Hari Kekasih dan Umat Lubang Biawak

Nabi bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” (Riwayat Muslim)

Sebahagian umat Islam hari ini telah menjadi umat Islam pak turut atau lebih tepat menjadi umat lubang biawak berdasarkan hadis di atas. Mereka tidak lagi berbangga mematuhi landasan Islam sebaliknya lebih berbangga untuk meniru gaya dan cara hidup golongan Yahudi dan Nasara. Salah satu keramaian yang disambut oleh sebahagian umat Islam ialah sambutan hari Kekasih atau St. Valentine’s Day.

Asal usul hari Valentine sering kali dikaitkan dengan amalan golongan pagan jahiliah di zaman Rom Kuno dahulu. Pada bulan Februari mereka mengadakan keramaian yang dikenali sebagai Lupercalia untuk memuja tuhan Lupercus. Pada hari itu nama-nama gadis desa diletakkan dalam sebuah kotak dan setiap pemuda akan mengambil salah satu nama dari kotak tersebut secara rambang. Gadis yang terpilih akan menjadi kekasih pemuda itu sepanjang tahun.

Ketua paderi ketika itu, Paderi Gelasius 1, kemudiannya menjadikannya sebagai satu aktiviti agama Kristian dengan membuat beberapa pengubahsuaian. Antaranya dengan menggantikan nama-nama wanita dengan nama-nama tokoh Kristian di dalam kotak untuk dipilih dengan harapan masyarakat akan menjadikan tokoh-tokoh itu sebagai idola mereka. (http://www.christianitytoday.com/ct/2000/februaryweb-only/11.0a.html)

Mengikut Catholic Encyclopedia (http://www.newadvent.org/)Hari Valentine atau St. Valentine’s Day dikaitkan dengan tiga orang tokoh pejuang agama Kristian bernama Valentine, iaitu Valentine dari Terni, Valentine dari Rom dan seorang lagi dari Afrika. Wikipedia (en.wikipedia.org) memperincikan tentang ketiga-tiga tokoh ini. Valentine dari Terni ialah ketua paderi di Interamna (kemudiannya dikenali sebagai Terni) lebih kurang pada tahun 197 M. Beliau dibunuh oleh Maharaja Aurelian dan dikebumikan di Via Flaminia. Valentine dari Rom pula merupakan seorang paderi di Rom dan dibunuh pada tahun 269 M dan juga dikebumikan di Via Flaminia. Manakala tentang Valentine dari Afrika tidak banyak maklumat yang diketahui tentangnya.

Sebenarnya golongan Kristian Katolik mengiktiraf sebelas sambutan Hari Valentine salah satunya pada tanggal 14 Februari setiap tahun sehinggalah pada tahun 1969 apabila ia tidak lagi dianggap sebagai aktiviti rasmi Kristian Katolik.

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Sumber : http://mindasuper.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=144&Itemid=9

14 Trackbacks