.. mencari si dia yang soleh ..
Posts tagged kahwin
Perlukah Wanita Tahu Memasak?
May 8th
Berikut disajikan klip video pendapat Dr Danial tentang tentang persoalan di atas. Rakaman diambil ketika kuliah tafsir pada hari ahad yang lepas (2009-05-03). Untuk mereka yang belum pernah mendengar nama Dr Danial, sila lawati mindasuper.com untuk keterangan lanjut.
Utamakan Pasangan Yang Tidak Merokok
Nov 7th

Mufti Perlis Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin mencadangkan agar wanita yang ingin berkahwin mengutamakan pasangan yang tidak merokok.
Ini berdasarkan Islam menyuruh agar memilih pasangan yang mempunyai pegangan agama dan akhlak yang baik, sementara merokok merupakan unsur yang mencacatkan.
Ini atas beberapa alasan;
- Perokok sentiasa melakukan perkara yang ditegah oleh agama iaitu merosakkan diri. Majoriti para ulama zaman ini mengharamkan rokok.
- Perokok bukan sahaja membahayakan diri, tetapi juga keluarga; isteri dan anak-anak yang akan terhidu asap beracun rokok. Sepatutnya ibubapa melindungi anak dan keluarga, bukan membahayakan mereka.
- Ramai perokok yang tidak menjaga kebersihan. Bahkan rokok itu sendiri mengotorkan diri. Di samping betapa banyak tandas dan kemudahan awam lain rosak atau cacat disebabkan kesan rokok yang dihisap oleh penggunanya. Ciri yang seperti ini kurang baik bagi seseorang bapa atau ibu yang akan mengepalai keluarga dan rumahtangga.
- Rokok adalah pembaziran. Ramai perokok yang ketagihan sanggup utamakan membeli rokok daripada pemintaan keluarga atau keperluan keluarga yang lain. Mereka berkira untuk perkara-perkara yang baik atau perlu, tetapi lupa diri atau ringan tangan untuk membeli sekotak rokok yang sentiasa meningkat harganya.
- Merokok adalah contoh yang tidak baik untuk anak-anak. Maka perokok mencacatkan ciri-ciri keibubapaan. Justeru, ramai anak perokok turut merokok samada setelah dewasa atau sebelum cukup dewasa.
Atas alasan-alasan ini dan selainnya, maka saya menasihati umat Islam dan kaum wanita khususnya, menjadikan ‘merokok’ adalah salah satu ciri yang mencacatkan pemilihan dalam menentukan pasangan masing-masing.
Sumber:http://drmaza.com/home/?p=468#more-468
Panduan Solat Sunat Tarawih
Sep 3rd
Salam,
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, barangsiapa yang mendirikan sembahyang (tarawih) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Muslim)
Kepada mereka yang ingin mempelajari cara-cara solat sunat tarawih, kenapa, mengapa dan berapa ..
Klik sini dan download risalah ringkas panduan solat sunat tarawih yang dikeluarkan oleh JAKIM. RIsalah ini saya terima daripada group Respeks.
Semoga bermanfaat.
Wallahu’alam, Terima kasih.
Jangan Tunggu Lama-Lama, Nanti Lama-Lama …
Aug 18th

Suatu ketika dahulu pada tahun 1981, kumpulan rock Sweet Charity telah melancarkan album bernama Sejuta Wajah. Ada di dalam album itu sebuah lagu bernama “Jangan tunggu lama-lama.” Mereka yang membesar di zaman itu sudah tentu ingat. Lagu itu pernah berkumandang di radio hampir setiap hari 27 tahun dahulu.
Ia menasihati para lelaki agar “jangan tunggu lama-lama” sekiranya telah berjumpa dengan seseorang sesuai dikahwini. Jangan berlengah-lengah sekiranya telah menjumpai insan yang boleh dijadikan pasangan hidup.
1400 tahun yang lalu, Rasullullah s.a.w. pernah mengemukakan nasihat yang lebih baik. Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Ali r.a., “Wahai Ali, jangan dilengahkan tiga perkara! Solat apabila telah sampai waktunya, jenazah apabila hadirnya, wanita bujang apabila telah ditemui kufunya.”[1]
Solat ialah tiang agama. Di dalam sebuah riwayat Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya solat dan puncaknya adalah jihad.”[2] Mendirikan solat di awal waktu merupakan satu tuntutan. Di dalam sebuah riwayat Imam Tirmizi, daripada Ummu Farwah bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., “Apakah amal yang paling utama.?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Solat pada awal waktunya.”[3]
Begitu juga di dalam hal menguruskan jenazah. Di dalam sebuah hadith riwayat Abu Hurairah, Rasullullah s.a.w. telah bersabda, “Bersegerakanlah menguburkan janazah. Apabila jenazah itu baik, kamu lekas mendekatkannya dengan kebaikkan. Sedang jikalau ia jahat kamu sedang meletakkan sesuatu yang jahat di atas belakangmu.”[4] Justeru, semua jenazah harus disegerakan, tidak boleh ditangguh-tangguh. Ada jenazah yang sedang menanti kebaikkan tuhan di dalam kuburnya. Ada jenazah pula ibarat beban ke atas yang masih hidup kerana tidak mendapat rahmat tuhan.
Di dalam hal perkahwinan, Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan kepada golongan lelaki, “Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan hendaklah ia berkahwin, Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan pandangannya, menjaga kemaluannya (kehormatannya). Dan sesiapa yang tidak mampu hendaklah ia berpuasa, kerana puasa itu ibarat pengembiri baginya (dapat menundukkan nafsu).”[5]
Bagi golongan wanita, Rasullullah s.a.w. pernah menyatakan kepada para sahabat, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia, jika tidak kamu lakukan demikian akan berlakulah fitnah di bumi dan kerosakkan yang besar.” Menurut Abu Hatim al-Muzani r.a., selepas Rasulullah s.a.w bersabda seperti itu, lalu para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Walaupun jika ada padanya?” Lalu Rasulullah s.a.w mengulangi, “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia!” sebanyak tiga kali.[6] Di dalam Bahrul Mazi, Al-Marbawi menyatakan, wa in kana minhu – walaupun jika ada padanya, bermaksud jika ada sesuatu yang tidak disukai pada diri lelaki tersebut, seperti kemiskinan, tidak masyhur dan sebagainya.[7]
Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama …
Wallahu’alam.
.
.
..
Nota Kaki
[1] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (156), hassan gharib. Imam sayuthi berpendapat hadith ini hassan. Albani berpendapat hadits ini daif.
[2] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (2541), hassan sahih.
[3] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (155), hassan gharib. Imam sayuthi berpendapat hadith ini sahih. Albani berpendapat hadith ini sahih.
[4] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (936), Bukhari (1231), Muslim (1569) sahih.
[5] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari,(4677) hadith riwayat Ibnu Mas’ud
[6] http://hadith.al-islam.com, Riwayat Tirmizi (1005), hassan gharib. Albani berpendapat ia hadith hassan.
[7] Al-Marbawi, Bahrul Mazi, Jilid 8. Bab 15.
