Posts tagged pasangan hidup

Jangan Tunggu Lama-Lama, Nanti Lama-Lama …

Suatu ketika dahulu pada tahun 1981, kumpulan rock Sweet Charity telah melancarkan album bernama Sejuta Wajah. Ada di dalam album itu sebuah lagu bernama “Jangan tunggu lama-lama.” Mereka yang membesar di zaman itu sudah tentu ingat. Lagu itu pernah berkumandang di radio hampir setiap hari 27 tahun dahulu.

Ia menasihati para lelaki agar “jangan tunggu lama-lama” sekiranya telah berjumpa dengan seseorang sesuai dikahwini. Jangan berlengah-lengah sekiranya telah menjumpai insan yang boleh dijadikan pasangan hidup.

1400 tahun yang lalu, Rasullullah s.a.w. pernah mengemukakan nasihat yang lebih baik. Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali r.a., “Wahai Ali, jangan dilengahkan tiga perkara! Solat apabila telah sampai waktunya, jenazah apabila hadirnya, wanita bujang apabila telah ditemui kufunya.”[1]

Solat ialah tiang agama. Di dalam sebuah riwayat Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya solat dan puncaknya adalah jihad.”[2] Mendirikan solat di awal waktu merupakan satu tuntutan. Di dalam sebuah riwayat Imam Tirmizi, daripada Ummu Farwah bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah amal yang paling utama.?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Solat pada awal waktunya.”[3]

Begitu juga di dalam hal menguruskan jenazah. Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah, Rasullullah s.a.w. telah bersabda, “Bersegerakanlah menguburkan janazah. Apabila jenazah itu baik, kamu lekas mendekatkannya dengan kebaikkan. Sedang jikalau ia jahat kamu sedang meletakkan sesuatu yang jahat di atas belakangmu.”[4] Justeru, semua jenazah harus disegerakan, tidak boleh ditangguh-tangguh. Ada jenazah yang sedang menanti kebaikkan tuhan di dalam kuburnya. Ada jenazah pula ibarat beban ke atas yang masih hidup kerana tidak mendapat rahmat tuhan.

Di dalam hal perkahwinan, Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kepada golongan lelaki, “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah ia berkahwin, Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan pandangannya, menjaga kemaluannya (kehormatannya). Dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu ibarat pengembiri baginya (dapat menundukkan nafsu).”[5]

Bagi golongan wanita, Rasullullah s.a.w. pernah menyatakan kepada para sahabat, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” Menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti itu, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Walaupun jika ada padanya?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali.[6] Di dalam Bahrul Mazi, Al-Marbawi menyatakan, wa in kana minhu – walaupun jika ada padanya, bermaksud jika ada sesuatu yang tidak disukai pada diri lelaki tersebut, seperti kemiskinan, tidak masyhur dan sebagainya.[7]

Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama …

Wallahu’alam.

.

.

..

Nota Kaki

[1] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (156), hassan gharib. Imam sayuthi berpendapat hadith ini hassan. Albani berpendapat hadits ini daif.
[2] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (2541), hassan sahih.
[3] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (155), hassan gharib. Imam sayuthi berpendapat hadith ini sahih. Albani berpendapat hadith ini sahih.
[4] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (936), Bukhari (1231), Muslim (1569) sahih.
[5] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari,(4677) hadith riwayat Ibnu Mas’ud
[6] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (1005), hassan gharib. Albani berpendapat ia hadith hassan.
[7] Al-Marbawi, Bahrul Mazi, Jilid 8. Bab 15.

  • Share/Bookmark

Jodoh yang jauh atau yang dekat?


Semalam saya bertemu dengan seorang sahabat lain, beliau menjemput saya ke masjlis akad nikahnya pada Ahad ini. Apabila ditanya tentang bakal isterinya, beliau menyatakan bahawa bakal isterinya orang dekat sahaja. Apabila terus disoal selidik, rupanya sekampung!

Mudahnya segala urusan kenduri-kendara mereka nanti.

“Aku dah ambil iktibar daripada abang aku,” katanya.

“Abang aku dulu nak kena pi sampai Johor nuu, sampai dua bijik kereta..,” beliau mengeluh menyatakan kesusahan “Rombongan Cik Kiah” ketika urusan kenduri abangnya.

Dah jodoh, jauh atau dekat, tetap jodoh mereka.

Di myJodoh, belum pernah lagi saya dikhabarkan tentang pasangan yang sekampung. Yang jauh seperti Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Sarawak ke Kedah memang satu perkara lazim. Paling dekat adalah senegeri.

Mana tidaknya, teknologi maklumat telah mendekatkan jarak yang jauh. Jika dahulu kita terpaksa bermusafir beratus kilometer untuk bertanya khabar seseorang, kini semua itu boleh dilakukan di atas tapak tangan, di mana saja kita berada.

Sebenarnya jarak fizikal sama ada jauh atau dekat tidaklah menjadi persoalan besar di dalam menentukan pilihan hati. Apa yang penting adalah jarak kekerabatan pasangan hidup pilihan kita itu. Lagi jauh lagi baik.

Di dalam Taribiyatul Aulad, Dr Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, “di antara suruhan Islam yang paling bijaksana di dalam memilih isteri adalah mengutamakan wanita yang jauh daripada wanita yang seketurunan atau kaum kerabat. Ini adalah bertujuan untuk memelihara fizikal anak-anak daripada penyakit yang menular atau cacat secara keturunan, di samping memperluaskan lingkungan kekeluargaan dan mengeratkan ikatan-ikatan sosial.”

Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata, “Janganlah kamu menikahi kaum kerabat, sebab dapat menurunkan anak yang lemah jasmani dan bodoh.”

Justeru, untuk memudahkan segala urusan dan masa depan keturunan, carilah yang “jauh tetapi dekat”.

Wallahu’alam, semoga bermanfaat.

.

.

.

Rujukan

Tarbiyatul Aulad, Dr Abdullah Nashih Ulwan ..

  • Share/Bookmark

Kekasihku seorang anti-hadith ..

Salam en azrul,
Saya telah mengenali seorang lelaki di myjodoh dan kami telah berkawan beberapa bulan. Dia seorang yang baik dan jujur. Dia juga seorang yang tahu tentang agama. Cuma saya berasa pelik, semenjak kebelakangan ini dia selalu bercerita tentang Al-Quran. Di dalam Al-Quran tidak ada dalil tentang sembahyang lima waktu. Dia juga mengatakan banyak amalan kita setiap hari sebenarnya tidak terdapat di dalam Al-Quran. Kita semua percaya dengan hadis-hadis yang kita baca menyebabkan kita sesat. Adakah orang seperti dia sesuai boleh membimbing saya selepas berkahwin.

[Emel ini telah disaring untuk mengelakan sebarang polemik]

Berdasarkan emel saudari, memang ternyata beliau ada seorang Anti-Hadith. Menurut Dr Danial di dalam bukunya Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, “Di Malaysia, golongan ini (anti-hadith) dipimpin oleh Dr. Kassim Ahmad dibantu oleh pengikutnya Othman Ali. Mereka mempertikaikan Al-Hadith sebagai sumber hukum dan ajaran mereka diharamkan mengikut keputusan Muzakarah Mufti-Mufti Negeri pada 6 September, 1995”[1] Jelas sekali ajaran yang mengenepikan hadith sebagai sumber hukum adalah sesat.

Benar, di dalam Al-Quran tidak terdapat keterangan seperti waktu-waktu solat secara spesifik. Namun begitu, Al-Quran adalah sebuah kitab induk yang lengkap. Ia mempunyai banyak ayat-ayat menyuruh manusia bersolat dan berzakat. Hanya melalui keterangan hadith-hadith Rasulullah sahaja kita mengetahui waktu-waktu dan cara-cara mendirikan solat serta kadar-kadar zakat.

Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 36, “Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” Firman Allah di dalam surah Al-Anfaal, ayat pertama, “..serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

Bagaimana caranya kita mentaati Rasulullah dan hukum-hukum yang telah beliau tetapkan sedangkan kita tidak pernah berjumpa dengan beliau? Tidak lain dan tidak bukan hanya dengan mentaati beliau melalui hadith-hadith yang diriwayatkan. Jadi, fungsi As-Sunnah dan hadith-hadith adalah amat penting di dalam menerangkan maksud Al-Quran.

Tidak dinafikan terdapat ramai individu yang ingin kembali kepada Islam yang asli. Mereka mula mencintai dan mengkaji Al-Quran. Namun, kajian yang tidak berlandaskan sumber-sumber yang betul tanpa melalui guru-guru yang benar serta bercampur dengan pendapat sendiri boleh mengelirukan cara seseorang memahami kandungan Al-Quran. Justeru, ilmu Al-Quran perlu perlajari dari guru-guru yang berkelayakan.

Masyarakat kita juga turut menyumbang ke arah kemunculan pemikiran sebegini. Kita banyak meriwayatkan banyak hadith-hadith palsu atau ceritera Israilliyat yang tidak bersumber daripada Rasulullah tanpa disedari. Kadang-kadang riwayat palsu yang tidak sahih ini bertentangan dengan syariat Islam dan logik akal. Secara tidak langsung akan mengetuk minda sesetengah orang untuk berfikir semula tentang periwayatan tersebut. Jika iman mereka kuat, mereka mungkin mengkaji semula sesuatu riwayat itu dengan mengenalkan pasti sumber dan statusnya. Sebaliknya, iman yang lemah akan menyebabkan hati mula menolak semua jenis riwayat.

Nasihat saya, saudari boleh terangkan kepada beliau seperti yang saya terangkan di atas dan berdoa supaya beliau diberi petunjuk dan hidayah. Jika beliau tidak dapat menerimanya, saya rasa jalan terbaik adalah perpisahan.

Wallahu’alam.

Nota Kaki

[1] Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, Dr Danial Zainal Abidin. PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. Terbitan 2002, ms80.

  • Share/Bookmark

Erti Sebenar Sebuah Kebahagiaan?

happiness.jpg

Merujuk laman web Karyanet.com.my, perkataan bahagia bermaksud, “suasana senang dan aman, aman damai serta gembira.” Melalui definasi ini, boleh disimpulkan bahawa kebahagiaan bererti satu keadaan yang mendatangkan ketenangan di jiwa, kerehatan di minda dan kegembiraan di hati.

Namun, keadaan yang mendatangkan kebahagiaan kepada seseorang tidak semestinya mendatangkan kebahagiaan kepada individu yang lain. Ia amat subjektif.

Seorang yang miskin akan merasa bahagia apabila beliau dikurniakan dengan kesenangan. Mungkin beliau mempunyai rancangan untuk membina rumah besar, berkereta besar, melancong ke sana ke mari. Namun semua ini merupakan kebahagiaan kepada seseorang yang dilahirkan di dalam keluarga yang berharta.

Seorang pencipta lagu akan merasa bahagia apabila lagunya memenangi kejuaraan dan menjadi nyanyian orang ramai. Namun semua ini tidak beerti kepada seseorang yang tidak mengenal nod-nod muzik.

Seseorang yang belum berumahtangga atau sedang bercinta, sudah tentu melihat kebahagiaan itu terletak di alam perkahwinan. Namun sejarah menukilkan individu seperti Asma Binti Bahdal, isteri kepada Muawiyah bin Abu Sufyan lebih merasa bahagia apabila kembali ke pondok buruknya yang pernah didiaminya suatu ketika dahulu.[1]

Untuk kebanyakan orang, cita-cita, impian dan keinginan dikaitkan dengan kebahagiaan. Secara tidak langsung kebahagiaan menjadi matlamat hidup. Namun persoalannya, apa yang akan berlaku setelah bahagia itu tercapai?

Si miskin tadi telah membina 10 buah rumah besar, telah membeli 100 buah kereta mewah, telah melancong ke serata pelosok dunia. Lalu apa yang akan dilakukannya setelah itu?

Adakah kebahagiaan yang kita impikan selama ini adalah kebahagiaan yang benar-benar kita perlu? Atau ada sesuatu di sebalik kebahagiaan itu yang masih tersembunyi? Sebuah kebahagiaan yang lebih hakiki.

What do you think it is?

Firman Allah di dalam surah Ar-Ra’d, ayat 29, “Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.”

Itulah kebahagiaan yang sebenar.

Wallahu’alam.


….

Nota kaki

[1]
Tasauf Modern, HAMKA; Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura, cetakan 2003; ms20.

..

..

..

.

.

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran
Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati
Kuasa Hebat Solat Istikharah
Sabar Dalam Memilih
Pernah Terlanjur, Perlukah Jujur?
Ucapan Selamat Untuk Pengantin Baru

.. artikel lain ..

  • Share/Bookmark

Anak Baru ..

Salam,anas.jpg

Lama tak menulis, dah dekat 2 bulan. Maaf, sibuk sikit.

Baru-baru ini saya telah dikurniakan seorang lagi cahaya mata, pada 12hb Mac 2008. Kami menamakan beliau Anas sempena Saidina Anas r.a. Dilahirkan di Hospital Pantai Pulau Pinang, tempat abang dia (Adam) dilahirkan.

Itu jer laa nak cerita. Jari tengah berkarat lagi ni.

  • Share/Bookmark