Kebolehan Merangsang Fikiran Orang Lain

Kadang-kala terdapat beberapa individu “perangsang” yang aktif di forum myJodoh. Mereka sering berinteraksi dengan memberi nasihat dan membimbing rakan-rakan lain yang bermasalah atau dilanda kemurungan. Individu begini biasanya tidak tinggal lama di myJodoh. Mereka akan menemui pasangan hidup mereka dalam masa yang singkat dan kemudiannya terus hilang dari myJodoh.

Kebolehan merangsang pemikiran orang lain bermula dengan mengenalkan pasti kemahuan asas seseorang, seterusnya mengaitkan kemahuan tersebut dengan matlamat utama. Terdapat beberapa ayat-ayat Al-Quran menunjukkan teknik membangkitkan minat dan semangat seseorang terhadap sesuatu. Sebagai contohnya pada surah Al-Isra ayat 78, Allah telah berfirman “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

Solat sememangnya satu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Ayat-ayat yang berkaitan kepentingan solat diulang berkali-kali di dalam Al-Quran. Namun di dalam ayat ini Allah telah memberi suntikkan motivasi kepada manusia yang malas mengerjakan solat subuh untuk bangun mengerjakannya. Solat subuh telah dikaitkan dengan satu panyaksian daripada para malaikat.

Menurut sebuah riwayat, para malaikat berkumpul bersama-sama manusia pada waktu solat subuh dan solat asar. Apabila para malaikat naik dan disoal tentang keadaan manusia oleh tuhan, mereka menjawab dengan memberi penyaksian, “Ketika kami meninggalkan mereka, mereka sedang bersolat dan ketika kami mendatangi mereka, mereka juga sedang bersolat.”[1] Ternyata Allah telah memuliakan waktu solat subuh dan solat asar serta menjadikan waktu-waktu itu begitu istimewa.

Di dalam sebuah hadith yang diceritakan oleh Anas, Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang solat subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit, lalu solat dua rakaat, maka hal itu sama pahalanya dengan pahala sekali haji dan sekali umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” [2]

Ini merupakan satu lagi galakkan kepada manusia untuk berusaha bukan sahaja setakat bersolat subuh, tetapi berusaha untuk menunaikannya secara berjemaah. Seterusnya nabi mengaitkan solat subuh dengan mengistiharkan ganjaran tambahan. Iaitu ganjaran pahala haji dan umrah yang sempurna jika selepas itu seseorang mampu berzikir sehingga matahari terbit serta melakukan solat sunat dhuha.

Akhirnya Rasulullah bukan sahaja berjaya mendidik para sahabat agar rajin bersolat subuh, malah agar gemar bersolat berjemaah, gemar berzikir dan gemar menunai solat sunat dhuha. Beliau Rasulullah terus disayangi dan dikenali sebagai insan pembimbing.

Untuk menjadi seorang insan yang dapat membimbing orang lain ke arah kebaikkan, seseorang itu perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya. Ilmu pengetahuan yang saya maksudkan adalah Al-Quran dan sunah-sunah Rasulullah. Lagi banyak kita mengetahui dan mendalami maksud-maksud ayat-ayat suci serta mentelaah hadis-hadis nabi, lebih baik. Dengan berlandaskan Al-Quran dan sunnah di dalam penyampaian, sesuatu perkara akan menjadi lebih berkesan kepada yang mendengar.

Sekiranya seseorang mampu mendidik diri menjadi individu mampu merangsang minda orang lain, sudah tentu beliau akan sentiasa diterima dan disayangi di mana sahaja. Malah, menjadi bahan rujukan. Siapa yang tidak mahu mengahwini insan perangsang dan pembimbing seperti ini?

Wallahu’alam.

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #552.
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #535 hassan gharib

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

6 Trackbacks