.. mencari si dia yang soleh ..
Archive for April, 2007
Adat Perkahwinan Melayu – Berinai Di Pelamin
Apr 13th
Sungguhpun adat berinai di pelamin ini tidak lagi dijalankan oleh masyarakat sekarang, akan tetapi masih juga terdapat keluarga yang tetap mengamalkannya. Ini kerana adat menginai ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar dan agak rumit, maka hal ini menyebabkan upacara ini semakin dilupakan. Adat berinai di pelamin ini dilakukan dalam 3 peringkat. Pada kali pertama ia dinamakan berinai curi, pada kali kedua dinamakan berinai kecil dan pada kali ketiga dinamakan berinai besar.
Dalam kebanyakan negeri, biasanya adat berinai di pelamin ini dijalankan pada malam hari. Berbeza dengan negeri Johor, upacara ini dijalankan di sebelah petang.
Upacara berinai akan dijalankan sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah, iaitu pakaian pengantin, lalu dibawa duduk di atas pelamin yang terletak di ruang tamu. Anak dara itu akan duduk di hadapan sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum perempuan. Bagi upacara berinai curi dan berinai kecil, hanya pengantin perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin dan diinaikan. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk diinaikan pada upacara berinai besar. Dalam upacara tersebut, pengantin perempuan akan diinai terlebih dahulu di atas pelamin. Setelah selesai, pengantin perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik dan pengantin lelaki pula akan diinaikan di atas pelamin. Ringkasan cara menginai di atas pelamin itu adalah seperti berikut :
Di atas pelamin, di hadapan pengantin itu akan diletakkan sebuah pahar berkaki tinggi yang disusun dengan beberapa bekas dan piring, satu berisi beras kunyit, satu berisi bertih dan satu lagi berisi air tepung tawar yang lengkap dengan perenjisnya. Di tengah-tengah pahar itu diletakkan sebiji astakona kecil berisi inai yang sudah siap digiling halus. Pengantin akan diinaikan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga dan upacara akan dimulakan dengan ahli keluarga lelaki yang berpangkat tua-tua seperti datuk, bapa dan bapa saudara.
Mula-mula, sejemput beras kunyit akan diambil dari bekas yang di atas pahar tersebut dan dihamburkan ke kiri dan kanan pengantin. Kemudian, diikuti dengan sedikit bertih dan akhir sekali perenjis tepung tawar akan dicicahkan sedikit ke dalam bekas berisi air tepung tawar lalu ditepukkan sedikit ke atas belakang tangan pengantin yang berada di atas ribaan pengantin itu. Akhir sekali, inai akan dicubit sedikit dari astakona inai dan dicalitkan di tapak tangan yang sudah beralas dengan daun sirih. Setelah selesai, emak pengantin akan menyusunkan jari kedua-dua tangan pengantin itu dan diangkatkan ke muka pengantin seperti orang menyembah. Dalam adat ini, bilangan orang lelaki yang hendak menginaikan pengantin mestilah ganjil, iatu tiga, lima atau tujuh orang. Setelah tamat diinaikan oleh orang lelaki, mereka akan keluar daripada majlis itu dan upacara diteruskan oleh orang perempuan dengan cara yang sama juga. Cara yang sama akan dilakukan dalam setiap majlis berinai tidak kira ianya majlis berinai curi, berinai kecil atau berinai besar. Apa yang berbeza hanyalah pengantin lelaki akan turut diinai dalam adat berinai besar.
Adat Perkahwinan Melayu – Berendam dan Berasah Gigi
Apr 13th
Biasanya bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, adalah menjadi adat untuk mengandamkan anak dara yang bakal dikahwinkan lebih kurang tiga hari sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Anak dara tersebut akan diandam oleh tukang andam yang memang kerjanya mengambil upah menjadi emak pengantin dan beliaulah yang akan menguruskan semua kerja-kerja menyiapkan dan mengandam pengantin. Pengertian berandam itu ialah perempuan yang hendak dikahwinkan perlu dicukur dan diperelokkan bentuk bulu keningnya dan dicukur andam anak rambut di sepanjang dahinya. Kemudian, gigi anak dara itu akan diasah dengan sejenis batu pengasah gigi supaya saiz dan kedudukan gigi dapat disama ratakan. Semua ini dilakukan oleh orang tua-tua zaman dahulu dengan tujuan yang baik, iaitu untuk menambah kecantikan dan seri kepada anak dara tersebut.
Setelah selesai diandam dan diasah gigi, anak dara tersebut akan dimandikan serta disapukan bedak. Beliau akan dimandikan dengan air daun buah limau purut dan mak andam akan menjalankan upacara sintok langir yang mengikut kepercayaan, upacara tersebut akan membuang rasa takut, sial, malang dan malapetaka yang bakal mengganggu anak dara tersebut.
Apabila telah siap dimandikan, maka hujung kesepuluh-sepuluh jari tangan, di tengah-tengah kedua belah tapak tangan dan di sekeliling kedua belah kaki anak dara itu akan diinaikan. Upacara menepek inai ini dilakukan terlebih dahulu sebelum adat berinai di pelamin dijalankan.
Adat Perkahwinan Melayu – Menghantar Belanja Dan Akad Nikah
Apr 13th
Mengikut adat resam, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang, menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Di antara barang-barang yang termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.
1) Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.
2) Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.
3) 2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.
4) Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.
5) Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.
6) Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.
7) Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.
Semua barang tersebut akan dibawa setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan mempelai yang sudah siap berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah. Mempelai dan rombongannya akan disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding di hadapan semua tetamu.
Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, sama ada dengan mas kahwinnya sekali atau tidak dan barang-barang hantaran, seperti cincin akan dihitung dan diperiksa oleh tuan kadi bersama dua orang yang dilantik sebagai saksinya bagi mewakili pihak perempuan. Sekiranya ia bukan majlis akad, bererti tuan kadi tidak hadir sama di majlis tersebut, wang dan barang-barang yang dihantar akan diterima oleh seorang wakil dari pihak perempuan beserta dua orang saksi yang dipilih dari kalangan tetamu yang hadir di majlis tersebut.
Setelah selesai adat penerimaan kesemua wang dan barang-barang tersebut, tepak sirih, talam bunga rampai dan perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai kemudiannya akan diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad. Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftarkan nama mempelai itu terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah dalam bahasa Arab. Setelah selesai khutbah nikah itu dibacakan, maka tuan kadi akan memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi di dalam buku daftar nikah untuk duduk berhampiran dengan mempelai. Tujuan saksi dipanggil adalah untk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan kadi.
Tuan kadi akan memegang tangan kanan mempelai itu dengan tangan kanannya, atau lebih mudah lagi dikatakan berjabat tangan kanan, lalu dimulakan akad dengan melafazkan kata seperti berikut: “Hai polan bin polan, aku nikahkan dikau dengan polan binti polan, yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwin sebanyak $…. (tunai atau hutang) dan belanjanya sebanyak $….â€. Sebaik sahaja perkatan yang akhir itu habis dilafazkan, tuan kadi akan menggoncang tangan mempelai tersebut dan dengan serta-merta pada saat tersebut mempelai dikehendaki menjawab dalam satu nafas dengan terang, jelas dan betul serta boleh didengar oleh tuan kadi dan kedua-dua saksi. Jawapan lafaznya adalah seperti berikut : “Aku terima nikahnya polan binti polan dengan mas kahwin sebanyak $…..(tunai/hutang)â€. Sekiranya mempelai tersebut menjawab dengan lambat, teragak-agak atau tidak terang, maka tuan kadi akan mengulangi sekali atau beberapa kali lagi lafaz akad tersebut sehingga dia dan kedua-dua saksinya berpuas hati dengan jawapan mempelai itu.
Setelah selesai, doa akan dibacakan oleh tuan kadi. Mempelai kemudiannya akan bangun bersalam-salaman bermula dengan tuan kadi, kemudian bapa rnertuanya, dan akhir sekali dengan tetamu yang hadir sebelum diarak pulang ke rumahnya. Bunga rampai dan sirih pinang yang dibawa oleh mempelai akan dibahagikan kepada tetamu yang hadir selepas jamuan diadakan manakala bekas-bekas kuih dan juadah serta buah-buahan yang diterima dari pihak lelaki akan dibalas oleh pihak perempuan dengan balasan yang berpatutan dan akan dibawa pulang oleh pihak lelaki ke rumah mempelai. Setelah mempelai berarak pulang, jamuan akan diadakan di rumah pengantin perempuan. Biasanya di majlis akad nikah, kenduri secara besar-besaran tidak diadakan. Pihak pengantin perempuan hanya mengadakan jamuan kuih-muih atau nasi tetapi jenis dan bilangan lauk-pauknya tidaklah sebanyak lauk-pauk sewaktu kenduri bersanding. Ini kerana biasanya majlis akad tidak dihadiri oleh ramai tetamu luar, melainkan saudara-mara dan ahli keluarga.
Adat Perkahwinan Melayu – Meminang dan Bertunang
Apr 13th
Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu. Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.
Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.
Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakapâ€. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.
Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.
Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :
1. Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.
2. Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.
Adat Perkahwinan Melayu – Menilik & Merisik
Apr 13th
Menilik atau merisik pada hakikatnya adalah adat yang memang baik dan berguna jika ia dijalankan bersesuaian dengan tujuannya, iaitu untuk memilih dan mengetahui latar belakang bakal menantu perempuan dalam sesebuah keluarga Melayu. Ini adalah untuk memastikan para ibu bapa tidak tersilap pilih dan dapat mencari yang terbaik untuk anak lelaki mereka.
Apabila ibu bapa seorang lelaki telah menetapkan fikiran mereka yang anak mereka itu sudah sampai masanya untuk berumahtangga dan patut dikahwinkan, mereka akan mencari dan memerhatikan beberapa orang daripada anak-anak dara yang mereka kenali, dan kemudian mereka memilih salah seorang di antara mereka yang dirasakan sesuai dan padan untuk dijadikan menantu. Mereka akan mula menyelidik tentang latar belakang anak dara tersebut melalui saudara-mara dan sahabat handai. Latar belakang bukan hanya bermaksud melibatkan hal keluarga anak dara tersebut, tetapi juga tingkah laku keperibadian dan kesucian anak dara itu. Ini kerana, faktor dara atau kesucian seseorang gadis amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu. Istilah sudah ditebuk tupai bukan sahaja akan memalukan seluruh keluarga lelaki, malah di kalangan masyarakat Melayu, pihak lelaki dianggap dayus sekiranya mereka mengahwini anak dara yang sudah tidak mempunyai dara lagi. Sekiranya pihak perempuan merahsiakan hal ini dari pengetahuan pihak lelaki, pihak lelaki berhak menceraikan isterinya jika dia menyedari yang dia telah ditipu setelah melalui malam pertama. Ini kerana, sudah menjadi adat masyarakat Melayu menetapkan nilai mas kahwin dan hantaran yang berbeza bagi seorang anak dara dan seorang janda. Nilai bagi seorang janda adalah separuh daripada nilai seorang anak dara.
Selain itu, pilihan yang tepat adalah difikirkan perlu bukan sahaja terhadap diri anak dara terbabit, tetapi juga ibu bapanya. Ini adalah kerana orang-orang Melayu dahulu berpegang kuat kepada perbidalan Melayu “Kalau hendak meminang anak, ‘pinang’ ibu bapanya dahuluâ€.Anak dara yang biasanya menjadi rebutan dan pilihan utama adalah anak dara yang sudah khatam Al-Quran, fasih dalam bacaan dan mahir membaca Al-Quran dalam lagunya serta mempunyai sedikit sebanyak tentang pengetahuan dan hukum-hukum dalam agama Islam. Begitu juga mereka akan dinilai dari segi rupa paras yang elok dan beberapa kemahiran asas yang lain seperti menjahit, menekat dan memasak.
Dalam adat menilik atau merisik, selepas anak dara yang sesuai dipilih, biasanya wakil dari pihak lelaki akan datang ke rumah anak dara tersebut. Biasanya rombongan ini akan hanya disertai oleh ahli keluarga perempuan bagi pihak lelaki. Kedatangan ini bertujuan untuk berkenal-kenalan dengan keluarga pihak perempuan di samping melihat sendiri wajah dan tubuh badan anak dara tersebut. Kedatangan ini juga bertujuan untuk memastikan sama ada anak dara tersebut sudah dimiliki orang ataupun belum. Ada sesetengah rombongan yang hanya datang untuk melihat anak dara tersebut dan bersuai kenal dengan ahli keluarganya tanpa mengikat sebarang perjanjian atau memberi kata putus, namun ada juga yang terus mengikat janji persetujuan untuk menetapkan tarikh peminangan. Ini semua bergantung kepada pihak keluarga lelaki terbabit.
Ada rombongan yang datang tanpa diberitahu dan ada juga yang datang setelah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak perempuan. Pada fahaman dan kepercayaan orang tua-tua, apabila kedatangan menilik atau merisik itu dilakukan dengan tiba-tiba sahaja dan secara kebetulan pada waktu itu didapati anak dara tersebut sedang mandi atau mencuci pakaian, maka ia membawa suatu petanda yang baik, iaitu menunjukkan jodoh pertemuan yang sejuk. Ini kononnya membawa maksud bahawa jika kedua-duanya jadi diikat sebagai suami isteri, kehidupan mereka akan menjadi senang-lenang dan keadaan rumahtangga mereka akan sentiasa aman muafakat. Akan tetapi, sekiranya sewaktu rombongan datang, anak dara tersebut sedang memasak, maka ia membawa alamat kurang baik kerana dengan yang demikian, kononnya, membawa petanda panas, iaitu tidak begitu baik. Begitu juga dipercayai oleh orang tua-tua Melayu dahulu bahawa jika sewaktu di dalam perjalanan rombongan hendak pergi merisik anak dara berlaku sesuatu bencana seperti terdapat kayu di tengah-tengah jalan, iaitu sesuatu yang dianggap menggendalakan, maka ia juga dikatakan membawa petanda yang kurang baik terhadap jodoh tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu moden kini, kepercayaan-kepercayaan sedemikian tidak lagi diamalkan dan dititikberatkan. Malah, tidak mustahil dikatakan sebilangan besar masyarakat Melayu kini kurang memahami alamat-alamat dan petanda yang datang kepada mereka.
Setelah selesai adat menilik, rombongan tersebut akan pulang. Satu rundingan akan diadakan di antara ahli keluarga pihak lelaki yang melibatkan adik-beradik dan waris terdekat untuk mencari kata putus tentang hal tersebut. Mereka kemudiannya akan berbincang untuk menetapkan tarikh yang sesuai untuk menjalankan adat meminang dan pertunangan.
