Panduan Mencari & Memilih Jodoh

Panduan Mencari Pasangan Hidup

Bawa Bersabar Memilih Jodoh Dan Jangan Tergesa-gesa

“Saya ni betul hangat hati,” kata beliau.

“Kenapa pulak?” Tanya saya.

Yer laa, orang lain daripada tak kahwin, lepas tu kahwin. Lepas tu bercerai, lepas tu kahwin semula. Saya masih macam ni jugak.” Keluh beliau dengan nada kesal.

“Boleh tak tolong carikan buat akak? Segera! Boleh tak?” Beliau meminta.

————

Jangan tergesa-gesa hendak berkahwin kak ooi!.

Alam perkahwinan sekiranya tidak dirancang dengan betul akan menimbulkan pelbagai bentuk kesukaran dan masalah. Jangan tergesa-gesa menerima atau memilih pasangan hidup semata-mata kerana tekanan daripada persekitaran. Berkahwin biar bersebab dan sebabnya sudah semestinya kerana agama.

Perkahwinan itu melengkapkan sebahagian agama. Justeru, kita harus memilih individu yang betul untuk melengkapkan agama kita. Jika tergesa-gesa, mungkin tersalah pilih. Apabila tersalah pilih, bukan sahaja agama tidak dapat dilengkapi, malah mungkin menambah kesukaran di dalam beragama.

Sebelum berkahwin, kita mungkin mengidamkan seorang suami yang boleh mengimami solat berjemaah. Suami yang beragama, yang soleh, yang boleh membimbing. Oleh kerana tergesa-gesa berkahwin tanpa selidik, ditambah pula diri sendiri selama ini tidak mahu mendalami dan mengenali ilmu-ilmu agama … akhirnya “terkahwin” dengan seorang pengikut “Ayah Pin”

Tak ka lagi ghaplah?

Di dalam Surah Al-Anbiya ayat 37, Allah berfirman, “Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halya.” Lalu tidak hairanlah ada di antara kita yang tidak menyedarai hakikat ini, terlupa mengawal diri di dalam banyak keadaan. Menjadikan emosi, fikiran, hati mengawal keadaan. Sentiasa tergopoh-gapah dan terburu-buru walaupun di luarnya wajah “kononnya” nampak tenang.

Di dalam sebuah riwayat sahih oleh Imam Muslim, Rasulullah s.a.w. memuji seorang ketua kabilah dari suku Abdul Qais, “sesungguhnya di dalam dirimu ada dua sifat yang dicintai Allah, iaitu sifat santun dan tenang.”[1] Di dalam riwayat lain dinyatakan, “bertindak dengan perlahan-lahan adalah daripada Allah dan terburu-buru itu adalah daripada syaitan.”[2]

Jadi, relaks kak ooi ..

Mungkin, sebelum kita tergesa-gesa membuat keputusan, kita boleh menangkan fikiran dengan mengkaji semula tanggungjawab-tanggungjawab selepas berkahwin.

Khas untuk Kak Bedah ….

Saya petik sebuah riwayat daripada kitab Muhimmah Fi Ilmi Hadith, dikeluarkan oleh Al-Hakim. Diceritakan seorang wanita berjumpa dengan nabi s.a.w. dan menyatakan beliau telah dipinang. Lalu beliau ingin tahu tanggunjawab beliau sebagai isteri setelah berkahwin kelak.

Maka bersabda nabi s.a.w., “Jikalau mengalir dari dua lubang hidungnya darah atau nanah, lalu dijilat oleh seorang isteri belum lagi mendatangkan akan haq suaminya dan jikalau patut bagi seorang manusia sujud kepada seorang manusia, nescaya aku suruh akan isteri sujud kepada suaminya”

Maka berkata wanita yang bertanya itu, “Demi tuhan yang membangkitkan akan dikau dengan sebenarnya menjadi nabi, tiadalah aku bersuami selagi kekal di dalam dunia ini.”[3]

Khas untuk Bang Leman …

Pada zaman Umar Al-Khattab r.a. menjadi khalifah, telah datang seorang lelaki kepada Umar Al-Khattab r.a. dan mengadu bahawa anaknya telah derhaka kepadanya. Si anak lalu dipanggil oleh Umar Al-Khattab r.a. seraya disuruh jangan menderhaka dan mentaati ayahnya. Tiba-tiba si anak bertanya kepada Umar r.a., “apakah seorang anak tidak mempunyai hak-hak ke atas anaknya?” Maksud pertanyaan ini adalah, “apakah tanggungjawab seorang ayah kepada anaknya?”

Lalu Umar Al-Khattab menerangkan tanggungjawab seorang ayah kepada anaknya, iaitu, “memilih ibu yang baik, memberi nama yang baik dan mengajar membaca Al-Quran.”

Si anak kemudian menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, sessungguhnya bapa saya tidak membuat ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya seorang hamba abdi dari Afrika dan bekas isteri seorang Majusi, nama saya ialah Khufasa’ (lipas) dan dia tidak pernah mengajar satu huruf pun daripada Al-Quran.” [4]

Oleh itu, Kak Bedah dan Bang Leman ..

Mungkin, apabila memikirkan riwayat-riwayat di atas, kita akan lebih berhati-hati di dalam mencari pasangan hidup dan tidak tergesa-gesa. Atau mungkin kita akan lebih menghabiskan masa kita mendalami ilmu-ilmu agama supaya tidak gagal di dalam menjalankan tanggungjawab apabila si dia muncul nanti …

Wallahu’alam.

——————————————————————————–

[1] http://hadith.al-islam.com, sahih Muslim #24.

[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1935. Menurut Imam Tirmizi, berstatus gharib. Menurut Imam Sayuthi di dalam Jamiu Saghir, bersatus hassan. Menurut Shiekh Al-Albani di dalam Sahih Sunan Tirmizi, berstatus daif.

[3] Mustadrak ala sahih Al-Hakim, dengan isnad yang sahih.

حدثنا علي بن حمشاذ العدل ، ثنا محمد بن المغيرة السكري بهمدان ، ثنا القاسم بن الحكم العرني ، ثنا سليمان بن داود اليمامي ، عن يحيى بن أبي كثير ، عن أبي سلمة ، عن أبي هريرة رضي الله عنه ، قال : جاءت امرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالت : يا رسول الله ، أنا فلانة بنت فلان ، قال : « قد عرفتك فما حاجتك ؟ » قالت : حاجتي إلى ابن عمي فلان العابد ، قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « قد عرفته » قالت : يخطبني ، فأخبرني ما حق الزوج على الزوجة فإن كان شيئا أطيقه ، تزوجته ، وإن لم أطق لا أتزوج ، قال : « من حق الزوج على الزوجة : أن لو سالت منخراه دما وقيحا ، وصديدا فلحسته بلسانها ما أدت حقه ، لو كان ينبغي لبشر أن يسجد لبشر ، لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها إذا دخل عليها ، لما فضله الله عليها » قالت : والذي بعثك بالحق لا أتزوج ما بقيت في الدنيا « هذا حديث صحيح الإسناد ، ولم يخرجاه »

[4] Abdullah Nasih Ulwa, Pendidikan Anak-anak Dalam Islam Jilid 1 (terjemahan Syed Ahmad Semait), Pustaka Nasional, Singapura, 1998; ms 374

.

.

.

.

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran
Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati
Kuasa Hebat Solat Istikharah

  • Share/Bookmark
ibu_mertuaku_01.jpg

Antara Ibu Bapa dan Kekasih Hati?

gambar hiasanDi dalam keadaan diri yang masih bersendirian, tiba-tiba muncul seseorang yang mengisi kekosongan hati. Kebetulan beliau seorang penyayang, seorang yang memahami, seorang yang romantik. Terasa dirinya berpotensi menjadi pasangan hidup yang sesuai. Malangnya apabila diperkenalkan kepada ibu bapa, mereka tidak bersetuju.

Di dalam keadaan ini, seseorang itu mempunyai dua pilihan. Pertama, meneruskan perkahwinan dan mengenepikan kedua orang tua kemudian menetap jauh-jauh selepas berkahwin. Kedua, ketepikan si dia dan utamakan kedua orang tua, kemudian meratap sedih. Sudah tentu, pilihan kedua adalah lebih arif, namun terdapat kaedah yang boleh digunakan agar seseorang itu memperolehi kedua-duanya tanpa sebarang dilema.

Di dalam surah Luqman ayat 14, Allah s.w.t telah berfirman, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Telah jelas, hampir di dalam semua keadaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding segala-gala di dalam alam ini, kecuali beberapa hal yang dilarang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 8, “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Aku (dalam ibadatmu) dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah engkau taat kepada mereka.”

Pada zaman nabi, anak kepada Umar Al-Khattab r.a. iaitu Abdullah Ibnu Umar mempunyai seorang isteri yang amat disayanginya. Kerana sebab-sebab tertentu Umar Al-Khattab r.a. tidak menyukai menantunya itu dan menyuruh anaknya mencerai si isteri. Abdullah r.a. mengabaikan perintah ayahnya kerana sayangnya kepada isteri lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda, “Wahai Abdullah Bin Umar r.a., ceraikanlah isterimu.”[1]. Kisah ini direkodkan oleh Imam Tirmizi dan Abu Daud sebagai hadith hassan sahih.

Di dalam sebuah hadith lain riwayat sahabat Abu Darda’ r.a. Telah datang seorang lelaki kepadanya dan berkata, “aku memiliki seorang isteri dan ibuku menyuruh aku menceraikannya.” Kata Abu Darda’, aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “orang tua-tua adalah pertengahan pintu-pintu syurga. Jika kamu mahu, kamu boleh sia-siakan atau kamu boleh menjaga ia.”[2] Ibu bapa diibaratkan seperti pintu-pintu di tengah syurga. Adakah bijak sekiranya seseorang itu mengabaikan satu kebaikkan yang besar kerana seorang kekasih hati?

Di dalam sebuah hadith riwayat sahabat Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rugi besar! Rugi Besar! Rugi Besar!.” Ditanyakan, “siapakah yang Rasulullah s.a.w.?” Beliau menjawab, “Orang yang pada usia dewasa mempunyai kedua orang tua yang masih hidup, baik salah satu atau keduanya, tetapi kemudian orang tersebut tidak masuk syurga.”[3]

Justeru, adalah menjadi satu langkah bijak sekiranya seseorang itu dapat mengenal pasti “ciri-ciri menantu idaman” daripada ibu bapa mereka terlebih dahulu. Bagaimana perwatakan, bagaimana rupa paras dan tingkah laku. Perkara ini subjektif, masing-masing ibu bapa mempunyai “piawaian” yang berbeza.

Setelah itu, barulah dimulakan pencarian si dia dengan berdasarkan petunjuk Al-Quran, hadith-hadith Rasulullah dan tip-tip daripada ibu bapa tadi. InsyaAllah, tidak akan ada dilema menanti di hadapan.

Wallahu’alam

.

.

.

.

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1110, hassan sahih
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : 1822, sahih
[3] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim : 4628

Rujukkan
~~~~~~
Uts Shamsuri Hj Ahmad, audio mukhadimmah Kuliah Kitab Bahrul Mazi 7, http://www.savefile.com/files/1135075

.

.

.

.

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran

  • Share/Bookmark
quran.jpg

Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran

Struktur Kulit ManusiaSecara amnya kulit manusia terdiri daripada lapisan epidermis dan lapisan dermis. Lapisan epidermis adalah lapisan yang tidak mempunyai saluran darah dan bergantung kepada bekalan darah daripada lapisan dermis.

Di dalam lapisan dermis kulit manusia, Allah telah menciptakan kelenjar-kelenjar yang dikenali sebagai kelenjar sebum. Kelenjar ini menghasilkan lemak dari semasa ke semasa. Menurut pada saintis, tujuan penghasilan lemak-lemak ini adalah untuk melindungi kulit dan rambut daripada menyerap air. Ia juga mengelakkan kulit dan rambut menjadi kering, berkedut atau merekah. Hebat sungguh ciptaan Allah.

Sel-sel kulit manusia yang mati pula akan ditolak keluar ke lapisan epidermis, seterusnya tubuh badan akan menghasilkan sel baru. Proses ini berlaku sepanjang masa. Boleh dikatakan setiap detik, ada sahaja sel kulit yang mati di atas kulit manusia.

Sel-sel mati ini kemudiannya akan terkumpul bersama-sama lemak-lemak sebum, bakteria dan habuk di atas permukaan kulit. Permukaan kulit akan menjadi kotor. Bakteria-bakteria kemudiannya akan bertindak balas dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Inilah yang berlaku pada kulit manusia setiap hari.

Jika tidak bersihkan, ia akan mengakibatkan jangkitan kepada kulit seperti jerawat, jeragak, kanser dan sebagainya. Di bahagian muka manusia sahaja, para saintis telah menganggarkan terdapat 500 juta bakteria pada setiap inci persegi. [1]

Di dalam surah Al-Maaidah ayat 6, Allah telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;”

Ayat ini merupakan perintah daripada Allah supaya orang-orang Islam berwuduk sebelum menunaikan solat. Wuduk perlu dilakukan dengan air suci. Anggota-anggota badan yang wajib dibersihkan adalah muka, tangan, kepala dan kaki.

Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya, “Sayidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya.”

Kemudian Sayidina Othman r.a berkata, “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia mendirikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [2]

Di antara anggota badan yang sunat dibersihkan pula adalah telinga. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah s.a.w. menyapu kepalanya dengan air dan kedua telinganya iaitu bahagian luar dan dalam.”[3]

Membersihkan anggota badan melebih kawasan wuduk juga dianggap sunat. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata, “Kamu merupakan orang yang bercahaya muka, tangan dan kakinya pada Hari Kiamat kerana kamu telah menyempurnakan wuduk dengan baik. Maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian.”[4]

Di dalam Al-Umm, Imam As-Syafie menyatakan bahawa beliau lebih suka sekiranya seseorang itu berwuduk mukanya, tangannya dan kakinya tiga kali-tiga kali serta menyapu kepala tiga kali dan meratakan sapuan itu keseluruhan kepala. [5]

Kesemua “proses pembersihan kulit” ini dilakukan setiap kali sebelum solat lima waktu. Sekiranya setiap langkah diulangi sebanyak tiga kali, seseorang akan membasuh anggota wuduknya sebanyak 15 kali sehari. Sekiranya ditambah dengan solat sunat dhuha dan solat sunat witir, bilangan basuhan menjadi 21 kali.

Selain itu, seseorang juga disunatkan agar menggosok-gosok tempat wuduk. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abdullah Bin Zaid r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. berwuduk lalu beliau berkata, “beginilah.” Lalu beliau mengosok-gosok anggota wuduknya. [6]

Menggosok adalah mengenakan sedikit tekanan pada anggota wuduk. Aktiviti menekan dan menggosok ini seterusnya akan meransang beberapa titik refleksologi yang dikenali sebagai “Biologically Active Spots”, yang terdapat pada anggota-anggota wuduk. Tekanan-tekanan pada titik istimewa ini seterusnya akan merangsang saraf dan memberi tenaga serta kesegaran baru kepada angota-angota badan yang lain seperti, usus, perut, pundi kencing, sistem peranakan dan lain-lain. [7]

Justeru, kita harus mempelajari tatacara wuduk yang betul. Wuduk yang betul bukan sahaja menjamin kebersihan, malah ia menjaga kesihatan. Dari segi rohani, wuduk yang betul membersihkan dosa. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. telah menceritakan bahawa ketika seorang muslim membasuh setiap anggota wuduk, kesalahan-kesalahan akan keluar bersama-sama dengan air basuhan tersebut. [8]

Untuk mempelajari teknik wuduk yang betul, saudara dijemput untuk meneliti laman web berikut :

http://ms.wikipedia.org/wiki/Wuduk

http://cybermosque.mpsj.gov.my/cara_wuduk.html

Wuduk, ternyata merupakan penjagaan kecantikkan luar dan dalam, zahir dan batin untuk lelaki dan wanita!

Wallahu’alam.

Nota Kaki
~~~~~~~~~
[1] http://en.wikipedia.org/wiki/Skin
[2] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim, #331
[3] http://hadith.al-islam.com; Sunan Tirmizi #34, hassan sahih
[4] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim, #362
[5] Al-Umm, Al-Imam As-Syafie, Kitab I, Bab Bilangan Wuduk dan Batasnya.
[6] http://hadith.al-islam.com; Musnad Ahmad: online, #15846
[7] “Muslim Rituals and their Effect
on the Person’s Health” oleh Dr. Magomed Magomedov : http://www.iberr.org/rituals.htm; http://www.islamonline.net/english/Science/2003/04/article13.shtml
[8] http://hadith.al-islam.com; Sunan An-Nasai, #103.

..

..

..

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

  • Share/Bookmark

Segalanya Bermula Dengan Niat

Suatu ketika dahulu, seorang lelaki di Mekah telah meminang seorang wanita di Madinah yang bernama Ummu Qais. Wanita itu enggan berkahwin dengan lelaki tersebut kerana mereka tinggal berjauhan. Menurut sebuah keterangan, wanita itu telah berkata, “Bagaimana engkau hendak berkahwin denganku kerana engkau tinggal di Mekah dan aku tinggal di Madinah. Sekiranya engkau mahu berkahwin dengan aku, marilah berpindah ke Madinah.”[1] Semasa peristiwa hijrah masih berlaku, lelaki itu berpindah bersama-sama para sahabat ke Madinah, tetapi dengan niat yang berbeza.

Mengetahui perihal tersebut, Rasulullah telah menegur secara terang-terangan niat lelaki itu. Menurut Umar Al-Khattab, beliau telah mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”[2]

Walaupun terdapat perbezaan perjalanan hijrah sahabat Rasulullah dengan perjalanan mencari si dia, namun setiap perjalanan perlu dimulakan dengan niat yang betul. Di dalam perihal berkahwin, niat seseorang sepatutnya adalah mengharapkan keredhaan Allah. Bukan untuk “bercouple” atau untuk mempunyai seorang teman istimewa. Bukan kerana ingin bersuka-suka atau ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan juga kerana putus cinta atau sedang dilanda kekecewaan. Bukan pula kerana mendapat desakkan dan tekanan daripada sahabat handai dan kaum keluarga.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” Ia merupakan satu saranan kepada semua umat Islam supaya berkahwin, walaupun tidak berkemampuan.

Pada surah yang sama, di ayat 33 Allah kemudian menegaskan, “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya”. Allah telah menyuruh hambaNya yang berniat untuk berkahwin agar menjaga kehormatan sekiranya tidak berkemampuan dan bersabar sehingga dikurniakan kekayaan daripadaNya.

Lazimnya seseorang yang berniat untuk berumahtangga kerana Allah akan menerima dengan hati terbuka siapa sahaja yang mendatang. Asalkan yang mendatang itu menepati ciri-ciri yang disarankan oleh agama dan setelah beliau telah melakukan istikharah dengan betul. Alam percintaan dan berkasih sayang hanya wujud selepas ikatan sah terjalin.

Sebaliknya jika niat perkahwinan adalah semata-mata memenuhi tuntutan duniawi, sudah tentu pelbagai faktor seperti alam percintaan, rupa paras, kerjaya, gaya, fesyen, wang ringgit, hobi waktu lapang, perasaan hati dan sebagainya akan menjadi persoalan. Semua persoalan perlukan jawapan. Semua jawapan perlukan penilaian. Semua penilaian mungkin akan memakan masa yang panjang dan kadang-kala menimbulkan persoalan baru.

Wallahu’alam.

..

..

..

Nota Kaki
~~~~~~

[1] Bahru Al-Madzi, Muhammad Idris Al-Marbawi, Al-Hidayah Publisher 2004. Jilid 1. M/s 19.
[2] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim # 3530

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

  • Share/Bookmark