Cinta Cyber@Siber : Teknik Mengelak Kekecewaan dan Memastikan “Kejayaan”

Antara tempat “shopping” dan tempat “window shopping” kegemaran saya dan rakan-rakan semasa kami masih belajar di sebuah IPT di Lembah Kelang ialah Petaling Street. Ia terletak di tengah ibu kota dan menjadi pusat para penjaja cina menjual barangan-barangan tiruan, baju, seluar, minyak wangi dan macam-macam lagi.

Pada suatu hari, seorang rakan saya membelek-belek “seluar Jeans” dan terus bertanyakan harga dengan si penjual.

“Tengok dulu laaa, nanti you suka yang mana …. I kasi kurang.” Kata penjual dalam telo cina.

Rakan saya terus mendesak untuk mengetahui harga seluar tersebut dan akhirnya si penjual berkata, “yang ini empat puluh laa.”

“Tak boleh kurang ker? Dua puluh tak boleh?” Tanya rakan saya itu.

“Cincai, tiga puluh lima.” Kata penjual tersebut.

“Dua puluh sudah laaa .. minggu lalu saya datang you kasi dua puluh…” rakan saya memberikan alasan, entah benar, entah tidak.

“Ok laaa .. dua puluh lima … ok?” kata penjual cina tersebut.

Rakan saya terus mendesak untuk mendapatkan harga seluar tersebut serendah RM20 dan penjual cina itu terus mempertahankan harga RM25 dengan memberikan pelbagai alasan. Tawar-menawar itu berlaku lebih kurang setengah jam. Saya dan rakan-rakan lain dah mula rasa jemu berlegar-legar di gerai berhampiran.

“Dah laa .. malas aku nak beli, minta dua puluh pun susah dapat.” Kata rakan saya kepada penjual cina itu sambil angkat kaki. Sememangnya sejak dari awal lagi, dia ingin mendapat harga murah dahulu, baru hendak memilih yang mana dia inginkan. Dia ingat Supermarket ker?

Tahu apa jadi selepas itu?

Dia bukan sahaja dimarahi oleh penjual cina tersebut dengan teriakan dan makian yang kuat. Malah terpaksa berlari keluar dari kawasan Petaling Street, kerana teriakan penjual tersebut telah menarik perhatian penjual lain. Penjual tadi mula mengejarnya dan menyebabkan orang ramai yang berada di situ pun mengejarnya tanpa mengetahui sebab. Dia terpaksa menyembunyikan diri di kedai buku Popular yang berhampiran untuk suatu jangka masa bagi meredakan keadaan.

Itulah engkau Yen, lain kali jangan mainkan perasaan orang! Lain lagi jangan beri harapan kepada orang kalau masih belum confirm! Lain kali jangan kata nak beli sebelum dah betul-betul tengok.

Lazimnya, pasangan yang berkenalan di dunia siber (di myJodoh atau di mana-mana) akan mula menjalinkan hubungan melalui emel, Yahoo Messenger, MSN Messenger, Skype dan sebagainya. “Sembang-sembang” dan proses berkenalan tersebut akan dilanjutkan dari alam internet ke alam telekomunkasi selepas habis waktu bekerja. Beratus-ratus ringgit wang yang mereka “derma” kepada syarikat telekomunikasi. Semua ini akan menjadi semakin rancak jika kedua-duanya berada di jarak yang jauh. Seorang di Johor, seorang di Kuala Lumpur. Semua ini akan menjadi lebih rancak jika salah seorang baru sahaja dikecewakan. Tengah frust!

Kemudian mereka akan bertukar-tukar gambar apabila telah wujud sedikit kepercayaan atau bersembang melalui telefon, mendengar suara masing-masing. Di dalam jangka masa ini, lazimnya telah wujud rasa sayang, rindu, cemburu, berharap dan percaya … sedangkan masih belum bertemu!

Apabila telah bersedia, mereka akan bertemu untuk kali yang pertama. Lazimnya berdua-duaan. Lazimnya akan terdetik di dalam hati salah seorang “alaaaahai! kenapa dalam gambar nampak lain!??” atau “kenapa dalam emel, sms dan YM pandai berbahasa?” atau “eh .. kenapa suara dia lain macam jer..” atau “eh .. nampak macam laki orang jer ni!” dan seribu satu kekecewaan yang melambangkan orang yang dijumpai tidak seperti apa yang dikhayalkan.

Menurut kebanyakan pasangan yang berkahwin di myJodoh, mereka tidak menghadapi masalah ketika pertama kali berjumpa. Melalui aduan-aduan yang saya terima daripada pengguna myJodoh, mereka yang menghadapi masalah ketika pertama kali bertemu, akan cuba “menjauhkan diri.” Ini akan membuat pasangan yang seorang lagi seperti si penjual cina di atas. Kecewa, marah dan terasa dipermainkan!

Akhirnya, myJodoh yang akan dipersalahkan!

Cara Yang Lebih Selamat
Ada beberapa cara untuk mengelakkan kekecewaan ini. (Saya ringkaskan, tidak boleh sertakan banyak-banyak, sebab saya dah terjumpa ada buku di pasaran yang dah plagiat maklumat di dalam blog ini tanpa memohon izin atau merujuk semula ke sini. Maklumlah siapa laa kita ni…)

Pertama sekali, kenal pasti ciri-ciri yang anda mahu sebelum mula berkenalan dengan seseorang. Untuk mengenal pasti ciri-ciri yang anda ingin, anda perlu kenal diri sendiri terlebih dahulu. (ada penjelasan panjang untuk ini) Jika orang yang anda kenal itu tidak menepati “ciri-ciri asas” seperti umur, status perkahwinan, tinggi, berat, tempat tinggal, asal, kufu dan lain yang anda kehendaki (maklumat-maklumat ini anda boleh dapati dengan bertanya melalui sistem pesanan myJodoh atau sebarang kaedah di internet), tidak perlu lanjutkan hubungan, tidak perlu buang masa, tidak perlu menanam sebarang harapan dan janji, tak payah tengok muka pun tak mengapa. Goodbye, sayonara!

Jika si dia menepati ciri-ciri yang dikehendaki, ajaklah berjumpa “ramai-ramai” dan bukan berdua-duaan. (Rasanya, tidak perlu saya jelaskan fekahnya di sini.) Pertemuan beramai-ramai di tempat awam yang terbuka akan menghilangkan suasana romantik, suasana berahi dan sebarang ketakutan. Anda boleh bertanya tentang pekerjaan, pelajaran, pengetahuan agama dan kekeluargaan. Semua jawapan akan membongkar latar belakang, pemikiran dan identiti sebenar seseorang. (Ini pun saya tak boleh nak lanjutkan keterangan, agak panjang – maaf. Mungkin nak kena tunggu majalah Nur invite jadi columnist kot … 🙂 mungkin baru boleh terangkan.)

Dari saat ini, anda telah meneliti kesesuaian dan telah “melihat” serta “mendengar” orang yang anda ingin jadikan calon pasangan hidup. Kemudian fikir, fikir dan fikir. Jangan terburu-buru menolak dan jangan terburu-buru menerima. Minta pendapat rakan-rakan yang ikut serta di dalam pertemuan. Kemudian beristikharahlah. Jika petunjuk yang datang adalah positif maka eloklah disudahi dengan ikatan perkahwinan. Ajak sahaja si dia berkahwin. Ia akan berlaku dengan pantas dan mudah, InsyaAllah. (Ingat, anda melakukan setelah mendapat petunjuk daripada tuhan.) Perbincangan pra dan pasca perkahwinan biasanya akan berlaku di sini. Sebagai contoh, siapa akan bertukar tempat kerja, hantaran, mas kahwin, pertunangan, tarikh bertemu kaum keluarga … dan sebagainya.

Jika sebaliknya, kedua-duanya akan menjadi “hanya kawan” dan tidak ada lebih daripada itu. Berterus-teranglah dengan si dia. Jangan terus menyepi, kerana ini akan menimbulkan isyarat yang sebaliknya! Dia akan menyangka anda suka, tetapi malu nak menghubunginya.

Sebagai tambahan, kadang-kala akan wujud keinginan di dalam hati salah seorang untuk “terus memilih” walaupun telah bertemu yang sesuai. Ini adalah sikap negatif untuk sesuatu perhubungan dan adalah elok sekiranya anda membatalkan perhubungan sekiranya anda mengetahui si dia “masih lagi dalam proses memilih.” Jangan lupa, hadiah saguhati anda jika tidak dapat ke final adalah kekecewaan. Jadi, jangan cari penyakit walaupun si dia nampak menarik.

Jika seseorang mengikut empat langkah di atas, sekurang-kurang akan terdapat lebih 15 ribu orang yang berpontensi untuk dijadikan “pasangan hidup atau kawan” di myJodoh. (Tak kan dalam 10 orang, seorang pun tak sangkut?)

Ikut langkah-langkah di atas dan InsyaAllah anda tidak akan kecewa dan marah seperti penjual cina tadi! Semoga bertemu pasangan hidup anda.

.

.

Wallahu’alam.

.

.

49 Trackbacks