.. mencari si dia yang soleh ..
Archive for April, 2007
Berzina Dengan Ikhlas
Apr 10th
Seorang remaja yang menamakan dirinya Yang Ikhlas telah menghantar satu surat kepada Dr Danial Zainal Abidin baru-baru ini. Antara isi surat itu ialah: Dr. Danial yang dihormati. Saya telah bercinta dengan seorang wanita. Demi cinta kami telah berzina. Tetapi saya tidak rasa bersalah sebab saya ikhlas dengannya. Saya hendak mengambilnya sebagai isteri saya. Saya tidak bertujuan untuk mempermainkannya. Rakan-rakan saya mengatakan tindakan saya adalah gentleman. Tetapi saya telah dimarahi oleh orang-orang tua saya. Saya rasa mereka berotak kolot. Apakah pandangan dan nasihat tuan.
JAWAPAN DR. DANIAL
Yang Ikhlas yang dihormati. Saya bersyukur tentang keikhlasan saudara dan saya berharap itulah asas perbincangan kita. Dengan keikhlasan itu jugalah saya menulis jawapan ini kepada saudara.
Dunia pada hari ini sedang dilanda krisis. Satu di antaranya ialah krisis nilai. Krisis nilai inilah yang menjadi sebab keruntuhan Empayar Rom. Edward Gibbon dalam bukunya The History of Decline and Fall of the Roman Empire telah menulis bahawa: Segala dasar-dasar akhlak dan moral di Rom telah runtuh sehingga ramai orang memilih jalan untuk hidup bebas…..Di akhir abad keenam, Kerajaan Romawi Timur sedang berada di ambang keruntuhan yang paling dahsyat sekali!
Nabi datang untuk selamatkan kita dari kehancuran yang seperti itu. Nabi bersabda, Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. (Hadis riwayat Ahmad & Baihaqi)
Nilai akhlak inilah yang merupakan landasan dan kayu pengukur yang penting bagi kita. Akhlak tidak menghalang kehendak-kehendak fitrah. Ia mencantikkannya. Sebagai contoh, Islam tidak pernah menyuruh kita menutup nafsu seks, sebaliknya menyalurkannya kepada suatu yang murni, selamat dan mendamaikan. Perkahwinan adalah salurannya. Alangkah indahnya firman Allah yang bermaksud: Isterimu adalah ladang bagimu maka datangilah isterimu dengan cara mana yang kamu mahu! (Surah Al-Baqarah ayat 223) Dalam bahasa mudah, selepas berkahwin, puaskanlah nafsumu dengan isterimu sesuka hatimu, melainkan dengan cara yang jelas telah diharamkan kerana kemudaratannya.
Saya harus mengatakan bahawa nilai pada hari ini banyak diasaskan kepada konsep Machiavellianisme yang dipopularkan oleh seorang pemikir dari Florence, Italy yang bernama Niccolo Machiavelli. Machiavelli, dalam bukunya The Prince telah menekankan konsep the end justifies the means ataupun niat membersihkan cara. Asalkan niat kita baik, berzinalah, menipulah, khianatilah, menyamunlah dan begitulah seterusnya. Semua adalah halal bagi Machiavelli.
Laporan akhbar 6 Ogos 1999 juga ada perkaitan dengan krisis nilai ini apabila seorang tokoh koporat berpangkat Datuk, telah menceritakan di mahkamah tentang hubungan seksnya dengan seorang pembaca berita RTM. Beliau mengatakan bahawa niatnya adalah suci kerana bertujuan untuk mengahwininya. Itulah nilai yang sedang melanda dunia sekarang: Seks adalah suci walaupun tanpa perkahwinan!
Memang ada yang mengatakan bahawa pergaulan dan seks bebas ini adalah lambang kemajuan dan kemodenan. Nilai agama dan akhlak adalah kolot. Jika demikian, mari kita perhatikan hasil dan sumbangan seks bebas kepada dunia. Seks bebas telah berjaya merebakkan penyakit AIDS, contohnya di Thailand, sehinggakan akhbar Der Spiegel pernah menjadikan tajuk AIDS in Asia – Killer Epidemic in Sex Paradise (AIDS di Asia – Wabak Pembunuh di Syurga Seks), sebagai tajuk muka depannya. Di California, hampir 61,000 bayi luar nikah dilahirkan pada tahun 1997. Kajian oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika mendapati bahawa anak-anak luar nikah ini mempunyai lebih daripada dua kali ganda kemungkinan diserang masalah emosi di dalam hidup mereka, berbanding dengan anak-anak lain (Rujukan: California Teenage Pregnancy Statistics).
Kita di Malaysia juga telah dimalukan dengan penonjolan kes pembuangan bayi luar nikah di kalangan remaja-remaja kita. Semua ini bukanlah sumbangan yang membanggakan bagi dunia moden.
Islam menekankan bahawa niat dan cara perlu betul. Niat kena ikhlas, cara kena mengikut syariat. Syariat mengharamkan zina. Nabi kita bersabda, Selepas dosa syirik kepada Allah, tidak ada dosa yang lebih besar daripada seseorang meletakkan air maninya ke faraj yang tidak halal baginya! (Hadis riwayat Ahmad & Thabrani)
Saya berharap saudara Yang Ikhlas akan kembali ke jalan yang murni berdasarkan agama. Seks bebas dan keruntuhan moral bukannya lambang kemajuan sebaliknya lambang kemunduran dan kehancuran.
Kaum Lut hancur kerananya.
Kota Pompei hancur kerananya.
Empayar Rom juga hancur kerananya.
Justeru, kembalilah ke pangkal jalan.
(Semoga jawapan ini juga mendatangkan manfaat kepada mereka yang lain)
Di ambil dari : http://www.formulacemerlang.com/modules/wfsection/article.php?articleid=26
Web Log myJodoh
Apr 9th
Masih Mencari Cinta ?
Apr 9th
Ramai yang ingin bercinta sebelum berkahwin. Bagi mereka, apabila bertemu seseorang yang dapat menyentuh hati dan perasaan seperti di dalam filem-filem telenovela Korea, atau filem-filem Hindi barulah mereka akan bersedia mendirikan rumahtangga.
Selagi belum ada yang boleh mengusik hati dan perasaan, mereka akan menganggap semua itu bukanlah satu “cinta sejatiâ€. Lalu mereka akan menjalani hidup mereka dengan berkhayal untuk menjumpai “Mr Right” atau “Ms Right” mereka.
Mereka akan berasa gembira dan ingin mendirikan rumahtangga apabila individu-individu ini tiba-tiba muncul dalam hidup. Itupun setelah mereka “betul-betul mengenali” individu ini, berselisih faham, bertekak dan berbaik semula, BARULAH mereka mendakwa diri mereka sedang dilamun cinta.
Apabila mendirikan rumahtangga, perasaan cinta itu dibawa bersama dengan harapan ia akan terus kekal begitu. Ramai yang terlupa atau tidak sedar bahawa tanggungjawab suami atau isteri adalah berbeza sekali dengan tanggungjawab sepasang kekasih, ia tidak terhad kepada menghantar dan menjemput dari tempat kerja sahaja. Ia lebih daripada itu.
Ada pula yang terlampau “bahagia” sehingga melupakan kedua orang tua. Ada juga yang berasa tertekan dengan kehadiran anak-anak yang dikurniakan oleh Allah.
Akhirnya alam perkhawinan mereka tidak menjadi seperti yang diinginkan, tidak seindah filem-filem telenovela Korea atau filem-filem cinta Hindi kerana ia akan diselubungi dengan pelbagai masalah.
ALAM PERCINTAAN SEBELUM BERKAHWIN
Bercinta sebelum berkahwin adalah sebahagian daripada budaya Hedonisme yang mengajar manusia fahaman “kebahagiaan hanya dicapai apabila ada keseronokkan di hati”. Akibatnya kebahagian itu hanya seketika kerana keseronokkan yang dilakukan kadang-kala mendatang masalah sosial dan masalah peribadi yang lain. Sedangkan Islam mengajar sesuatu yang lebih baik.
Budaya ini telah lama menyerap ke dalam masyarakat Melayu semenjak Hikayat 1001 malam dibukukan. Seseorang yang sedang khayal dan seronok bercinta dengan pasangannya akan menganggap diri mereka sedang menikmati kebahagiaan. Lalu kerana rasa bahagia inilah mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.
Persoalannya adalah mudah, mampukah kebahagian tersebut kekal 10 atau 20 tahun akan datang? Boleh atau tidak mereka berasa bahagia apabila hadir di antara mereka anak-anak dengan pelbagai kerenah.
WANITA MENGADU TENTANG CINTA KEPADA UMAR
Pada zaman Umar Al-Khattab r.a. sebagai khalifah, ada seorang wanita yang datang mengadu dan mengaku kepada beliau r.a. bahawa dirinya tidak lagi mencintai suaminya. Dia lalu meminta nasihat daripada Umar r.a. apakah cara terbaik dalam mengatasi masalah ini. Katanya hidup yang tidak dihiasi dengan cinta amat membosankan.
Lalu Umar berkata “Jika ada di antara kamu, wahai perempuan, yang tidak cinta kepada seorang di antara kami para lelaki, tidak usahlah hal itu dikhabarkan kepadanya (suami itu). Kerana hanya sedikit rumahtangga yang dibina berdasarkan cinta. Kebanggaan hanyalah (rumahtangga) yang didirikan atas dasar hasab.”
Hasab di sini bermaksud kemulian budi, sifat dermawan, sopan santun, akhlak yang baik dan sebagainya yang menyebabkan seseorang itu disegani. Dalam erti kata moden, imej yang baik.
Kata-kata ini membawa maksud bahawa, amat jarang sekali sesuatu perkahwinan yang membanggakan dibina berdasarkan cinta. Perkahwinan yang menjadi kebanggaan biasanya dibina atas dasar hasab yang baik.
Ini adalah satu kata-kata emas yang jika direnung, ia membawa maksud yang amat mendalam. Sebenarnya terdapat pelbagai elemen lain yang dapat mempengaruhi kebahagiaan dan kebanggaan sesuatu rumahtangga selain cinta dan seks.
DISEBALIK PERKAHWINAN
Sepasang manusia yang diijab-kabulkan akan melalui pelbagai ujian daripada Allah swt. Masing-masing akan melihat kelemahan dan kelebihan diri yang lain. Justeru akan muncul pula perasaan benci, marah dan sebagainya. Tambahan pula, sebagai manusia kita tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Keadaan akan menjadi buruk apabila kesilapan-kesilapan yang dilakukan menghakis sedikit demi sedikit perasaan cinta yang menjadi asas perkahwinan tersebut.
Dititik inilah biasanya muncul masalah “suami curang” atau “isteri curang”. Masing-masing cuba mencari cinta baru dari luar rumah. Perilaku-perilaku ini seterusnya akan mewujudkan situasi yang amat buruk apabila perasaan cinta itu didorongi pula oleh nafsu seks.
Apabila cinta itu terhakis, apa lagi yang tinggal dalam perkahwinan? Adakah ia mampu bertahan sehingga ke akhir hayat atau sebaliknya. Kita melihat banyak kes-kes penceraian di dada akhbar setiap hari. Kebanyakkannya berkahwin kerana “cinta semasa mereka†dan bukannya kerana menganggap bahawa perkahwinan adalah suruhan agama.
APABILA CINTA TIDAK MENJADI ASAS
Berbeza keadaan dengan rumahtangga yang tidak dibina atas asas cinta. Percintaan hanya wujud selepas perkahwinan. Banyak rumahtangga yang berjaya dibina berpuluh-puluh tahun lamanya dan dapat bertahan sehingga dipisahkan oleh liang lahat. Semakin hari semakin mesra, semakin sayang, semakin bahagia.
Setiap hari kedua-dua pasangan sama-sama belajar mengenali satu sama lain. Berbeza dengan mereka yang mendirikan rumahtangga yang berasaskan cinta dan seks, mereka yang mendirikan rumahtangga atas sebab hasab akan menjumpai lebih banyak nikmat lain, mereka akan menjumpai kebahagian di dunia.
Atas dasar itulah kita sering lihat masalah penceraian adalah perkara biasa pada zaman sekarang. Padahal ia adalah sesuatu yang jarang didengari dalam masyarakat Melayu lama. Masyarakat Melayu lama berkahwin bukan kerana soal seks atau cinta, tetapi pernikahan mereka adalah berdasarkan hasab.
Siti Khadijah r.a. tidak pernah bercinta dengan Rasulullah s.a.w. . Beliau terpikat dengan Rasulullah s.a.w. disebabkan budi pekerti dan akhlak Rasulullah s.a.w. yang mulia. Perkahwinan beliau dengan Rasulullah s.a.w. kekal sehingga akhir hayat beliau. Faktor usia, harta dan keturunan bangsawan Rasulullah s.a.w. bukanlah faktor utama.
Terdapat beberapa riwayat hadith yang menceritakan bagaimana sayangnya Rasulullah s.a.w kepada Khatijah r.a. melebihi isteri-isterinya yang lain. Di antaranya :
Aisyah r.a. berkata, Aku tidak pernah cemburu kepada seorang pun dari isteri Nabi s.a.w seperti cemburuku kepada Khadijah karena Rasulullah banyak menyebutnya dan menyanjungnya dan setiap kali menyembelih kurban Nabi s.a.w. akan menyisihkannya sebahagian untuk dikirimkan kepada perempuan-perempuan sahabat Khadtijah. Kadang-kala aku berkata, “Seperti bumi ini tidak ada perempuan lain selain Khadtijah” Nabi s.a.w bersabda, “Demikian banyak kelebihan Khadtijah, dan darinya aku memperoleh anak. {Riwayat Bukhari}
Sejarah tidak melakarkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah melalui zaman percintaan bersama dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berumahtanggga. Malah Muhammad Hussein Haekal menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bimbang akan kedudukkan kewangannya apabila dicadangkan oleh Nurfaisah untuk berkahwin dengan Khadtijah r.a. {Sejarah Hidup Muhammad (terjemahan Ali Audah), Litera AntarNusa, Mac 2006, m/s 67}
Ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak ada apa-apa hubungan dengan Khadtijah r.a. sebelum mereka berkahwin. Perkahwinan beliau r.a. dengan Khadtijah r.a. merupakan satu perkahwinan yang terhormat dan berasaskan hasab.
Ini adalah selaras dengan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kita agar memilih calon-calon pasangan hidup yang beragama dan bukannya berasaskan percintaan. Hanya mereka yang menjiwai agama adalah mereka yang mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik.
Kesimpulan
Amat bijak sekali sekiranya kita mengambil keputusan untuk tidak menunggu lagi kemunculan “cinta sejati” Sebaliknya kita mula mencari mereka yang mempunyai agama yang baik, kahwinilah dan belajar mencintai mereka selepas berkahwin, kerana kebahagiannya telah pun dijamin oleh Rasulullah s.a.w., malah Allah telah menjanjikan rahmatNya.
Jika Si Dia Bukan Milikmu
Apr 9th
Setiap kali selepas solat, ada sepotong doa yang biasa dibaca yang bermaksud “Ya Allah, hidupkanlah aku/kami di dalam iman dan matikanlah aku/kami di dalam iman dan masukkanlah aku/kami ke Jannah bersama iman.”
Iman adalah penting. Pengeritan iman yang telah sedia kita ketahui adalah mempercayai kewujudan Allah yang Esa, kewujudan para malaikat sebagai para pegawai yang melaksanakan sistem tuhan, kewujudan kitab-kitab yang terdiri daripada firman-firman pencipta, kewujudan para Rasul sebagai utusan dan ketua manusia yang memberi peringatan dan amaran, juga mempercayai kewujudan Hari Kiamat, hari segala-galanya akan berakhir.
Namun, yang paling tidak dapat diterima ‘tanpa disedari’ oleh kebanyakkan orang adalah beriman dengan Qadak dan Qadar atau takdir.
Sebagai seorang Islam bergelar Muslim, kita harus memajukan diri kita menjadi seorang Mukmin. Perkataan Mukmin bermaksud orang yang beriman. Untuk menjadi seorang yang beriman, prinsip yang paling asas adalah mempercayai kesemua rukun iman yang di atas. Seterusnya mengikut garis panduan pada surah Al-Mukminun.
BERIMAN DENGAN TAKDIR
Bukan senang untuk beriman dengan takdir. Kita mungkin berkata kita percaya, tetapi apabila datang dugaan-dugaan tertentu, ada yang akan cuba bertindak seolah-olah tidak dapat menerima ketentuan tuhan. Firman Allah s.w.t di dalam surah Hud ayat 9, “Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.”
Orang yang berusaha dengan niat untuk beramal akan “berasa lain” sekiranya mereka gagal mencapai matlamat. Mereka akan sentiasa berasa tenang walaupun didatangi kesusahan atau kesenangan. Mereka terdiri daripada golongan yang bahagia di dunia dan sedang menanti kebahagiaan di akhirat. Tiada satu perkara yang berlaku pada diri mereka yang dapat menggugat ketenangan itu.
Sebaliknya, mereka yang berusaha untuk kebahagiaan dunia mungkin akan merasa bahagia apabila matlamat tercapai. Namun sekiranya gagal, mereka akan berasa amat dukacita. Sekiranya mereka kehilangan sesuatu, mereka akan bermatian-matian untuk mempertahankan atau mendapatkannya semula. Sekiranya mereka gagal mendapatkannya semula, hati mereka akan berasa gelisah dan hidup mereka mula menderita. Lalu mereka menyalahkan orang lain dan akhirnya menyalahkan tuhan.
Jika seseorang itu jodoh kita, dia tetap jodoh kita. Jika seseorang itu bukan jodoh kita, dia tetap bukan jodoh kita, walaupun apa pun yang kita lakukan, tidak ada gunanya memaksa diri mempertahankan. Dengan menyerahkan kepada ketentuan, lazimnya tuhan akan membuka jalan-jalan yang tidak pernah kita fikirkan.
AMAL DAN TAKDIR
Amat penting untuk kita faham, hidup ini adalah untuk beramal bukan menentukan takdir. Kita akan dihidupkan semula dan disoal tentang amalan bukan apa yang pernah kita “capai”. Kita akan ditanya tentang “what did you do ? ” bukannya ” so… what’s the outcome? “.
Di dalam ayat 154 surah Ali Imran diceritakan pada zaman Nabi s.a.w ada sesetengah orang tidak mahu ikut berperang dengan alasan takut mati, lalu Allah s.w.t berfirman “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. ”
Jelas sekali, manusia bebas beramal. Namun “final result” adalah hak Allah s.w.t.
Jadi tak perlu susah-susah, Ali r.a. berkata, bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Beramallah, setiap orang akan `dipermudahkan` seperti apa yang telah ditentukan.” Lalu beliau s.a.w membaca ayat 5-10 surah Al-Lail.
* Orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), * Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik * Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya “kemudahan” untuk mendapat kesenangan (Syurga).
* Sebaliknya: orang yang bakhil (daripada berbuat kebajikan) dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya * Serta ia mendustakan perkara yang baik * Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya “kemudahan” untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan;
BUKAN USAHA TETAPI DOA
Sebuah hadith daripada Salman r.a., bahawa Nabi s.a.w telah bersabda “Tidak boleh diubah takdir kecuali doa, dan tidak ada yang boleh menambah umur kecuali perbuatan baik. †{Riwayat Tirmizi, hassan gharib}
Allah berfirman dalam surah Ar-Ra’ad ayat 39, “Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Dia juga menetapkan apa jua yang dikehendakiNya. (Ingatlah) pada sisiNya ada Ummu al-Kitabâ€. Firman Allah lagi di dalam surah Mukmin ayat 60, “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. â€
Abu Hurairah r.a juga melaporkan bahawa, “Nabi s.a.w selalu memohon perlindungan dari suratan takdir yang buruk, dari ditimpa kecelakaan, dari keghairahan musuh dan dari terkena bala.” {Riwayat Muslim}
Doa sahaja yang dapat mengubah takdir, bukan usaha.
ANTARA PUTUS ASA DAN BERSERAH KEPADA TAKDIR
Mempercayai takdir bukan bermaksud berputus asa. Frasa “putus asa” sepatutnya tidak wujud di dalam kamus hidup seorang mukmin. Kita tidak boleh berputus asa dalam mengharapkan rahmat Allah.
Semasa peperangan di Thaif, umat Islam telah mengepung kota Thaif. Ibnu Ishaq meriwayatkan Thaif telah dikepung selama 17 malam dan diserang dengan manjanik (senjata pelontar batu). Umat Islam terus menyerang dan menyerang namun tetap gagal. Lalu Nabi s.a.w bertindak untuk mengundur sahaja.
Abdullah bin Amru r.a melaporkan bahawa, Rasulullah s.a.w telah mengepung penduduk Thaif tetapi tidak mendapat apa-apa hasil dari pengepungannya tersebut. Seterusnya baginda bersabda: Insya Allah kita akan kembali ke Madinah. Para sahabat membantah: Mengapa kita harus kembali? Kita belum dapat menaklukinya. Rasulullah s.a.w bersabda kepada mereka: Pergilah kamu berperang. Mereka pun mencubanya sehingga mereka mendapat kecederaan. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda lagi: Besok kita akan kembali. Para sahabat hairan dengan sabda baginda. Sementara itu Rasulullah s.a.w hanya tersenyum. {Riwayat Muslim}
Itu adalah contoh perbezaan antara putus asa dan menerima ketentuanNya. Adakah nabi s.a.w berputus asa ? Atau beliau tunduk dengan takdir ?
KESIMPULANNYA
Perbanyakkan doa untuk kebaikkan. Sebarang usaha perlu dijalankan dengan kaedah yang betul. Ada sesetengah orang yang ditinggalkan kekasih atau suami lalu cuba mendapatkan semula dengan kaedah mengumpat, memfitnah dan memburukkan orang lain.
Sebaliknya, sekiranya mereka berhenti seketika untuk berdoa dan bermuhasabah diri serta menerima ketentuannya, lebih banyak manfaat dapat diperolehi. Salah satu daripadanya adalah ketenangan, selanjutnya adalah iman.
