.. mencari si dia yang soleh ..
Panduan Mencari & Memilih Jodoh
Panduan Mencari Pasangan Hidup
Kenapa Masih Belum Berumahtangga ?
May 9th
Mungkin anda pernah diajukan soalan , “kenapa masih belum berumahtangga lagi?” Jawapan yang lazim diberi adalah, “Tidak ada jodoh lagi..” Mungkin selepas ini anda akan mempunyai jawapan yang lebih sesuai ..
Jodoh, rezeki, ajal dan maut adalah takdir Allah s.w.t. Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hadid ayat 22, “Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
Di dalam kitab Fathul Bari, Al-Hafiz Ibnu Hajar mencerita bahwa seorang ulama sunni pernah berkata, “Jika Dia menghalangimu atas apa yang menjadi hakmu, beerti Dia telah menzalimimu; tetapi jika Dia menghalangi kerana sesuatu yang ada padaNya, maka sesungguhnya Dia memberikan rahmatNya kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya.”
Jodoh kita telah pun ditentukan oleh tuhan. Apabila tuhan menghalangi sesuatu dari seseorang kerana kehendakNya, sudah tentu halangan tersebut merupakan “sesuatu yang terbaik”, kerana tuhan Maha Mengetahui. Apabila tuhan telah memutuskan “sesuatu yang terbaik” kepada makhlukNya, bermakna tuhan sedang melimpahkan rahmatNya kepada makhluk itu.
Mungkin selepas ini, ketika disoal oleh kaum keluarga dan sahabat-handai, “kenapa masih belum berumahtangga lagi?”, jawapan yang sesuai adalah, “semua ini adalah rahmat Allah.”
Wallahu’alam
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Tips Ramai Kenalan – Bersih & Kemas
May 3rd
Tidak perlu dihuraikan tentang kebersihan. Semua orang tahu maksud “kebersihan”. Semua orang sukakan kebersihan, suasana yang bersih, persekitaran yang bersih dan berkawan dengan orang yang bersih, kemas dan wangi.
Adalah sifat semula jadi manusia untuk tertarik kepada sesuatu yang cantik dan bersih. Syurga juga diciptakan dan dipenuhkan dengan keindahan. Tidak ada manusia yang ingin tinggal di dalam suasana yang kotor. TV3 dan NTV7 sebagai contohnya sering memaparkan aduan penduduk ini dan penduduk itu yang kecewa dengan kebersihan persekitaran mereka.
Dari sudut rohani pula, kebersihan akan memberi ransangan-ransangan positif kepada minda dan diri. Rumahtangga yang bersih dan kemas akan menjadi syurga tempat berehat. Persekitaran kerja yang kemas dan bersih akan lebih produktif. Kertas jawapan peperiksaan yang ditulis dengan kemas dan bersih akan lebih mudah dibaca oleh para pemeriksa.
Pada awal usia, jutawan Amerika yang terkenal, Donald Trump yang memulakan kerjayanya dalam bidang hartanah amat mementingkan kebersihan aset-aset yang dimilikinya. Semua hartanah yang disewakan, dijaga dengan rapi dari sudut kebersihan. Beliau berpendapat bahawa kebersihan boleh menjadi satu stratergi perniagaan yang baik.
Al-Quran lebih awal menceritakan tentang kepentingan kebersihan. Selepas wahyu pertama yang membawa mesej tentang “ilmu”, Rasulullah s.a.w terus kembali ke rumah dalam ketakutan. Beliau s.a.w lalu diselimuti oleh isterinya dan tahukah anda bahawa sejurus selepas itu datang pula wahyu kedua?
Antara firman Allah s.w.t di dalam ayat 4 surah Al-Muddaththir, “dan pakaianmu, hendaklah kamu bersihkan”. Ini merupakan salah satu dari 7 ayat yang diturunkan pada wahyu kedua. Sekali lagi, bukan wahyu ke-100 atau wahyu yang ke-1000, tetapi ke-2.
Semenjak wahyu kedua lagi Allah s.w.t. telah pun memberi penekanan tentang kebersihan. Anda bayangkanlah sendiri martabat kebersihan di sisi Allah dan manfaatnya kepada manusia lain.
Dari sudut As-sunnah Rasulullah s.a.w, terdapat bermacam-macam hadith yang menceritakan tentang kebersihan termasuklah berwuduk, bersiwak, bersikat, mandi, warna pakaian, memakai wangi-wangian, membersihkan halaman dan sebagainya.
Seseorang yang menjaga kebersihan akan sentiasa kelihatan cantik. Seseorang yang menjaga kecantikkan tidak semestinya kelihatan bersih. Ini adalah kerana kecantikkan adalah sesuatu yang subjektif, sedangkan kebersihan lebih bersifat universal.
Hakikatnya sekiranya kita pandai menjaga diri menjadi seorang yang bersih, kemas, segar dan harum, InsyaAllah lebih ramai yang mendekatkan diri dengan kita. Mungkin salah seorangnya adalah calon pasangan hidup yang dinanti selama ini.
Tips Ramai Kenalan – Penghargaan
Apr 23rd
Bayangkan anda sedang memandu dan kereta anda sedang beratur di dalam satu barisan untuk menanti giliran tol yang panjang. Tiba-tiba datang kereta dari sebelah kiri, menghimpit dan memotong barisan lalu mengambil tempat di depan anda. Apa perasaan anda ? Mengikut Rostam, salah seorang dari juruhebah Radio ERA, beliau cukup benci kalau orang potong “que”.
Perkara begitu sering berlaku dan mungkin menyebabkan kita berasa marah dengan gelagat pemandu yang kurang berhemah itu. Namun. si pamandu itu kadang-kala mempunyai sebab yang tersendiri untuk berbuat demikian. Mungkin beliau tersalah lorong atau beliau tidak arif dengan jalanraya di situ. Lalu beliau terpaksa bertindak menukar lorong dengan memotong barisan apabila menyedari dirinya tersalah.
Bukan setakat Rostam, semua orang akan timbul perasaan benci dan marah.
Berlainan sekiranya beliau memberi sedikit penghargaan kita seperti mengangkat tangan sebelum dan selepas memotong sambil menjerit “MINTA MAAF ! SAYA SESAT !” dan “TERIMA KASIH TUAN!”, selain memberi lampu isyarat. Kita mungkin tidak rasa begitu marah. Malah, marah mungkin bertukar menjadi sedikit kesedaran, agar pekara begitu tidak berlaku ke atas diri kita suatu hari nanti.
Penghargaan amat penting dalam meramaikan kenalan. Ucapan seperti terima kasih dan pujian dengan ikhlas akan membuat orang lain terasa diri dihargai. Orang lain akan merasakan diri mereka penting apabila berada di sisi kita. Lalu ramai yang akan sudi berdamping dengan kita.
Di pejabat, majikan yang menghargai para pekerja mereka akan menghasilkan suasana bekerja yang lebih baik. Di dalam rumahtangga, suami dan isteri yang menghargai sesama mereka biasanya akan hidup lebih aman. Di dalam sebuah komuniti, seorang yang menghargai jiran tetangga akan lebih dikenali dan disayangi.
Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ibrahim ayat 7, “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.
Apabila kita menghargai pemberian daripada Allah, Allah telah memberikan jaminan bahawa DIA akan menambah nikmat tersebut. Pemberian nikmat yang dimaksudkan merupakan rezeki, jodoh, kemudahan, kelapangan dan sebagainya. Lalu kita harus perbanyakkan bersyukur.
Setelah itu, kita di suruh berterima kasih sesama manusia sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak bersyukur dengan Allah sesiapa yang tidak berterima kasih sesama manusia.”
(Sunan Abu Daud #4177, Musnad Ahmad #7598, Sahih Ibnu Hibban #3476)
Selain berterima kasih, kita dianjurkan berdoa. Salah satu bentuk penghargaan yang tidak terdapat pada umat lain selain umat Islam ialah memberi penghargaan dengan berdoa. Rasulullah s.a.w memberi penghargaan kepada orang yang memberi beliau makan dengan berdoa. Miqdad r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w pernah berdoa, “Ya Allah, berilah makan orang yang telah memberiku makan, dan berilah minum orang yang telah memberiku minum.” (Sahih Muslim #3831)
Abu Hurairah r.a. pula menceritakan bahwa Rasulullah s.a.w pernah dimarahi oleh seseorang kerana hutang. Beliau seterusnya membayar hutang tersebut dengan sesuatu yang lebih baik dan bersabda “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu atau orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik ketika membayar hutang.” (Sahih Muslim #3003) Ini juga adalah satu bentuk penghargaan, apabila orang yang diberi bantuan kewangan (dalam bentuk hutang) lalu memulangkan lebih dari apa yang dipinjam sebagai tanda terima kasih.
Untuk menambah kenalan, kita perlu belajar bersyukur dan menghargai orang di sekeliling kita. Berterima kasih kepada manusia dan mendoakan kebaikkan untuk orang lain. Kadang-kala mungkin kita perlu memuji kebaikkan mereka dengan tatacara memuji yang dianjurkan oleh nabi s.a.w. Kadang-kala kita memberi ucapan tahniah, selamat hari lahir, selamat melahirkan anak dan sebagainya.
Dengan ini, orang lain akan merasa diri mereka penting buat kita. Mereka yang pernah membantu kita, akan terus membantu. Mereka yang sayang akan terus sayang. Mereka yang memandang dari jauh, mungkin ingin berkenalan.
Wallahu’alam.
Tips Ramai Kenalan – Jangan Cari Kesalahan Orang Lain
Apr 16th
Biasanya pasangan hidup adalah berasal daripada kenalan. Mereka yang selalu menghadapi masalah dalam menemui pasangan hidup selalunya tidak mempunyai ramai kenalan. Terdapat teknik-teknik khusus yang boleh diamalkan untuk menjadikan diri lebih disayangi. Bukan dikenali atau glamour, tetapi disayangi oleh orang sekeliling. Di dalam artikel ini, dibincangkan teknik pertama – Jangan Cari Kesalahan Orang Lain

Bayangkan diri anda apabila ditahan oleh seorang anggota polis trafik kerana satu kesalahan jalanraya yang anda lakukan. Anda kemudiannya disaman. Perasaan pertama yang mungkin timbul di dalam hati anda adalah perasaan marah kepada anggota polis trafik tersebut. Namun, dari kaca mata anggota polis itu, beliau hanya menjalankan tugas kerana anda telah melanggar peraturan. Namun, beliau tidak anda senangi.
Situasi kedua adalah apabila anda duduk di satu majlis, di sebelah orang tidak anda kenali. Mungkin di satu ceramah motivasi atau seminar atau pertunjukkan amal, kemudiannya individu tersebut mula mengkritik itu dan ini, mencari kesalahan dan kecacatan majlis tersebut. Apakah perasaan anda terhadap individu begini ? Adakah anda menyenangi orang seperti ini? Namun, pada persepsi beliau, beliau hanya ingin memberi komen membina.
Mungkin untuk sesetengah orang mereka dapat menerima kehadiran kedua-dua individu seperti di atas (si polis trafik yang menyaman dan seorang yang suka mengkritik), namun untuk kebanyakkan orang, kehadiran orang seperti ini mungkin mengganggu ketenangan.
Di dalam meramaikan kenalan dan membuat diri supaya disenangi, kita harus kurang mencari kesalahan orang lain. Bayangkan jika polis trafik berkenaan hanya menahan dan menasihati anda tentang kesalahan anda. Adakah anda masih marah padanya? Dan bayangkan jika orang yang duduk di sebelah anda itu berdiam diri atau memuji keadaan majlis yang memang nyata serba kekurangan itu. Bukankah hidup anda lebih senang. Anda mungkin mengingati kebaikkan mereka dan menjadikan mereka sahabat anda.
Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 12, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. ”
Abu Hurairah r.a. ada melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Janganlah kamu mencari dan menyelidiki kesalahan orang lain” {Riwayat Bukhari & Muslim}
Kita mungkin ikhlas mengkritik atau memperbetulkan kesalahan yang kita nampak. Tiada manusia normal yang terus-menerus ingin melakukan kesalahan apabila menyedari perkara itu adalah salah .. setelah diberitahu. Hanya pendekatan kita yang selalu mengundang kebencian dan menjauhkan kenalan. Teknik menegur kesalahan akan dibincangkan kemudian. Menegur dengan betul akan membuat kita lebih disayangi dan disegani.
Namun untuk setakat ini, latihlah diri menjadi seorang yang positif. Teliti kebaikkan yang ada pada diri orang lain. Sentiasa melihat sesuatu keadaan dari sudut yang positif. Kurangkan mengkritik dan lebihkan bersyukur dengan apa yang ada. Jangan cari salah, tetapi cari kebaikkan. Kita akan disayangi. Ramai yang akan menjadikan diri anda kenalan baik mereka. Dalam ramai-ramai kenalan yang ada, mungkin salah seorang adalah teman hidup kita. InsyaAllah.
Rahsia Gadis Mengekalkan Keayuan
Apr 12th
1. Menjaga kejelitaan semulajadi (natural beauty) dengan tidak memakai bahan-bahan luaran tetapi menjaga emosi, fizikal dan mental. Gunakan masa untuk perkara yang berfaedah dan tentukan wawasan secara objektif, jangan banyak angan-angan. Tidur awal setiap malam dan bangun awal setiap pagi untuk solat subuh. Jangan tidur siang hari.
2. Menjaga suara. Latih diri bercakap dengan nada yang lembut, tidak sengau atau suaranya terlalu kuat.
3. Menjaga cara berkata-kata. Biasakan menggunakan perkataan yang melambangkan keluhuran budi seperti ‘tolong’ serta ‘minta maaf’. Jangan gunakan perkataan yang terlalu beremosi seperti bosan, sakit hati, menyampah, benci dan sebagainya kerana ia akan menyebabkan muka jadi berkerut dan masam.
4. Menjaga kulit. Keebrsihan sentiasa dijaga. Makanan yang berupa ulam-ulam yang wangi serta sayuran dan buah-buahan segar patut selalu dimakan. Gunakan sabun yang tidak merosakkan kulit.
5. Menjaga muka. Tangan perlu sentiasa bersih dan lembut. Jangan gunakan bedak yang bukan-bukan. Selalu menggunakan bedak sejuk untuk menjaga kulit muka. Jangan banyak berangan.
6. Menjaga rambut. Ia mahkota kejelitaan gadis. Bersihkan rambut tapi jangan terlalu kerap. Bila bersikat, ulangi sikatan ke seluruh bahagian kepala 100 kali untuk menjadikan rambut subur dan berkilat. Ramai lelaki suka pada gadis berambut panjang tapi kemas.
7. Menjaga cara berberjalan. Latih cara berjalan. Jauhi dari berjalan mengengkang atau tangan terlalu dihayun. Langkah jangan terlalu besar. Berjalan jangan terlalu laju. Badan jangan terlalu membongkok atau tegak. Leher jangan terteleng (senget sebelah). Muka elok ditundukkan sedikit.
8. Menjaga gerak-geri. Bila duduk di atas lantai duduklah dengan cara bersimpuh. Kalau duduk di atas kerusi, eloklah sila panggung. Jangan mengangkang. Tangan jangan terlalu digerakkan bila bercakap. Cara bergerak biarlah lemah-lembut.
9. Menjaga senyum. Latihlah senyum jangan tersengeh. Tutup mulut bila ketawa. Ketawa secara sederhana. Selalu senyum tapi untuk tujuan baik.
10. Menjaga mata. Mata janganlah terlalu liar memandang sekeliling. Tundukkan mata dan memandang hanya kepada apa yang sedang anda hadapi. Jangan terlalu kerap mengerdipkan mata. Usah terlalu kerap menjeling walaupun kepada buah hati anda.
11. Menjaga kehormatan. Sentiasa bertemankan ibu atau saudara bila keluar. Minta izin ibubapa. Pakaian sopan. Pulang seawal mungkin.
12. Menjaga sikap. Taat beragama. Jangan bohong. Jauhi dari merungut. Jauhi dari menjadi amat cerewet dan jaga hati orang lain.
