Lagi 17 Jam

Assalamu’alaikum,

Seperti anda juga saya sendiri tidak sabar untuk merasai kelajuan server baru ini. Tengah hari tadi saya cuba aktifkan semula laman myJodoh, ia beroperasi. Namun, apabila saya refresh untuk kali kedua, ia bertukar kembali kepada "domain expired".

Menunjukkan proses propagate masih belum tamat.

Sekiranya anda cuba ping www.myjodoh.net melalui talian streamyx, kadang-kadang ia menunjukkan IP lama, kadang-kadang ia menunjukkan IP baru.

Jadi kita tunggu sampai malam ni! Harap bersabar.

Harap maaf atas segala kesulitan.

Sekian, terima kasih.

  • Share/Bookmark

Dah Pindah

Assalamu’alaikum,

Perpindahan domain myJodoh.net ke server baru telah dilakukan. myJodoh.net sedang mengalami proses

propagate

(proses rangkaian internet mula mengenali myjodoh.net telah berpindah tempat) yang mungkin mengambil masa 24 hingga 72 jam.

Sekiranya anda dapat membaca laman ini melalui myjodoh.net, bermakna proses tersebut telah selesai di rangkaian pembekal internet anda.

Harap maaf atas segala kesulitan.

Sekian, terima kasih.

  • Share/Bookmark

Jangan Panik

Assalamu’alaikum,

Ramai bertanya kenapa domain myJodoh tiba-tiba
expired. Emel penuh dan telefon bimbit saya tidak henti
berbunyi. Macam-macam yang saya dengar, ada yang berkata "Azrul
lari kot
" dan "Eh ! myJodoh ni illegal ker ?"

Sebenar saya bercadang untuk memindahkan hosting
myJodoh yang sedia ada ke Linux dedicated server yang dipercayai
akan menjadikan myJodoh lebih "laju". Lalu saya menunggu
peluang untuk tempoh pendaftaran domain yang sedia ada
tamat sebelum melakukan pemindahan.

Malangnya pada tarikh berkenaan, mereka yang sepatutnya
bertugas masih belum pulang, mungkin menambah cuti, masih menyambut
perayaan Tahun Baru Cina. Semua kerja-kerja pemindahan telah tergendala.
Lalu laman "domain is expired" terpapar untuk seketika.

(Padahal sekali klik sahaja dah boleh pindah
domain, masalahnya orang yang berkuasa untuk klik tu belum ada di
pejabatnya dan tidak dapat dihubungi
)

Pemindahan data dari sebuah server Windows
ke Linux bukan suatu perkara mudah. Semua ini adalah untuk
memastikan agar laman web myJodoh dapat beroperasi dengan lancar.
Saya sering menerima aduan tentang kelembapan laman web myJodoh
pada waktu siang dan kiriman emel kepada bantuan@myjodoh.net yang
tidak sampai. Semua ini menyusahkan semua pihak termasuk diri saya
sendiri.

Harap maaf atas segala kesulitan !
Semua akses pengguna berbayar akan diganti. Untuk sementara waktu
mungkin anda boleh berkunjung ke www.jelita2u.com.
Laman web ini kebetulan baru dilancarkan.

Sekiranya anda boleh membaca notis ini di www.myjodoh.net,
bermakna domain myJodoh telah pun dipindahkan ke server
baru. myJodoh versi PHP sedang diuji dan akan dilancarkan tidak
lama lagi, pada bila-bila masa.(selewat-lewatnya hari Isnin, 26
Feb 2007). Anda akan dimaklumkan melalui emel !

Sekian, terima kasih.

  • Share/Bookmark
ramadhan.jpg

Selamat Menyambut Ramadhan

ramadhan.jpg“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” – Al-Baqarah : 183

“Sabda Rasulullah saw, Akan datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan keberkatan, difardukan oleh Allah kepadamu puasa dalam bulannya, dibuka pintu langit dan dikunci pintu neraka, dirantai akan syaitan. Demi Allah terdapat padanya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.” (Riwayat An-Nasai dan Baihaqi)

Maklumat teknikal tentang ramadhan, cara berpuasa dan syarat berpuasa

Tingkat-tingkat puasa

Al-Ghazali ada membahagikan tingkat-tingkat puasa kepada tiga jenis. Pertama adalah puasa umum, iaitu orang yang berpuasa menahan perut dan kemaluan seperti yang disyaratkankan.

Kedua adalah puasa yang khusus, iaitu ditambahkan pula dengan menahan pendengaran, pengelihatan, lidah dan tangan serta anggota-anggota badan yang lain dari segala perbuatan dosa.

Ketiga adalah puasa khususnya khusus, iaitu puasa hati. Menahan hati dari pemikiran keduniaan, perhatian-perhatian yang rendah, menahan diri dari memikirkan selain daripada Allah swt.

Syarat Batiniah Dalam Berpuasa
Menurut Al-Ghazali, terdapat enam perkara perlu dititik beratkan dalam perlaksanaan ibadat puasa bagi menghasilkan puasa yang berkualiti.

  1. Menjaga mata dan menahan pandangan kepada sesuatu yang tercela dan dibenci, yang melalaikan hati, melengahkan zikir serta menjauhkan ingatan kepada Allah swt.

  2. Menjaga lidah dari senda gurau yang tidak berguna, berdusta, mengumpat, perkataan kotor, keji, caci makian dan sebagainya.
  3. Menahan pendengaran dari mendengar segala sesuatu yang diharamkan atau dibenci Allah, sebab segala sesuatu yang haram diucapkan, maka haram pula didengar.
  4. Menahan anggota tubuh yang lain-lain daripada perbuatan dosa, baik dari tangan atau kaki daripada segala yang dibenci. Menahan perut daripada hal-hal syubhat (tidak jelas halal atau haram) atau haram ketika berbuka.
  5. Jangan berlebihan makan ketika berbuka. Hendaklah direnung tujuan berpuasa, iaitu mendidik nafsu. Tiada manfaatnya berpuasa sehari tetapi apabila waktu berbuka, nafsu masih tidak terdidik.
  6. Perasaan takut ketika berbuka, kalau-kalau amalan seharian kita itu tidak diterima oleh Allah swt.

“Sabda Rasulullah saw, Banyak sekali orang yang berpuasa, tetapi tidak ada yang diperolehinya dari puasanya itu kecuali hanya lapar dan dahaga” Riwayat An-Nasai dan Ibnu Majah.

Selamat berpuasa !

  • Share/Bookmark
Email dari pengguna

Jika Anda Benar Sibuk

Ada di antara pengguna myJodoh yang memang sibuk sehingga tidak begitu berkesempatan menggunakan internet. Namun, keyakinan mereka terhadap myJodoh tetap ada. Saya bersyukur dan berterima kasih untuk itu.

Email dari penggunaBerdasarkan emel di sebelah… Sudah tentu, adalah memadai dengan anda berdaftar di myJodoh. Pendaftaran anda sebagai pengguna berbayar merupakan salah satu daripada usaha selain daripada apa yang pernah saya kemukakan.

Sememangnya telah menjadi tanggungjawab kami di myJodoh, khususnya saya sendiri untuk memastikan Maklumat Diri anda di myJodoh dijenguk oleh orang ramai. Anda boleh menyemaknya sendiri dari myJodoh “siapa mereka” yang menjenguk Maklumat Diri Anda.

Namun, saya cuma pinta dua perkara daripada anda yang benar-benar sibuk untuk melayari myJodoh. Pertama, jangan lupa paparkan nombor telefon anda, supaya mereka boleh terus menghubungi anda. Kedua, jangan lupa berdoa.

Menyentuh tentang doa, sesungguhnya Allah swt berfirman :

“..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. ” Al-Baqarah : 186

“Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” Al-Mukmin:60

Berhubung dengan tatacara berdoa, Iman Al-Ghazali ada menggariskan beberapa langkah. Berikut merupakan penerangan ringkas yang saya sediakan untuk tatapan pintas anda.

  1. Menunggu waktu yang mulia dan sesuai.
    Antara waktu yang mulia dan sesuai ialah pada hari Arafah, sepanjang Ramadhan, hari Jumaat dan akhir malam.
  2. Serius ketika waktu itu tiba. Jangan mensia-siakannya.
    Kita harus menghargai waktu yang mulia itu dan memanfaatinya.
  3. Berdoa menghadap kiblat, mengangkat kedua tangan.

    Umar ra berkata, “Rasulullah saw apabila mengangkat tangannya untuk berdoa, maka tidaklah akan kembalikannya dahulu kedua tangannya itu sehingga diusapkan ke wajahnya”, hadith riwayat Tirmizi

    Ibnu Abbas menjelaskan, “Rasulullah saw apabila berdoa, selalu mengumpulkan kedua tapak tangannya dan bahagian dalam dari kedua tapak tangan itu dihadapkan di arah wajahnya. Inilah keadaan-keadaan tangannya dan beliau tidak pernah mengangkatkan pandangangannya ke langit.”

  4. Perlahankan suara ketika berdoa, antara berbisik dan bercakap.
    “Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.” Al-Isra: 110
  5. Jangan memaksa diri mencantikan doa dengan menyusun kata-kata yang berbunga.
    Menurut Al-Ghazali, oleh kerana ada yang mengungkapkan kata-kata yang indah semasa berdoa sehinggakan tidak akan membawa kemaslahatan untuk dirinya sendiri. (Maslahat bermaksud interest dalam B. Inggeris.)
  6. Berdoa dengan rendah diri, khusyuk, penuh pengharapan dan takut.
  7. Mempunyai ketetapan hati.
    Ketetapan hati di sini bermaksud yakin bahawa doa itu akan makbul. Dalam bahasa modernnya jangan ada unsur ..”kalau kau nak bagi .. bagi laa .. kalau tak nak bagi suuuuudah.”

    Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, maka hendaklah kamu berazam serta benar-benar memohon kepada Allah s.w.t dan janganlah berkata: Ya Allah, jika Engkau kehendaki maka perkenankanlah kepada aku, kerana sesungguhnya Allah itu bukanlah kedekut. Sahih Muslim

    Hadis Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu berdoa, janganlah berkata: Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau kehendaki. Tetapi hendaklah dia serahkan permohonannya dengan senang hati, kerana Allah tidak pernah segan untuk memberikan sesuatu kepadanya. Sahih Muslim

  8. Bersungguh-sungguh memohon
    Sebaik-baiknya diulangi tiga kali.
  9. Mulai berdoa dengan mengucapkan zikir dan pujian kepada Allah.
    Jangan tergesa-gesa berdoakan apa yang dikehendaki. Pujilah Allah swt tuhan sekalian alam. Bukalah doa dengan salawat ke atas Nabi saw dan tutuplah dengan salawat ke atas Nabi saw.

    Tahukah anda maksud salawat ?

    Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. Al-Ahzab:56

    Berhubung ayat di atas, Professor Dr. H. Mahmud Yunus berkata, “Salawat Allah kepada Muhammad bermaksud menumpahkan rahmat kepadanya. Salawat para malaikat adalah meminta rahmah dari Allah untuk Muhammad. Salawat manusia kepada Muhammad adalah memohon Allah menurunkan hujan rahmat kepada Muhammad.”

  10. Mengerjakan Adab Batiniah
    Dari no 1 sehingga no 9 di atas mungkin mudah bagi kita. Namun puncak doa kita termakbul adalah adab batiniah. Adab batiniah adalah bertaubat, memohon ampun. Menurut Al-Ghazali mengembalikan sesuatu yang berasal dari perbuatan zalim. Di sini bermaksud, jika kita pernah buat zalim dengan orang, maka patutlah kita mengembalikan hak mereka. Adab batiniah juga bermaksud menghadapkan hati dan jiwa kepada Allah dengan penuh perhatian.

Saya sendiri jika berdoa, saya akan mendoakan keampunan untuk diri, ibu bapa dan keluarga dan kemudiannya barulah disusuli dengan hajat.

Sempenan Ramadhan yang bakal menjelang ini, marilah kita sama-sama bersedia, bertaubat dan berdoa setiap hari sambil menghayati Ramadhan yang mulia.

Mudahan-mudahan tulisan ini memberi manfaat kepada anda semua.

  • Share/Bookmark