Archive for June, 2007

Teknik Bagaimana Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik Daripada Al-Quran

Apabila seorang Datuk Bendahara berkata kepada sultan, “patik kurang periksa, tuanku,” ia tidak bermaksud beliau sebagai orang besar tidak mempunyai kapasiti untuk memeriksa sesuatu hal. Ia secara tersirat bermaksud, “aku tak tahulah!”

Jika seorang ayah berkata kepada satu rombongan peminangan, “anak saya baru saja habis belajar, belum pun dapat kerja lagi,” ia bukan bermaksud beliau menyuruh rombongan itu datang semula selepas anaknya mendapat pekerjaan. Ia secara tersirat bermaksud, “aku rasa anak aku tak sesuai kahwin dengan anak engkau.”

Dua orang insan dari myJodoh yang bertemu dan berbual panjang untuk kali pertama sudah tentu mempunyai harapan yang tinggi. Ketika salah seorang berkata, “saya masuk myJodoh ini bukan untuk cari jodoh pun, tetapi untuk menambah kenalan,” ia tidak memberi maksud beliau tidak berniat untuk berkahwin atau main-main menyertai myJodoh. Ia secara tersirat bermaksud, “aku memang nak kahwin, tetapi bukan dengan engkau, engkau ok untuk dijadikan seorang kawan sahaja.”

Ini adalah bahasa-bahasa tersirat yang sering digunakan agar tidak melukakan pihak lain. Masalah sering timbul apabila mesej yang cuba disampaikan tidak diterima dengan baik, lalu disalah anggap.

Jika mesej tidak diterima dengan betul, sultan tadi mungkin berkata, “kalau kurang periksa, pergilah periksa sampai habis.”

Jika mesej tidak diterima dengan betul, pihak rombongan meminang tadi mungkin berkata, “bertunanglah dahulu, nanti dah dapat kerja, kahwinlah.”

Jika mesej tidak diterima dengan betul, salah seorang pasangan yang bertemu tadi mungkin berkata, “ceh! dia ni tak serius, jahat, buat apa orang macam ni dalam myJodoh? Main-main saja! Kenapa dalam myJodoh banyak orang macam ni?”

Bahasa-bahasa tersirat ini banyak digunakan setiap hari, banyak didengari tetapi tidak difahami. Untuk menjadi seorang “good listener” atau pendengar yang baik, seseorang perlu melatih diri untuk merenung kata-kata orang lain. Bukan setakat dengar, tetapi renung!

Antara latihan yang paling mujarab adalah dengan merenung ayat-ayat Al-Quran. Firman Allah di dalam surah Yunus ayat 24, “Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).”

Al-Quran hanya mengandungi 6,666 ayat, tetapi mengandungi petunjuk seluruh sistem kehidupan manusia dan alam. Tidakkah anda berasa pelik apabila Kamus Dewan lebih tebal dari kitab Allah? Ini adalah kerana Al-Quran memuatkan banyak ayat untuk manusia berfikir. Its compact yet complete. Dengan berpandukan hadith-hadith nabi, ayat-ayat yang pendek dan padat dapat dihuraikan menjadi sesuatu yang besar, seterusnya menjadi penyelesaian kepada seribu satu macam masalah manusia dan alam.

Sudah tentu, proses merenung Al-Quran perlu dilakukan dengan kaedah yang betul dan berpandukan sumber yang betul. Ia boleh dimulakan dengan membeli sebuah terjemahan bernilai tidak lebih dari RM20.00 di pasaran. Jika bertemu sesuatu yang tidak difahami, rujukkan perlu dilakukan segera. Di internet, anda boleh bertanya masalah tafsir dengan warga Al-Ahkam (www.al-ahkam.net) atau dengan Dr Danial Zainal Abidin (www.formulacemerlang.com)

Kajian juga perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Ia bukan novel cinta yang perlu dihabiskan dalam masa satu malam. Ingat, anda sedang melatih minda untuk berfikir. Memadai dengan beberapa ayat setiap hari untuk difikir dan direnung. Di dalam Tafsir At-Tabari, Imam At-tabari telah merekodkan kenyataan Ibnu Mas’ud, bahawa beliau dan para sabahat dahulu mempelajari tidak lebih dari sepuluh ayat Al-Quran setiap kali, mereka tidak akan melampauinya sebelum betul-betul memahami secara benar maknanya dan mengamalkannya. [1]

Wallahu’alam.

Selamat mengkaji dan merenung!

Nota kaki
———
[1] “The Evolution & Development of `Ulum al-Qur’an”, http://www.islamonline.net/english/Quran/2004/07/article19.shtml

Doa Mencari Jodoh
Formula Jutawan Daripada Al-Quran

  • Share/Bookmark

Lelaki-lelaki Jujur Di myJodoh

Assalamu’alaikum ..

Dua minggu lalu saya menerima kunjungan seorang pengguna myJodoh dari Kuala Lumpur yang datang meminta pertolongan saya mencadangkan beberapa orang calon isteri untuk beliau. Beliau telah setahun kematian isteri. Beliau tidak arif tentang dunia IT.

Beberapa hari selepas itu, saya menerima satu panggilan dari seorang lelaki yang bertanyakan Cara Pembayaran myJodoh. Beliau berasal dari pantai timur. Beliau ragu-ragu sama ada boleh atau tidak bertemu jodoh di sini. Katanya, “saya duda anak satu, ada orang nak ker?”.

Pada bulan Mei tahun ini, saya pernah menerima panggilan seorang “pakcik” yang akan bersara dalam jangka masa 5 tahun lagi dari perkhidmatan. Anak-anak beliau telah menyuruh beliau mencari seorang pasangan hidup memandangkan masing-masing mereka telah pun berkeluarga. Beliau menjemput saya menghadiri majlis perkahwinan anak bongsunya yang kebetulan jatuh pada hujung minggu tersebut. Tujuan beliau adalah untuk berkenalan dengan saya.

Pada bulan April, seorang pengguna menelefon saya mengajak saya teh tarik bersama. Tujuan beliau adalah mengenali sistem myJodoh dan cara menggunakannya dengan betul. Beliau adalah seorang pegawai kerajaan berpangkat sederhana dan mempunyai dua orang anak. Seorang dijaga oleh bekas isteri dan seorang lagi di bawah jagaanya.

Pendek kata, hampir setiap bulan pasti muncul individu yang ingin bertemu saya bagi menyatakan hasrat mereka yang jujur dan ikhlas dalam pencarian pasangan hidup.

Individu seperti ini memang banyak di myJodoh, tetapi hairan sebahagian para pengguna wanita myJodoh tidak menjumpai mereka, tetapi menjumpai lelaki-lelaki yang berperwatakkan sebaliknya. Mereka benar-benar serius di dalam pencarian pasangan hidup. Biasanya tup-tup kahwin.. tup-tup kahwin.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark

Formula Berdoa Memohon Jodoh Daripada Al-Quran

Bukan setakat memohon untuk dikurniakan jodoh, peranan doa amat luas dan penting dalam menentukan hala tuju kehidupan seseorang. Baik kehidupan di dunia mahu pun kehidupan di akhirat. Dengan merendah diri dan berdoa seseorang akan dapat mengagungkan kekuasaan tuhan dan menyedarai kelemahan diri sendiri. Seterusnya meletakkan satu pengharapan kepada tuhan dalam mencapai cita-cita.

Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 186, Allah telah berfirman, “..Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. ”

Firman Allah lagi di dalam surah Ghafir ayat 55, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Kedua-dua ayat ini menunjukkan Allah menyuruh semua umat Islam berdoa kepadaNya, seterusnya beriman dengan mematuhi perintahNya. Mereka yang tidak memohon sesuatu daripada Allah dikategorikan sebagai orang yang sombong dan takbur.

Menurut An-Nu’man Bin Basyir, Rasulullah pernah berkata , “Doa itu termasuk ibadah,” lalu beliau membaca ayat 55 dari surah Ghafir seperti di atas.[1] Di dalam riwayat lain, Rasulullah telah bersabda, “Tiada sesuatu pun yang lebih mulia di sisi Allah Azza wa Jalla selain daripada doa.” [2]

Di dalam konteks mencari pasangan hidup, amalan berdoa perlu dimulakan sejak awal. Setelah berniat dengan betul, doa diteruskan secara konsisten sepanjang masa. Mudah-mudahan Allah mempertemukan dengan pasangan hidup yang dapat menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Berikut merupakan antara 9 petua dari Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa yang mustajab yang sempat saya sertakan :

1. Anas Bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Doa di antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.” [3]

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: Allah akan turun ke langit dunia setiap malam ketika sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepadaKu, maka Aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan dariKu maka Aku akan mengampuninya. [4]

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahwa Rasulullah bersabda, “Tiga orang yang tidak ditolak doanya, iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” [5]

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Aku dilarang membaca Al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat di antara hamba dan tuhanNya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” [6]

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah, kerana sesungguhnya binatang tersebut melihat malaikat. Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah dari godaan syaitan, kerana binatang tersebut melihat syaitan.” [7]

6. Ubadah Bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan,

laila.jpg
Kemudian mengatakan, fighrli.jpg atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. Apabila beliau berwudhu (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” [8]

7. Ata Bin Abi Rabah berkata “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda, sesiapa yang membaca surah Yassin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” [9]

8. Hadith dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” [10]

9. Hadith dari Abu Hurairah, “Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda, pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bilamana seorang muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.” [11]

Wallahu’alam.

Nota Kaki
======
[1] http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3294. bertaraf hassan sahih.
[2] http://haidith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3292.
[3]http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #196.
[4]http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #1077.
[5]http://hadith.al-islam.com, Sunan Tirmizi #3522.
[6]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #738.
[7]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #4908.
[8]http://hadith.al-islam.com, Sahih Bukhari #1086.
[9] Fadhilat Al-Quran (terjemahan Madrasah Miftahul ‘Ulum), Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya, Era Ilmu Sdn. Bhd., 2005, ms 87, hadith riwayat Darimi.
[10]http://hadith.al-islam.com, Sahih Muslim #4916.
[11]http://hadith.al-islam.com; Sahih Muslim #1406.

  • Share/Bookmark

Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Daripada Al-Quran

Assalamu’alaikum …

Sekiranya anda “subscribe” ke mymasjid@yahoogroups.com, anda akan menerima emel ini sebagai “welcome email”. Dewasa ini banyak sangat SPAM yang dihantar ke mymasjid@yahoogroups.com. Kebanyakkannya nak mencari kekayaan dengan teknik dari Barat. Padahal Allah dah ceritakan teknik yang sepatutnya di dalam Al-Quran. Copy ini dan sebarkan kepada semua orang.

Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Daripada Al-Quran
Tip-tip Bagaimana Menjadi Jutawan Internet Daripada Al-Quran

Mahmud Ibn Labid r.a. pernah berkata, bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda, “Dua perkara yang tidak disenangi oleh anak Adam. Mati, padahal mati itu adalah lebih baik dari dugaan (kesesatan). Harta yang sedikit, padahal harta yang sedikit meringankan hisab. [1]

Namun sekiranya anda ingin juga menjadi seorang jutawan, Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah An-Nuur ayat 37 hingga 38, “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”

“(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.”

Bermaksud, dengan mengingati Allah, mendirikan solat, memberi zakat dan sedekah, takutkan hari kiamat kerana akan diadili, seseorang itu akan mendapat limpah kurnia Allah dan pembalasan yang paling baik. Allah sesungguhnya satu-satunya sumber segala rezeki dan Dia akan menambahkan kurniaNya kepada hamba yang mempunyai ciri-ciri seperti di atas.

Kajilah Al-Quran dengan sebenarnya-benarnya, kerana tips untuk menjadi jutawan banyak terdapat di dalam Al-Quran. Terjemahan Al-Quran bermodalkan RM20 di pasaran. Menurut Abu Said r.a., Allah berfirman di dalam sebuah hadith qudsi, “Sesiapa yang disibukkan oleh Al-Quran daripada berzikir dan meminta kepadaKu, maka Aku akan memberikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada diberikan kepada orang yang meminta kepadaKu” [2]

Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi sekadar ingin hidup sederhana, beribadat kepada Allah. Serta dalam masa yang sama tidak mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam. Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”[3]

Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan, memerlukan “fast-cash” untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua Rasulullah s.a.w. Di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan solat.[4] Solat yang dimaksudkan adalah solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.

Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha.[5]Firman Allah di dalam ayat berkenaan, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”

Kebanyakkan yang mengamalkan tip ini mendapat kemurahan rezeki yang luas dan “low profile”. Mereka tidak terburu-buru dan tergesa-gesa dalam mengejar kesenangan. Kebanyakkan mereka akhirnya menjadi komited dalam beribadat atau melakukan aktiviti dakwah. Mereka hanya melakukan sedikit pekerjaan dunia, namun kurnia yang diperolehi melebihi apa yang mereka kerjakan.

Wallahu’alam.

[1] Jami-ul-Saghir (Terjemahan H. Nadjih Ahjad),Imam Suyuthi, PT Bina Ilmu, Jakarta, 2003; Riwayat Ahmad, hadith #166.
[2] Muntakhab Ahadits (terjemahan Muhammad Qasim at Timori), Maulana Muhammad Yussuf Al-Khandalawi, Pustaka Ramadhan, Bandung, Indonesia, 2004; Riwayat Tirmizi, ms327
[3] Jami-ul-Saghir, op. cit.; Riwayat Baihaqi, hadith #8942, menurut Imam Suyuthi berstatus daif.
[4] Muntakhab Ahadits, op. cit.; ms 244
[5] Ibid.

  • Share/Bookmark

Kenapa Tidak Boleh Melihat Maklumat Berhubung

Assalamu’alaikum,

Saya sering mendapat pertanyaan seperti berikut :

Saya telah membuat pembayaran RM50 (atau RM90) kepada myJodoh, tetapi kenapa saya perlu membeli kredit untuk download nombor telefon pengguna lain?

Sebenarnya Pakej A (atau pun sebelum ini dikenali sebagai Pengguna Berbayar) membolehkan anda memaparkan maklumat berhubung anda kepada semua orang. Ia bukan bermaksud anda dapat melihat nombor telefon atau alamat emel semua orang.

Orang ramai tidak perlu membayar apa-apa untuk mendapatkan maklumat berhubung anda seperti alamat emel dan nombor telefon. Kedua-duanya dipaparkan seperti yang anda masukkan pada bahagian Maklumat Diri (Pusat Kawalan > Maklumat Diri). Profile pengguna Pakej A akan mempunyai bintang kuning.Yellow star

Sekiranya anda ingin berkenalan dengan seorang pengguna biasa (tidak melanggan pakej A atau B), anda boleh menghantar pesanan kepada mereka. Mereka akan kembali ke myJodoh dan meneliti maklumat diri anda, seterusnya menghubungi anda melalui maklumat berhubung yang anda paparkan.

Sekian, terima kasih.

  • Share/Bookmark