Archive for September, 2007

Sudah Sampai Juzuk Ke Berapa?

quran.jpgSyabas kepada mereka yang menghidupkan malam-malam dan siang-siang Ramadhan dengan pembacaan Al-Quran.

Di dalam Al-Azkar, Iman Nawawi rah. ada menukilkan kisah seorang ahli ibadat bernama Sayid Al-Jalil Ibnu Katib As-Shufi yang mampu mengkhatam Al-Quran empat kali di siang hari dan empat kali di malam hari. Seorang tabiin[1], Mansur ibnu Zadan rah. mengkhatam sekali Al-Quran di antara Zohor dan Asar, sekali lagi di antara Magrib dan Isyak setiap hari. Mujahid rah, yang juga seorang tabiin besar mengkhatam Al-Quran di antara Magrib dan Isyak pada setiap hari di dalam Ramadhan. Di antara para sahabat Rasulullah, terdapat beberapa yang mampu mengkhatam Al-Quran di dalam satu rakaat solat. Di antaranya adalah Utsman Bin Affan r.a., Tamin Ad-Dari r.a., Sa’id Ibnu Jubair r.a. dan lain-lain.

Di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Ghazali rah. menyenaraikan nama-nama para sahabat yang mengkhatam Al-Quran seminggu sekali seperti Utsman r.a., Zaid Bin Tsabit r.a., Ibnu Mas’ud r.a. dan Ubai Bin Kaab r.a. Ini adalah menurut anjuran oleh Rasulullah s.a.w. agar mengkhatam Al-Quran seminggu sekali.[2]

Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya rah. pernah menukilkan kisah-kisah kehebatan para ulama terdahulu yang mengkhatamkan Al-Quran. Sebagai contohnya Imam As-Syafie rah. yang mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang bulan Ramadhan.[3] Imam Abu Hanifah rah. pula sebanyak 61 kali di dalam bulan Ramadhan.[4] Qatadah rah. mengkhatam Al-Quran setiap tiga hari sepanjang Ramadhan dan sekali semalam di sepuluh hari terakhir Ramadhan.[5] Beliau juga menukilkan keadaan ahli rumahnya sendiri, walaupun sibuk di dalam melakukan kerja-kerja rumah tetapi mampu menghabiskan 15 hingga 20 juzuk Al-Quran setiap hari sepanjang Ramadhan.[6]

Dan banyak lagi kisah-kisah orang yang membaca dan mengkhatamkan Al-Quran. Namun persoalan sebenar adalah bagaimana dengan pembacaan Al-Quran kita di Ramadhan ini?

Pada saat ini, mungkin ada yang telah berkali-kali khatam Al-Quran. Mungkin ada yang baru bermula kerana baru mendapat “semangat Ramadhan”. Atau pun mungkin ada yang membaca sehari sejuzuk mengikut adat biasa. Mungkin ada yang mampu menghabiskan juzuk pertama walaupun telah setengah bulan berpuasa.

Apa-apa pun tahap pembacaan Al-Quran seseorang, semuanya sudah tentu akan mendapat ganjaran seperti yang dicerita oleh banyak hadith-hadith nabi. Di antaranya adalah riwayat daripada Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Orang yang pandai membaca Al-Quran itu akan bersama para Rasul yang mulia. Adapun orang yang lemah dan tersekat-sekat ketika membaca Al-Quran dan dia memang berkeinginan untuk membaca Al-Quran, maka dia berhak mendapat dua pahala.”[7] Dua pahala atau dua kebajikan bermaksud, satu untuk pembacaan dan satu lagi kerana kesusahan yang ditanggung ketika membaca.[8]

Dr. Danial Zainal Abidin pernah berkata, sebaik-baik pembacaan Al-Quran adalah mengamalkan konsep 3M.[9] Membaca, memahami dan menghayati. Membaca di sini bermaksud membaca dengan baik dan tartil mengikut tajwid dan sebutan yang betul. Setelah membaca dengan betul, seseorang itu sepatutnya memahami maksud ayat-ayat yang dibaca. Kadang-kala terdapat ayat-ayat yang memberi nasihat, peringatan dan ancaman. Tahap terakhir adalah apabila seseorang itu menghayati pemahaman tersebut dengan mengamalkan segala yang dibaca di dalam kehidupan seharian.

Konsep ini adalah berdasarkan amalan para sahabat. Menurut Ibnu Mas’ud r.a., bahawa beliau dan para sabahat dahulu mempelajari tidak lebih dari sepuluh ayat Al-Quran setiap kali, mereka tidak akan melampauinya sebelum betul-betul memahami secara benar maknanya dan mengamalkannya. [10]

Di dalam konteks pencarian jodoh dan alam rumahtangga, mereka yang membaca Al-Quran dan memahami maksud ayat-ayat yang dibaca sudah tentu akan bertemu dengan ayat-ayat yang menerangkan ciri-ciri wanita yang sepatutnya dijadikan isteri[11], berhati-hati dengan kata-kata dusta[12], kesabaran di dalam berumahtangga[13], “masalah gantung tidak bertali”[14], teknik mengajar dan melayan isteri[15] serta lain-lain yang berkaitan.

Pendek kata terdapat pelbagai perkara yang difirmankan secara bertebaran di dalam Al-Quran untuk kita renung dan berfikir. Kita tidak akan menjumpainya melainkan dengan hanya meneliti Al-Quran secara konsisten. Firman Allah di dalam Surah An-Nisa’ , ayat 82, “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”

Pembacaan Al-Quran perlu diteruskan walaupun selepas Ramadhan. Ramadhan adalah bulan penyucian daripada sikap negatif dan bulan pembentukkan sikap positif. Mudah-mudahan sikap positif yang baru terbentuk terus dipupuk dan dipertahan sehingga Ramadhan sekali lagi.

Akhir kata, di dalam sebuah riwayat, Rasulullah s.a.w. telah bersabda, “Apabila seseorang membaca Al-Quran, maka hendaklah dia meminta kepada Allah. Sesungguhnya akan tiba suatu masa di mana orang-orang akan membaca Al-Quran, tetapi mereka meminta kepada manusia.”[16]

Mungkin selepas keampunan dan kehindaran api neraka yang diminta, kemurahan rezeki dan kemudahan di dalam jodoh pertemuan?

Wallahu’alam.

Nota Kaki
~~~~~~

[1] Generasi yang hidup selepas wafatnya nabi, yang guru-guru mereka terdiri daripada para sahabat nabi.
[2] Buku Sahih Bukhari: 1824. Online : 4666
[3] Fadhilat Ramadhan (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Era Ilmu Sdn. Bhd., 2005, ms68.
[4] Fadhilat Al-Quran (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Era Ilmu Sdn. Bhd., 2005, ms75.
[5] Fadhilat Ramadhan (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad op. cit., ms67.
[6] Fadhilat Ramadhan (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad op. cit., ms30.

[7] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim, #1329.
[8] Fadhilat Al-Quran (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Era Ilmu Sdn. Bhd., 2005, ms 16.
[9] Khutbah Jumaat, 14hb September 2007, Masjid Hashim Yahya, Pulau Pinang.
[10] Terjemahan Singkat Tafsir Ibnu Katsier, Al-Imam Ibnu Katsier (terjemahan H. Salim Bahreisy & H. Said Bahseiry) Victory Agencie, 2006, Jilid 1, ms xviii.
[11] Surah An-Nisa’, ayat 25.
[12] Surah Al An’aam, Ayat 112
[13] Surah An-Nisa’ , ayat 19.
[14]Surah Al-Baqarah, Ayat 231.
[15] Surah An-Nisa’, ayat 34.
[16] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi, # 2841

.

..

..

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji
Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran

  • Share/Bookmark

Salam Takziah Buat Keluarga Adik Nurin

Assalamu’alaikum …

Di dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” Di dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan “kutiba” yang beerti “diwajibkan”.

Lalu dengan mengenang perintah itu, kita berpuasa pada hari ini. Kita tahu puasa adalah wajib. Walaupun hakikat berpuasa masing-masing adalah berbeza-beza, tetapi puasa menjadi fokus. Sehinggakan orang yang tidak berpuasa akan menyembunyikan aktiviti “curi-makan” mereka kerana berasa malu dan takut.

Di dalam surah yang sama pada ayat 178, Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman ‘Qisas’ (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan.” Sekali lagi Allah menggunakan perkataan “kutiba” yang bererti “diwajibkan”.

Berlainan dengan ayat tadi, pada ayat ini Allah memerintahkan manusia wajib menjalankan hukum Qisas. Pada hari ini, kita tidak menitikberatkan hukum Qisas seperti kita mengikut perintah puasa. Apabila Qisas diketepikan, penyakit masyarakat akan muncul. Perkara bunuh-membunuh menjadi suatu kebiasaan. Kita akan menjadi takut keluar bersiar-siar atau ke mana-mana. Keselamatan akan menjadi isu.

Pada tahun 2001, seorang gadis bernama Nurul Hanis Kamil berumur 16 tahun, dirogol dan dibunuh dengan kejam di Melaka. Pada tahun 2004 seorang budak darjah 3, Siti Syazwani ditemui mati dalam keadaan separuh bogel berhampiran rumahnya di Taman Rhu, Sungai Petani….. serta banyak lagi kes yang berlaku tetapi tidak mendapat liputan media Melayu.

Justeru, jaminan untuk kita hidup dengan selamat bersama keluarga dan anak-anak semakin hari semakin terancam. Waima kita berada di negara yang paling selamat di rantau ini, kita tidak mendapat jaminan kesejahteraan daripada Allah. Seorang kanak-kanak boleh hilang di khalayak ramai dan timbul di sebatang sungai dalam keadaan yang menyedihkan sebulan selepas itu. Jaminan kesejahteraan telah dicabut oleh Allah kerana kita meninggalkan banyak perkara-perkara “kutiba”.

Di dalam ayat 179 pada surah yang sama, Allah berfirman, “Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

Mudah-mudahan Allah mengampunkan kita. Kita terlibat secara tidak langsung ke atas apa yang terjadi kepada adik Nurin. Kita gagal menegakkan perkara-perkara yang diwajibkan. Kita menolak pelbagai jenis “kutiba” sehingga Allah mengangkat jaminan keselamatan ke atas kita. Akhirnya adik Nurin dan lain-lain yang menjadi mangsa.

Siapakah seterusnya?

Salam takziah untuk keluarga adik Nurin.

Wallahu’alam.

Rujukan

http://dein81.tripod.com/pelajarme.htm

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/49603/Article/index_html

http://www.parlimen.gov.my/opindex/pdf/AUMDN16052005.pdf

  • Share/Bookmark
quran.jpg

Tip Penjagaan Kulit Daripada Al-Quran

Struktur Kulit ManusiaSecara amnya kulit manusia terdiri daripada lapisan epidermis dan lapisan dermis. Lapisan epidermis adalah lapisan yang tidak mempunyai saluran darah dan bergantung kepada bekalan darah daripada lapisan dermis.

Di dalam lapisan dermis kulit manusia, Allah telah menciptakan kelenjar-kelenjar yang dikenali sebagai kelenjar sebum. Kelenjar ini menghasilkan lemak dari semasa ke semasa. Menurut pada saintis, tujuan penghasilan lemak-lemak ini adalah untuk melindungi kulit dan rambut daripada menyerap air. Ia juga mengelakkan kulit dan rambut menjadi kering, berkedut atau merekah. Hebat sungguh ciptaan Allah.

Sel-sel kulit manusia yang mati pula akan ditolak keluar ke lapisan epidermis, seterusnya tubuh badan akan menghasilkan sel baru. Proses ini berlaku sepanjang masa. Boleh dikatakan setiap detik, ada sahaja sel kulit yang mati di atas kulit manusia.

Sel-sel mati ini kemudiannya akan terkumpul bersama-sama lemak-lemak sebum, bakteria dan habuk di atas permukaan kulit. Permukaan kulit akan menjadi kotor. Bakteria-bakteria kemudiannya akan bertindak balas dan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan. Inilah yang berlaku pada kulit manusia setiap hari.

Jika tidak bersihkan, ia akan mengakibatkan jangkitan kepada kulit seperti jerawat, jeragak, kanser dan sebagainya. Di bahagian muka manusia sahaja, para saintis telah menganggarkan terdapat 500 juta bakteria pada setiap inci persegi. [1]

Di dalam surah Al-Maaidah ayat 6, Allah telah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib;”

Ayat ini merupakan perintah daripada Allah supaya orang-orang Islam berwuduk sebelum menunaikan solat. Wuduk perlu dilakukan dengan air suci. Anggota-anggota badan yang wajib dibersihkan adalah muka, tangan, kepala dan kaki.

Diriwayatkan daripada Humran r.a katanya, “Sayidina Othman bin Affan r.a telah meminta air untuk berwuduk, setelah memperolehi air beliau terus membasuh dua tangan sebanyak tiga kali, kemudian berkumur-kumur serta memasuk dan mengeluarkan air dari hidung. Kemudian beliau membasuh muka sebanyak tiga kali dan membasuh tangan kanannya hingga ke paras siku sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh tangan kirinya sama seperti beliau membasuh tangan kanan kemudian menyapu kepalanya dan membasuh kaki kanan hingga ke paras buku lali sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau membasuh kaki kiri, sama seperti membasuh kaki kanannya.”

Kemudian Sayidina Othman r.a berkata, “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w berwuduk seperti cara aku berwuduk. Aku juga telah mendengar baginda s.a.w bersabda, “Sesiapa yang mengambil wuduk seperti cara aku berwuduk kemudian dia mendirikan sembahyang dua rakaat dan tidak berkata-kata antara wuduk dan sembahyang, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [2]

Di antara anggota badan yang sunat dibersihkan pula adalah telinga. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibnu Abbas berkata, “Rasulullah s.a.w. menyapu kepalanya dengan air dan kedua telinganya iaitu bahagian luar dan dalam.”[3]

Membersihkan anggota badan melebih kawasan wuduk juga dianggap sunat. Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata, “Kamu merupakan orang yang bercahaya muka, tangan dan kakinya pada Hari Kiamat kerana kamu telah menyempurnakan wuduk dengan baik. Maka sesiapa di antara kamu yang mampu melebihkan had basuhan pada muka, tangan dan kakinya hendaklah dia berbuat demikian.”[4]

Di dalam Al-Umm, Imam As-Syafie menyatakan bahawa beliau lebih suka sekiranya seseorang itu berwuduk mukanya, tangannya dan kakinya tiga kali-tiga kali serta menyapu kepala tiga kali dan meratakan sapuan itu keseluruhan kepala. [5]

Kesemua “proses pembersihan kulit” ini dilakukan setiap kali sebelum solat lima waktu. Sekiranya setiap langkah diulangi sebanyak tiga kali, seseorang akan membasuh anggota wuduknya sebanyak 15 kali sehari. Sekiranya ditambah dengan solat sunat dhuha dan solat sunat witir, bilangan basuhan menjadi 21 kali.

Selain itu, seseorang juga disunatkan agar menggosok-gosok tempat wuduk. Ini adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Abdullah Bin Zaid r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. berwuduk lalu beliau berkata, “beginilah.” Lalu beliau mengosok-gosok anggota wuduknya. [6]

Menggosok adalah mengenakan sedikit tekanan pada anggota wuduk. Aktiviti menekan dan menggosok ini seterusnya akan meransang beberapa titik refleksologi yang dikenali sebagai “Biologically Active Spots”, yang terdapat pada anggota-anggota wuduk. Tekanan-tekanan pada titik istimewa ini seterusnya akan merangsang saraf dan memberi tenaga serta kesegaran baru kepada angota-angota badan yang lain seperti, usus, perut, pundi kencing, sistem peranakan dan lain-lain. [7]

Justeru, kita harus mempelajari tatacara wuduk yang betul. Wuduk yang betul bukan sahaja menjamin kebersihan, malah ia menjaga kesihatan. Dari segi rohani, wuduk yang betul membersihkan dosa. Di dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. telah menceritakan bahawa ketika seorang muslim membasuh setiap anggota wuduk, kesalahan-kesalahan akan keluar bersama-sama dengan air basuhan tersebut. [8]

Untuk mempelajari teknik wuduk yang betul, saudara dijemput untuk meneliti laman web berikut :

http://ms.wikipedia.org/wiki/Wuduk

http://cybermosque.mpsj.gov.my/cara_wuduk.html

Wuduk, ternyata merupakan penjagaan kecantikkan luar dan dalam, zahir dan batin untuk lelaki dan wanita!

Wallahu’alam.

Nota Kaki
~~~~~~~~~
[1] http://en.wikipedia.org/wiki/Skin
[2] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim, #331
[3] http://hadith.al-islam.com; Sunan Tirmizi #34, hassan sahih
[4] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim, #362
[5] Al-Umm, Al-Imam As-Syafie, Kitab I, Bab Bilangan Wuduk dan Batasnya.
[6] http://hadith.al-islam.com; Musnad Ahmad: online, #15846
[7] “Muslim Rituals and their Effect
on the Person’s Health” oleh Dr. Magomed Magomedov : http://www.iberr.org/rituals.htm; http://www.islamonline.net/english/Science/2003/04/article13.shtml
[8] http://hadith.al-islam.com; Sunan An-Nasai, #103.

..

..

..

Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

  • Share/Bookmark