.. mencari si dia yang soleh ..
Umum
Topik-topik umum
Perihal Video Lucah Ella dan Jojie
Jul 31st
Kehidupan ini adalah pentas. Semua pergerakkan dan kelakuan manusia dirakam oleh tuhan. Sampai masanya nanti semua akan di’play’kan di khalayak ramai.
Ella dan Jojie telah dikaitkan dengan adegan video lucah baru-baru ini. Kedua-duanya telah membuat laporan polis selang beberapa hari kemudian. Pihak berkuasa sedang menyiasat siapa yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah.
Di dunia, apabila keaiban menimpa kita, kita boleh bertindak dan berusaha menangkis semua jenis fitnah. Di atas ‘padang’ nanti keadaannya berlainan. Video kehidupan kita akan dipaparkan kepada semua orang. Semua yang dipaparkan pula bukan rekaan atau fitnah, sebaliknya adalah perkara benar yang pernah kita lakukan.
Perkara baik, perkara maksiat, mungkar, semua jenis tipu daya akan dipaparkan dan akan disoal. Firman Allah di dalam surah An-Nur ayat 24, “Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”
Pada ayat seterusnya Allah berfirman, “Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.”
Takutlah Allah.
Wallahu’alam.
p/s : Artikel tak ada kena mengena sangat dengan Ella dan Jojie. Sekadar ingin menarik perhatian anda memikirkan akhirat.
Yang Ini Apa Maksudnya?
Jul 25th
Seorang sahabat mengajak saya menyertai SKIM SUMBANGAN (a.k.a. skim piramid berbentuk sumbangan).
“Kita bagi duit kat orang, orang bagi dut kat kita, yang penting niat kena betoi.” Katanya.
“Hang tak kan tak tau teori nabi Muhammad?” Satu soalan yang buat saya tersentak. Bila pula nabi ada teori-teori ni? Semua yang keluar dari mulut nabi adalah kebenaran yang pasti jadi. Semua berdasar petunjuk wahyu. Bukan macam teori ekonomi yang kadang-kadang tidak berlaku mengikut prinsip teori.
“Macam mana tu?” saya tanya dia.
“Ada dalam buku motivasi aku dok baca.” Dia kemudiannya menjelaskan apa yang dia ingat.![]()
Saya pun dengan penuh rasa ingin tahu pergilah dapatkan buku tu. Rupanya buku yang selalu tersusun di rak-rak kedai buku tapi tak terlintas nak pegang.
Antara kandungan yang mengelirukan saya, penulis seolah-olah menggambarkan bahawa Rasulullah telah “mencipta lafaz niat solat”. Rasulullah tak pernah mencipta niat solat. Kalimah yang selalu kita sebut “Ussalli solatan… etc etc” tidak berasal daripada nabi. Semua ulama bersetuju bahawa nabi tidak memulakan solat melainkan dengan lafaz “Allahu-Akhbar”. Ini adalah berdasarkan hadith Riwayat Imam Muslim.[1]
Ia adalah bid’ah. Nabi tidak mengucapkan apa-apa sebelum bertakbir. Hanyasanya yang menjadi pertikaian sama ada ia termasuk bid’ah hassanah atau bid’ah dhalalah. Namun, menurut Sheikh Muhammad Nasirudin Al-Albani di dalam Sifat Solat Rasulullah, semua perkara bid’ah dalam ibadah adalah kesesatan.
Penulis juga menyatakan, nabi Muhammad telah mencipta teori ini sejak 1400 tahun dahulu.
Pertama, jika beliau bermaksud menceritakan tentang hadith “semua perbuatan bermula dengan niat,” beliau mungkin tidak menyelidik asal usul hadith tersebut.
Di dalam Kitab Riyadhus Salihin, hadith ini di bahagian mula-mula. Imam Nawawi menceritakan bahawa Rasulullah berkata demikian ketika beliau mengetahui ada seorang sahabat berhijrah kerana ingin berkahwin dengan seorang awek cun.[2]
Rasulullah bersabda, “Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.” Mana yang teorinya?
Kedua, dan jika penulis bermaksud menceritakan tentang lafaz niat dalam solat apabila berkata demikian, beliau sedang mempromosikan satu bid’ah yang tidak berasal dari nabi. Ini kes berat. Rosnah Mat Aris pun boleh kena gam sebab satu ayat yang tidak sengaja.
Menurut Ali r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, “janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api Neraka.” [3]
Wallahu’alam.
Tak tahu lah, mungkin saya sendiri yang keliru membaca bahagian tu.. Ada sesiapa boleh tolong jelaskan.
Terima kasih.
.
.
p/s : Tiada buku motivasi yang lebih baik selain daripada Al-Quran.
.
Nota kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim : 2
[2] Riyadhus Shalihin (terjemahan M Abdai Rathomy), Al-Imam An-Nawawi, Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapore, 1994; Jilid 1, ms 60.
[3] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim : 588
Belajar Bahasa Arab Dengan Percuma
Jul 5th
aslm,
Firman Allah di dalam surah Yussof ayat 2, “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”
Untuk memahami Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya, kita kena tahu bahasa Arab. Di internet anda boleh mempelajari bahasa Arab dengan percuma setiap hari di :
Wallahu’alam.
Formula Berdoa Memohon Jodoh Daripada Al-Quran
Jun 23rd
Bukan setakat memohon untuk dikurniakan jodoh, peranan doa amat luas dan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang. Baik kehidupan di dunia mahu pun kehidupan di akhirat. Dengan merendah diri dan berdoa seseorang akan dapat mengagungkan kekuasaan tuhan dan menyedarai kelemahan diri sendiri. Seterusnya meletakkan satu pengharapan kepada tuhan dalam mencapai cita-cita.
Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186, Allah telah berfirman, “..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. ”
Firman Allah lagi di dalam surah Ghafir ayat 55, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah menyuruh semua umat Islam berdoa kepadaNya, seterusnya beriman dengan mematuhi perintahNya. Mereka yang tidak memohon sesuatu daripada Allah dikategorikan sebagai orang yang sombong dan takbur.
Menurut An-Nu’man Bin Basyir, Rasulullah pernah berkata , “Doa itu termasuk ibadah,” lalu beliau membaca ayat 55 dari surah Ghafir seperti di atas.[1] Di dalam riwayat lain, Rasulullah telah bersabda, “Tiada sesuatu pun yang lebih mulia di sisi Allah Azza wa Jalla selain daripada doa.” [2]
Di dalam konteks mencari pasangan hidup, amalan berdoa perlu dimulakan sejak awal. Setelah berniat dengan betul, doa diteruskan secara konsisten sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah mempertemukan dengan pasangan hidup yang dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.
Berikut merupakan antara 9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab yang sempat saya sertakan :
1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.” [3]
2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya. [4]
3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” [5]
4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” [6]
5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.” [7]
6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,

Kemudian mengatakan,
atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” [8]
7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” [9]
8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” [10]
9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.” [11]
Wallahu’alam.
Nota Kaki
======
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3294. bertaraf hassan sahih.
[2] http://haidith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3292.
[3]http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #196.
[4]http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #1077.
[5]http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3522.
[6]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #738.
[7]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #4908.
[8]http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #1086.
[9] Fadhilat Al-Quran (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Era Ilmu Sdn. Bhd., 2005, ms 87, hadith riwayat Darimi.
[10]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #4916.
[11]http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim #1406.
Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Daripada Al-Quran
Jun 20th
Assalamu’alaikum …
Sekiranya anda “subscribe” ke mymasjid@yahoogroups.com, anda akan menerima emel ini sebagai “welcome email”. Dewasa ini banyak sangat SPAM yang dihantar ke mymasjid@yahoogroups.com. Kebanyakkannya nak mencari kekayaan dengan teknik dari Barat. Padahal Allah dah ceritakan teknik yang sepatutnya di dalam Al-Quran. Copy ini dan sebarkan kepada semua orang.
Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Daripada Al-Quran
Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Internet Daripada Al-Quran
Mahmud Ibn Labid r.a. pernah berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, “Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit meringankan hisab. [1]
Namun sekiranya anda ingin juga menjadi seorang jutawan, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37 hingga 38, “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”
“(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.”
Bermaksud, dengan mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat dan sedekah, takutkan hari kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan mendapat limpah kurnia Allah dan pembalasan yang paling baik. Allah sesungguhnya satu-satunya sumber segala rezeki dan Dia akan menambahkan kurniaNya kepada hamba yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas.
Kajilah Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya, kerana tips untuk menjadi jutawan banyak terdapat di dalam Al-Quran. Terjemahan Al-Quran bermodalkan RM20 di pasaran. Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di dalam sebuah hadith qudsi, “Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir dan meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada diberikan kepada orang yang meminta kepadaKu” [2]
Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi sekadar ingin hidup sederhana, beribadat kepada Allah. Serta dalam masa yang sama tidak mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam. Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”[3]
Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan, memerlukan “fast-cash” untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua Rasulullah s.a.w. Di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan solat.[4] Solat yang dimaksudkan adalah solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.
Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha.[5]Firman Allah di dalam ayat berkenaan, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Kebanyakkan yang mengamalkan tip ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan “low profile”. Mereka tidak terburu-buru dan tergesa-gesa dalam mengejar kesenangan. Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan dunia, namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.
Wallahu’alam.
[1] Jami-ul-Saghir (Terjemahan H. Nadjih Ahjad),Imam Suyuthi, PT Bina Ilmu, Jakarta, 2003; Riwayat Ahmad, hadith #166.
[2] Muntakhab Ahadits (terjemahan Muhammad Qasim at Timori), Maulana Muhammad Yussuf Al-Khandalawi, Pustaka Ramadhan, Bandung, Indonesia, 2004; Riwayat Tirmizi, ms327
[3] Jami-ul-Saghir, op. cit.; Riwayat Baihaqi, hadith #8942, menurut Imam Suyuthi berstatus daif.
[4] Muntakhab Ahadits, op. cit.; ms 244
[5] Ibid.
