Panduan Mencari & Memilih Jodoh

Panduan Mencari Pasangan Hidup

Taktik Lazim Untuk Menipu Wanita

Secara fitrah, semua wanita di dunia mencari lelaki sebagai pelindung. Justeru, wanita amat tertarik kepada lelaki yang dapat menjamin keselamatan mereka di dunia dan di akhirat.

Wanita akan merasa selamat apabila bersama dengan lelaki yang mempunyai kemampuan dari segi kewangan. Ada beberapa golongan lelaki yang selalu mempamerkan kekayaan untuk menonjolkan faktor ini bagi menarik perhatian golongan wanita. Itu adalah perkara normal. Yang tidak normalnya ialah apabila “terlalu” mempamerkan faktor ini.

Juga terdapat segolongan lelaki yang berbohong dengan kemampuannya. “I ada sebuah firma,” “I akan belikan U sebuah kereta,” “I dah ada rumah dua tingkat untuk U,” “I kenal datok ini dan datok itu” dan sebagainya. Padahal, perkara-perkara yang disebut tidak benar.

Untuk mengelakkan dari tertipu, seorang wanita perlukan mencari kesederhanaan di dalam perhubungan. Jangan jadikan kemampuan seorang lelaki sebagai agenda utama. Rezeki dan kekayaan dapat ditahan oleh tuhan pada bila-bila masa. Firman Allah di dalam surah Al-Mulk ayat 21, “Atau siapa dia yang dapat memberi rezeki kepada kamu jika Allah menahan rezekiNya?”

Sebaliknya cari seorang pasangan yang sederhana dan rajin. Orang yang rajin biasanya dapat dikenali dengan kekemasan diri mereka. Kereta kemas, rumah kemas, meja kemas, pakaian kemas. Ini kerana mereka sentiasa menggunakan sepenuh masa mereka untuk melakukan sesuatu. Biasanya orang rajin akan mendapat ganjaran baik dari kerajinannya. Itu adalah memadai sebagai jaminan keselamatan kewangan.

Wanita juga akan rasa selamat apabila bersama lelaki yang mempunyai pengetahuan di dalam bidang keagamaan. Di akhir zaman ini, ramai yang tidak tahu membaca Al-Quran, ramai yang tidak khatam fardhu ain, ramai yang tidak benar-benar menghayati Islam, pendek kata ramai yang dahagakan agama. Apabila berbicara bab nikah dan kahwin, semuanya akan memberi fokus kepada lelaki yang beragama.

Golongan-golongan lelaki yang mampu memberikan nasihat-nasihat baik, memberi bimbingan dan sebagainya akan menjadi perhatian ramai wanita. Bukan sahaja di myJodoh, tetapi di mana-mana di bumi ini. Ini akhir zaman!

Masalah wujud apabila terdapat segolongan lelaki menggunakan pendekatan ini untuk melakukan maksiat. Pada peringkat permulaan semuanya berbentuk nasihat dan ucapan salam. Pada pertengahannya, semua berbau lucah. Pada penghujungnya, semua akan berakhir dengan perkara-perkara terlarang.

Untuk mengelakkan diri diperdaya oleh lelaki seperti ini, seorang wanita perlu mendalami ilmu agama. Anda mungkin berasa takjub apabila melihat orang lain menceritakan tetang sirah-sirah nabi atau hadith-hadith yang tidak pernah anda dengari. Tetapi anda tidak akan berasa takjub sekiranya anda telah lebih awal mengetahui semua itu.

Tidak susah. Hanya dengan mengkaji dua sumber asal Islam, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Terjemahan Al-Quran bernilai tidak lebih dari RM20 boleh di dapati dari mana-mana kedai buku agama atau pasar malam. Hadith-hadih mungkin terlalu banyak untuk dikaji, tetapi memadai dengan mendapatkan senaskah salinan Riyadhus Salihin karangan Imam Nawawi.

Dengan cara ini pengetahuan agama seseorang akan meningkat dalam masa terdekat. Bertanya dengan orang lebih pengetahuan adalah amat perlu. Perbanyakkan zikir agar tidak terlalai adalah suatu kemestian. Perbanyakkan solat-solat sunat untuk mencipta rekod diri. Lalu apabila muncul seorang lelaki yang menceritakan perihal agama, anda akan lebih bersedia dan tidak mudah terpedaya.

Wanita juga mudah tertarik dengan lelaki yang dapat memberi keselamatan dirinya. “Macho” dan “carring.” Ini adalah fitrah. Wanita akan berasa lebih selamat apabila lelaki sebegini berada di sisi mereka.

Bayangkan sebuah lorong yang telah diketahui ada seekor anjing garang. Anda ingin melaluinya tetapi anda takut. Tiba-tiba muncul seorang lelaki dan berkata, “tak per cik, jangan takut, kita jalan sama-sama.” Lalu anda berjalan dengan perasaan selamat. Anda mungkin jatuh hati dengannya. Ini adalah fitrah.

Bayangkan pula anda sedang berjalan di lorong lain. Tiba-tiba datang seorang lelaki berkata, “eh cik, kat sini ada anjing garang, dua hari lalu dia dah gigit orang. Entah-entah dia nanti gigit cik. Tapi kalau cik jalan dengan saya, cik akan selamat.” Ini adalah contoh penipuan. Lelaki tersebut tidak ikhlas melindungi anda.

Anda mungkin faham dengan contoh di atas dan tahu mengambil tindakkan yang sewajarnya. Tetapi bayangkan apabila anda menerima satu Pesanan Peribadi dari seorang lelaki di myJodoh dengan berbunyi, “Hati-hati dik, di myJodoh ni banyak penipu. Ada orang pernah kena rogol oleh lelaki di sini.” Secara automatik anda akan mempunyai sedikit rasa percaya kepada lelaki berkenaan. Padahal sekiranya dia sekadar menghantar pesanan biasa, belum tentu dia akan mendapat perhatian anda.

Untuk mengelakkan perkara sebegini, seorang perlu belajar bergantung kepada tuhan setiap masa, lalu bertawakal. Bayangkan situasi di lorong tadi, apabila seorang lelaki muncul dan menceritakan tentang bahaya berjalan seorang diri. Sekiranya anda mempunyai keyakinan untuk bergantung kepada tuhan, anda boleh menjawab, “terima kasih encik, tapi ayah saya pesan, jika baca ayatul kursi, InsyaAllah akan dijauhi segala binatang buas.” Lalu anda akan lebih selamat. Firman Allah di dalam surah At-Taubah ayat 51, “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark
lailah.jpg

Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran

Seseorang yang “putus cinta” biasanya akan menghadapi tekanan emosi yang mendalam. Ada yang termenung dan terkenang si dia yang telah pergi. Ada pula yang menangis kesedihan di tengah malam sunyi.

Hati pasti tidak akan tenteram, ingatan silam pasti akan kembali, kesedihan atau kemarahan akan datang membayangi. Sesetengah orang mengambil masa bertahun-tahun untuk melupakan kisah cinta bersama si dia, ada pula mungkin sekadar sebulan dua. Masing-masing mempunyai jangka waktu “recover” yang berbeza mengikut kekuatan jiwa masing-masing.

Yang pasti, hati akan resah gelisah. Pelajaran seorang pelajar akan mundur, produktiviti seorang pekerja akan menurun. Seluruh aktiviti kehidupan akan terganggu. Namun yang paling malang, apabila hati kecil mula mempersoal ketentuan tuhan kerana tidak dapat menerima kenyataan perpisahan. Semua ini akan terus menghantui diri selagi hati masih tidak tenteram.

Terdapat satu penawar yang mujarab untuk mententeramkan hati. Firman Allah di dalam surah Ar-R’ad ayat 28, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Zikrullah bermaksud mengingati Allah. Membaca Al-Quran juga termasuk zikrullah kerana salah satu nama bagi Al-Quran adalah Adz-Zikr. Dengan membaca Al-Quran dan menghayati maksud-masud ayat, seseorang itu sedang berzikir kepada Allah.

Selain membaca Al-Quran, seseorang itu juga boleh mengucapkan tasbih, tahmid, tahlil atau takbir. Zikir-zikir ini lebih ringkas dan mudah dilakukan secara berterusan di kebanyakkan keadaan dan tempat, sama ada secara lisan atau di dalam hati. Namun menurut Imam Nawawi di dalam Al-Azkar, zikir adalah lebih utama dilakukan dengan hati dan lisan, kedua-duanya sekali.

Jabir Bin Abdullah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berkata, “zikir yang paling utama adalah lailahailallah (tiada tuhan selain Allah) dan sebaik-baik doa adalah mengucapkan alhamdulillah (segala pujian bagi Allah).”[1] Menurut Imam Tirmizi hadith ini berstatus hassan gharib.

Menurut rekod Imam Bukhari, nabi telah menyatakan, “Ada dua kalimat yang paling disukai Yang Maha Pengasih. Sangat mudah diucapkan tetapi sangat berat dalam timbangan. Kedua-dua kalimat itu adalah subhanallah wa bihamdihi dan subhanallah hil azim [2] Kedua-dua kalimat ini membawa maksud ‘Maha suci Allah dan segala pujian kepadaNya’ dan ‘Maha suci Allah yang Maha Besar.’ Di dalam riwayat lain diceritakan, sesiapa yang membaca hamdi.jpg 100 kali sehari, maka semua doasanya diampunkan oleh Allah, meski pun sebanyak buih di lautan.[3]

Jika disenaraikan jenis-jenis zikir, artikel ini akan menjadi begitu panjang sehingga mungkin terbentuk laman web baru yang mengkhususkan tentang zikir. Namun, memadailah seperti apa yang telah dipaparkan sebagai amalan.

Perbanyakkan zikir, mudah-mudahan hati menjadi tenteram, InsyaAllah.

Wallahu’alam.

Noto kaki :
———-
[1] http://hadith.al-islam.com ; Sunan Tirmizi : 3305
[2] http://hadith.al-islam.com ; Sahih Bukhari : 7008
[3] http://hadith.al-islam.com; Sahih Bukhari : 5926

Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Teknik Betul Memohon Doa Daripada Al-Quran
Formula Jutawan Islam

  • Share/Bookmark

Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran

Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, “patik kurang periksa, tuanku,” ia tidak bermaksud beliau sebagai orang besar tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Ia secara tersirat bermaksud, “aku tak tahulah!”

Jika seorang ayah berkata kepada satu rombongan peminangan, “anak saya baru saja habis belajar, belum pun dapat kerja lagi,” ia bukan bermaksud beliau menyuruh rombongan itu datang semula selepas anaknya mendapat pekerjaan. Ia secara tersirat bermaksud, “aku rasa anak aku tak sesuai kahwin dengan anak engkau.”

Dua orang insan dari myJodoh yang bertemu dan berbual panjang untuk kali pertama sudah tentu mempunyai harapan yang tinggi. Ketika salah seorang berkata, “saya masuk myJodoh ini bukan untuk cari jodoh pun, tetapi untuk menambah kenalan,” ia tidak memberi maksud beliau tidak berniat untuk berkahwin atau main-main menyertai myJodoh. Ia secara tersirat bermaksud, “aku memang nak kahwin, tetapi bukan dengan engkau, engkau ok untuk dijadikan seorang kawan sahaja.”

Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan pihak lain. Masalah sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap.

Jika mesej tidak diterima dengan betul, sultan tadi mungkin berkata, “kalau kurang periksa, pergilah periksa sampai habis.”

Jika mesej tidak diterima dengan betul, pihak rombongan meminang tadi mungkin berkata, “bertunanglah dahulu, nanti dah dapat kerja, kahwinlah.”

Jika mesej tidak diterima dengan betul, salah seorang pasangan yang bertemu tadi mungkin berkata, “ceh! dia ni tak serius, jahat, buat apa orang macam ni dalam myJodoh? Main-main saja! Kenapa dalam myJodoh banyak orang macam ni?”

Bahasa-bahasa tersirat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi seorang “good listener” atau pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Bukan setakat dengar, tetapi renung!

Antara latihan yang paling mujarab adalah dengan merenung ayat-ayat Al-Quran. Firman Allah di dalam surah Yunus ayat 24, “Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).”

Al-Quran hanya mengandungi 6,666 ayat, tetapi mengandungi petunjuk seluruh sistem kehidupan manusia dan alam. Tidakkah anda berasa pelik apabila Kamus Dewan lebih tebal dari kitab Allah? Ini adalah kerana Al-Quran memuatkan banyak ayat untuk manusia berfikir. Its compact yet complete. Dengan berpandukan hadith-hadith nabi, ayat-ayat yang pendek dan padat dapat dihuraikan menjadi sesuatu yang besar, seterusnya menjadi penyelesaian kepada seribu satu macam masalah manusia dan alam.

Sudah tentu, proses merenung Al-Quran perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berpandukan sumber yang betul. Ia boleh dimulakan dengan membeli sebuah terjemahan bernilai tidak lebih dari RM20.00 di pasaran. Jika bertemu sesuatu yang tidak difahami, rujukkan perlu dilakukan segera. Di internet, anda boleh bertanya masalah tafsir dengan warga Al-Ahkam (www.al-ahkam.net) atau dengan Dr Danial Zainal Abidin (www.formulacemerlang.com)

Kajian juga perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Ia bukan novel cinta yang perlu dihabiskan dalam masa satu malam. Ingat, anda sedang melatih minda untuk berfikir. Memadai dengan beberapa ayat setiap hari untuk difikir dan direnung. Di dalam Tafsir At-Tabari, Imam At-tabari telah merekodkan kenyataan Ibnu Mas’ud, bahawa beliau dan para sabahat dahulu mempelajari tidak lebih dari sepuluh ayat Al-Quran setiap kali, mereka tidak akan melampauinya sebelum betul-betul memahami secara benar maknanya dan mengamalkannya. [1]

Wallahu’alam.

Selamat mengkaji dan merenung!

Nota kaki
———
[1] “The Evolution & Development of `Ulum al-Qur’an”, http://www.islamonline.net/english/Quran/2004/07/article19.shtml

Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran

  • Share/Bookmark

Lelaki-lelaki Jujur Di myJodoh

Assalamu’alaikum ..

Dua minggu lalu saya menerima kunjungan seorang pengguna myJodoh dari Kuala Lumpur yang datang meminta pertolongan saya mencadangkan beberapa orang calon isteri untuk beliau. Beliau telah setahun kematian isteri. Beliau tidak arif tentang dunia IT.

Beberapa hari selepas itu, saya menerima satu panggilan dari seorang lelaki yang bertanyakan Cara Pembayaran myJodoh. Beliau berasal dari pantai timur. Beliau ragu-ragu sama ada boleh atau tidak bertemu jodoh di sini. Katanya, “saya duda anak satu, ada orang nak ker?”.

Pada bulan Mei tahun ini, saya pernah menerima panggilan seorang “pakcik” yang akan bersara dalam jangka masa 5 tahun lagi dari perkhidmatan. Anak-anak beliau telah menyuruh beliau mencari seorang pasangan hidup memandangkan masing-masing mereka telah pun berkeluarga. Beliau menjemput saya menghadiri majlis perkahwinan anak bongsunya yang kebetulan jatuh pada hujung minggu tersebut. Tujuan beliau adalah untuk berkenalan dengan saya.

Pada bulan April, seorang pengguna menelefon saya mengajak saya teh tarik bersama. Tujuan beliau adalah mengenali sistem myJodoh dan cara menggunakannya dengan betul. Beliau adalah seorang pegawai kerajaan berpangkat sederhana dan mempunyai dua orang anak. Seorang dijaga oleh bekas isteri dan seorang lagi di bawah jagaanya.

Pendek kata, hampir setiap bulan pasti muncul individu yang ingin bertemu saya bagi menyatakan hasrat mereka yang jujur dan ikhlas dalam pencarian pasangan hidup.

Individu seperti ini memang banyak di myJodoh, tetapi hairan sebahagian para pengguna wanita myJodoh tidak menjumpai mereka, tetapi menjumpai lelaki-lelaki yang berperwatakkan sebaliknya. Mereka benar-benar serius di dalam pencarian pasangan hidup. Biasanya tup-tup kahwin.. tup-tup kahwin.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark

Antara Berjaya dan Terpedaya di myJodoh

Berikut merupakan salah satu respon dari Webblog myJodoh :

Assalammualaikum wrb,
Saya Natasya. Saya cuma nak tahu dr webmaster..sepanjang myjodoh dikomersialkan, berapakah peratusan atau statistik yang telah berjaya menemui jodoh dan berkahwin menerusi ruangan ini? Dan berapa peratusan kes penipuan yg telah dilaporkan kepada web master? Saya bekerja di salah sebuah syarikat yg agak besar juga, saya amat terkilan kerana saya dapati beberapa org2 yg saya kenal, dah beristeri tetapi meletakkan status sebagai bujang/belum berkahwin. Mereka ini tergolong di dalam golongan yg ingin mencari wanita sebagai penyelesai kepada masalah kewangan dan juga sebagai pemuas nafsu terutama kepada golongan yg berstatus janda, harap saudari semua berhati2. Sekian, terima kasih.

Wa’alaikumsalam ..

Kepada saudari Natasya dan semua pengguna myJodoh,

Yang telah berjaya berkahwin, MasyaAllah, ramai. Alhamdulillah. Yang telah beranak-pinak juga ramai. Tidak kurang juga mereka yang menyertai myJodoh, walaupun gagal mendapat jodoh sesama pengguna, tetapi telah berkahwin dengan rakan-rakan atau saudara-mara pengguna myJodoh yang lain. Menarik bukan?

Kajayaan myJodoh
Pada peringkat awal saya terikut-ikut dengan budaya laman web barat yang mendedahkan “success story” pengguna yang berjaya bertemu jodoh di laman web mereka. Namun, apabila terdapat segelintir pengguna-pengguna “very high profile” meminta saya merahsiakan pertemuan jodoh mereka di sini, saya mula merahsiakan semua “success story” sehingga hari ini. Saya mula faham, budaya kita adalah berbeza. Individu yang menyertai myJodoh, mempunyai masalah tersendiri dan mewar-warkan berita perkahwinan seseorang di internet mungkin agak mengaibkan bagi sesetengah pihak. Berasa malu itu sememangnya adalah sebahagian daripada Iman.

Aktiviti pemasaran untuk myJodoh telah lama dihentikan. Namun, Alhamdulillah setiap hari pasti ada yang menyertai myJodoh. Jika kita bertanya dari mana mereka mendapat tahu tentang myJodoh, 2 daripada 7 akan berkata mereka mengetahui dari rakan yang pernah bertemu jodoh di sini.

Ini adalah kerana, secara kasarnya terdapat hampir 500 pasangan yang melaporkan secara terus kepada saya tentang kejayaan mereka. Untuk nisbah 1 pasangan yang melaporkan, terdapat 3 pasangan lain tidak melaporkan secara terus (mereka hanya melaporkan melalui perantaraan rakan-rakan). Anggaran sekitar 2000 ribu yang telah berjaya berkahwin melalui myJodoh. Ini merupakan satu jumlah besar kerana myJodoh baru berusia sekitar 1600 hari semenjak Disember 2002.

Kes-kes penipuan
Kejadian penipuan pertama di myJodoh yang dilaporkan kepada saya berlaku pada awal 2003 apabila seorang pengguna lelaki telah memperdaya seorang pengguna wanita dengan memujuk beliau memberikan wang lebih daripada RM10 ribu ringgit. Perkara itu telah menjadi kes polis.

Selain daripada perkara “besar” ini, kes penipuan serius yang pernah berlaku ialah apabila seorang lelaki India, yang kononnya telah memeluk Islam telah mengaku sebagai kenalan saya dan cuba memujuk beberapa orang pengguna myJodoh untuk kahwin lari bersama beliau. Beliau hampir berjaya, tetapi aktivitinya telah didedahkan. Walau bagaimanapun, saya percaya beliau telah mempengaruhi sekurang-kurang dua orang wanita yang lain sebelum aktiviti beliau terdedah.

Selain itu, wujud beberapa lelaki yang menyamar sebagai saya atau rakan saya untuk memikat wanita-wanita di myJodoh. Jelas tujuan mereka bukan untuk berkahwin. Mereka lazimnya mudah dikenali melalui nombor telefon yang mereka gunakan. Namun, ramai telah terpedaya.

Juga terdapat kes-kes lelaki telah berumahtangga, tetapi mengaku bujang atau duda, kemudian berjaya mengahwini pengguna wanita myJodoh tanpa mendedahkan identiti sebenar. Status diri sebenar hanya diketahui di saat-saat akhir atau selepas selesai upacara perkahwinan.

Kes yang paling menyedihkan ialah seorang wanita yang “kononnya” telah bercerai dan telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang kebetulan seorang duda dalam tempoh masa yang agak lama. Akhirnya diketahui bahawa wanita tersebut sebenarnya masih bersuami. Perkara itu diketahui si lelaki di dalam suasana gembira ketika beliau bersama anak-anaknya sedang sibuk dengan persediaan masjlis perkahwinan dan menyambut “mama baru”.

Penyelesaian
Lebih daripada 1 juta pengguna internet pernah berdaftar dengan myJodoh. Tidak hairanlah mengapa kes-kes begini pernah berlaku. Namun, Alhamdulillah, hampir semua kes penipuan berjaya didedahkankan apabila ia dilaporkan kepada saya dari peringkat awal. Antaranya adalah kes-kes lazim seperti menyembunyikan status perkahwinan. Semuanya dapat diselesaikan dengan perbincangan, pertukaran maklumat serta kerjasama dari pengguna itu sendiri yang mahu menceritakan serba sedikit perkembangan perhubungan beliau sejak dari awal perkenalan.

Selain mempunyai senarai “success story” yang tidak didedahkan, saya mempunyai senarai “individu bermasalah” di myJodoh yang juga tidak didedahkan. Ini termasuk “modus operandi” atau teknik yang sering digunakan oleh mereka yang berkenaan. Maklumat ini boleh mengelakkan pengguna dari diperdaya.

Tidak ramai yang menghubungi saya bertanyakan hal ini. Tidak ramai yang meminta pandangan saya semasa atau selepas berkenalan dengan sesiapa. Saya hanya dihubungi apabila mereka telah lama berkenalan dan mula menyedari diri telah terpedaya untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada saya.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark