Fokuskan Pencarian Kepada Mereka Yang Bersolat

Firman Allah di dalam surah An-Nisa ayat 103, “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Mencari seorang pasangan hidup lelaki atau wanita yang bersolat pada hari ini bukan suatu perkara mudah. Untuk seseorang yang mementingkan nilai agama di dalam proses pemilihan pasangan hidup, pasangan yang bersolat selalunya akan menjadi keutamaan.

Rasulullah bersabda, “Tegaknya Islam itu atas lima. Bersaksikan tiada tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruhnya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di Ramahdan.”[1] Solat adalah salah satu daripada lima rukun Islam. Setiap satu rukun diibaratkan seperti tiang utama untuk mendirikan sebuah bangunan. Kekurangan salah satu tiang akan menyebabkan bangunan itu runtuh. Dalam erti kata lain, sesiapa yang meninggalkan solat telah meninggalkan salah satu rukun agama dan memusnahkan struktur agamanya sendiri.

Hanya agama dapat menjamin kebahagiaan sesebuah rumahtangga. Justeru, demi kebahagiaan hidup rumahtangga yang berpanjangan, calon pasangan hidup seharusnya dipilih dari kalangan mereka yang beragama seperti saranan nabi.[2] Di dalam hal ini solat merupakan salah satu tiang agama.

puasa181.jpgKatakan selamat tinggal kepada mereka yang tidak mementingkan solat. Katakan anda mahu kesejahteraan rumahtangga dan keredhaan tuhan. Katakan kepada mereka bahawa Rasulullah pernah bersabda, “perjanjian antara kita (muslim) dan mereka (orang kafir) adalah solat. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah kafir.”[3]

Tuhan telah menjanjikan ganjaran-ganjaran hebat kepada mereka yang berusaha menjaga solat. Rasulullah telah bersabda, “Sesiapa yang menjaga solat yang lima, menjaga wuduk, menjaga waktu-waktunya, menjaga rukuk dan sujudnya (dengan sempurna), maka diharamkan ke atasnya api neraka.”[4]

Solat juga membentuk sikap baik pada diri seseorang. Firman Allah di dalam surah Al-Ankabut ayat 45, “sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar;” Pernah sekali seorang lelaki telah dilaporkan bersolat di malam hari, tetapi mencuri di pagi hari. Mendengar hal itu Rasulullah bersabda, “solatnya tidak berapa lama lagi akan menghentikannya dari (dosa) yang dikatakan.”[5]

Solat adalah penghapus dosa-dosa kecil. Rasulullah pernah keluar bersama Abu Zar di suatu musim sejuk. Pada masa itu dedaun berguguran. Beliau lalu memegang dahan sebatang pokok dan dedaun dari dahan tersebut mula gugur. Kemudian beliau bersabda kepada Abu Zar, “apabila seseorang Islam itu menunaikan solat untuk mendapat keredhaan Allah, dosanya gugur seperti gugurnya dedaun ini dari pokok.”[6]

Usaha menjaga kualiti solat juga termasuk menyegerakan solat apabila masuk waktu, mengutamakan solat berjemaah, menyempurnakan rukun-rukun solat dengan baik dan sebagainya. Beribu-ribu hadith telah direkodkan dalam menceritakan perihal solat daripada Rasulullah. Semuanya tidak mungkin dapat dimuatkan di dalam artikel ini.

Kualiti solat juga dapat ditingkatkan dengan usaha mencari kekhusyukan. Firman Allah di dalam surah Al-Mukminun ayat 1 hingga 2, “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya” Imam Ghazali telah mengariskan panduan komprehensif di dalam Ihya Ulumuddin sebagai panduan kepada mereka yang mencari kekusyukkan di dalam solat.

Solat juga dapat menghilangkan stress. Di dalam sebuah riwayat, Rasulullah telah bersabda kepada Bilal, “Wahai Bilal ! bangunlah (untuk azan) rehatkan kami dengan solat.”[7] Justeru, mereka yang komited dengan solat telah pun dilatih untuk bertenang di dalam menghadapi sebarang suasana stress. Keadaan minda yang terlatih ini amat berguna di alam rumahtangga.

Dari sudut sains, otak mereka yang bersolat adalah lebih cerdas daripada yang tidak bersolat. Menurut seorang pakar, Win Wenger[8] di dalam bukunya How to Increase Your Intelligence[9], aktiviti membalikkan badan dari atas ke bawah meningkatkan kadar oksigen di otak, secara tak langsung meningkatkan kemampuan otak. Umat Islam melakukan pergerakkan ini sekurang-kurangnya 34 kali setiap hari dengan sujud![10] Bukankah semua orang inginkan pasangan hidup yang bijaksana?

Sebagai permulaan untuk memperbaiki kualiti solat, berusaha untuk cemerlang di dalam mengerjakan solat dan memahami falsafah solat, seseorang harus mempelajari teknik solat yang betul dari sumber yang benar. Di internet, laman web yang boleh dijadikan rujukan adalah seperti di panduan solat di laman Cybermosque MPSJ[11] dan klip-klip video tentang Sifat Solat Nabi[12] di Youtube.com. Sebahagian bab tentang Solat dan Keutamaan daripada Kitab Bimbingan Mukminin terdapat di laman web Waktusolat.net. Di dunia nyata, kursus-kursus seperti yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian At-Tibyan[13] dapat memantapkan lagi pengetahuan seseorang tentang solat.

Walaupun jika kita bersolat dengan baik, belum tentu “kerja mencari” si dia akan menjadi lebih mudah. Namun, dengan menjaga solat, kita akan memudahkan si dia menjumpai kita. Siapa yang tak nak kahwin dengan orang yang menjaga solat?

Wallahu’alam.

——————————————————————————–

[1] http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim : #21.

[2] http://webblog.myjodoh.net/2007/07/16/panduan-memilih-jodoh-daripada-rasulullah/

[3] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi : #2545 hassan sahih gharib

[4] http://hadith.al-islam.com, Musnad Ahmad : #17623.

[5] http://hadith.al-islam.com, Musnad Ahmad : #9402.

[6] http://hadith.al-islam.com, Musnad Ahmad #20576.

[7] http://hadith.al-islam.com, Sunan Abu Daud : #4333.

[8] http://www.winwenger.com/wenger.htm

[9] http://www.winwenger.com/20in25.htm

[10] Dr. Danial Zainal Abidin, Quran Saintifik, PTS Millennia Sdn. Bhd., Kuala Lumpur, 2007; ms 278.

[11] http://cybermosque.mpsj.gov.my/baca.html

[12] http://www.youtube.com/results?search_query=Sifat+Solat+Nabi&search=

[13] http://www.zaharuddin.com/v1/tibyan.htm

——————————————————————————–

Petua Memilih Calon Daripada Rasulullah
Mengenal Pasti Calon Yang Beragama
Mengatasi Masalah Mulut Celupar
Kenapa Masih Belum Berumahtangga
Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran
Petua Menghadapi Suasana “Frust Bercinta” Daripada Al-Quran
Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran

Mengenal Calon Yang ‘Beragama’

46 Trackbacks