.. mencari si dia yang soleh ..
Archive for May, 2008
Audio Kuliah Tafsir Al-Quran : Pasangan Yang Ghaplah!
May 26th

Salam,
11-Mei-2008
Audio Kuliah Tafsir Al-Quran oleh Dr Danial bertempat di Surau Kompleks Belia dan Sukan, Sungai Nibong, Pulau Pinang. Antara kandungan audio ini, beliau menceritakan keadaan ghaplah yang dihadapi oleh seorang yang ghaplah, sehingga membawa ke alam perkahwinan.
Surah Adz-Dzaariyaat ayat 1 hingga 11.
( Salinan audio ini adalah ihsan daripada salah seorang yang hadir di kuliah tersebut. Beliau adalah satu-satunya orang yang mempunyai salinan audio yang jelas kerana pada hari tersebut, sistem audio mengalami sedikit gangguan.)
Mudah-mudahan bermanfaat.
Jodoh yang jauh atau yang dekat?
May 22nd

Semalam saya bertemu dengan seorang sahabat lain, beliau menjemput saya ke masjlis akad nikahnya pada Ahad ini. Apabila ditanya tentang bakal isterinya, beliau menyatakan bahawa bakal isterinya orang dekat sahaja. Apabila terus disoal selidik, rupanya sekampung!
Mudahnya segala urusan kenduri-kendara mereka nanti.
“Aku dah ambil iktibar daripada abang aku,” katanya.
“Abang aku dulu nak kena pi sampai Johor nuu, sampai dua bijik kereta..,” beliau mengeluh menyatakan kesusahan “Rombongan Cik Kiah” ketika urusan kenduri abangnya.
Dah jodoh, jauh atau dekat, tetap jodoh mereka.
Di myJodoh, belum pernah lagi saya dikhabarkan tentang pasangan yang sekampung. Yang jauh seperti Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Sarawak ke Kedah memang satu perkara lazim. Paling dekat adalah senegeri.
Mana tidaknya, teknologi maklumat telah mendekatkan jarak yang jauh. Jika dahulu kita terpaksa bermusafir beratus kilometer untuk bertanya khabar seseorang, kini semua itu boleh dilakukan di atas tapak tangan, di mana saja kita berada.
Sebenarnya jarak fizikal sama ada jauh atau dekat tidaklah menjadi persoalan besar di dalam menentukan pilihan hati. Apa yang penting adalah jarak kekerabatan pasangan hidup pilihan kita itu. Lagi jauh lagi baik.
Di dalam Taribiyatul Aulad, Dr Abdullah Nashih Ulwan menyatakan, “di antara suruhan Islam yang paling bijaksana di dalam memilih isteri adalah mengutamakan wanita yang jauh daripada wanita yang seketurunan atau kaum kerabat. Ini adalah bertujuan untuk memelihara fizikal anak-anak daripada penyakit yang menular atau cacat secara keturunan, di samping memperluaskan lingkungan kekeluargaan dan mengeratkan ikatan-ikatan sosial.”
Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata, “Janganlah kamu menikahi kaum kerabat, sebab dapat menurunkan anak yang lemah jasmani dan bodoh.”
Justeru, untuk memudahkan segala urusan dan masa depan keturunan, carilah yang “jauh tetapi dekat”.
Wallahu’alam, semoga bermanfaat.
.
.
.
Rujukan
Tarbiyatul Aulad, Dr Abdullah Nashih Ulwan ..
Adakah Transaksi Pembayaran Kepada myJodoh Haram?
May 21st
Seorang pengguna telah menemui sebuah laman web (yang juga mengadakan pencarian jodoh) mengeluarkan kenyataan seperti berikut :
Fiqah Muamalah membincangkan syariat peraturan perhubungan antara manusia, masyarakat termasuklah perniagaan, jual-beli, kewangan, dan ekonomi.
Dari segi syariah, sumber kewangan yang diperolehi oleh portal jodoh lain seperti MyJodoh.net dan MuslimMatrimonial.com mungkin TIDAK HALAL kerana mereka mengenakan bayaran untuk sesuatu yang sebenarnya hanyalah email dan nombor telefon ahli.
Manakala portal jodoh Islam ini sedaya-upaya menyediakan PERKHIDMATAN MENCARI JODOH dan menguruskan Majlis Takruf dan Perjumpaan, dan ini boleh diberi ganjaran atau upah.
Saya lalu menulis dan bertanya kepada beberapa ulama seperti berikut :
Salam, Nama saya Azrul, pengendali dan pemilik laman web myJodoh (www.myjodoh.net). myJodoh telah diasaskan pada Disember 2002 dan berfungsi untuk membantu muslimin dan muslimat menemu pasangan hidup.
Konsep Pembayaran di myJodoh
Peserta menyertai myJodoh dengan percuma.Caj dikenakan apabila pengguna ingin mengiklankan maklumat berhubung mereka (nombor telefon, emel, laman web dan sebagainya) dalam tempoh tertentu (3 bulan, 6 bulan atau 1 tahun). Sesiapa sahaja yang mendaftar secara percuma boleh melihat maklumat mereka yang menghubungi mereka sekiranya berminat. Mereka juga boleh mengguna sistem pesanan peribadi, forum dan beberapa ruangan tertentu yang dikhaskan untuk pengguna berbayar.
Sekiranya seorang pengguna berdaftar percuma (tanpa membuat pembayaran iklan seperti di atas) dan meninggalkan maklumat berhubung untuk dihubungi. myJodoh akan menjual maklumat berhubung tersebut dengan kadar tertentu kepada pengguna lain yang berminat kepada mereka.
Persoalan
Saya ada menerima kritikan daripada beberapa entiti/laman web pesaing yang mendakwa dari sudut fekah muamalat transaksi pendapatan seperti diatas adalah tidak sah. Harap tuan boleh jelaskan kerana ini amat merunsingkan saya. Mudah-mudahan Allah s.w.t. membantu tuan dalam menyatakan kebenaran.
Terima kasih.
Lalu menerima jawapan seperti berikut, daripada :
- Dr Danial Zainal Abidin, bekas Yang Dipertua JIM Pulau Pinang melalui telefon telah mengatakan, “tidak mengapa. myJodoh merupakan sejenis perkhidmatan.”
- Prof Madya Dr Radzi Othman , seorang pakar hadith dari USM, Pulau Pinang, melalui sahabat saya Abu Hasif, telah berkata, “tidak ada masalah dengan ini.”
- Ustaz Abdul Rashid, Presiden Institut Al-Qayyim telah menjawab secara bertulis seperti berikut :
Berdasarkan penjelasan yang diberikan, boleh difahami bahawa bayaran yang dikenakan adalah dalam dua bentuk:
1. caj untuk pengiklanan.
2. caj untuk perkhidmatan menyimpan dan menyebarkan data.wallahu a’lam, apa yang zahir tiada unsur penindasan, penipuan atau perkara-perkara yang dilarang syarak. Hukumnya HARUS, oleh itu barangsiapa yang mendakwa ia tidak sah di sudut syarak mestilah membuktikan di mana kesalahannya. Tidak cukup sekadar dakwaan yang mungkin dilatari oleh perasaan dengki dek persaingan dalam industri yang sama.
- Sahibul Samahah Dr Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis telah menjawab secara bertulis seperti berikut :
itu sebgai upah dan ianya sah.
Mudahan-mudahan keterangan ini memberi penjelasan kepada mereka yang bertanya melalui emel. Terima kasih kerana menyemak terlebih dahulu dengan saya. Semoga anda diberkati.
Kenapa Tiba-Tiba Rasa Tak Nak Kahwin Di Saat-Saat Akhir?
May 21st

Saya bertemu dengan seorang sahabat yang akan berkahwin di dalam masa 10 hari lagi. Beliau bertanya saya, “apa hang rasa kalau lagi sepuluh hari nak kahwin?”
“Rasa macam tak nak kahwin,” jawab saya dengan spontan, diikuti dengan sambutan ketawa daripada seorang rakan lain yang berada di situ.
“Takut culture shock ka?” Tanya rakan ketiga itu.
“Dak, tetapi memang perkara biasa untuk depa yang nak berkahwin. Depa akan rasa macam tu.” Saya menjelaskan.
“Dulu, aku rasa macam Zaidi rasa juga. Bila aku confuse, aku telefon tanya sorang member aku.” Saya menceritakan pengalaman.
“Dia cerita kat aku satu hadith yang buat aku faham pasai apa aku rasa macam tu.” Saya menambah. Sebuah hadith yang menyatakan bahawa kerja-kerja menceraikan manusia merupakan kerja-kerja mulia syaitan. Sekaligus membuat saya faham kenapa perasaan tidak ingin berkahwin boleh terbit di saat-saat akhir.
Kedua-dua sahabat mendengar hadith yang saya ulangi, walaupun mata masing-masing tertumpu ke arah layar TV besar .. ulang tayang Chelsea melawan Liverpool.
Imam Muslim merekodkan sebuah hadith daripada Jabir r.a.. Katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan. Kemudian ia mengirimkan bala tenteranya. Tentera yang paling hampir kedudukannya dengan iblis adalah yang menimbulkan fitnah paling besar kepada manusia. Seorang daripada mereka datang dan berkata, ‘Aku telah lakukan ini dan itu.’ Iblis menjawab, ‘Engkau belum melakukan apa-apa.”
Nabi shallallaahu ‘alaihi wa sallam melanjutkan, “Lalu datanglah seorang daripada mereka dan berkata, ‘Tidaklah aku meninggalkannya sehingga aku telah berhasil memisahkan dia (suami) dan isterinya.’’ Beliau melanjutkan, ‘Lalu iblis mendekatkan kedudukannya. Iblis berkata, ‘Sebaik-baik pekerjaan adalah yang telah engkau lakukan.” [1]
[1] http://hadith.al-islam.com ; Sahih Muslim, #5032
Jangan Salah Faham, myJodoh Bukan Agensi Pencari Jodoh
May 20th

(Imej Laman web myJodoh pada Ogos 2002, yang direkod oleh Webarchive.org)
Jangan salah faham, myJodoh bukan agensi pencari jodoh. myJodoh tidak akan mencari pasangan hidup untuk anda, sebaliknya anda perlu berinterasi di myJodoh untuk mencari pasangan hidup dengan sendiri.
myJodoh adalah tempat untuk mereka yang mencari pasangan hidup berkumpul, berdaftar dan mengiklankan maklumat diri melalui pakej yang disediakan. Sesiapa yang ada jodoh di sini, maka itu adalah jodoh anda. Sesiapa yang tidak ada boleh memanjangkan tempoh pengiklanan atau mencuba kaedah lain.
Dengan menggunakan kuasa internet, myJodoh akan memberitahu anda siapa yang sedang mencari pasangan hidup. Dalam masa yang sama myJodoh juga akan memberitahu pengguna lain tentang kewujudan anda. Jika berminat, anda atau si dia boleh berhubung melalui kaedah yang disediakan. Sedikit caj akan dikenakan untuk mengiklankan maklumat berhubung anda (Pakej A) atau mendapatkan maklumat berhubung mereka yang tidak mengiklan. (Pakej B)
Kaedah ini amat mudah, murah dan menjimatkan masa. Dengan teknik yang betul, pencarian pasangan hidup akan menjadi mudah. Dengan teknik yang betul juga, sebarang bentuk penipuan mudah dihindarkan.
Secara am, tugas utama saya adalah menambah jumlah kepenggunaan laman web, agar tidak tinggal aku, engkau dan si Leman sahaja di myJodoh. Lebih ramai pengguna yang aktif, lebih besar kebarangkalian seseorang bertemu pasangan hidup. Setakat ini alhamdulillah, setiap hari pasti ada pengguna baru yang berdaftar.
Pendirian saya amat mudah, saya tidak layak mencari pasangan hidup untuk sesiapa. Saya tidak mengenal kebanyakan pengguna secara peribadi. Untuk berkata “aku kenal si fulan dan ia sesuai untuk engkau” tidak semudah yang disangkakan. Menurut Dr Abdullah Nashih Ulwan di dalam Tarbiyatul Aulad, ia memerlukan syarat-syarat khas. (Kalau saya tolong carikan pun, tidak bermaksud saya syorkan, dan ia dilakukan secara percuma.)
Maklumat yang kita dapat daripada kad pengenalan, surat beranak, sijil-sijil, ijazah-ijazah, penampilan luaran, kata-kata, tidak mencukupi untuk kita berkata, “aku kenal engkau..” atau ..”engkau tidak sesuai dengan dia ni, engkau lebih sesuai dengan si fulanah ..”
Di dalam sebuah hadith riwayat Imam Muslim, Utsman r.a. pernah menyatakan tawaran kepada Ibnu Mas’ud, “Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah.” Ibnu Mas’ud kemudian membacakan hadith masyhur yang sering kita dengar. (Riwayat Imam Muslim: 2485) Melalui riwayat ini kita tahu bertapa rapatnya hubungan di antara para sahabat sehingga mereka boleh mencadangkan seorang jodoh untuk sahabat mereka. Hubungan tersebut mungkin berbeza dengan orang yang tidak kita kenali.
Maafkan saya, saya tidak berani melangkah masuk ke wilayah ini. Apatah lagi, membina rumahtangga adalah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Ia melibatkan soal hati, soal keluarga dan ia merupakan rancangan masa panjang ke akhirat. Justeru, adalah lebih baik pengguna belajar mengenali dan mencari sendiri. Saya akan memberi khidmat nasihat sedaya mampu sekiranya diperlukan. Alhamdulillah, kaedah ini telah banyak menyebabkan ramai pandai memilih dan ramai yang bertemu jodoh di myJodoh.
Seperkara lagi, myJodoh juga tidak pernah mengadakan apa-apa majlis untuk menemukan anda dengan sesiapa. Biasanya majlis-majlis, aktiviti, program dan sebagainya yang pernah diadakan adalah anjuran komuniti myJodoh sendiri. (Tidak dinafikan ada peserta yang bertemu jodoh ketika menghadiri program-program tersebut … dah jodoh mereka.) Saya hanya membantu mempromosikan program tersebut sekiranya ada komuniti yang meminta berbuat demikian. Program terakhir, Gathering Aidil Fitri telah diadakan pada bulan syawal tahun lalu.
Pengguna juga tidak semestinya memberitahu saya sekiranya mereka telah menjumpai pasangan hidup di sini. Melalui pengalaman, saya belajar rata-rata mereka yang lanjut usia, janda, duda, anak-anak dato, orang-orang kenamaan atau yang berpoligami tidak mahu perkahwinan mereka diketahui orang. Ini merupakan antara sebab saya tidak menyiarkan senarai mereka yang sudah bertemu jodoh di sini.
Justeru, semuanya terpulang kepada anda, sekiranya dijemput, sudah tentu saya akan angkut anak isteri pergi makan kenduri. Saya akan ambil gambar dan simpan sebagai kenangan di hari tua saya esok dan mendoakan anda. Sekiranya hanya diberitahu 1 tahun kemudian, pun saya akan ambil gambar dan juga mendoakan anda. (ada jugak orang buat macam ni..)
Sekiranya tidak diberitahu, its ok. Semoga anda diberkati.
Dan …. jangan terlalu risau, maklumat statistik dan pemerhatian saya menunjukan lebih 90% daripada pengguna myJodoh akhirnya akan berumahtangga setelah menyertai myJodoh. Walaupun bukan semua yang bertemu jodoh di myJodoh, tetapi mereka selalunya mendapat pasangan hidup setelah menyertai myJodoh.
Ini bukan menunjukan myJodoh ini ada keramat atau kuasa ajaib. Tetapi ia mungkin menunjukan para pengguna berkenaan mengalami beberapa perubahan diri ketika menjadi komuniti myJodoh. Ini termasuk ilmu, tambah kenalan, cara pemikiran, cara pergaulan, cara memilih, persepsi, penilaian, dikecewakan dan sebagainya. Akhirnya mereka lebih berpengalaman dan lebih mudah mengenal pasti pasangan hidup mereka walaupun di tempat lain.
Rasanya cukup setakat ini, harap-harap selepas ini tidak akan wujud sebarang salah faham.
Terima kasih.
Wallahu’alam.



