Berikut merupakan salah satu respon dari Webblog myJodoh :

Assalammualaikum wrb,
Saya Natasya. Saya cuma nak tahu dr webmaster..sepanjang myjodoh dikomersialkan, berapakah peratusan atau statistik yang telah berjaya menemui jodoh dan berkahwin menerusi ruangan ini? Dan berapa peratusan kes penipuan yg telah dilaporkan kepada web master? Saya bekerja di salah sebuah syarikat yg agak besar juga, saya amat terkilan kerana saya dapati beberapa org2 yg saya kenal, dah beristeri tetapi meletakkan status sebagai bujang/belum berkahwin. Mereka ini tergolong di dalam golongan yg ingin mencari wanita sebagai penyelesai kepada masalah kewangan dan juga sebagai pemuas nafsu terutama kepada golongan yg berstatus janda, harap saudari semua berhati2. Sekian, terima kasih.

Wa’alaikumsalam ..

Kepada saudari Natasya dan semua pengguna myJodoh,

Yang telah berjaya berkahwin, MasyaAllah, ramai. Alhamdulillah. Yang telah beranak-pinak juga ramai. Tidak kurang juga mereka yang menyertai myJodoh, walaupun gagal mendapat jodoh sesama pengguna, tetapi telah berkahwin dengan rakan-rakan atau saudara-mara pengguna myJodoh yang lain. Menarik bukan?

Kajayaan myJodoh
Pada peringkat awal saya terikut-ikut dengan budaya laman web barat yang mendedahkan “success story” pengguna yang berjaya bertemu jodoh di laman web mereka. Namun, apabila terdapat segelintir pengguna-pengguna “very high profile” meminta saya merahsiakan pertemuan jodoh mereka di sini, saya mula merahsiakan semua “success story” sehingga hari ini. Saya mula faham, budaya kita adalah berbeza. Individu yang menyertai myJodoh, mempunyai masalah tersendiri dan mewar-warkan berita perkahwinan seseorang di internet mungkin agak mengaibkan bagi sesetengah pihak. Berasa malu itu sememangnya adalah sebahagian daripada Iman.

Aktiviti pemasaran untuk myJodoh telah lama dihentikan. Namun, Alhamdulillah setiap hari pasti ada yang menyertai myJodoh. Jika kita bertanya dari mana mereka mendapat tahu tentang myJodoh, 2 daripada 7 akan berkata mereka mengetahui dari rakan yang pernah bertemu jodoh di sini.

Ini adalah kerana, secara kasarnya terdapat hampir 500 pasangan yang melaporkan secara terus kepada saya tentang kejayaan mereka. Untuk nisbah 1 pasangan yang melaporkan, terdapat 3 pasangan lain tidak melaporkan secara terus (mereka hanya melaporkan melalui perantaraan rakan-rakan). Anggaran sekitar 2000 ribu yang telah berjaya berkahwin melalui myJodoh. Ini merupakan satu jumlah besar kerana myJodoh baru berusia sekitar 1600 hari semenjak Disember 2002.

Kes-kes penipuan
Kejadian penipuan pertama di myJodoh yang dilaporkan kepada saya berlaku pada awal 2003 apabila seorang pengguna lelaki telah memperdaya seorang pengguna wanita dengan memujuk beliau memberikan wang lebih daripada RM10 ribu ringgit. Perkara itu telah menjadi kes polis.

Selain daripada perkara “besar” ini, kes penipuan serius yang pernah berlaku ialah apabila seorang lelaki India, yang kononnya telah memeluk Islam telah mengaku sebagai kenalan saya dan cuba memujuk beberapa orang pengguna myJodoh untuk kahwin lari bersama beliau. Beliau hampir berjaya, tetapi aktivitinya telah didedahkan. Walau bagaimanapun, saya percaya beliau telah mempengaruhi sekurang-kurang dua orang wanita yang lain sebelum aktiviti beliau terdedah.

Selain itu, wujud beberapa lelaki yang menyamar sebagai saya atau rakan saya untuk memikat wanita-wanita di myJodoh. Jelas tujuan mereka bukan untuk berkahwin. Mereka lazimnya mudah dikenali melalui nombor telefon yang mereka gunakan. Namun, ramai telah terpedaya.

Juga terdapat kes-kes lelaki telah berumahtangga, tetapi mengaku bujang atau duda, kemudian berjaya mengahwini pengguna wanita myJodoh tanpa mendedahkan identiti sebenar. Status diri sebenar hanya diketahui di saat-saat akhir atau selepas selesai upacara perkahwinan.

Kes yang paling menyedihkan ialah seorang wanita yang “kononnya” telah bercerai dan telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki yang kebetulan seorang duda dalam tempoh masa yang agak lama. Akhirnya diketahui bahawa wanita tersebut sebenarnya masih bersuami. Perkara itu diketahui si lelaki di dalam suasana gembira ketika beliau bersama anak-anaknya sedang sibuk dengan persediaan masjlis perkahwinan dan menyambut “mama baru”.

Penyelesaian
Lebih daripada 1 juta pengguna internet pernah berdaftar dengan myJodoh. Tidak hairanlah mengapa kes-kes begini pernah berlaku. Namun, Alhamdulillah, hampir semua kes penipuan berjaya didedahkankan apabila ia dilaporkan kepada saya dari peringkat awal. Antaranya adalah kes-kes lazim seperti menyembunyikan status perkahwinan. Semuanya dapat diselesaikan dengan perbincangan, pertukaran maklumat serta kerjasama dari pengguna itu sendiri yang mahu menceritakan serba sedikit perkembangan perhubungan beliau sejak dari awal perkenalan.

Selain mempunyai senarai “success story” yang tidak didedahkan, saya mempunyai senarai “individu bermasalah” di myJodoh yang juga tidak didedahkan. Ini termasuk “modus operandi” atau teknik yang sering digunakan oleh mereka yang berkenaan. Maklumat ini boleh mengelakkan pengguna dari diperdaya.

Tidak ramai yang menghubungi saya bertanyakan hal ini. Tidak ramai yang meminta pandangan saya semasa atau selepas berkenalan dengan sesiapa. Saya hanya dihubungi apabila mereka telah lama berkenalan dan mula menyedari diri telah terpedaya untuk menyatakan rasa tidak puas hati kepada saya.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark