Umum

Topik-topik umum

Ingin Menjadi Isteri Idaman ?

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang sholehah” (H. R. Muslim)

Untuk para isteri yang berhasrat menjadi penyejuk hati dan mata suaminya. Semoga Allah memelihara, membimbing dan melindungimu dalam naungan kasih sayang dan Rahmat-Nya untuk cintanya kepada? Allah SWT dan suami & anak2. Amin.

Isteri memegang peranan yang sangat penting dalam istana keluarganya. Maka ia dituntut untuk memahami peranan tersebut lalu mengaplikasikannya dalam kehidupan berkeluarga. Berikut ada beberapa petunjukt untuk mereka yang berhasrat menjadi isteri yang mendambakan keluarga bahagia. Semoga mendapat manfaat bagi kita semua. InsyaAllah.

1. Takwa kepada Allah dan menjauhi maksiat. Bila engkau ingin kesengsaraan bersarang di rumahmu dan bertunas, maka bermaksiatlah kepada Allah. Sesungguhnya kemaksiatan menghancurkan negeri dan menggoncang kerajaan. Oleh kerana itu jangan engkau goncangkan rumahmu dengan berbuat maksiat kepada Allah. Wahai hamba Allah, jagalah Allah maka Dia akan menjagamu beserta keluarga dan rumahmu.

Sesungguhnya ketaatan akan mengumpulkan hati dan mempersatukannya, sedangkan kemaksiatan akan mengoyak hati dan mencerai-beraikan keutuhannya. Kerana itulah, salah seorang wanita sholehah jika bersikap keras hati dan berpaling dari suaminya, ia berkata:”Aku mohon ampun kepada Allah…. itu terjadi kerana perbuatan tanganku (kesalahanku)….”

Maka hati-hatilah wahai saudariku muslimah dari berbuat maksiat, khususnya: Meninggalkan sholat atau mengakhirkannya atau menunaikannya dengan cara yang tidak benar. Duduk di majlis ghibah dan namimah, berbuat ria’ dan sum’ah, memburuk-burukkan dan memperkecil-kecilkan orang lain.

Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan) dan janganlah wanita-wanita (mengolok-olokkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari wanita yang mengolok-olokkan” QS. Al Hujurat: 11

Keluar menuju pasar tanpa kepentingan yang sangat mendesak dan tanpa didampingi mahram. Rasulullah bersabda: “Negeri yang paling dicintai Allah adalah masjid- masjidnya dan negeri yang paling dibenci Allah adalah pasar-pasarnya” HR. Muslim

Membiarkan suami dalam kemaksiatannya. Tabarruj (pamir kecantikan) dan sufur (membuka wajah). Membiarkan supir (pemandu) dan pembantu masuk ke dalam rumah tanpa kepentingan yang mendesak.

2. Berupaya mengenal dan memahami suami.

Hendaknya engkau berupaya memahami suamimu. Apa apa yang ia sukai, berusahalah memenuhinya dan apa-apa yang ia benci, berupayalah untuk menjauhinya dengan catatan selama tidak dalam perkara maksiat kepada Allah kerana tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam bermaksiat kepada Al-Khalik (Allah ‘Azza Wajalla).

3. Ketaatan yang nyata kepada suami dan bergaul dengan baik.

Sesungguhnya hak suami atas isterinya itu besar. Rasulullah bersabda: “Seandainya aku boleh memerintahkanku seseorang sujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan isteri untuk sujud kepada suaminya” HR. Imam Ahmad dan Tirmidzi, dishahihkan oleh Al-Albany

Hak suami yang pertama adalah ditaati dalam perkara yang bukan maksiat kepada Allah dan baik dalam bergaul dengannya serta tidak menderhakainya. Rasulullah bersabda: ” Dua golongan yang sholatnya tidak akan melepasi kepalanya, iaitu budak yang lari dari tuannya hingga ia kembali dan isteri yang derhaka kepada suaminya hingga ia kembali” HR. Thabrani dan Hakim, dishahihkan oleh Al-Albany

Ketahuilah, engkau termasuk penduduk syurga dengan izin Allah, jika engkau bertakwa kepada Allah dan taat kepada suamimu. Dengan ketaatanmu pada suami dan baiknya pergaulanmu terhadapnya, engkau akan menjdai sebaik-baik wanita (dengan izin Allah).

4. Bersikap qanaah (merasa cukup)

Kami menginginkan wanita muslimah redha dengan apa yang diberikan untuknya baik itu sedikit ataupun banyak. Maka janganlah ia menuntut di luar kesanggupan suaminya atau meminta sesuatu yang tidak perlu. Renungkanlah wahai saudariku muslimah, adabnya wanita salaf radhiallahu ‘anhunna…

Salah seorang dari mereka bila suaminya hendak keluar rumah ia mewasiatkan satu wasiat kepadanya. Apakah itu? Ia berkata pada suaminya:”Hati-hatilah engkau wahai suamiku dari penghasilan yang haram, kerana kami boleh bersabar dari rasa lapar namun kami tidak boleh bersabar dari api neraka…”

5. Baik dalam mengatur urusan rumah tangga, seperti mendidik anak-anak dan tidak menyerahkannya pada pembantu, menjaga kebersihan rumah dan menatanya dengan baik dan menyiapkan makan pada waktunya. Termasuk pengaturan yang baik adalah isteri membelanjakan harta suaminya pada tempatnya (dengan baik), maka ia tidak berlebih-lebihan dalam perhiasan dan alat-alat kecantikan.

6. Baik dalam bergaul dengan keluarga suami dan kerabat-kerabatnya, khususnya dengan ibu suami sebagai orang yang paling dekat dengannya. Wajib bagimu untuk menampakkan kecintaan kepadanya, bersikap lembut, menunjukkan rasa hormat, bersabar atas kekeliruannya dan engkau melaksanakan semua perintahnya selama tidak bermaksiat kepada Allah semampumu.

7. Menyertai suami dalam perasaannya dan turut merasakan dukacita dan kesedihannya. Jika engkau ingin hidup dalam hati suamimu, maka sertailah ia dalam dukacita dan kesedihannya. Renungkanlah wahai saudariku kedudukan Ummul Mukminin, Khadijah radhiallahu ‘anha, dalam hati Rasulullah walaupun ia telah meninggal dunia.. Kecintaan beliau kepada Khadijah tetap bersemi sepanjang hidup beliau, kenangan bersama Khadijah tidak terkikis oleh panjangnya masa. Bahkan terus mengenangnya dan bertutur tentang keteguhannya dalam ujian, kesulitan dan musibah yang dihadapi.

Seorangpun tidak akan lupa perkataannya yang mashur#61006; ehingga menjadikan Rasulullah merasakan ketenangan setelah tergoncang dan merasa bahagia setelah bersedih hati ketika turun wahyu pada kali pertama: ” Demi Allah, Allah tidak akan menghinakanmu selamanya. Kerana sungguh engkau menyambung silaturahmi, menanggung orang lemah, membantu mereka yang tiada daya upaya dan engkau menolong setiap upaya menegakkan kebenaran”. HR. Mutafaq alaihi, Bukhary dan Muslim

8. Bersyukur (berterima kasih) kepada suami atas kebaikannya dan tidak melupakan keutamaannya. Wahai isteri yang mulia! Rasa terima kasih pada suami dapat kau tunjukkan dengan senyuman manis di wajahmu yang menimbulkan kesan di hatinya, sehingga terasa ringan baginya kesulitan yang dibebani dalam pekerjaannya. Atau engkau ungkapkan dengan kata-kata cinta yang memikat yang dapat menyegarkan kembali cintamu di hatinya. Atau memaafkan kesalahan dan kekurangannya dalam menunaikan hak-hakmu dengan membandingkan lautan keutamaan dan kebaikannya kepadamu.

9. Menyimpan rahsia suami dan menutupi kekurangannya (aibnya). Isteri adalah tempat rahsia suami dan orang yang paling dekat dengannya serta paling tahu kekhususannya. Bila menyebarkan rahsia merupakan sifat yang tercela untuk dilakukan oleh siapapun, maka dari sisi isteri lebih besar dan lebih hina lagi. Saudariku, simpanlah#61005; ahsia-rahsia suamimu, tutuplah aibnya dan jangan engkau nampakkan kecuali kerana masalah yang syariat seperti mengadukan perbuatan zalim kepada Hakim atau Mufti atau orang yang engkau harapkan nasihatnya.

10. Kecerdasan dan kecerdikan serta berhati-hati dari kesalahan. Termasuk kesalahan adalah: Seorang isteri menceritakan dan menggambarkan kecantikan sebahagian wanita yang dikenalnya kepada suaminya. Padahal Rasulullah telah melarang perkara itu dalam sabdanya :”Janganlah seorang wanita bergaul dengan wanita lain lalu mensifatkan wanita itu kepada suaminya sehingga seakan-akan suaminya melihatnya” HR. Bukhary dalam An-Nikah

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang sholeha, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)….” Q. S. An Nissa 4.34

———————————————————————- “Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” Q. S. An Nuur 24:35

“Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku satu ungkapan tentang Islam, yang saya tidak memintanya kepada sesiapapun kecuali kepadamu.”

Rasulullah saw bersabda, “Katakanlah, ‘Aku beriman kepada Allah,’ kemudian Istiqamahlah.” H. R. Muslim

Sumber : http://myjodoh.net/index.php?mod=show_art&id=2126

  • Share/Bookmark

Nasib Manusia dan Ketentuan Allah

Soal Jawab Agama oleh Bersama Dr. Amran Kasimin

SOALAN:
SAYA rasa saya adalah seorang yang kuat berusaha. Selepas pencen, saya terus bekerja di pasar malam dan membuat kerja-kerja sambilan bila berkesempatan biarpun di bulan puasa. Apa yang jelas saya tetap miskin dan susah. Adakah ini kerana nasib saya itu ada kaitan dengan qadak dan qadar Allah yang memang tidak berubah. – Misrina Mat, Selayang.

JAWAPAN:
Memang nasib seseorang itu ada kaitan dengan qadak dan qadar yang telah ditetapkan oleh Allah subhanahu wa taala. Walaupun demikian, ia juga ada kaitan dengan sebab musabab yang dilakukan oleh manusia. Orang yang bekerja keras untuk menyara hidup diri dan keluarga, tetapi gaya hidup menghapuskan semua hasil yang diperoleh juga boleh menyebabkan seseorang itu miskin walaupun dia terus menerus bekerja termasuk di bulan puasa.

Ahli sunah wal jamaah berpendapat bahawa semua yang terjadi di dunia ini telah ditentukan oleh Allah. Dalam surah al-Hadid: 2, terdapat firman Allah: Tidak ada sesuatu bencana yang terjadi di bumi dan tidak ada pula yang terjadi pada diri kamu melainkan itu ada dalam kitab sebelum Kami laksanakan berlakunya. Bahawasanya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Yang dimaksudkan dengan kitab di sini ialah lohmahfuz.

Lebih jelas dikatakan di sini bahawa setiap sesuatu itu telah ditakdirkan oleh Allah terlebih dahulu. Suratannya telah tercatat di Lohmahfuz. Itulah yang dinamakan sebagai qadak dan qadar Tuhan.

Dalam surah an-Nahl: 61 terdapat firman Allah: Dan kalau Allah menghukum manusia kerana kezaliman mereka, nescaya tidak ditinggalkan di muka bumi makhluk yang hidup, tetapi Allah memberi mereka janji hingga waktu yang ditetapkan. Maka apabila tiba ajalnya, maka tidak ada seorang pun yang dapat mengundurkannya dan juga tidak ada yang dapat mendahulukannya.

Dalam surah Hud: 34 pula dijelaskan tentang nasihat-nasihat Nabi Nuh kepada kaumnya yang ingkar perintah Allah. Nasihatnya tidak sedikitpun memberi faedah kepada salah seorang daripada kaumnya apabila Allah telah mentakdirkan seseorang itu sesat.

Hal demikian memperlihatkan bahawa nasihat yang diberi oleh Nabi Nuh itu tidak boleh mengubah takdir apabila Allah tidak mengubahnya. Di sini jelas menunjukkan bahawa Allahlah yang menentukan jalan hidup seseorang hamba.

Dalam surah at-Taubat: 51 pula dijelaskan bahawa Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad supaya memberitahu kepada orang fakir yang tidak percayakan kepada takdir Allah bahawa sesuatu nasib yang menimpa manusia itu telah ditakdirkan oleh Allah sebelumnya, yang tidak dapat dielakkan lagi. Kerana itu, setiap orang perlu berserah kepada Allah sepenuhnya dan menerima dengan rela di atas takdir yang telah ditentukan.

Begitu juga dengan kejadian alam yang lain, yang terdiri daripada binatang-binatang dan manusia. Dalam surah Hud: 6, terdapat firman Allah: Dan tidak ada sesuatu haiwan yang melata di muka bumi, melainkan Allah yang memberi rezekinya. Dia mengetahui tempat tinggalnya (di dunia) dan tempat penyimpannya di akhirat, semuanya telah tertulis dalam kitab (lohmahfuz).

Berdasarkan keterangan ini, Allah yang memberi rezeki manusia, memberi makanannya dan menetapkan berapa lama mereka akan hidup di dunia. Manusia hanya menjalani takdir Allah juga.

Kepandaian manusia hanya menanam, memasukkan benih dalam tanah hingga tumbuhan hidup subur dan boleh dimakan. Namun yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan yang sebenar adalah Allah jua, manusia tidak mempunyai keupayaan untuk menghidupkannya.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Masud, beliau berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Bahawasanya setiap kita dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging. Lalu dikirimkan kepadanya malaikat dan ditiupkan padanya roh. Diperintahkan malaikat itu supaya mencatatkan empat perkara, iaitu rezekinya, ajalnya, pekerjaannya dan untung buruk atau untung baik.

Baginda ada bersabda: Demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang daripada kamu boleh beramal serupa amalan penduduk syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga hanya sehasta lagi, tetapi suratan takdirnya mendahuluinya, lalu dia melakukan perbuatan penghuni neraka menyebabkan dia masuk ke sana. Dan sesungguhnya salah seorang daripada kamu ada yang beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dan neraka hanya sehesta tetapi, suratan takdirnya mendahului dia, lalu dia beramal seperti amalan penduduk syurga dan dia akhirnya dimasukkan ke syurga – (Riwayat Bukhari dan Muslim.)

Ada orang yang melakukan kebaikan ketika hidupnya, tetapi ketika dalam keadaan sakaratul- maut ia berubah menjadi kafir seperti yang telah ditetapkan oleh takdir untuknya, maka masuklah dia ke neraka. Begitulah sebaliknya, iaitu orang yang jahat ketika hidupnya tetapi pada akhir hayatnya dia menjadi manusia baik-baik, bertaubat, kembali menjalani jalan yang benar dan taubatnya diterima Allah, maka dia pun masuk syurga seperti yang telah ditetapkan oleh takdirnya.

Dalam sebuah hadis daripada Sayyidina Ali, beliau ada berkata, pada satu hari baginda duduk. Di tangannya ada satu batang kayu yang digunakan untuk menggores-gores. Baginda mengangkat kepalanya lalu berkata: Setiap daripada kamu yang bernyawa telah ditetapkan tempatnya di syurga atau neraka. Lalu bertanya para sahabat: Kalau demikian, apa perlunya kita beramal ya Rasulullah. Adakah lebih baik kita bertawakal sahaja.

Mendengarkan kata-kata sedemikian rupa baginda bersabda: Jangan! Beramallah, setiap orang akan dipermudahkan oleh Allah kepada jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya.

Percayakan takdir itu penting dalam kehidupan manusia, kerana ia membolehkan manusia menerima qadak dan qadar yang telah ditetapkan dengan rela hati. Tidak ada orang yang boleh menyanggah ketetapan Allah yang mahukan setiap hamba itu reda dengan ketentuan-Nya.

Dalam surah al-Hadid: 23 dijelaskan bahawa reda terhadap ketetapan Allah itu bertujuan supaya manusia jangan bersedih hati atas sesuatu yang hilang dan jangan pula terlalu gembira dan sombong diri berpunca daripada anugerah Allah. Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.

Takdir terbahagi kepada beberapa bahagian, di antaranya ialah takdir yang ada dalam pengetahuan Allah, di mana Allah telah mengetahui apa akan terjadi sama ada di dunia atau akhirat tidak ada yang tersembunyi, biarpun ia belum berlaku. Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu (al-Baqarah: 29). Takdir seperti ini tidak berubah yang diistilahkan sebagai qadak mubram ataupun takdir yang pasti (Qaf: 29).

Seperti yang dijelaskan bahawa takdir atau ketentuan untuk makhluk itu telah dituliskan pada lohmahfuz. Bagaimanapun, takdir ini masih menerima perubahan, kerana ada takdir yang tertulis di situ yang sudah tetap dan ada takdir yang belum putus yang diistilahkan sebagai takdir muallaq.

Sebagai contoh, seseorang itu menurut takdir akan mati ketika berumur 69 tahun, tetapi kalau ia sentiasa menjaga kesihatan dan berubat apabila sakit, umurnya ditambah menjadi 10 tahun lagi. Dalam surah ar-Ra’d 39 terdapat firman Allah: Allah menghapuskan apa yang dikehendaki-Nya dan menetapkan apa yang dikehendaki-Nya dan pada sisi-Nya adalah Ummul Kitab.

Menurut tafsir al-Qurtubi, semua takdir Tuhan yang telah tertulis di lohmahfuz boleh dihapus oleh Allah kalau dikehendaki oleh-Nya ataupun ditetapkan terus sesuai dengan kehendak-Nya.

Yang boleh mengubah takdir yang tertulis di Lohmahfuz itu ialah doa dan perbuatan baik. Dalam sebuah hadis Tirmizi dijelaskan: Tidak boleh diubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang boleh menambah umur kecuali perbuatan baik.

Sayyidina Omar al-Khattab ketika tawaf di Kaabah menangis sambil berdoa: Ya Allah, andainya Engkau takdirkan daku termasuk dalam lingkungan orang yang berbahagia, maka tetapkan daku di situ, tetapi andainya Engkau telah mentakdirkan daku termasuk dalam golongan orang yang celaka juga orang yang berdosa, maka hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah daku dalam golongan orang yang berbahagia dan memperoleh keampunan. Engkau menghapus apa yang Engkau kehendaki dan menetapkan apa yang telah Engkau kehendaki dan pada sisi-Mu Ummul Kitab.

Dalam membicarakan usaha dan takdir ketentuan Allah, setiap orang mempunyai tugas masing-masing. Takdir itu adalah masalah iktikad atau kepercayaan. Allah memerintahkan kita supaya percaya kepada takdir. Manusia tidak tahu apa yang telah dan akan ditakdirkan untuk kita. Allah sendiri pun tidak pernah memberitahu apakah kita termasuk dalam golongan orang baik-baik, orang kaya atau miskin selalu, biarpun puas berusaha di sepanjang hari termasuk ketika bulan Ramadan.

Apa yang kita ketahui ialah adanya perintah daripada Allah dan rasulnya supaya kita beriman kepada Allah dan beramal saleh sambil berdoa supaya dijauhkan daripada seksa. Beramal dan berusaha bukan bererti melawan takdir, tetapi termasuk juga dalam takdir.

Manusia yang rajin bekerja senang hidupnya. Itu adalah takdir Allah. Dan apabila manusia yang banyak wang hasil daripada ketekunan bekerja itu menghabiskan semua wangnya ia menyebabkannya miskin. Itu pun tetap takdir Tuhan.

Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin,
Lot 3673, Jalan Aman,
Kampung Sungai Merab Luar,
43000 Bangi, Selangor.

Di ambil dari :http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2001&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm

  • Share/Bookmark

Tentang Qada’ & Qadar

SOALAN: Dr Danial, apakah maksud qada dan qadar, mubram dan muallaq. Dan apakah kaitannya dengan usaha serta ikhtiar yg kita lakukan?

JAWAPAN: Qada dan qadar ialah ketetapan Allah yang telah ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmuNya yang Maha Tinggi, disusuli dengan kejadian seperti mana yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, sebelum kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap akan memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang-bintang dan planet-planet dan itulah sebenarnya yang telah berlaku tanpa dapat dihalangi. Allah menetapkan satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen untuk menjadi air dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai ke bila-bila. Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak dan hakikat ini juga tidak boleh diubah. Allah menetapkan mata sebagai alat untuk melihat dan telinga untuk mendengar dan fungsi ini akan berterusan sampai ke bila-bila.

Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati dan tidak ada seorang pakar perubatan pun yang mampu mengubah kenyataan ini. Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah sebab ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaanNya yang tanpa batas dan ia telah menjadi hukum alam yang dikenali sebagai hukum sebab musabab dan sebab akibat. Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.

Isu yang hangat diperkatakan tentang qada dan qadar ialah, adakah tindak tanduk manusia juga telah ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi? Syed Sabiq di dalam kitabnya Al-Aqaid Al-Islamiyah berkata: “Imam Al-Khathabi telah berkata: ‘Ramai orang mengira qada dan qadar adalah pemaksaan Allah ke atas hambaNya dan manusia hanya mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Sebenarnya pandangan yang seperti ini adalah salah kerana takdir adalah ketetapan Allah berdasarkan ilmu Allah yang Maha Mengetahui tentang kejadian yang akan berlaku berhubung semua perkara..’ Pengetahuan Allah tentang sesuatu perkara tidak akan mempengaruhi kehendak hamba itu.”

Di zaman Omar Al-Khattab ra, seorang lelaki telah ditangkap kerana mencuri dan beliau telah dibawa menghadap khalifah Omar. Lelaki itu telah disoal: “Mengapa kamu mencuri?” Lelaki itu menjawab: “Kerana Allah telah mentakdirkan ini ke atas diri saya.” Khalifah Omar ra amat marah dengan lelaki ini lantas beliau terus berkata: “Pukul lelaki ini dengan tiga puluh sebatan selepas itu potong tangannya.” Lelaki ini terkejut dengan hukuman itu dan terus bertanya: “Mengapa hukumannya begitu berat?” Berkata Omar Al-Khattab ra: “Kamu akan dipotong tangan kerana mencuri dan disebat kerana berdusta atas nama Allah.” Maksudnya, manusia diizinkan Allah utk membuat pilihan dan hal ini adalah sebahagian daripada ketetapan qada dan qadar.

Hukum sebab musabab atau sebab akibat adalah takdir. Manusia dapat menolak takdir dengan takdir yang lain kerana kesemua itu telah dicipta dan ditetapkan oleh Allah bagi manusia. Justeru, takdir lapar dapat dihilangkan dengan takdir makan, takdir dahaga dapat dihilangkan dengan minum dan takdir mengantuk dapat dihilangkan dengan tidur. Mengikut sebuah riwayat yang sahih, khalifah Omar Al-Khattab ra enggan memasuki kampung tertentu di Syam kerana ketika itu ia sedang dilanda wabak taun. Sahabat Abu Ubaidah ibn Jarrah ra bertanya kepada
Omar ra: “Mengapa kamu lari dari takdir Tuhan?’ Omar ra menjawab: “Aku lari dari takdir Allah kepada takdir yang lain.” (Tarikh At-Tabari)

Kesemua ini menunjukkan, Allah tidak pernah mengikat dan menzalimi manusia malah sebaliknya manusia telah diberi kebebasan untuk menentukan jalan hidupnya sendiri. Walau bagaimanapun, segala keputusan manusia tidak boleh keluar dari ruang kemanusiaan yang telah Allah tetapkan dan Allah sejak dari awal lagi telah mengetahui segala keputusan yang akan diambil oleh manusia.

Takdir mempunyai beberapa bahagian, pertama ialah takdir di dalam ilmu Allah yang azali. Ia bermaksud Allah telah mengetahui segala-galanya sebelum ia benar-benar berlaku. Takdir di dalam bentuk ini tidak boleh dan tidak mungkin berubah secara mutlak. Jika ia berubah ia mencacat kesempurnaan Allah dan hal ini adalah mustahil di sisi Allah. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Keputusan di sisiKu tidak akan berubah dan Aku sekali-kali tidak menzalimi
hamba-hambaKu.” (Surah Qaaf ayat 29)

Takdir ini dikenali sebagai qada mubram atau ‘takdir yang pasti’ dan mengingkarinya akan menyebabkan seseorang menjadi kafir mengikut ijmak ulama.

Takdir yang kedua ialah takdir yang tertulis di Lauh Mahfuz dan ia dikenali juga sebagai takdir mu’allaq. Mengikut K.H. Sirajuddin Abbas di dalam buku 40 Masalah Agama, takdir ini boleh berubah dari masa ke semasa, sebagai contoh, jika seseorang telah ditakdirkan hidup hingga ke usia 60 tahun, dan beliau sering menghubungkan tali persaudaraan dengan manusia, Allah mungkin menambah umurnya melebihi 60 tahun. Atau jika seseorang telah ditulis akan memasuki neraka kemudian di hujung hidupnya beliau bertaubat dan melakukan amal salih
dengan penuh keikhlasan, berkemungkinan beliau akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga. Berhubung dengan ini Allah berfirman: “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan apa yang Dia kehendaki dan di sisi-Nya terdapat Ummul Kitab.” (Surah Ar-Ra’d ayat 39)

Imam Baijuri di dalam kitab Tuhfatul Murid Syarh Jauharatut Tauhid berkata: “Lauh Mahfuz, mengikut pendapat yang hak, menerima penghapusan dan penetapan.”

Di antara perkara yang boleh mengubah ketetapan di Lauh Mahfuz ialah doa dan amalan yang baik, berdasarkan sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik.” (Tirmizi)

Justeru, Omar Al-Khattab ra pada suatu ketika, telah melafazkan doa-doa ini ketika bertawaf: “Ya Allah, jika Engkau telah mentakdirkan aku tergolong di dalam golongan orang-orang yang bahagia, tetaplah aku di dalam keadaan aku.

Sebaliknya jika Engkau telah tetapkan aku di dalam golongan orang-orang yang celaka dan berdosa, hapuskanlah takdir itu dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang mendapat kebahagiaan dan keampunan.”

Dalam bab mencari jodoh, nabi sendiri menyuruh kita memilih pasangan yang betul. Oleh kerana kita disuruh memilih secara yg betul, kita mempunyai pilihan. Justeru, berusahalah dan dalam konteks perkahwinan berusahalah utk mencari jodoh berdasarkan landasan agama dan mintalah petunjuk Allah tentangnya. Allah tidak pernah menzalimi manusia.

Di ambil dari : http://www.mail-archive.com/islah-net@yahoogroups.com/msg06259.html

  • Share/Bookmark

Berzina Dengan Ikhlas

Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah: Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.

JAWAPAN DR. DANIAL

Yang Ikhlas yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara.

Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas…..Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!

Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)

Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.

Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.

Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!

Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).

Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.

Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)

Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.

Kaum Lut hancur kerananya.
Kota Pompei hancur kerananya.
Empayar Rom juga hancur kerananya.
Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.

(Semoga jawapan ini juga mendatangkan manfaat kepada mereka yang lain)

Di ambil dari : http://www.formulacemerlang.com/modules/wfsection/article.php?articleid=26

  • Share/Bookmark