.. mencari si dia yang soleh ..
Archive for May, 2008
Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?
May 10th

“Apa yang abang harapkan daripada sebuah perkahwinan?”
“Abang mengharapkan jalan mudah menuju tuhan ..”
“Tapi abang, mana ada jalan yang mudah tanpa dugaan?”
“Benar, namun pilihan yang tepat mengurangkan kesukaran, memperbanyakkan kemudahan.”
“Macam mana tu?”
“Bukankah perkahwinan itu menjaga kemaluan dan menundukan pandangan.”[1]
“Bagaimana jika abang tersalah pilih?”
“Sekurang-kurangnya abang telah berusaha memilih.”
“Bagaimana abang tahu pilihan abang itu tepat?”
“Apabila dia muncul dengan membawa Al-Quran.”
“Bagaimana dia memegang Al-Quran, di tangan kirinya atau kanan?”
“Bukan di tangan, tetapi di dalam hatinya. Dia menterjemahkan Al-Quran ke dalam kehidupan, ke dalam peribadi dan budi, ke dalam minda dan hati.”
“Bagaimana abang tahu ia bukan suatu kepuraan?”
“Wahai, bukankah hukama’ pernah berkata, kita tidak akan mengenal kebenaran daripada orang ramai. Pelajarilah kebenaran, dan kita akan kenal ahlinya.”[2]
“….”
Nukilan azrul.alwi.
Nota kaki
[1] Hadith riwayat Bukhari & Muslim. “Wahai para pemuda, sesiapa yang mampu berkahwin, hendaklah dia kahwin kerana perkahwinan itu dalam menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kehormatan). Dan bagi sesiapa yang tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa dapat menahan nafsunya.”
[2] Ihya Ulumuddin, Kitab Ilmu Pengetahuan, Bab Kebawajipan Seorang Pelajar. Menurut Imam Al-Ghazali ini adalah kata-kata Ali r.a. Namun, tiada bukti untuk mensabitkan dan tiada bukti untuk menidakkan.
Bahan grafik : towardsenlightment.wordpress.com/category/iqbal/
Malu Tapi Mahu – Teknik Menyatakan Hasrat
May 7th

Pernahkah anda terhalang di dalam menyampaikan hasrat hati kepada seseorang. Halangan tersebut mungkin disebabkan malu, takut, rasa rendah diri atau sebagainya. Akhirnya si dia yang anda sukai itu menjadi milik orang lain. Dan akhirnya anda hanya tersenyum sambil mengucapkan tahniah, selamat pengantin baru!
Namun, jika dikaji sejarah hidup Rasulullah, kita boleh mempelajari sesuatu untuk mengatasi masalah itu.
Siapa tidak kenal dengan Ummul Mukminin Saidatina Khadtijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah dan orang yang paling berjasa kepada agama Islam. Beliau mula jatuh hati dengan Rasulullah setelah mendengar khabar tentang keperibadian Rasulullah semasa mengendalikan perdagangan miliknya.
Ramai yang beranggapan bahawa Khadtijah telah meminang Rasulullah. Sebenarnya, proses peminangan Khadtijah dijalankan seperti biasa mengikut adat istiadat Arab. Hamzah dan Abu Thalib (bapa-bapa saudara Rasulullah) adalah individu yang bertanggungjawab di dalam proses peminangan Khadtijah. Khadtijah pula diwakili oleh bapa saudaranya Amr Bin Asad.
Apa yang boleh kita contohi ialah cara Khadtijah menyampaikan hasrat hati beliau kepada Rasulullah. Khadtijah menggunakan perantaraan sahabat baik beliau, Nufaisah Binti Munya untuk menyampaikan maksud. Kaedah ini lebih mulia kerana dirinya sudah tentu tidak akan berasa malu kalau-kalau nabi menolak usulnya.
Dalam proses itu Nurfaisah mulu-mula merahsiakan nama Khadtijah. Beliau hanya menggunakan kiasan-kiasan untuk melindungi identiti sahabatnya. Apabila Rasulullah mula menunjukan tanda-tanda minat, barulah Nurfaisah menyatakan secara terang bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah majikan Rasulullah sendiri. Apabila Rasulullah bersetuju, Nufaisah amat gembira dan berjanji akan membantu menguruskan semua hal dan tidak memberatkan Rasulullah.
Kemudian proses peminangan dan perkahwinan berlaku secara normal.
Kesimpulannya, cari seorang rakan yang boleh dipercayai untuk menjadi orang tengah sekiranya anda berasa malu, segan, takut atau sebagainya di dalam menyampaikan hasrat hati.
Wallahu’alam.
Rujukan
- Hayatu Muhammad (Terjemahan Ali Audah), Dr Muhammad Husain Heakal, Litera Antaranusa, Jakarta, Cetakan 2006. ms66-67.
- Rumahtangga Nabi Muhammad s.a.w., HMH Al-Hamid Al-Husaini, Pustaka Nasional Pte. Ltd., Singapura, 1996. ms70-71
- As-Siratu An-Nabawiyah Liibni Hisyam (Terjemahan Fadhli Bahri Lc), Ibnu Hisyam, Pustaka Dini, Kuala Lumpur, Cetakan 2006. Jilid 1 ms250-253.
- Sirah Riwayat Hidup Muhammad S.A.W., Abu Mazaya Al-Hafiz, Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur. Cetakan 2005. ms161-ms163.
- http://taaherah.blogspot.com/2007/07/kekasih-awal-dan-akhir-khadijah.html
Bengkel Kesempurnaan Solat
May 6th
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
“Solatlah seperti kamu melihat aku solat ”
(hadith riwayat Bukhari)
Khas untuk mereka yang berada di kawasan Lembah Kelang dan yang berminat untuk memperbaiki kualiti solat. Anda dijemput untuk menghadiri bengkel berikut sekiranya mempunyai kelapangan masa. Mudahan-mudahan suatu hari nanti anda akan menjadi suami yang dapat mengimamkan keluarga atau isteri yang dapat mendidik anak-anak tatacara bersolat.

Jadual Kuliah Ustaz Shamsuri Haji Ahmad – Mei 2008
May 5th

Kepada mereka yang berminat nak tambah ilmu, berikut merupakan jadual kuliah Ustz Shamsuri Haji Ahmad untuk bulan Mei 2008.
5hb Mei 2008
Masjid Simpang Empat
Permatang Buluh
Bahrul Mazi Jilid 16
6hb Mei 2008
Masjid Sultanah Bahiyah
Alor Setar, Kedah
Bahrul Mazi Jilid 15
7hb Mei 2008
Surau Taman Kerian
Parit Buntar, Perak
Tafsir Nurul Ehsan 4
13hb Mei 2008
Masjid Jelutong
Jelutong, Pulau Pinang
Bahrul Mazi Jilid 17
19hb Mei 2008
Masjid At-Taqwa
Taman Brown, Pulau Pinang
Tafsir Nurul Ehsan 1
20hb Mei 2008
Masjid Muttaqin
Bandar Darul Aman, Jitra.
Bahrul Mazi Jilid 13
Anda boleh download koleksi audio (MP3) kuliah yang lepas di link berikut :
Kuliah Bahrul Mazi : http://www.savefile.com/projects/808553314
Kuliah Tafsir Nurul Ehsan : http://www.savefile.com/projects/808553331
Kuliah Tafsir Al-Quran oleh Dr Danial Zainal Abidin : http://www.mindasuper.com/kuliah-tafsir/
Betulkah Anda Mengenali Si Dia?
May 3rd

Mereka yang pernah putus tunang (atau putus cinta) tentu sekali pernah menerima soalan seperti, “Kenapa boleh putus?”, “Siapa yang minta putus?” atau “Apa alasan yang dia bagi?” Namun, yang paling lazim adalah “Berapa lama dah kenal dengan dia?”
Betul tak?
Tidak dinafikan kita perlu mengenali seseorang sebelum menerimanya di dalam hidup, namun ia adalah mustahil untuk “betul-betul” mengenalinya. Beruntung kita kerana Umar Al-Khattab r.a. ada meninggalkan satu contoh tentang perihal “kenal” yang mungkin dapat kita jadikan panduan, InsyaAllah.
Diriwayatkan oleh Ibnu Katsir di dalam Al-Irsyad bahwa di dalam suatu perbicaraan seorang lelaki telah tampil sebagai saksi bagi seseorang. Lelaki tersebut mendakwa beliau mengenali orang yang terlibat di dalam perbicaraan itu.
Umar Al-Khattab bertanya kepada lelaki tersebut, “apa yang engkau ketahui tentang dia?”
“Tentang keadilan dan kemuliaan,” jawab lelaki (yang ingin menjadi saksi) itu.
“Adakah dia jiran kamu, sehingga kamu mengetahui tentangnya baik di waktu siang atau pun malam?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia pernah bermuamalah (berniaga, bertansaksi) denganmu, sehingga dengan muamalah itu kamu mengetahui sejauh mana kewara’kannya (meninggalkan yang ragu-ragu) ?”, tanya Umar lagi.
“Tidak,” jawab lelaki itu.
“Adakah dia temanmu di dalam perjalanan sehingga engkau mengetahui kemuliaan akhlaknya?”, tanya Umar untuk kali ketiga.
“Tidak,” jawab lelaki itu lagi.
“Bererti engkau tidak mengenalinya.”, kata Umar. Lalu Umar menyuruh menampilkan saksi lain.
Wallahu’alam.
Rujukan
Fatawa wa Aqhidyah Amiril Mu’minin Umar ibn Al-Khattab (terjemahan Uts Zubeir Suryadi Abdullah, Lc), Muhammad Abdul Aziz Al-Halawi, Risalah Gusti, Surabaya. 1999
Tarbiyatul Aulad Fi Islam (terjemahan Drs Jamaluddin Miri Lc), Prof Abdullah Nashih Ulwan, Pustaka Amani, Indonesia, 2002.
