Jodoh yang jauh atau yang dekat?


Semalam saya bertemu dengan seorang sahabat lain, beliau menjemput saya ke masjlis akad nikahnya pada Ahad ini. Apabila ditanya tentang bakal isterinya, beliau menyatakan bahawa bakal isterinya orang dekat sahaja. Apabila terus disoal selidik, rupanya sekampung!

Mudahnya segala urusan kenduri-kendara mereka nanti.

“Aku dah ambil iktibar daripada abang aku,” katanya.

“Abang aku dulu nak kena pi sampai Johor nuu, sampai dua bijik kereta..,” beliau mengeluh menyatakan kesusahan “Rombongan Cik Kiah” ketika urusan kenduri abangnya.

Dah jodoh, jauh atau dekat, tetap jodoh mereka.

Di myJodoh, belum pernah lagi saya dikhabarkan tentang pasangan yang sekampung. Yang jauh seperti Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Sarawak ke Kedah memang satu perkara lazim. Paling dekat adalah senegeri.

Mana tidaknya, teknologi maklumat telah mendekatkan jarak yang jauh. Jika dahulu kita terpaksa bermusafir beratus kilometer untuk bertanya khabar seseorang, kini semua itu boleh dilakukan di atas tapak tangan, di mana saja kita berada.

Sebenarnya jarak fizikal sama ada jauh atau dekat tidaklah menjadi persoalan besar di dalam menentukan pilihan hati. Apa yang penting adalah jarak kekerabatan pasangan hidup pilihan kita itu. Lagi jauh lagi baik.

Di dalam Taribiyatul Aulad, Dr Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, “di antara suruhan Islam yang paling bijaksana di dalam memilih isteri adalah mengutamakan wanita yang jauh daripada wanita yang seketurunan atau kaum kerabat. Ini adalah bertujuan untuk memelihara fizikal anak-anak daripada penyakit yang menular atau cacat secara keturunan, di samping memperluaskan lingkungan kekeluargaan dan mengeratkan ikatan-ikatan sosial.”

Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata, “Janganlah kamu menikahi kaum kerabat, sebab dapat menurunkan anak yang lemah jasmani dan bodoh.”

Justeru, untuk memudahkan segala urusan dan masa depan keturunan, carilah yang “jauh tetapi dekat”.

Wallahu’alam, semoga bermanfaat.

.

.

.

Rujukan

Tarbiyatul Aulad, Dr Abdullah Nashih Ulwan ..

53 Trackbacks