Tips Ramai Kenalan – Bersih & Kemas

enhanced-buzz-28128-1388431423-6Tidak perlu dihuraikan tentang kebersihan. Semua orang tahu maksud “kebersihan”. Semua orang sukakan kebersihan, suasana yang bersih, persekitaran yang bersih dan berkawan dengan orang yang bersih, kemas dan wangi.

Adalah sifat semula jadi manusia untuk tertarik kepada sesuatu yang cantik dan bersih. Syurga juga diciptakan dan dipenuhkan dengan keindahan. Tidak ada manusia yang ingin tinggal di dalam suasana yang kotor. TV3 dan NTV7 sebagai contohnya sering memaparkan aduan penduduk ini dan penduduk itu yang kecewa dengan kebersihan persekitaran mereka.

Dari sudut rohani pula, kebersihan akan memberi ransangan-ransangan positif kepada minda dan diri. Rumahtangga yang bersih dan kemas akan menjadi syurga tempat berehat. Persekitaran kerja yang kemas dan bersih akan lebih produktif. Kertas jawapan peperiksaan yang ditulis dengan kemas dan bersih akan lebih mudah dibaca oleh para pemeriksa.

Pada awal usia, jutawan Amerika yang terkenal, Donald Trump yang memulakan kerjayanya dalam bidang hartanah amat mementingkan kebersihan aset-aset yang dimilikinya. Semua hartanah yang disewakan, dijaga dengan rapi dari sudut kebersihan. Beliau berpendapat bahawa kebersihan boleh menjadi satu stratergi perniagaan yang baik.

Al-Quran lebih awal menceritakan tentang kepentingan kebersihan. Selepas wahyu pertama yang membawa mesej tentang “ilmu”, Rasulullah s.a.w terus kembali ke rumah dalam ketakutan. Beliau s.a.w lalu diselimuti oleh isterinya dan tahukah anda bahawa sejurus selepas itu datang pula wahyu kedua?

Antara firman Allah s.w.t di dalam ayat 4 surah Al-Muddaththir, “dan pakaianmu, hendaklah kamu bersihkan”. Ini merupakan salah satu dari 7 ayat yang diturunkan pada wahyu kedua. Sekali lagi, bukan wahyu ke-100 atau wahyu yang ke-1000, tetapi ke-2.

Semenjak wahyu kedua lagi Allah s.w.t. telah pun memberi penekanan tentang kebersihan. Anda bayangkanlah sendiri martabat kebersihan di sisi Allah dan manfaatnya kepada manusia lain.

Dari sudut As-sunnah Rasulullah s.a.w, terdapat bermacam-macam hadith yang menceritakan tentang kebersihan termasuklah berwuduk, bersiwak, bersikat, mandi, warna pakaian, memakai wangi-wangian, membersihkan halaman dan sebagainya.

Seseorang yang menjaga kebersihan akan sentiasa kelihatan cantik. Seseorang yang menjaga kecantikkan tidak semestinya kelihatan bersih. Ini adalah kerana kecantikkan adalah sesuatu yang subjektif, sedangkan kebersihan lebih bersifat universal.

Hakikatnya sekiranya kita pandai menjaga diri menjadi seorang yang bersih, kemas, segar dan harum, InsyaAllah lebih ramai yang mendekatkan diri dengan kita. Mungkin salah seorangnya adalah calon pasangan hidup yang dinanti selama ini.

2 Trackbacks