10 Alasan Kenapa Lelaki Tidak Mahu Berkahwin Apabila Diajak.

saying noBerikut merupakan 10 alasan kenapa lelaki menolak apabila diajak berkahwin. Alasan-alasan ini saya kumpul berdasarkan emel-emel yang diterima daripada para pengguna myJodoh.

Lelaki-lelaki ini serius di dalam perhubungan, tiada sebarang penipuan atau kecurangan, pernah berjumpa keluarga si wanita sekurang-kurangnya sekali ….  tetapi mereka memberi alasan-alasan tertentu apabila si wanita mencadangkan perhubungan itu diakhiri dengan perkahwinan.

Ia mungkin berlaku kepada semua perhubungan dan mungkin berlaku pada sesetengah perhubungan sahaja. Mungkin ia penting untuk kita jadikan iktibar dan mengambil langkah-langkah pro-aktif.

1. Tiada Duit @ Tak Cukup Duit

Ini adalah alasan paling popular dan paling boleh diterima memandangkan kos sara hidup, wang hantaran dan belanja perkahwinan yang meningkat. Sebaik-baiknya bawa berbincang dengan bakal pasangan tentang kos perkahwinan tersebut. Cuba berjimat dan abaikan acara yang tidak perlu, jangan membazir.

Selalu tejadi si wanita  membantu dari segi perbelanjaan. Sebagai contohnya meminjamkan sejumlah wang yang kemudiannya “dikembalikan” semula di hari perkahwinan, konon-kononnya wang hantaran daripada si lelaki.

Seorang sahabat saya yang berkahwin dan kenduri kahwin hanya diadakan rumah pasangan wanita sahaja. Katanya, “dah sekali kenduri cukup, aku bukannya ada adik-beradik.

2. Belum Bersedia

Alasan ini popular tetapi masih boleh disangkal. Dari sudut apakah si lelaki berasa beliau masih belum bersedia? Dari sudut agama, kerjaya, kehidupan seharian, senaraikan dan rancang serta sasarkan satu tarikh untuk menjadi ‘lebih bersedia’. Jika tidak mempunyai minda sebegini, sampai bila-bila pun tidak akan bersedia.

Seharusnya si lelaki mempunya perancangan yang baik dan motivasi diri yang kuat untuk ‘menyediakan’ diri. Sebagai contoh, ada lelaki yang berasa rendah diri kerana tidak tahu membaca Al-Quran. Justeru, beliau harus belajar membaca semampu boleh dengan istiqamah.

Sifat istiqamah atau konsisten ketika belajar boleh diteruskan di alam perkahwinan. Walaupun si lelaki pada hakikatnya ‘belum bersedia’, tetapi beliau kini telah menjadi seseorang yang ‘lebih bersedia’.

3.    Ibu bapa Telah Menentukan Jodoh

Sesetengah wanita berpendapat ini adalah asalan yang bersifat ‘escapism’ , iaitu cuba melepaskan diri dari ikatan percintaan yang sedia ada. Mungkin benar.

Kadang-kala ia benar berlaku kerana si lelaki tidak terlebih awal memaklumkan kepada keluarga yang dia telah mempunyai seseorang calon isteri. Ia juga berlaku apabila ibu bapa si lelaki tidak berkenan dengan si wanita pilihan, lalu dicarikan pasangan pengganti.

Ini pernah berlaku dengan satu pasangan bercinta di myJodoh.  Alhamdulillah, ia diselesaikan dengan perbincangan yang baik dengan ibu bapa.

4.    Terasa Keluarga Wanita Tidak Suka

Sesetengah lelaki merasakan diri tidak diterima oleh keluarga si wanita.  Kadang-kadang perkara ini berlaku dan si lelaki akan merasakan inferiority complex, suatu perasaan yang merasakan diri rendah atau tidak layak. Contoh yang paling klasik adalah apabila si lelaki miskin bercinta dengan  wanita kaya.

Jangan bimbang, ia hanyalah perasaan. Kadang-kadang keluarga si wanita tidak berpendapat seperti apa yang difikirkan oleh si lelaki. Hanya perasaan sahaja.

Jika ini berlaku, si wanita harus membantu si lelaki untuk menghilangkan rasa rendah diri berkenaan, lalu digantikan dengan perasaan ingin maju ke hadapan dan rasa berani.

5.    Tidak Suka Keluarga Si Wanita

Ini terbalik dengan yang di atas. Si lelaki memang sayangkan si wanita yang dikenalinya baik, solehah, sopan, tetapi mendapat satu impresi yang buruk apabila melihat kaum keluarga si wanita.

Ada ahli keluarga si wanita yang penagih dadah, bekas banduan, pernah ditangkap berkhalwat, bakal ibu mertua yang tidak menutup aurat, bakal ayah mertua yang hanya memakai seluar pendek. Jadi bagaimana?

Dalam situasi ini si wanita perlu yakinkan si lelaki yang beliau adalah berlainan dengan keluarganya. Dan bersama-sama, si lelaki mungkin boleh membantu si wanita memperbaiki keadaan keluarganya yang haru-biru itu.

6.    Takut Bercerai

Ini adalah masalah fobia. Ada lelaki yang dibesarkan oleh ayah mereka. Mereka menyaksikan ibu bapa mereka bercerai dan ibunya berkahwin dengan lelaki lain, sedangkan si ayah terus membesarkan anak-anaknya seorang diri.

Si lelaki harus berbincang dengan ayahnya dalam keadaan man-to-man. Belajar daripada kegagalan rumahtangga si ayah atau sesiapa yang telah mempengaruhi minda beliau itu … dan jangan ulangi kesilapan yang sama dengan rumahtangga sendiri.

7.    Kerjaya

Beliau tidak akan berkahwin sebelum membina kejayaan di  dalam hidup. Sebelum memiliki kereta, sebelum memiliki rumah, sebelum ada lima ratus ribu di dalam bank, sebelum mempunyai syarikat sendiri, sebelum memiliki Phd.

Sebenarnya semua itu boleh berlaku di alam perkahwinan.  Ramai yang mengalaminya. Allah s.w.t akan mengurniakan rezeki apabila seseorang itu berkahwin.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur ayat 32, “Dan kahwinilah orang yang sendirian di antara kamu, dan orang yang layak (berkahwin) daripada hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mengkayakan mereka daripada rezeki-Nya. Dan Allah Maha Luas Pemberian-Nya dan Maha Mengetahui.

8.    Takut Terkongkong.

Ada lelaki yang mempunyai hobi-hobi seperti memancing, bersukan, berbasikal, bermain muzik dan sebagainya. Hobi-hobi ini selalunya dilakukan secara berkelompok dengan mereka yang mempunyai kegemaran yang sama.

Segalanya akan berubah setelah berumahtangga. Its true! Banyak yang perlu dikurangkan atau ditinggalkan terus. Ada di antara lelaki yang tidak mahu kehilangan semua itu. Ia adalah satu kebebasan.

Saya ada mengenali seorang  juru kamera yang telah membuat perjanjian dengan isterinya sebelum berkahwin. Katanya, “Setiap lelaki ada hobi. Hobi abang adalah fotografi. Abang hanya minta hari Sabtu sahaja untuk jadi seorang photographer. Hari lain, abang adalah seorang suami.

Si isteri lalu bersetuju. Ini berkait rapat dengan tolak ansur.

9.    Sakit

Saya pernah menerima emel daripada seorang lelaki yang pada awalnya amat menyintai seorang wanita. Kedua-duanya pengguna myJodoh. Akan tetapi, apabila si wanita  menjadi serius dan mengajak berkahwin, si lelaki menjadi tidak yakin kerana beliau mempunyai penyakit serius tertentu yang dirahsiakan.

Beliau lalu meminta pandangan saya melalui emel.  Saya mencadangkan beliau menceritakan hal sebenar kepada wanita berkenaan jika benar beliau ikhlas.

Beliau lalu menceritakan dan si wanita mengambil sedikit masa untuk menerima hakikat tersebut. Namun, si wanita sanggup mengahwininya.  Saya tidak tahu apa kesudahan kisah cinta mereka kerana tidak lagi menerima apa-apa berita. Mudah-mudahan kedua-dua diberkati.

10.    Dia Dah Berkahwin

Beliau telah berumahtangga. Anda tidak tahu. Isteri beliau pun tidak tahu tentang kewujudan anda. Macam mana nak kahwin? Selalunya lelaki begini akan mempunyai macam-macam alasan pelik apabila diajak berkahwin.  Apabila anda akhirnya mengetahui yang dia sebenarnya telah berkeluarga, tetapi diajak kahwin juga, makin pelik alasan yang diberi.

Jika benar beliau  ikhlas, kahwin sahaja dengan menggunakan saluran yang betul. Beliau harus bersikap berani, adil dan jujur pada diri sendiri. Tetapi proses ini memakan sedikit masa.

Jika beliau masih lagi berdalih di dalam tempoh masa yang lama, anda berhak memutuskan hubungan ini.

Anda ingin berkongsi pengalaman ? Tuliskan di bawah ..