Adat Perkahwinan Melayu – Berinai Di Pelamin

Sungguhpun adat berinai di pelamin ini tidak lagi dijalankan oleh masyarakat sekarang, akan tetapi masih juga terdapat keluarga yang tetap mengamalkannya. Ini kerana adat menginai ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar dan agak rumit, maka hal ini menyebabkan upacara ini semakin dilupakan. Adat berinai di pelamin ini dilakukan dalam 3 peringkat. Pada kali pertama ia dinamakan berinai curi, pada kali kedua dinamakan berinai kecil dan pada kali ketiga dinamakan berinai besar.

Dalam kebanyakan negeri, biasanya adat berinai di pelamin ini dijalankan pada malam hari. Berbeza dengan negeri Johor, upacara ini dijalankan di sebelah petang.

Upacara berinai akan dijalankan sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah, iaitu pakaian pengantin, lalu dibawa duduk di atas pelamin yang terletak di ruang tamu. Anak dara itu akan duduk di hadapan sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum perempuan. Bagi upacara berinai curi dan berinai kecil, hanya pengantin perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin dan diinaikan. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk diinaikan pada upacara berinai besar. Dalam upacara tersebut, pengantin perempuan akan diinai terlebih dahulu di atas pelamin. Setelah selesai, pengantin perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik dan pengantin lelaki pula akan diinaikan di atas pelamin. Ringkasan cara menginai di atas pelamin itu adalah seperti berikut :

Di atas pelamin, di hadapan pengantin itu akan diletakkan sebuah pahar berkaki tinggi yang disusun dengan beberapa bekas dan piring, satu berisi beras kunyit, satu berisi bertih dan satu lagi berisi air tepung tawar yang lengkap dengan perenjisnya. Di tengah-tengah pahar itu diletakkan sebiji astakona kecil berisi inai yang sudah siap digiling halus. Pengantin akan diinaikan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga dan upacara akan dimulakan dengan ahli keluarga lelaki yang berpangkat tua-tua seperti datuk, bapa dan bapa saudara.

Mula-mula, sejemput beras kunyit akan diambil dari bekas yang di atas pahar tersebut dan dihamburkan ke kiri dan kanan pengantin. Kemudian, diikuti dengan sedikit bertih dan akhir sekali perenjis tepung tawar akan dicicahkan sedikit ke dalam bekas berisi air tepung tawar lalu ditepukkan sedikit ke atas belakang tangan pengantin yang berada di atas ribaan pengantin itu. Akhir sekali, inai akan dicubit sedikit dari astakona inai dan dicalitkan di tapak tangan yang sudah beralas dengan daun sirih. Setelah selesai, emak pengantin akan menyusunkan jari kedua-dua tangan pengantin itu dan diangkatkan ke muka pengantin seperti orang menyembah. Dalam adat ini, bilangan orang lelaki yang hendak menginaikan pengantin mestilah ganjil, iatu tiga, lima atau tujuh orang. Setelah tamat diinaikan oleh orang lelaki, mereka akan keluar daripada majlis itu dan upacara diteruskan oleh orang perempuan dengan cara yang sama juga. Cara yang sama akan dilakukan dalam setiap majlis berinai tidak kira ianya majlis berinai curi, berinai kecil atau berinai besar. Apa yang berbeza hanyalah pengantin lelaki akan turut diinai dalam adat berinai besar.

3 Trackbacks