Posts tagged cinta

Hari Kekasih dan Umat Lubang Biawak

Nabi bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” (Riwayat Muslim)

Sebahagian umat Islam hari ini telah menjadi umat Islam pak turut atau lebih tepat menjadi umat lubang biawak berdasarkan hadis di atas. Mereka tidak lagi berbangga mematuhi landasan Islam sebaliknya lebih berbangga untuk meniru gaya dan cara hidup golongan Yahudi dan Nasara. Salah satu keramaian yang disambut oleh sebahagian umat Islam ialah sambutan hari Kekasih atau St. Valentine’s Day.

Asal usul hari Valentine sering kali dikaitkan dengan amalan golongan pagan jahiliah di zaman Rom Kuno dahulu. Pada bulan Februari mereka mengadakan keramaian yang dikenali sebagai Lupercalia untuk memuja tuhan Lupercus. Pada hari itu nama-nama gadis desa diletakkan dalam sebuah kotak dan setiap pemuda akan mengambil salah satu nama dari kotak tersebut secara rambang. Gadis yang terpilih akan menjadi kekasih pemuda itu sepanjang tahun.

Ketua paderi ketika itu, Paderi Gelasius 1, kemudiannya menjadikannya sebagai satu aktiviti agama Kristian dengan membuat beberapa pengubahsuaian. Antaranya dengan menggantikan nama-nama wanita dengan nama-nama tokoh Kristian di dalam kotak untuk dipilih dengan harapan masyarakat akan menjadikan tokoh-tokoh itu sebagai idola mereka. (http://www.christianitytoday.com/ct/2000/februaryweb-only/11.0a.html)

Mengikut Catholic Encyclopedia (http://www.newadvent.org/) Hari Valentine atau St. Valentine’s Day dikaitkan dengan tiga orang tokoh pejuang agama Kristian bernama Valentine, iaitu Valentine dari Terni, Valentine dari Rom dan seorang lagi dari Afrika. Wikipedia (en.wikipedia.org) memperincikan tentang ketiga-tiga tokoh ini. Valentine dari Terni ialah ketua paderi di Interamna (kemudiannya dikenali sebagai Terni) lebih kurang pada tahun 197 M. Beliau dibunuh oleh Maharaja Aurelian dan dikebumikan di Via Flaminia. Valentine dari Rom pula merupakan seorang paderi di Rom dan dibunuh pada tahun 269 M dan juga dikebumikan di Via Flaminia. Manakala tentang Valentine dari Afrika tidak banyak maklumat yang diketahui tentangnya.

Sebenarnya golongan Kristian Katolik mengiktiraf sebelas sambutan Hari Valentine salah satunya pada tanggal 14 Februari setiap tahun sehinggalah pada tahun 1969 apabila ia tidak lagi dianggap sebagai aktiviti rasmi Kristian Katolik.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Sumber : http://mindasuper.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=144&Itemid=9

  • Share/Bookmark

Cinta Dan Cemburu

Assalamu’alaikum,

Dr HAMKABerikut merupakan audio kuliah subuh oleh almarhum Dr Hamka. Mungkin kita sering mendengar nama HAMKA atau membaca tafsir Al-Azhar atau buku-buku karangan beliau. Saya sendiri mengenali nama Hamka melalui Dr Danial, kerana beliau sering menyebut-menyebut nama itu. Antara novel Hamka yang saya pernah baca adalah Angkatan Baru – kisah seorang ustazah yang mencari cinta.

Kepada mereka yang belum pernah mendengar, kini anda boleh mendengar suara beliau melalui audio ini. Koleksi audio ini adalah kiriman seorang sahabat saya dari Indonesia. Semoga Allah memberkati beliau. Semoga Allah merahmati almarhum Dr HAMKA.

Dari Gelap Menuju Terang
http://www.savefile.com/files/1877415 (link baru)

Cinta Dan Cemburu
http://www.savefile.com/files/1877383

Haus
http://www.savefile.com/files/1877460

Pegangan Hidup
http://www.savefile.com/files/1877678

Hidup Sesudah Mati
http://www.savefile.com/files/1877502

  • Share/Bookmark

Cinta Cyber@Siber : Teknik Mengelak Kekecewaan dan Memastikan “Kejayaan”

Antara tempat “shopping” dan tempat “window shopping” kegemaran saya dan rakan-rakan semasa kami masih belajar di sebuah IPT di Lembah Kelang ialah Petaling Street. Ia terletak di tengah ibu kota dan menjadi pusat para penjaja cina menjual barangan-barangan tiruan, baju, seluar, minyak wangi dan macam-macam lagi.

Pada suatu hari, seorang rakan saya membelek-belek “seluar Jeans” dan terus bertanyakan harga dengan si penjual.

“Tengok dulu laaa, nanti you suka yang mana …. I kasi kurang.” Kata penjual dalam telo cina.

Rakan saya terus mendesak untuk mengetahui harga seluar tersebut dan akhirnya si penjual berkata, “yang ini empat puluh laa.”

“Tak boleh kurang ker? Dua puluh tak boleh?” Tanya rakan saya itu.

“Cincai, tiga puluh lima.” Kata penjual tersebut.

“Dua puluh sudah laaa .. minggu lalu saya datang you kasi dua puluh…” rakan saya memberikan alasan, entah benar, entah tidak.

“Ok laaa .. dua puluh lima … ok?” kata penjual cina tersebut.

Rakan saya terus mendesak untuk mendapatkan harga seluar tersebut serendah RM20 dan penjual cina itu terus mempertahankan harga RM25 dengan memberikan pelbagai alasan. Tawar-menawar itu berlaku lebih kurang setengah jam. Saya dan rakan-rakan lain dah mula rasa jemu berlegar-legar di gerai berhampiran.

“Dah laa .. malas aku nak beli, minta dua puluh pun susah dapat.” Kata rakan saya kepada penjual cina itu sambil angkat kaki. Sememangnya sejak dari awal lagi, dia ingin mendapat harga murah dahulu, baru hendak memilih yang mana dia inginkan. Dia ingat Supermarket ker?

Tahu apa jadi selepas itu?

Dia bukan sahaja dimarahi oleh penjual cina tersebut dengan teriakan dan makian yang kuat. Malah terpaksa berlari keluar dari kawasan Petaling Street, kerana teriakan penjual tersebut telah menarik perhatian penjual lain. Penjual tadi mula mengejarnya dan menyebabkan orang ramai yang berada di situ pun mengejarnya tanpa mengetahui sebab. Dia terpaksa menyembunyikan diri di kedai buku Popular yang berhampiran untuk suatu jangka masa bagi meredakan keadaan.

Itulah engkau Yen, lain kali jangan mainkan perasaan orang! Lain lagi jangan beri harapan kepada orang kalau masih belum confirm! Lain kali jangan kata nak beli sebelum dah betul-betul tengok.

Lazimnya, pasangan yang berkenalan di dunia siber (di myJodoh atau di mana-mana) akan mula menjalinkan hubungan melalui emel, Yahoo Messenger, MSN Messenger, Skype dan sebagainya. “Sembang-sembang” dan proses berkenalan tersebut akan dilanjutkan dari alam internet ke alam telekomunkasi selepas habis waktu bekerja. Beratus-ratus ringgit wang yang mereka “derma” kepada syarikat telekomunikasi. Semua ini akan menjadi semakin rancak jika kedua-duanya berada di jarak yang jauh. Seorang di Johor, seorang di Kuala Lumpur. Semua ini akan menjadi lebih rancak jika salah seorang baru sahaja dikecewakan. Tengah frust!

Kemudian mereka akan bertukar-tukar gambar apabila telah wujud sedikit kepercayaan atau bersembang melalui telefon, mendengar suara masing-masing. Di dalam jangka masa ini, lazimnya telah wujud rasa sayang, rindu, cemburu, berharap dan percaya … sedangkan masih belum bertemu!

Apabila telah bersedia, mereka akan bertemu untuk kali yang pertama. Lazimnya berdua-duaan. Lazimnya akan terdetik di dalam hati salah seorang “alaaaahai! kenapa dalam gambar nampak lain!??” atau “kenapa dalam emel, sms dan YM pandai berbahasa?” atau “eh .. kenapa suara dia lain macam jer..” atau “eh .. nampak macam laki orang jer ni!” dan seribu satu kekecewaan yang melambangkan orang yang dijumpai tidak seperti apa yang dikhayalkan.

Menurut kebanyakan pasangan yang berkahwin di myJodoh, mereka tidak menghadapi masalah ketika pertama kali berjumpa. Melalui aduan-aduan yang saya terima daripada pengguna myJodoh, mereka yang menghadapi masalah ketika pertama kali bertemu, akan cuba “menjauhkan diri.” Ini akan membuat pasangan yang seorang lagi seperti si penjual cina di atas. Kecewa, marah dan terasa dipermainkan!

Akhirnya, myJodoh yang akan dipersalahkan!

Cara Yang Lebih Selamat
Ada beberapa cara untuk mengelakkan kekecewaan ini. (Saya ringkaskan, tidak boleh sertakan banyak-banyak, sebab saya dah terjumpa ada buku di pasaran yang dah plagiat maklumat di dalam blog ini tanpa memohon izin atau merujuk semula ke sini. Maklumlah siapa laa kita ni…)

Pertama sekali, kenal pasti ciri-ciri yang anda mahu sebelum mula berkenalan dengan seseorang. Untuk mengenal pasti ciri-ciri yang anda ingin, anda perlu kenal diri sendiri terlebih dahulu. (ada penjelasan panjang untuk ini) Jika orang yang anda kenal itu tidak menepati “ciri-ciri asas” seperti umur, status perkahwinan, tinggi, berat, tempat tinggal, asal, kufu dan lain yang anda kehendaki (maklumat-maklumat ini anda boleh dapati dengan bertanya melalui sistem pesanan myJodoh atau sebarang kaedah di internet), tidak perlu lanjutkan hubungan, tidak perlu buang masa, tidak perlu menanam sebarang harapan dan janji, tak payah tengok muka pun tak mengapa. Goodbye, sayonara!

Jika si dia menepati ciri-ciri yang dikehendaki, ajaklah berjumpa “ramai-ramai” dan bukan berdua-duaan. (Rasanya, tidak perlu saya jelaskan fekahnya di sini.) Pertemuan beramai-ramai di tempat awam yang terbuka akan menghilangkan suasana romantik, suasana berahi dan sebarang ketakutan. Anda boleh bertanya tentang pekerjaan, pelajaran, pengetahuan agama dan kekeluargaan. Semua jawapan akan membongkar latar belakang, pemikiran dan identiti sebenar seseorang. (Ini pun saya tak boleh nak lanjutkan keterangan, agak panjang – maaf. Mungkin nak kena tunggu majalah Nur invite jadi columnist kot … :) mungkin baru boleh terangkan.)

Dari saat ini, anda telah meneliti kesesuaian dan telah “melihat” serta “mendengar” orang yang anda ingin jadikan calon pasangan hidup. Kemudian fikir, fikir dan fikir. Jangan terburu-buru menolak dan jangan terburu-buru menerima. Minta pendapat rakan-rakan yang ikut serta di dalam pertemuan. Kemudian beristikharahlah. Jika petunjuk yang datang adalah positif maka eloklah disudahi dengan ikatan perkahwinan. Ajak sahaja si dia berkahwin. Ia akan berlaku dengan pantas dan mudah, InsyaAllah. (Ingat, anda melakukan setelah mendapat petunjuk daripada tuhan.) Perbincangan pra dan pasca perkahwinan biasanya akan berlaku di sini. Sebagai contoh, siapa akan bertukar tempat kerja, hantaran, mas kahwin, pertunangan, tarikh bertemu kaum keluarga … dan sebagainya.

Jika sebaliknya, kedua-duanya akan menjadi “hanya kawan” dan tidak ada lebih daripada itu. Berterus-teranglah dengan si dia. Jangan terus menyepi, kerana ini akan menimbulkan isyarat yang sebaliknya! Dia akan menyangka anda suka, tetapi malu nak menghubunginya.

Sebagai tambahan, kadang-kala akan wujud keinginan di dalam hati salah seorang untuk “terus memilih” walaupun telah bertemu yang sesuai. Ini adalah sikap negatif untuk sesuatu perhubungan dan adalah elok sekiranya anda membatalkan perhubungan sekiranya anda mengetahui si dia “masih lagi dalam proses memilih.” Jangan lupa, hadiah saguhati anda jika tidak dapat ke final adalah kekecewaan. Jadi, jangan cari penyakit walaupun si dia nampak menarik.

Jika seseorang mengikut empat langkah di atas, sekurang-kurang akan terdapat lebih 15 ribu orang yang berpontensi untuk dijadikan “pasangan hidup atau kawan” di myJodoh. (Tak kan dalam 10 orang, seorang pun tak sangkut?)

Ikut langkah-langkah di atas dan InsyaAllah anda tidak akan kecewa dan marah seperti penjual cina tadi! Semoga bertemu pasangan hidup anda.

.

.

Wallahu’alam.

.

.

  • Share/Bookmark

Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?

“Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?”

“Abang mengharapkan jalan mudah menuju tuhan ..”

“Tapi abang, mana ada jalan yang mudah tanpa dugaan?”

“Benar, namun pilihan yang tepat mengurangkan kesukaran, memperbanyakkan kemudahan.”

“Macam mana tu?”

“Bukankah perkahwinan itu menjaga kemaluan dan menundukan pandangan.”[1]

“Bagaimana jika abang tersalah pilih?”

“Sekurang-kurangnya abang telah berusaha memilih.”

“Bagaimana abang tahu pilihan abang itu tepat?”

“Apabila dia muncul dengan membawa Al-Quran.”

“Bagaimana dia memegang Al-Quran, di tangan kirinya atau kanan?”

“Bukan di tangan, tetapi di dalam hatinya. Dia menterjemahkan Al-Quran ke dalam kehidupan, ke dalam peribadi dan budi, ke dalam minda dan hati.”

“Bagaimana abang tahu ia bukan suatu kepuraan?”

“Wahai, bukankah hukama’ pernah berkata, kita tidak akan mengenal kebenaran daripada orang ramai. Pelajarilah kebenaran, dan kita akan kenal ahlinya.”[2]

“….”

Nukilan azrul.alwi.

Nota kaki

[1] Hadith riwayat Bukhari & Muslim. “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berkahwin, hendaklah dia kahwin kerana perkahwinan itu dalam menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kehormatan). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menahan nafsunya.”

[2] Ihya Ulumuddin, Kitab Ilmu Pengetahuan, Bab Kebawajipan Seorang Pelajar. Menurut Imam Al-Ghazali ini adalah kata-kata Ali r.a. Namun, tiada bukti untuk mensabitkan dan tiada bukti untuk menidakkan.

Bahan grafik : towardsenlightment.wordpress.com/category/iqbal/

  • Share/Bookmark

Malu Tapi Mahu – Teknik Menyatakan Hasrat

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang. Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!

Namun, jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.

Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya.

Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.

Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya  untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.

Dalam proses itu Nurfaisah mulu-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya.  Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah.

Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.

Kesimpulannya, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.

Wallahu’alam.

Rujukan

  • Hayatu Muhammad (Terjemahan Ali Audah), Dr Muhammad Husain Heakal, Litera Antaranusa, Jakarta, Cetakan 2006. ms66-67.
  • Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w., HMH Al-Hamid Al-Husaini, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1996. ms70-71
  • As-Siratu An-Nabawiyah Liibni Hisyam (Terjemahan Fadhli Bahri Lc), Ibnu Hisyam, Pustaka Dini, Kuala Lumpur, Cetakan 2006. Jilid 1 ms250-253.
  • Sirah Riwayat Hidup Muhammad S.A.W., Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur. Cetakan 2005. ms161-ms163.
  • http://taaherah.blogspot.com/2007/07/kekasih-awal-dan-akhir-khadijah.html
  • Share/Bookmark