Posts tagged perkahwinan

Jodoh Yang Lebih Baik (Bahagian 2)

susulan  bahagian 1

Abdullah merupakan seorang pejuang yang baik. Beliau mengikut serta Rasulullah di dalam perang Badar dan Uhud. Di dalam perang Uhud beliau mendapat kecederaan. Sebulan selepas Perang Uhud, Rasulullah telah mendengar Bani Asad ingin melancarkan serangan ke atas kaum muslimin di Madinah, baginda lalu mengarahkan Abdullah untuk mengetuai satu ekspedisi ke Qathn bagi menangani masalah tersebut.

Abdullah dengan penuh semangat telah pergi ke Qathn dengan mengetuai 150 pejuang muslim yang lain. Mereka mendapat kemenangan dan pulang bersama harta rampasan. Kejayaan itu sedikit sebanyak menjadi pengubat hati kaum muslimin yang kalah ketika perang Uhud dan memberi tanda kepada musuh bahawa kaum muslimin masih kuat.

Semasa di Madinah, Hindun dan Abdullah telah memperoleh tiga lagi cahaya mata, iaitu Umar, Zainab dan Durrah. Abdullah adalah suami dan pendidik yang baik. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa suatu hari Abdullah pulang dengan ceria setelah menemui Rasulullah. Dia berkata kepada Hindun, “Aku telah mendengar langsung daripada Rasulullah satu ucapan yang membuat hatiku gembira kerananya.” Beliau telah bersabda, “Tidak sekali-kali seorang muslim ditimpa suatu musibah, lalu dia ber-istirja’ ketika musibah menimpanya, kemudian mengucapkan Allahuma jurni fi mushiibati waklufli khairan minha (Ya Allah, berikan daku pahala dalam musibahku ini, dan gantikanlah buatku yang lebih baik daripadanya) melainkan terjadi kepadanya seperti apa yang diminta.” Hindun kemudiannya menghafal doa tersebut daripada Abdullah. Doa ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Menurut Imam Ibn Katsir, istirja’ bermaksud mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi roji’un” yang membawa maksud, “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam ayat 155 hingga 157 surah Al-Baqarah, “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

Semenjak pulang dari ekspedisi Qathn, Abdullah merasakan luka-luka yang dideritainya semasa perang Uhud semakin parah. Beliau meninggal beberapa bulan kemudian. Ibnu Abdil Barr menulis di dalam kitab Al-Isti’ab, bahawa pada detik-detik akhir hidupnya, Abdullah telah mendoakan kebajikan kepada keluarga yang akan ditinggalkannya.

Hindun pernah berkata kepada Abdullah, “Aku mendengar bahawa sekiraya suami dan isteri merupakan ahli syurga, maka suami akan dapat bersama kembali dengan isterinya di syurga nanti jika si isterinya tidak berkahwin lain selepas kematian suaminya. Begitu jugalah si isteri akan dapat bersama suaminya di syurga kelak jika suaminya tidak berkahwin lain selepas kematian isterinya. Berjanjilah kepadaku bahawa antara kita, sekiranya sesiapa meninggal dunia terlebih dahulu maka yang masih hidup janganlah berkahwin lain.”

Mendengar kata-kata isterinya yang dikasihi, Abdullah lalu bertanya, “Apakah kamu akan mendengar kataku?” Hindun menjawab, “Sebab itulah aku bermesyuarat, iaitu untuk menurut cakapmu.”

“Aku mahu kamu berkahwin selepas kematianku,” kata Abdullah, seraya berdoa dan memohon agar Hindun dikurniakan seorang suami yang lebih baik dari dirinya setelah beliau meninggal dunia.

Ketika Abdullah meninggal dunia, Hindun pun ber-istirja’ dan membaca doa seperti yang pernah diajar oleh suaminya. Beliau kemudian berkata kepada diri sendiri, “dari mana akan aku dapat suami yang lebih baik daripada Abdullah?”

Setelah tempoh iddah Hindun selesai, Rasullah telah meminang Hindun. Hindun atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah kini telah mendapat jodoh yang lebih baik dari sebelumnya. Kini beliau bergelar Ummul Mukminin Ummu Salamah Hindun binti Umayyah.

Rujukan

  • H.M.H. Al-Hamid Al-Husaini, Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1999
  • Muhammad Hussein Haikal, Hayat Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera Antaranusa, Jakarta, 2006.
  • Imam Ibn Kathir, Tafsir Ibnu Kathir – juz 2 (terjemahan Bahrun Abu Bakar), Sinar Baru Algensindo, Bandung, 2004.
  • Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya, Kisah-kisah para sahabat, Era Ilmu Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2005.
  • Zulkifli Mohd. Yusof, Biografi Muhammad Bin Abdullah, PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2006 .
  • Sahih Muslim #1526
  • Share/Bookmark

Mencari Doa Yang Makbul – Untuk Yang Sedang Cari Jodoh

Assalamu’alaikum,

Ini bukan artikel lagi .. maaf, lama benar tak post artikel. Berikut adalah sebuah buku yang ditulis oleh Ustaz Abdul Rahman Mohamed bertajuk, “Mencari Doa Yang Makbul.” Amat baik untuk mereka yang bertanya “kenapa doa aku tidak makbul?” atau “bila doa aku nak makbul?” Buku ini menghuraikan “doa” dari sudut istilah, teori dan practikal.

ISBN : 9789675029103

  • Share/Bookmark

Jangan Salah Faham, myJodoh Bukan Agensi Pencari Jodoh

(Imej Laman web myJodoh pada Ogos 2002, yang direkod oleh Webarchive.org)

Jangan salah faham, myJodoh bukan agensi pencari jodoh. myJodoh tidak akan mencari pasangan hidup untuk anda, sebaliknya anda perlu berinterasi di myJodoh untuk mencari pasangan hidup dengan sendiri.

myJodoh adalah tempat untuk mereka yang mencari pasangan hidup berkumpul, berdaftar dan mengiklankan maklumat diri melalui pakej yang disediakan. Sesiapa yang ada jodoh di sini, maka itu adalah jodoh anda. Sesiapa yang tidak ada boleh memanjangkan tempoh pengiklanan atau mencuba kaedah lain.

Dengan menggunakan kuasa internet, myJodoh akan memberitahu anda siapa yang sedang mencari pasangan hidup. Dalam masa yang sama myJodoh juga akan memberitahu pengguna lain tentang kewujudan anda. Jika berminat, anda atau si dia boleh berhubung melalui kaedah yang disediakan. Sedikit caj akan dikenakan untuk mengiklankan maklumat berhubung anda (Pakej A) atau mendapatkan maklumat berhubung mereka yang tidak mengiklan. (Pakej B)

Kaedah ini amat mudah, murah dan menjimatkan masa. Dengan teknik yang betul, pencarian pasangan hidup akan menjadi mudah. Dengan teknik yang betul juga, sebarang bentuk penipuan mudah dihindarkan.

Secara am, tugas utama saya adalah menambah jumlah kepenggunaan laman web, agar tidak tinggal aku, engkau dan si Leman sahaja di myJodoh. Lebih ramai pengguna yang aktif, lebih besar kebarangkalian seseorang bertemu pasangan hidup. Setakat ini alhamdulillah, setiap hari pasti ada pengguna baru yang berdaftar.

Pendirian saya amat mudah, saya tidak layak mencari pasangan hidup untuk sesiapa. Saya tidak mengenal kebanyakan pengguna secara peribadi. Untuk berkata “aku kenal si fulan dan ia sesuai untuk engkau” tidak semudah yang disangkakan. Menurut Dr Abdullah Nashih Ulwan di dalam Tarbiyatul Aulad, ia memerlukan syarat-syarat khas. (Kalau saya tolong carikan pun, tidak bermaksud saya syorkan, dan ia dilakukan secara percuma.)

Maklumat yang kita dapat daripada kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil, ijazah-ijazah, penampilan luaran, kata-kata, tidak mencukupi untuk kita berkata, “aku kenal engkau..” atau ..”engkau tidak sesuai dengan dia ni, engkau lebih sesuai dengan si fulanah ..”

Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim, Utsman r.a. pernah menyatakan tawaran kepada Ibnu Mas’ud, “Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah.” Ibnu Mas’ud kemudian membacakan hadith masyhur yang sering kita dengar. (Riwayat Imam Muslim: 2485) Melalui riwayat ini kita tahu bertapa rapatnya hubungan di antara para sahabat sehingga mereka boleh mencadangkan seorang jodoh untuk sahabat mereka. Hubungan tersebut mungkin berbeza dengan orang yang tidak kita kenali.

Maafkan saya, saya tidak berani melangkah masuk ke wilayah ini. Apatah lagi, membina rumahtangga adalah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Ia melibatkan soal hati, soal keluarga dan ia merupakan rancangan masa panjang ke akhirat. Justeru, adalah lebih baik pengguna belajar mengenali dan mencari sendiri. Saya akan memberi khidmat nasihat sedaya mampu sekiranya diperlukan. Alhamdulillah, kaedah ini telah banyak menyebabkan ramai pandai memilih dan ramai yang bertemu jodoh di myJodoh.

Seperkara lagi, myJodoh juga tidak pernah mengadakan apa-apa majlis untuk menemukan anda dengan sesiapa. Biasanya majlis-majlis, aktiviti, program dan sebagainya yang pernah diadakan adalah anjuran komuniti myJodoh sendiri. (Tidak dinafikan ada peserta yang bertemu jodoh ketika menghadiri program-program tersebut … dah jodoh mereka.) Saya hanya membantu mempromosikan program tersebut sekiranya ada komuniti yang meminta berbuat demikian. Program terakhir, Gathering Aidil Fitri telah diadakan pada bulan syawal tahun lalu.

Pengguna juga tidak semestinya memberitahu saya sekiranya mereka telah menjumpai pasangan hidup di sini. Melalui pengalaman, saya belajar rata-rata mereka yang lanjut usia, janda, duda, anak-anak dato, orang-orang kenamaan atau yang berpoligami tidak mahu perkahwinan mereka diketahui orang. Ini merupakan antara sebab saya tidak menyiarkan senarai mereka yang sudah bertemu jodoh di sini.

Justeru, semuanya terpulang kepada anda, sekiranya dijemput, sudah tentu saya akan angkut anak isteri pergi makan kenduri. Saya akan ambil gambar dan simpan sebagai kenangan di hari tua saya esok dan mendoakan anda. Sekiranya hanya diberitahu 1 tahun kemudian, pun saya akan ambil gambar dan juga mendoakan anda. (ada jugak orang buat macam ni..)

Sekiranya tidak diberitahu, its ok. Semoga anda diberkati.

Dan …. jangan terlalu risau, maklumat statistik dan pemerhatian saya menunjukan lebih 90% daripada pengguna myJodoh akhirnya akan berumahtangga setelah menyertai myJodoh. Walaupun bukan semua yang bertemu jodoh di myJodoh, tetapi mereka selalunya mendapat pasangan hidup setelah menyertai myJodoh.

Ini bukan menunjukan myJodoh ini ada keramat atau kuasa ajaib. Tetapi ia mungkin menunjukan para pengguna berkenaan mengalami beberapa perubahan diri ketika menjadi komuniti myJodoh. Ini termasuk ilmu, tambah kenalan, cara pemikiran, cara pergaulan, cara memilih, persepsi, penilaian, dikecewakan dan sebagainya.  Akhirnya mereka lebih berpengalaman dan lebih mudah mengenal pasti pasangan hidup mereka walaupun di tempat lain.

Rasanya cukup setakat ini, harap-harap selepas ini tidak akan wujud sebarang salah faham.

Terima kasih.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark

Cinta Cyber@Siber : Teknik Mengelak Kekecewaan dan Memastikan “Kejayaan”

Antara tempat “shopping” dan tempat “window shopping” kegemaran saya dan rakan-rakan semasa kami masih belajar di sebuah IPT di Lembah Kelang ialah Petaling Street. Ia terletak di tengah ibu kota dan menjadi pusat para penjaja cina menjual barangan-barangan tiruan, baju, seluar, minyak wangi dan macam-macam lagi.

Pada suatu hari, seorang rakan saya membelek-belek “seluar Jeans” dan terus bertanyakan harga dengan si penjual.

“Tengok dulu laaa, nanti you suka yang mana …. I kasi kurang.” Kata penjual dalam telo cina.

Rakan saya terus mendesak untuk mengetahui harga seluar tersebut dan akhirnya si penjual berkata, “yang ini empat puluh laa.”

“Tak boleh kurang ker? Dua puluh tak boleh?” Tanya rakan saya itu.

“Cincai, tiga puluh lima.” Kata penjual tersebut.

“Dua puluh sudah laaa .. minggu lalu saya datang you kasi dua puluh…” rakan saya memberikan alasan, entah benar, entah tidak.

“Ok laaa .. dua puluh lima … ok?” kata penjual cina tersebut.

Rakan saya terus mendesak untuk mendapatkan harga seluar tersebut serendah RM20 dan penjual cina itu terus mempertahankan harga RM25 dengan memberikan pelbagai alasan. Tawar-menawar itu berlaku lebih kurang setengah jam. Saya dan rakan-rakan lain dah mula rasa jemu berlegar-legar di gerai berhampiran.

“Dah laa .. malas aku nak beli, minta dua puluh pun susah dapat.” Kata rakan saya kepada penjual cina itu sambil angkat kaki. Sememangnya sejak dari awal lagi, dia ingin mendapat harga murah dahulu, baru hendak memilih yang mana dia inginkan. Dia ingat Supermarket ker?

Tahu apa jadi selepas itu?

Dia bukan sahaja dimarahi oleh penjual cina tersebut dengan teriakan dan makian yang kuat. Malah terpaksa berlari keluar dari kawasan Petaling Street, kerana teriakan penjual tersebut telah menarik perhatian penjual lain. Penjual tadi mula mengejarnya dan menyebabkan orang ramai yang berada di situ pun mengejarnya tanpa mengetahui sebab. Dia terpaksa menyembunyikan diri di kedai buku Popular yang berhampiran untuk suatu jangka masa bagi meredakan keadaan.

Itulah engkau Yen, lain kali jangan mainkan perasaan orang! Lain lagi jangan beri harapan kepada orang kalau masih belum confirm! Lain kali jangan kata nak beli sebelum dah betul-betul tengok.

Lazimnya, pasangan yang berkenalan di dunia siber (di myJodoh atau di mana-mana) akan mula menjalinkan hubungan melalui emel, Yahoo Messenger, MSN Messenger, Skype dan sebagainya. “Sembang-sembang” dan proses berkenalan tersebut akan dilanjutkan dari alam internet ke alam telekomunkasi selepas habis waktu bekerja. Beratus-ratus ringgit wang yang mereka “derma” kepada syarikat telekomunikasi. Semua ini akan menjadi semakin rancak jika kedua-duanya berada di jarak yang jauh. Seorang di Johor, seorang di Kuala Lumpur. Semua ini akan menjadi lebih rancak jika salah seorang baru sahaja dikecewakan. Tengah frust!

Kemudian mereka akan bertukar-tukar gambar apabila telah wujud sedikit kepercayaan atau bersembang melalui telefon, mendengar suara masing-masing. Di dalam jangka masa ini, lazimnya telah wujud rasa sayang, rindu, cemburu, berharap dan percaya … sedangkan masih belum bertemu!

Apabila telah bersedia, mereka akan bertemu untuk kali yang pertama. Lazimnya berdua-duaan. Lazimnya akan terdetik di dalam hati salah seorang “alaaaahai! kenapa dalam gambar nampak lain!??” atau “kenapa dalam emel, sms dan YM pandai berbahasa?” atau “eh .. kenapa suara dia lain macam jer..” atau “eh .. nampak macam laki orang jer ni!” dan seribu satu kekecewaan yang melambangkan orang yang dijumpai tidak seperti apa yang dikhayalkan.

Menurut kebanyakan pasangan yang berkahwin di myJodoh, mereka tidak menghadapi masalah ketika pertama kali berjumpa. Melalui aduan-aduan yang saya terima daripada pengguna myJodoh, mereka yang menghadapi masalah ketika pertama kali bertemu, akan cuba “menjauhkan diri.” Ini akan membuat pasangan yang seorang lagi seperti si penjual cina di atas. Kecewa, marah dan terasa dipermainkan!

Akhirnya, myJodoh yang akan dipersalahkan!

Cara Yang Lebih Selamat
Ada beberapa cara untuk mengelakkan kekecewaan ini. (Saya ringkaskan, tidak boleh sertakan banyak-banyak, sebab saya dah terjumpa ada buku di pasaran yang dah plagiat maklumat di dalam blog ini tanpa memohon izin atau merujuk semula ke sini. Maklumlah siapa laa kita ni…)

Pertama sekali, kenal pasti ciri-ciri yang anda mahu sebelum mula berkenalan dengan seseorang. Untuk mengenal pasti ciri-ciri yang anda ingin, anda perlu kenal diri sendiri terlebih dahulu. (ada penjelasan panjang untuk ini) Jika orang yang anda kenal itu tidak menepati “ciri-ciri asas” seperti umur, status perkahwinan, tinggi, berat, tempat tinggal, asal, kufu dan lain yang anda kehendaki (maklumat-maklumat ini anda boleh dapati dengan bertanya melalui sistem pesanan myJodoh atau sebarang kaedah di internet), tidak perlu lanjutkan hubungan, tidak perlu buang masa, tidak perlu menanam sebarang harapan dan janji, tak payah tengok muka pun tak mengapa. Goodbye, sayonara!

Jika si dia menepati ciri-ciri yang dikehendaki, ajaklah berjumpa “ramai-ramai” dan bukan berdua-duaan. (Rasanya, tidak perlu saya jelaskan fekahnya di sini.) Pertemuan beramai-ramai di tempat awam yang terbuka akan menghilangkan suasana romantik, suasana berahi dan sebarang ketakutan. Anda boleh bertanya tentang pekerjaan, pelajaran, pengetahuan agama dan kekeluargaan. Semua jawapan akan membongkar latar belakang, pemikiran dan identiti sebenar seseorang. (Ini pun saya tak boleh nak lanjutkan keterangan, agak panjang – maaf. Mungkin nak kena tunggu majalah Nur invite jadi columnist kot … :) mungkin baru boleh terangkan.)

Dari saat ini, anda telah meneliti kesesuaian dan telah “melihat” serta “mendengar” orang yang anda ingin jadikan calon pasangan hidup. Kemudian fikir, fikir dan fikir. Jangan terburu-buru menolak dan jangan terburu-buru menerima. Minta pendapat rakan-rakan yang ikut serta di dalam pertemuan. Kemudian beristikharahlah. Jika petunjuk yang datang adalah positif maka eloklah disudahi dengan ikatan perkahwinan. Ajak sahaja si dia berkahwin. Ia akan berlaku dengan pantas dan mudah, InsyaAllah. (Ingat, anda melakukan setelah mendapat petunjuk daripada tuhan.) Perbincangan pra dan pasca perkahwinan biasanya akan berlaku di sini. Sebagai contoh, siapa akan bertukar tempat kerja, hantaran, mas kahwin, pertunangan, tarikh bertemu kaum keluarga … dan sebagainya.

Jika sebaliknya, kedua-duanya akan menjadi “hanya kawan” dan tidak ada lebih daripada itu. Berterus-teranglah dengan si dia. Jangan terus menyepi, kerana ini akan menimbulkan isyarat yang sebaliknya! Dia akan menyangka anda suka, tetapi malu nak menghubunginya.

Sebagai tambahan, kadang-kala akan wujud keinginan di dalam hati salah seorang untuk “terus memilih” walaupun telah bertemu yang sesuai. Ini adalah sikap negatif untuk sesuatu perhubungan dan adalah elok sekiranya anda membatalkan perhubungan sekiranya anda mengetahui si dia “masih lagi dalam proses memilih.” Jangan lupa, hadiah saguhati anda jika tidak dapat ke final adalah kekecewaan. Jadi, jangan cari penyakit walaupun si dia nampak menarik.

Jika seseorang mengikut empat langkah di atas, sekurang-kurang akan terdapat lebih 15 ribu orang yang berpontensi untuk dijadikan “pasangan hidup atau kawan” di myJodoh. (Tak kan dalam 10 orang, seorang pun tak sangkut?)

Ikut langkah-langkah di atas dan InsyaAllah anda tidak akan kecewa dan marah seperti penjual cina tadi! Semoga bertemu pasangan hidup anda.

.

.

Wallahu’alam.

.

.

  • Share/Bookmark

Kahwin: Apabila lelaki lebih muda daripada wanita

“Tak mengapa kalau isteri tua, nabi pun berkahwin dengan wanita yang lebih tua juga …”, begitulah kebanyakan orang apabila mendengar seorang lelaki muda akan berkahwin dengan wanita yang lebih berumur daripadanya. Mereka mengatakan begitu sambil merujuk dengan perkahwinan Rasulullah dan Khadtijah.

Itu mungkin bukan kebenarannya!

Terdapat pendapat-pendapat daripada kajian ulama moden yang Khadtijah r.a. sebenarnya masih muda, sekitar umar 20an ketika berkahwin dengan Rasulullah.

“Baihaqi telah memetik daripada Hakim iaitu apabila Rasulullah mengahwini Khadtijah r.a., baginda s.a.w. adalah berumur dua puluh lima tahun dan Saidatina Khadijah r.a. berumur tiga puluh lima tahun, dan ada pendapat lain mengatakan usianya dua puluh lima tahun.” (al-Bidayah, Jilid II, m/s 295)

Di tempat lain , Hafiz Ibn Kathir mengatakan usia Saidatina Khadtijah r.a. pada masa kewafatannya, sebagaimana berikut: “Usia Saidatina Khadijah mencapai 65 tahun. Satu pendapat mengatakan beliau meninggal pada usia 50 tahun. Dan pendapat ini (iaitu 50 tahun) adalah yang benar.” (al-Bidayah wan Nihayah, Jilid II, m/s 294)

Ulama Hadis dan ahli sejarah bersetuju bahawa Saidatina Khadtijah r.a. menjalani hidup sebagai isteri Rasulullah s.a.w. selama 25 tahun dan beliau r.a. meninggal dunia pada tahun ke-10 Kerasulan. Hafiz Ibn Kathir berkata; ‘pendapat yang benar adalah usianya mencecah 50 tahun’ telah membuktikan bahawa usia Saidatina Khadijah pada masa perkahwinannya ialah 25 tahun.

[ Umur meninggal - tahun hidup bersama nabi = umur kahwin dengan nabi ]

:: 50 – 25 = 25 tahun

Hafiz Ibn Kathir telah membuktikan bahawa ‘maklumat’ yang diterima pada hari ini (iaitu umur Khadijah r.a. 40 semasa berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. ) adalah salah dan tidak benar sama sekali..

Kesimpulannya, syarak tidak melarang lelaki berkahwin dengan wanita yang lebih berusia. Namun, jangan kisah perkahwinan Rasulullah dan Khadtijah dijadikan alasan kerana riwayat tentang umur Khadtijah ketika perkahwinan itu masih boleh dipertikaikan.

.

.

Wallahu’alam.

.

Rujukan

  • Share/Bookmark