.. mencari si dia yang soleh ..
Posts tagged Panduan Mencari & Memilih Jodoh
Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?
May 10th

“Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?”
“Abang mengharapkan jalan mudah menuju tuhan ..”
“Tapi abang, mana ada jalan yang mudah tanpa dugaan?”
“Benar, namun pilihan yang tepat mengurangkan kesukaran, memperbanyakkan kemudahan.”
“Macam mana tu?”
“Bukankah perkahwinan itu menjaga kemaluan dan menundukan pandangan.”[1]
“Bagaimana jika abang tersalah pilih?”
“Sekurang-kurangnya abang telah berusaha memilih.”
“Bagaimana abang tahu pilihan abang itu tepat?”
“Apabila dia muncul dengan membawa Al-Quran.”
“Bagaimana dia memegang Al-Quran, di tangan kirinya atau kanan?”
“Bukan di tangan, tetapi di dalam hatinya. Dia menterjemahkan Al-Quran ke dalam kehidupan, ke dalam peribadi dan budi, ke dalam minda dan hati.”
“Bagaimana abang tahu ia bukan suatu kepuraan?”
“Wahai, bukankah hukama’ pernah berkata, kita tidak akan mengenal kebenaran daripada orang ramai. Pelajarilah kebenaran, dan kita akan kenal ahlinya.”[2]
“….”
Nukilan azrul.alwi.
Nota kaki
[1] Hadith riwayat Bukhari & Muslim. “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berkahwin, hendaklah dia kahwin kerana perkahwinan itu dalam menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kehormatan). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menahan nafsunya.”
[2] Ihya Ulumuddin, Kitab Ilmu Pengetahuan, Bab Kebawajipan Seorang Pelajar. Menurut Imam Al-Ghazali ini adalah kata-kata Ali r.a. Namun, tiada bukti untuk mensabitkan dan tiada bukti untuk menidakkan.
Bahan grafik : towardsenlightment.wordpress.com/category/iqbal/
Malu Tapi Mahu – Teknik Menyatakan Hasrat
May 7th

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang. Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!
Namun, jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.
Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya.
Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.
Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.
Dalam proses itu Nurfaisah mulu-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya. Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah.
Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.
Kesimpulannya, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.
Wallahu’alam.
Rujukan
- Hayatu Muhammad (Terjemahan Ali Audah), Dr Muhammad Husain Heakal, Litera Antaranusa, Jakarta, Cetakan 2006. ms66-67.
- Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w., HMH Al-Hamid Al-Husaini, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1996. ms70-71
- As-Siratu An-Nabawiyah Liibni Hisyam (Terjemahan Fadhli Bahri Lc), Ibnu Hisyam, Pustaka Dini, Kuala Lumpur, Cetakan 2006. Jilid 1 ms250-253.
- Sirah Riwayat Hidup Muhammad S.A.W., Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur. Cetakan 2005. ms161-ms163.
- http://taaherah.blogspot.com/2007/07/kekasih-awal-dan-akhir-khadijah.html
Betulkah Anda Mengenali Si Dia?
May 3rd

Mereka yang pernah putus tunang (atau putus cinta) tentu sekali pernah menerima soalan seperti, “Kenapa boleh putus?”, “Siapa yang minta putus?” atau “Apa alasan yang dia bagi?” Namun, yang paling lazim adalah “Berapa lama dah kenal dengan dia?”
Betul tak?
Tidak dinafikan kita perlu mengenali seseorang sebelum menerimanya di dalam hidup, namun ia adalah mustahil untuk “betul-betul” mengenalinya. Beruntung kita kerana Umar Al-Khattab r.a. ada meninggalkan satu contoh tentang perihal “kenal” yang mungkin dapat kita jadikan panduan, InsyaAllah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Katsir di dalam Al-Irsyad bahwa di dalam suatu perbicaraan seorang lelaki telah tampil sebagai saksi bagi seseorang. Lelaki tersebut mendakwa beliau mengenali orang yang terlibat di dalam perbicaraan itu.
Umar Al-Khattab bertanya kepada lelaki tersebut, “apa yang engkau ketahui tentang dia?”
“Tentang keadilan dan kemuliaan,” jawab lelaki (yang ingin menjadi saksi) itu.
“Adakah dia jiran kamu, sehingga kamu mengetahui tentangnya baik di waktu siang atau pun malam?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia pernah bermuamalah (berniaga, bertansaksi) denganmu, sehingga dengan muamalah itu kamu mengetahui sejauh mana kewara’kannya (meninggalkan yang ragu-ragu) ?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia temanmu di dalam perjalanan sehingga engkau mengetahui kemuliaan akhlaknya?”, tanya Umar untuk kali ketiga.
“Tidak,” jawab lelaki itu lagi.
“Bererti engkau tidak mengenalinya.”, kata Umar. Lalu Umar menyuruh menampilkan saksi lain.
Wallahu’alam.
Rujukan
Fatawa wa Aqhidyah Amiril Mu’minin Umar ibn Al-Khattab (terjemahan Uts Zubeir Suryadi Abdullah, Lc), Muhammad Abdul Aziz Al-Halawi, Risalah Gusti, Surabaya. 1999
Tarbiyatul Aulad Fi Islam (terjemahan Drs Jamaluddin Miri Lc), Prof Abdullah Nashih Ulwan, Pustaka Amani, Indonesia, 2002.
Kuasa Hebat Solat Istikharah Dalam Memilih Jodoh
Nov 13th
Pernah suatu ketika dahulu, seorang pengguna myJodoh berada di dalam dilema dalam membuat satu keputusan besar tentang masa depannya. Beliau pernah berkasih-kasihan dengan seorang jejaka (jejaka A) yang juga seorang pengguna laman web ini. Kasih mereka berdua tiba-tiba menghadapi situasi salah faham dan berakhir dengan kekecewaan.
Si gadis lalu membawa diri dan mencari kasih baru. Beliau bertemu dengan seorang jejaka baru di myJodoh (jejaka B) lalu berkenalan, bercinta, bertunang dan merancang saat perkahwinan.
Ketika itulah baru si gadis mula sedar segala konflik yang berlaku di antara jejaka A dan dirinya hanyalah berpunca daripada salah faham. Masing-masing mempunyai salah. Masing-masing memohon maaf. Namun bagi si gadis, beliau tidak lagi boleh berbuat apa-apa kerana dirinya telah menjadi tunangan orang.
Di dalam hatinya terdetik niat untuk memutuskan pertunangan dengan jejaka B, tetapi apakah salah jejaka B. Jejaka B baik dan telah menunjukkan kesungguhan. Semuanya ibarat kisah cinta di dalam novel-novel yang sering menjadi santapan minda di waktu kesunyian. Tidak beliau sangka situasi rekaan itu menjadi kenyataan di dalam dirinya. Cintanya sebenar pada jejaka A.
Apabila ditanya ibu bapa, mereka menyarankan agar meneruskan sahaja dengan jejaka B. Apabila ditanya diri sendiri, beliau ingin memutuskan sahaja. Hati beliau kini telah beralih semula kepada jejaka A. Jika tidak kerana agama dan adat, sudah tentu beliau melakukan apa sahaja yang terlintas di hati.
Apabila beliau meminta nasihat saya, saya juga menjadi buntu, tetapi saya mencadangkan beliau untuk berikstikharah di tengah malam sunyi.
Pada pagi hari itu, beliau ternanti-nanti petunjuk tuhan, menanti sesuatu untuk berlaku, menanti bisikan suara hati.
“Tak ada apa pun,” kata beliau kepada saya.
“Sabarlah dan buat lagi malam nanti.” Saya menyuruhnya mengulangi istikharahnya.
Di pagi kedua, beliau masih ternanti-nanti. Penantian membawa ke tengahari. Di tengahari beliau masih kebingungan. Kebingungan yang membawa hingga ke petang.
Inisiatif dan kesungguhan beliau memohon petunjuk Ilahi akhirnya mendatangkan ketenangan buat dirinya sendiri. Semua saat-saat memaksa diri untuk melawan kantuk itu berbaloi.
Hanya pada petang itu, barulah kebuntuannya hilang. Beliau mendapat pengakuan daripada jejaka B sendiri, sebenarnya jejaka B sudah berkeluarga.
Ini adalah sebuah kisah kehebatan istikharah..
Untuk maklumat tentang solat istikharah sila rujuk pautan berikut :
http://www.e-ulama.org/Tanya/Default.asp?mode=0&id=3218
http://id.wikipedia.org/wiki/Shalat_Istikharah
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=103&Itemid=99
.
.
.
.
Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran
Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati
