Archive for August, 2007

Merdeka Daripada Jajahan Hawa Nafsu

Kota Mekah telah mencapai kemerdekaan daripada kafir Quraisy pada tahun ke-8 hijrah. Semua berhala di sekitar Kaabah dimusnahkan. Mekah telah bebas daripada jajahan syaitan. Semasa mengerjakan Haji Wada (haji terakhir), Rasulullah telah bersabda, “Ingatlah, sesungguhnya syaitan telah putus asa untuk disembah di negerimu ini selama-lamanya tetapi dia akan ditaati dalam amal perbuatanmu yang menjadikan kamu hina, dia lalu senang kepadanya.”[1] Kita telah sedia maklum, satu-satunya cara syaitan dapat mempengaruhi amal perbuatan manusia adalah melalui hawa nafsu.

Di dalam surah An-Nisa ayat 118 hingga 119 Allah telah menceritakan azam syaitan, “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka …..” Di dalam ayat ini, syaitan telah mula menyuruh-nyuruh dan memerintah pengikutnya. Menurut HAMKA di dalam Tafsir Al-Azhar, mereka akan menurut kehendak syaitan sehingga kemerdekaan peribadi mereka tidak ada lagi. Segala tingkah laku adalah di bawah perintah hawa nafsu yang dirasuk syaitan.

Di dalam Surah Al-Furqan ayat 43 dan 44, Allah telah menceritakan rupa buruk manusia yang telah dijajah oleh hawa nafsu sendiri. Mereka disifatkan seperti binatang. Firman Allah, “Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada mereka)? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan (bawaan) mereka lebih sesat lagi.”

Rasulullah telah mengajar cara-cara memerdekakan diri daripada jajahan hawa nafsu 1400 tahun yang lalu. Di dalam sebuah riwayat, Rasulullah telah berkata, “Seorang Mujahid (orang yang berperang) adalah orang yang memerangi dirinya sendiri”[2] Peperangan dengan diri yang dimaksudkan adalah peperangan menentang hawa nafsu. Berkata Said Hawwa di dalam Al-Asas Fit Tafsir, “Secara dasarnya melawan nafsu bermaksud menundukkan nafsu supaya mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara.” [3]

Jalan terbaik melawan hawa nafsu adalah dengan bermujahadah dan cara paling mudah untuk bermujahadah adalah dengan menitik-beratkan ibadat-ibadat asas setiap hari.

Menurut Dr Danial Zainal Abidin di dalam bukunya 7 Formula Cemerlang, “Ibadah yang ditetapkan agama mempunyai unsur-unsur mujahadah. Solat yang khusyuk, sebagai contoh, mampu membersihkan hati dan mencegah individu daripada perbuatan keji. Solat subuh membantu individu melawan nafsu tidur yang berlebihan. Puasa memberikan kekuatan pada invididu yang mengawal nafsu makan, minum dan seks. Zakat membersihkan hati daripada penyakit tamak haloba. Pencarian ilmu melemahkan nafsu yang sukakan kesenangan dan kerehatan dan begitu seterusnya. Mujahadah adalah jambatan takwa.”[4]

Mudah-mudahan Hari Kemerdekaan kali ini akan mengingatkan kita kemerdekaan menentang penjajah hawa nafsu dan usaha membebaskan diri dari neraka Allah. Mudahan-mudahan Ramadhan kali ini akan menjadi platform untuk kita bermujahadah.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-50 !

.

.

.

.

nota kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #2085. Hassan Sahih.
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1564. Hassan Sahih.
[3] 7 Formula Individu Cemerlang, Dr. Danial Zainal Abidin, PTS Millennia Sdn. Bhd., Selangor, 2006. ms 66.
[4] op. cit. ms 68

.

.

.

.
Segalanya Bermula Dengan Niat
Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

??

??

??

  • Share/Bookmark

Segalanya Bermula Dengan Niat

Suatu ketika dahulu, seorang lelaki di Mekah telah meminang seorang wanita di Madinah yang bernama Ummu Qais. Wanita itu enggan berkahwin dengan lelaki tersebut kerana mereka tinggal berjauhan. Menurut sebuah keterangan, wanita itu telah berkata, “Bagaimana engkau hendak berkahwin denganku kerana engkau tinggal di Mekah dan aku tinggal di Madinah. Sekiranya engkau mahu berkahwin dengan aku, marilah berpindah ke Madinah.”[1] Semasa peristiwa hijrah masih berlaku, lelaki itu berpindah bersama-sama para sahabat ke Madinah, tetapi dengan niat yang berbeza.

Mengetahui perihal tersebut, Rasulullah telah menegur secara terang-terangan niat lelaki itu. Menurut Umar Al-Khattab, beliau telah mendengar Rasulullah bersabda, “Setiap amalan dimulakan dengan niat dan bagi setiap orang apa yang telah diniatkannya. Sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa hijrahnya karena dunia yang akan diperolehi atau wanita yang akan dinikahi maka hijrahnya sesuai dengan apa yang dia niatkan.”[2]

Walaupun terdapat perbezaan perjalanan hijrah sahabat Rasulullah dengan perjalanan mencari si dia, namun setiap perjalanan perlu dimulakan dengan niat yang betul. Di dalam perihal berkahwin, niat seseorang sepatutnya adalah mengharapkan keredhaan Allah. Bukan untuk “bercouple” atau untuk mempunyai seorang teman istimewa. Bukan kerana ingin bersuka-suka atau ingin menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Bukan juga kerana putus cinta atau sedang dilanda kekecewaan. Bukan pula kerana mendapat desakkan dan tekanan daripada sahabat handai dan kaum keluarga.

Allah berfirman di dalam surah An-Nur ayat 32, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan.” Ia merupakan satu saranan kepada semua umat Islam supaya berkahwin, walaupun tidak berkemampuan.

Pada surah yang sama, di ayat 33 Allah kemudian menegaskan, “Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya”. Allah telah menyuruh hambaNya yang berniat untuk berkahwin agar menjaga kehormatan sekiranya tidak berkemampuan dan bersabar sehingga dikurniakan kekayaan daripadaNya.

Lazimnya seseorang yang berniat untuk berumahtangga kerana Allah akan menerima dengan hati terbuka siapa sahaja yang mendatang. Asalkan yang mendatang itu menepati ciri-ciri yang disarankan oleh agama dan setelah beliau telah melakukan istikharah dengan betul. Alam percintaan dan berkasih sayang hanya wujud selepas ikatan sah terjalin.

Sebaliknya jika niat perkahwinan adalah semata-mata memenuhi tuntutan duniawi, sudah tentu pelbagai faktor seperti alam percintaan, rupa paras, kerjaya, gaya, fesyen, wang ringgit, hobi waktu lapang, perasaan hati dan sebagainya akan menjadi persoalan. Semua persoalan perlukan jawapan. Semua jawapan perlukan penilaian. Semua penilaian mungkin akan memakan masa yang panjang dan kadang-kala menimbulkan persoalan baru.

Wallahu’alam.

..

..

..

Nota Kaki
~~~~~~

[1] Bahru Al-Madzi, Muhammad Idris Al-Marbawi, Al-Hidayah Publisher 2004. Jilid 1. M/s 19.
[2] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim # 3530

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

  • Share/Bookmark

Kenapa Suami Curang ?

Ini adalah untuk menjawab kemusykilan:
http://webblog.myjodoh.net/2007/08/01/kenapa-perlu-berusaha-sedangkan-semuanya-telah-ditentukan/#comment-970

Dear Min,

Biasanya apabila orang ada anak, mereka hendakkan anak mereka membesar menjadi orang baik-baik. Jika anak mereka berjaya di dunia dan akhirat, mereka akan bergembira. Jika anak mereka tiba-tiba masuk pusat serenti, terlibat dengan maksiat dan sebagainya, sudah tentu mereka akan kecewa dengan anak dan sedih dgn diri sendiri.

Begitu juga mereka yang telah berumahtangga. Sebelum berkahwin, mereka hanya mengharapkan kebaikkan. Selepas berkahwin, ada yang menemui kebaikkan, ada yang sebaliknya. Kasihan mereka yang sebaliknya.

Berbeza dengan soal zuriat. Baik atau buruk, tetap zuriat. Sedangkan pasangan hidup boleh bercerai atau berganti. Nabi berkata, “Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok ialah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah. Tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik”[1]

Sekiranya seorang suami berkeras dalam membentuk si tulang rusuk untuk lurus mengikut kehendaknya, ia akan patah. Di dalam keadaan lain, sekiranya si tulang rusuk berkeras tidak mahu lurus, walaupun dibentuk dengan lembut, ia juga akan patah.

Patah bererti penceraian atau mencari yang lain. Jadi, ini faktor kedua-dua pihak. Apabila suami mencari kasih lain, isteri ada salahnya.

Hanyasanya para isteri kurang merenung. Hanyasanya terdapat segelintir para isteri sebenarnya tidak tahu menjadi isteri, kebanyakkannya hanya menjadi isteri ikut-ikutan. Ikut cara wanita lain menjadi isteri. Ikut cara wanita lain menjaga suami. Bukan mengikut kehendak suami sendiri.

Padahal wanita yang diikut itu melayan suami berdasarkan kehendak suaminya. Secara tak langsung, si isteri telah mengikut kaedah lelaki lain. Apabila kita mengikut cara ketua lain, sudah tentu ketua yang sedia ada akan mencari pengikut baru.

Rasulullah mencintai Siti Khadtijah. Lelaki mana tak sayang isteri jika isteri mereka seperti Siti Khadtijah. Jika kita study sirah Nabawi, kita akan nampak bagaimana Khadtijah begitu taat dan sokong nabi. Sanggup buat apa sahaja. Bergolok bergadai mempertahankan nabi. Sampai diri sendiri jadi “zero”. Bayangkanlah perasaan seorang wanita yang pernah dua kali kematian suami, jika bersuami, sudah tentu mereka akan hargai. Berbeza dengan para isteri first time kahwin, belum lagi merasa kesusahan hidup bersendirian.

Nasihat saya, jika anda ingin suami anda menyayangi anda seperti mana nabi menyayangi Khadtijah. Contohilah kaedah bagaimana Khadtijah menjadi isteri.

Jangan lupa, nabi berpesan, “Sekiranya aku menyuruh manusia sujud kepada manusia lain, tentu aku perintahkan isteri sujud kepada suaminya.” [2] Berapa ramai wanita yang sanggup menyembah suami mereka? Berapa ramai wanita yang ingin suami menyembah mereka?

Wallahu’alam.

.

.

.

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #2671.
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #1079 bertaraf hassan gharib. Menurut Imam Sayuthi di dalam Jami’ Saghir bertaraf Sahih.

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

  • Share/Bookmark

Kebolehan Merangsang Fikiran Orang Lain

Kadang-kala terdapat beberapa individu “perangsang” yang aktif di forum myJodoh. Mereka sering berinteraksi dengan memberi nasihat dan membimbing rakan-rakan lain yang bermasalah atau dilanda kemurungan. Individu begini biasanya tidak tinggal lama di myJodoh. Mereka akan menemui pasangan hidup mereka dalam masa yang singkat dan kemudiannya terus hilang dari myJodoh.

Kebolehan merangsang pemikiran orang lain bermula dengan mengenalkan pasti kemahuan asas seseorang, seterusnya mengaitkan kemahuan tersebut dengan matlamat utama. Terdapat beberapa ayat-ayat Al-Quran menunjukkan teknik membangkitkan minat dan semangat seseorang terhadap sesuatu. Sebagai contohnya pada surah Al-Isra ayat 78, Allah telah berfirman “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

Solat sememangnya satu kewajipan yang perlu dilaksanakan. Ayat-ayat yang berkaitan kepentingan solat diulang berkali-kali di dalam Al-Quran. Namun di dalam ayat ini Allah telah memberi suntikkan motivasi kepada manusia yang malas mengerjakan solat subuh untuk bangun mengerjakannya. Solat subuh telah dikaitkan dengan satu panyaksian daripada para malaikat.

Menurut sebuah riwayat, para malaikat berkumpul bersama-sama manusia pada waktu solat subuh dan solat asar. Apabila para malaikat naik dan disoal tentang keadaan manusia oleh tuhan, mereka menjawab dengan memberi penyaksian, “Ketika kami meninggalkan mereka, mereka sedang bersolat dan ketika kami mendatangi mereka, mereka juga sedang bersolat.”[1] Ternyata Allah telah memuliakan waktu solat subuh dan solat asar serta menjadikan waktu-waktu itu begitu istimewa.

Di dalam sebuah hadith yang diceritakan oleh Anas, Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang solat subuh berjemaah, kemudian duduk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit, lalu solat dua rakaat, maka hal itu sama pahalanya dengan pahala sekali haji dan sekali umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” [2]

Ini merupakan satu lagi galakkan kepada manusia untuk berusaha bukan sahaja setakat bersolat subuh, tetapi berusaha untuk menunaikannya secara berjemaah. Seterusnya nabi mengaitkan solat subuh dengan mengistiharkan ganjaran tambahan. Iaitu ganjaran pahala haji dan umrah yang sempurna jika selepas itu seseorang mampu berzikir sehingga matahari terbit serta melakukan solat sunat dhuha.

Akhirnya Rasulullah bukan sahaja berjaya mendidik para sahabat agar rajin bersolat subuh, malah agar gemar bersolat berjemaah, gemar berzikir dan gemar menunai solat sunat dhuha. Beliau Rasulullah terus disayangi dan dikenali sebagai insan pembimbing.

Untuk menjadi seorang insan yang dapat membimbing orang lain ke arah kebaikkan, seseorang itu perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang secukupnya. Ilmu pengetahuan yang saya maksudkan adalah Al-Quran dan sunah-sunah Rasulullah. Lagi banyak kita mengetahui dan mendalami maksud-maksud ayat-ayat suci serta mentelaah hadis-hadis nabi, lebih baik. Dengan berlandaskan Al-Quran dan sunnah di dalam penyampaian, sesuatu perkara akan menjadi lebih berkesan kepada yang mendengar.

Sekiranya seseorang mampu mendidik diri menjadi individu mampu merangsang minda orang lain, sudah tentu beliau akan sentiasa diterima dan disayangi di mana sahaja. Malah, menjadi bahan rujukan. Siapa yang tidak mahu mengahwini insan perangsang dan pembimbing seperti ini?

Wallahu’alam.

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #552.
[2] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #535 hassan gharib

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat
Si Dia Tak Pandai Mengaji

  • Share/Bookmark

Si Dia Tidak Pandai Mengaji

Di ruangan kaunseling Dang Setia akhbar Metro Ahad, 5 Ogos 2007, seorang guru wanita telah menulis menyatakan kebingungannya terhadap calon suami yang tidak tahu mengaji Al-Quran. Menurut guru yang berusia 25 tahun itu, bakal suaminya pada luaran nampak sempurna tetapi baru-baru ini barulah diketahui bahawa beliau tidak lancar membaca dan masih belum khatam Al-Quran.
metroahad.jpg
Dang Setia memberi respon positif dengan memuji guru tersebut kerana mementingkan agama ketika memilih calon pasangan hidup. Beliau mencadangkan agar si lelaki mula mempelajari bacaan Al-Quran. Kesungguhan yang ditunjukkan untuk belajar boleh dijadikan penanda aras untuk menentukan nilai agama si lelaki. Seterusnya si guru boleh membuat keputusan untuk masa depan dirinya.

Pendapat Dang Setia benar. Seseorang yang belum mahir membaca Al-Quran seharusnya berusaha mempelajari bacaan Al-Quran. Bukan setakat membaca, malah jika mampu perlu mengkaji Al-Quran secara serius dan konsisten setiap hari. Walaupun mungkin masa yang diperuntukkan untuk pembacaan dan kajian sekadar setengah jam setiap sehari, ia perlu dilakukan berterusan. Aisyah r.a. pernah menyatakan bahawa, “amalan yang paling disukai oleh Rasulullah adalah amalan yang dikerjakan secara terus-menerus.” [1]

Artikel-artikel tentang kelebihan dan kehebatan Al-Quran pernah disiarkan sebelum ini. Secara keseluruhannya Al-Quran dapat mengeluarkan seseorang daripada kegelapan kepada kehidupan yang lebih bercahaya. Firman Allah di dalam surah Tallaq ayat 11, “(Diutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh – dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah petunjuk).”

Al-Quran dapat memberi manfaat kepada pembacanya di dunia dan di akhirat. Di dalam sebuah riwayat Rasulullah telah berkata, “sesiapa yang pandai membaca Al-Quran ia akan dikumpulkan bersama para malaikat yang mulia. Sesiapa yang membaca Al-Quran tetapi tersekat-sekat dan bersusah payah akan memperolehi dua pahala.” [2]

Menurut Sheikhul Hadith Muhammad Zakariyya, seseorang yang tersekat-sekat di dalam membaca Al-Quran akan mendapat dua ganjaran kerana dia telah menanggung susah payah di dalam mempelajari dan membaca Al-Quran. Namun, ini tidak bermaksud bahawa beliau akan memperoleh ganjaran melebihi orang yang mahir di dalam membaca Al-Quran. Ganjaran orang yang mahir adalah amat besar sehinggakan akan dikumpulkan bersama para malaikat. Justeru, jangan kita meninggalkan Al-Quran dengan alasan ia susah dibaca atau kerana bacaan kita tersekat-sekat.

Di dalam riwayat Tirmizi, Rasulullah telah berkata, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka dengannya ia memperoleh satu hasanah dan bagi satu hasanah itu bersamaan dengan sepuluh kali ganda pahala. Aku tidak berkata alif-lam-min itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan min satu huruf.” [3]

Di dalam riwayat lain oleh Ibnu Khuzaimah dan Hakim, Rasulullah telah berkata, “Sesiapa yang menjaga solat-solat fardhu tidak akan dimasukkan di kalangan orang-orang yang lalai. Sesiapa yang membaca seratus ayat pada satu malam tidak akan dimasukkan di kalangan orang-orang yang lalai.” [4]

Namun, sebaik-baik pembacaan Al-Quran adalah apabila kita membaca sambil memahami maksud Al-Quran. Seterusnya mengamalkan apa yang diperintahkan oleh ayat-ayat yang kita fahami itu. Siapa yang tidak mahu berkahwin dengan orang yang tidak dapat dipisahkan dengan Al-Quran?

Wallahu’alam.

Nota Kaki
~~~~~~
[1] http://hadith.al-islam.com; Al-Muwattha #420
[2] http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim #1329
[3] http://hadith.al-islam.com; Sunan Tirmizi #2835, bertaraf hassan sahih gharib.
[4] Sahih Ibnu Khuzaimahh1.jpg

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Kenapa Perlu Berusaha Mencari
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran
Mengenal Calon Yang ‘Beragama’
Fokuskan Kepada Mereka Yang Bersolat

  • Share/Bookmark