang dengan manjanik (senjata pelontar batu). Umat Islam terus menyerang dan menyerang namun tetap gagal. Lalu Nabi s.a.w bertindak untuk mengundur sahaja.

Abdullah bin Amru r.a melaporkan bahawa, Rasulullah s.a.w telah mengepung penduduk Thaif tetapi tidak mendapat apa-apa hasil dari pengepungannya tersebut. Seterusnya baginda bersabda: Insya Allah kita akan kembali ke Madinah. Para sahabat membantah: Mengapa kita harus kembali? Kita belum dapat menaklukinya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Pergilah kamu berperang. Mereka pun mencubanya sehingga mereka mendapat kecederaan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Besok kita akan kembali. Para sahabat hairan dengan sabda baginda. Sementara itu Rasulullah s.a.w hanya tersenyum. {Riwayat Muslim}

Itu adalah contoh perbezaan antara putus asa dan menerima ketentuanNya. Adakah nabi s.a.w berputus asa ? Atau beliau tunduk dengan takdir ?

KESIMPULANNYA
Perbanyakkan doa untuk kebaikkan. Sebarang usaha perlu dijalankan dengan kaedah yang betul. Ada sesetengah orang yang ditinggalkan kekasih atau suami lalu cuba mendapatkan semula dengan kaedah mengumpat, memfitnah dan memburukkan orang lain.

Sebaliknya, sekiranya mereka berhenti seketika untuk berdoa dan bermuhasabah diri serta menerima ketentuannya, lebih banyak manfaat dapat diperolehi. Salah satu daripadanya adalah ketenangan, selanjutnya adalah iman.

  • Share/Bookmark