.. mencari si dia yang soleh ..
Posts tagged kahwin
Implikasi “Maksiat Sebelum Berkahwin” di Alam Perkahwinan
Jun 1st
Setiap kali di dalam kuliah tafsir Al-Quran Dr Danial Zainal Abidin, terdapat satu sessi yang dikhaskan untuk bersoal-jawab. Di dalam sessi tersebut para hadirin akan mengajukan soalan-soalan tertentu. Ada yang berkaitan dengan kuliah tafsir, ada yang di luar skop pengajaran pada hari itu. Ada soalan diajukan secara lisan, ada soalan dimasukkan ke dalam ‘kotak soalan’ untuk merahsiakan identiti si penanya.
Suatu hari beliau menerima soalan seperti berikut,
“Saya telah mengenali pasangan saya hampir 2 tahun. Kami selalu berjumpa dan bersama ke mana sahaja. Dia seorang gadis yang baik, ilmu agamanya juga ada. Saya memang ada rancangan mahu mengahwininya, namun orang tua saya tidak merestui dengan alasan jauh. Teman saya selalu menyuruh saya agar kami memperapatkan perkahwinan dan tidak terus dengan maksiat yang tidak ada kesudahan. Saya amat kasihankan teman saya. Adakah berdosa saya berkahwin tanpa restu orang tua, hanya kerana niat mengelakkan maksiat.”
Ketika memberi pandangan kepada persoalan di atas, beliau telah secara umumnya menyuruh menginggalkan maksiat seberapa segera sebelum berkahwin. Menurutnya, maksiat sebelum berkahwin menghilangkan keberkatan, mendatangkan pengaruh selepas berkahwin, menghilangkan rasa hormat atau integeriti kepada pasangan selepas berkahwin.
Beliau memberi contoh apabila si suami ingin bertegas atau menegur si isteri dalam hal-hal terntentu lalu mendapat respon negatif daripada isteri dengan ejekkan tentang hal-hal sebelum berkahwin. Akhirnya rumatangga tersebut tidak akan mengalami perubahan ke arah kebaikkan.
Saya bersependapat, setiap perlakuan maksiat sepatutnya dihentikan sebelum berkahwin, diiringi dengan taubat. Perkahwinan pula dilakukan sekiranya takut perlakuan maksiat itu berulang dan bukannya berfikir, “tak mengapa kita lakukan ini, nanti kita akan kahwin jugak..” Ditakuti perkahwinan tidak menjadi, namun telah jauh terbabas sehingga tiada jalan kembali.
Menyentuh tentang “ilmu agamanya” yang ada di dalam diri pasangan si penyoal, Dr Danial berpendapat bahawa seseorang yang mempunyai asas agama tidak semestinya memahami apa yang mereka tahu. Sekiranya seseorang itu memahami dan menghayati apa yang mereka tahu, sudah tentu mereka akan menjauhi maksiat.
Ketika mendengar Dr Danial menjelaskan tentang hal ini, teringat saya kepada sebuah hadith Rasulullah s.a.w, “tidaklah seorang itu bernama alim (berilmu) sebelum berbuat menurut ilmunya”.Hadith ini telah direkodkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi daripada Abi Darda’.
Berhubung dengan restu ibu bapa, Dr Danial berkata Islam amat mementingkan restu ibu bapa di dalam sesuatu perkahwinan. Namun menurut beliau terdapat mazhab yang membenarkan perkahwinan tanpa restu ibu bapa dengan tujuan mengelakkan maksiat, asalkan mereka telah mencukupi umur tertentu. Bagaimanapun, beliau menyuruh agar kedua-dua berjumpa juga dengan ibu bapa untuk meminta maaf dan restu walaupun sudah tahu akan dimarahi.
Unfortunetely, saya tidak dapat menyiarkan rakaman audio sessi soal-jawab berkenaan kerana tidak mendapat kebenaran daripada penceramah. Mungkin beliau khaskan ilmu-ilmunya pada sessi soal-jawab hanya untuk mereka yang hadir.
.
.
Wallahu’alam. Semoga bermanfaat.
Related :
Semalam Di Ipoh ..
May 20th
Saya berada di Ipoh hujung minggu yang lalu. Ada beberapa tujuan saya ke sana, antaranya adalah melawat seorang sahabat lama yang bernama Jak (Panggilan itu adalah sempena cerita siri Kojak). Beliau merupakan antara warga internet terawal yang mendirikan rumahtangga setelah berkenalan di internet. Beliau telah berkenalan dengan isterinya pada tahun 1998 dan sekarang telah berumahtangga dan mempunyai dua cahaya mata. Anak beliau yang sulong sudah pun darjah satu. Mudah-mudahan beliau sentiasa diberkatiNya.

Saya juga sempat “drop by” ke majlis kenduri saudara Azuan di Ipoh. Majlis beliau bertemakan warna hijau diadakan di Dewan Silver Haritage, Ipoh. Beliau dan isterinya kedua-duanya peramah dan bijaksana. Memang pasangan yang sepadan. Rupa-rupanya menyertaan saudara Azuan di myJodoh adalah atas “recommendation” saudara Shahrani. Saudara Shahrani juga telah bertemu pasangan hidupnya di myJodoh pada tahun 2004 kot (kalau tak salah saya). Mudahan-mudahan kesemua diberkatiNya.

Keesokkan harinya, saya sempat meninjau-ninjau “pasar pagi” di Ipoh. Keadaannya lebih kurang seperti “pasar karat” di Petaling Street atau Road Walk di Penang. Dalam perjalanan pulang , kami singgah di Zoo Taiping.

Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?
May 10th

“Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?”
“Abang mengharapkan jalan mudah menuju tuhan ..”
“Tapi abang, mana ada jalan yang mudah tanpa dugaan?”
“Benar, namun pilihan yang tepat mengurangkan kesukaran, memperbanyakkan kemudahan.”
“Macam mana tu?”
“Bukankah perkahwinan itu menjaga kemaluan dan menundukan pandangan.”[1]
“Bagaimana jika abang tersalah pilih?”
“Sekurang-kurangnya abang telah berusaha memilih.”
“Bagaimana abang tahu pilihan abang itu tepat?”
“Apabila dia muncul dengan membawa Al-Quran.”
“Bagaimana dia memegang Al-Quran, di tangan kirinya atau kanan?”
“Bukan di tangan, tetapi di dalam hatinya. Dia menterjemahkan Al-Quran ke dalam kehidupan, ke dalam peribadi dan budi, ke dalam minda dan hati.”
“Bagaimana abang tahu ia bukan suatu kepuraan?”
“Wahai, bukankah hukama’ pernah berkata, kita tidak akan mengenal kebenaran daripada orang ramai. Pelajarilah kebenaran, dan kita akan kenal ahlinya.”[2]
“….”
Nukilan azrul.alwi.
Nota kaki
[1] Hadith riwayat Bukhari & Muslim. “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berkahwin, hendaklah dia kahwin kerana perkahwinan itu dalam menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kehormatan). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menahan nafsunya.”
[2] Ihya Ulumuddin, Kitab Ilmu Pengetahuan, Bab Kebawajipan Seorang Pelajar. Menurut Imam Al-Ghazali ini adalah kata-kata Ali r.a. Namun, tiada bukti untuk mensabitkan dan tiada bukti untuk menidakkan.
Bahan grafik : towardsenlightment.wordpress.com/category/iqbal/
Betulkah Anda Mengenali Si Dia?
May 3rd

Mereka yang pernah putus tunang (atau putus cinta) tentu sekali pernah menerima soalan seperti, “Kenapa boleh putus?”, “Siapa yang minta putus?” atau “Apa alasan yang dia bagi?” Namun, yang paling lazim adalah “Berapa lama dah kenal dengan dia?”
Betul tak?
Tidak dinafikan kita perlu mengenali seseorang sebelum menerimanya di dalam hidup, namun ia adalah mustahil untuk “betul-betul” mengenalinya. Beruntung kita kerana Umar Al-Khattab r.a. ada meninggalkan satu contoh tentang perihal “kenal” yang mungkin dapat kita jadikan panduan, InsyaAllah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Katsir di dalam Al-Irsyad bahwa di dalam suatu perbicaraan seorang lelaki telah tampil sebagai saksi bagi seseorang. Lelaki tersebut mendakwa beliau mengenali orang yang terlibat di dalam perbicaraan itu.
Umar Al-Khattab bertanya kepada lelaki tersebut, “apa yang engkau ketahui tentang dia?”
“Tentang keadilan dan kemuliaan,” jawab lelaki (yang ingin menjadi saksi) itu.
“Adakah dia jiran kamu, sehingga kamu mengetahui tentangnya baik di waktu siang atau pun malam?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia pernah bermuamalah (berniaga, bertansaksi) denganmu, sehingga dengan muamalah itu kamu mengetahui sejauh mana kewara’kannya (meninggalkan yang ragu-ragu) ?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia temanmu di dalam perjalanan sehingga engkau mengetahui kemuliaan akhlaknya?”, tanya Umar untuk kali ketiga.
“Tidak,” jawab lelaki itu lagi.
“Bererti engkau tidak mengenalinya.”, kata Umar. Lalu Umar menyuruh menampilkan saksi lain.
Wallahu’alam.
Rujukan
Fatawa wa Aqhidyah Amiril Mu’minin Umar ibn Al-Khattab (terjemahan Uts Zubeir Suryadi Abdullah, Lc), Muhammad Abdul Aziz Al-Halawi, Risalah Gusti, Surabaya. 1999
Tarbiyatul Aulad Fi Islam (terjemahan Drs Jamaluddin Miri Lc), Prof Abdullah Nashih Ulwan, Pustaka Amani, Indonesia, 2002.
Kalau Wanita Bos Bertemu Dengan Lelaki Kuli
May 2nd

(gambar hiasan)
لَا تُنْكِحُوا النِّسَاءَ إلَّا الْأَكْفَاءَ ، وَلَا يُزَوِّجُهُنَّ إلَّا الْأَوْلِيَاءُ ، وَلَا مَهْرَ دُونَ عَشَرَةِ دَرَاهِمَ
Di dalam sebuah hadith daripada Jabir r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak boleh dinikahkan seorang wanita kecuali dengan yang sekufu, dan tidak boleh dinikahkan melainkan oleh walinya, tidak ada mahar yang kurang daripada 10 dirham”
(Hadith riwayat Baihaqi, hadith ini mempunyai sanad yang terputus. )
Kufu bermaksud sama taraf. Pada istilah fuqaha, kufu ialah setara di antara suami dan isteri demi untuk mengelakkan keaidban pada beberapa perkara yang tertentu seperti agama, keturunan, kemerdekaan pekerjaan dan harta.
Jumhur selain daripada mazhab Maliki mengira kerjaya sebagai satu sifat pada kufu. Ini bermaksud lelaki yang mempunyai kerjaya yang rendah dan hina adalah tidak layak bernikah dengan wanita yang mempunyai kerjaya yang mulia.
Para fuqaha bersepakat bahawa kufu merupakan hak bagi perempuan dan juga hak bagi para walinya. Sekiranya perempuan berkahwin sendiri dengan orang yang tidak sekufu, maka para wali mempunyai hak menuntut supaya ‘aqad itu difasakhkan. Begitu juga jika wali mengahwinkannya dengan orang yang tidak sekufu, maka perempuan waliannya berhak menuntut supaya difasakhkan perkahwinan itu.
Dari segi kelaziman masyarakat kita .. memang rata-rata lelaki kuli agak keberatan menerima wanita bos sebagai isteri mereka. Tahukah anda sebabnya? Atau mungkin anda merupakan salah seorang lelaki yang tidak keberatan.
Wallahu’alam..
Rujukan
al-Fiqh al-Islami wa-Adillatuhu al-Juz’ al-Sabi’ (Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain), Dr Wahbah al-Zuhaili, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2001. ms305 – ms326
