Kekasihku seorang anti-hadith ..

Salam en azrul,
Saya telah mengenali seorang lelaki di myjodoh dan kami telah berkawan beberapa bulan. Dia seorang yang baik dan jujur. Dia juga seorang yang tahu tentang agama. Cuma saya berasa pelik, semenjak kebelakangan ini dia selalu bercerita tentang Al-Quran. Di dalam Al-Quran tidak ada dalil tentang sembahyang lima waktu. Dia juga mengatakan banyak amalan kita setiap hari sebenarnya tidak terdapat di dalam Al-Quran. Kita semua percaya dengan hadis-hadis yang kita baca menyebabkan kita sesat. Adakah orang seperti dia sesuai boleh membimbing saya selepas berkahwin.

[Emel ini telah disaring untuk mengelakan sebarang polemik]

 

Berdasarkan emel saudari, memang ternyata beliau ada seorang Anti-Hadith. Menurut Dr Danial di dalam bukunya Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, “Di Malaysia, golongan ini (anti-hadith) dipimpin oleh Dr. Kassim Ahmad dibantu oleh pengikutnya Othman Ali. Mereka mempertikaikan Al-Hadith sebagai sumber hukum dan ajaran mereka diharamkan mengikut keputusan Muzakarah Mufti-Mufti Negeri pada 6 September, 1995”[1] Jelas sekali ajaran yang mengenepikan hadith sebagai sumber hukum adalah sesat.

Benar, di dalam Al-Quran tidak terdapat keterangan seperti waktu-waktu solat secara spesifik. Namun begitu, Al-Quran adalah sebuah kitab induk yang lengkap. Ia mempunyai banyak ayat-ayat menyuruh manusia bersolat dan berzakat. Hanya melalui keterangan hadith-hadith Rasulullah sahaja kita mengetahui waktu-waktu dan cara-cara mendirikan solat serta kadar-kadar zakat.

Firman Allah di dalam surah Al-Ahzab ayat 36, “Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” Firman Allah di dalam surah Al-Anfaal, ayat pertama, “..serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

Bagaimana caranya kita mentaati Rasulullah dan hukum-hukum yang telah beliau tetapkan sedangkan kita tidak pernah berjumpa dengan beliau? Tidak lain dan tidak bukan hanya dengan mentaati beliau melalui hadith-hadith yang diriwayatkan. Jadi, fungsi As-Sunnah dan hadith-hadith adalah amat penting di dalam menerangkan maksud Al-Quran.

Tidak dinafikan terdapat ramai individu yang ingin kembali kepada Islam yang asli. Mereka mula mencintai dan mengkaji Al-Quran. Namun, kajian yang tidak berlandaskan sumber-sumber yang betul tanpa melalui guru-guru yang benar serta bercampur dengan pendapat sendiri boleh mengelirukan cara seseorang memahami kandungan Al-Quran. Justeru, ilmu Al-Quran perlu perlajari dari guru-guru yang berkelayakan.

Masyarakat kita juga turut menyumbang ke arah kemunculan pemikiran sebegini. Kita banyak meriwayatkan banyak hadith-hadith palsu atau ceritera Israilliyat yang tidak bersumber daripada Rasulullah tanpa disedari. Kadang-kadang riwayat palsu yang tidak sahih ini bertentangan dengan syariat Islam dan logik akal. Secara tidak langsung akan mengetuk minda sesetengah orang untuk berfikir semula tentang periwayatan tersebut. Jika iman mereka kuat, mereka mungkin mengkaji semula sesuatu riwayat itu dengan mengenalkan pasti sumber dan statusnya. Sebaliknya, iman yang lemah akan menyebabkan hati mula menolak semua jenis riwayat.

Nasihat saya, saudari boleh terangkan kepada beliau seperti yang saya terangkan di atas dan berdoa supaya beliau diberi petunjuk dan hidayah. Jika beliau tidak dapat menerimanya, saya rasa jalan terbaik adalah perpisahan.

Wallahu’alam.

Nota Kaki

[1] Bahan Berdakwah Untuk Remaja Moden, Dr Danial Zainal Abidin. PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd. Terbitan 2002, ms80.

11 Trackbacks