Archive for April, 2007

Tips Ramai Kenalan – Penghargaan

Terima Kasih SayangBayangkan anda sedang memandu dan kereta anda sedang beratur di dalam satu barisan untuk menanti giliran tol yang panjang. Tiba-tiba datang kereta dari sebelah kiri, menghimpit dan memotong barisan lalu mengambil tempat di depan anda. Apa perasaan anda ? Mengikut Rostam, salah seorang dari juruhebah Radio ERA, beliau cukup benci kalau orang potong “que”.

Perkara begitu sering berlaku dan mungkin menyebabkan kita berasa marah dengan gelagat pemandu yang kurang berhemah itu. Namun. si pamandu itu kadang-kala mempunyai sebab yang tersendiri untuk berbuat demikian. Mungkin beliau tersalah lorong atau beliau tidak arif dengan jalanraya di situ. Lalu beliau terpaksa bertindak menukar lorong dengan memotong barisan apabila menyedari dirinya tersalah.

Bukan setakat Rostam, semua orang akan timbul perasaan benci dan marah.

Berlainan sekiranya beliau memberi sedikit penghargaan kita seperti mengangkat tangan sebelum dan selepas memotong sambil menjerit “MINTA MAAF ! SAYA SESAT !” dan “TERIMA KASIH TUAN!”, selain memberi lampu isyarat. Kita mungkin tidak rasa begitu marah. Malah, marah mungkin bertukar menjadi sedikit kesedaran, agar pekara begitu tidak berlaku ke atas diri kita suatu hari nanti.

Penghargaan amat penting dalam meramaikan kenalan. Ucapan seperti terima kasih dan pujian dengan ikhlas akan membuat orang lain terasa diri dihargai. Orang lain akan merasakan diri mereka penting apabila berada di sisi kita. Lalu ramai yang akan sudi berdamping dengan kita.

Di pejabat, majikan yang menghargai para pekerja mereka akan menghasilkan suasana bekerja yang lebih baik. Di dalam rumahtangga, suami dan isteri yang menghargai sesama mereka biasanya akan hidup lebih aman. Di dalam sebuah komuniti, seorang yang menghargai jiran tetangga akan lebih dikenali dan disayangi.

Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Ibrahim ayat 7, “Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Apabila kita menghargai pemberian daripada Allah, Allah telah memberikan jaminan bahawa DIA akan menambah nikmat tersebut. Pemberian nikmat yang dimaksudkan merupakan rezeki, jodoh, kemudahan, kelapangan dan sebagainya. Lalu kita harus perbanyakkan bersyukur.

Setelah itu, kita di suruh berterima kasih sesama manusia sebagai tanda kesyukuran kepada Allah. Abu Hurairah r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda “Tidak bersyukur dengan Allah sesiapa yang tidak berterima kasih sesama manusia.”
(Sunan Abu Daud #4177, Musnad Ahmad #7598, Sahih Ibnu Hibban #3476)

Selain berterima kasih, kita dianjurkan berdoa. Salah satu bentuk penghargaan yang tidak terdapat pada umat lain selain umat Islam ialah memberi penghargaan dengan berdoa. Rasulullah s.a.w memberi penghargaan kepada orang yang memberi beliau makan dengan berdoa. Miqdad r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w pernah berdoa, “Ya Allah, berilah makan orang yang telah memberiku makan, dan berilah minum orang yang telah memberiku minum.” (Sahih Muslim #3831)

Abu Hurairah r.a. pula menceritakan bahwa Rasulullah s.a.w pernah dimarahi oleh seseorang kerana hutang. Beliau seterusnya membayar hutang tersebut dengan sesuatu yang lebih baik dan bersabda “Sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu atau orang yang terbaik di antara kamu adalah orang yang paling baik ketika membayar hutang.” (Sahih Muslim #3003) Ini juga adalah satu bentuk penghargaan, apabila orang yang diberi bantuan kewangan (dalam bentuk hutang) lalu memulangkan lebih dari apa yang dipinjam sebagai tanda terima kasih.

Untuk menambah kenalan, kita perlu belajar bersyukur dan menghargai orang di sekeliling kita. Berterima kasih kepada manusia dan mendoakan kebaikkan untuk orang lain. Kadang-kala mungkin kita perlu memuji kebaikkan mereka dengan tatacara memuji yang dianjurkan oleh nabi s.a.w. Kadang-kala kita memberi ucapan tahniah, selamat hari lahir, selamat melahirkan anak dan sebagainya.

Dengan ini, orang lain akan merasa diri mereka penting buat kita. Mereka yang pernah membantu kita, akan terus membantu. Mereka yang sayang akan terus sayang. Mereka yang memandang dari jauh, mungkin ingin berkenalan.

Wallahu’alam.

  • Share/Bookmark

Tips Ramai Kenalan – Jangan Cari Kesalahan Orang Lain

Biasanya pasangan hidup adalah berasal daripada kenalan. Mereka yang selalu menghadapi masalah dalam menemui pasangan hidup selalunya tidak mempunyai ramai kenalan. Terdapat teknik-teknik khusus yang boleh diamalkan untuk menjadikan diri lebih disayangi. Bukan dikenali atau glamour, tetapi disayangi oleh orang sekeliling. Di dalam artikel ini, dibincangkan teknik pertama – Jangan Cari Kesalahan Orang Lain

trafik.jpg
Bayangkan diri anda apabila ditahan oleh seorang anggota polis trafik kerana satu kesalahan jalanraya yang anda lakukan. Anda kemudiannya disaman. Perasaan pertama yang mungkin timbul di dalam hati anda adalah perasaan marah kepada anggota polis trafik tersebut. Namun, dari kaca mata anggota polis itu, beliau hanya menjalankan tugas kerana anda telah melanggar peraturan. Namun, beliau tidak anda senangi.

Situasi kedua adalah apabila anda duduk di satu majlis, di sebelah orang tidak anda kenali. Mungkin di satu ceramah motivasi atau seminar atau pertunjukkan amal, kemudiannya individu tersebut mula mengkritik itu dan ini, mencari kesalahan dan kecacatan majlis tersebut. Apakah perasaan anda terhadap individu begini ? Adakah anda menyenangi orang seperti ini? Namun, pada persepsi beliau, beliau hanya ingin memberi komen membina.

Mungkin untuk sesetengah orang mereka dapat menerima kehadiran kedua-dua individu seperti di atas (si polis trafik yang menyaman dan seorang yang suka mengkritik), namun untuk kebanyakkan orang, kehadiran orang seperti ini mungkin mengganggu ketenangan.

Di dalam meramaikan kenalan dan membuat diri supaya disenangi, kita harus kurang mencari kesalahan orang lain. Bayangkan jika polis trafik berkenaan hanya menahan dan menasihati anda tentang kesalahan anda. Adakah anda masih marah padanya? Dan bayangkan jika orang yang duduk di sebelah anda itu berdiam diri atau memuji keadaan majlis yang memang nyata serba kekurangan itu. Bukankah hidup anda lebih senang. Anda mungkin mengingati kebaikkan mereka dan menjadikan mereka sahabat anda.

Allah s.w.t telah berfirman di dalam surah Al-Hujuraat ayat 12, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. ”

Abu Hurairah r.a. ada melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Janganlah kamu mencari dan menyelidiki kesalahan orang lain” {Riwayat Bukhari & Muslim}

Kita mungkin ikhlas mengkritik atau memperbetulkan kesalahan yang kita nampak. Tiada manusia normal yang terus-menerus ingin melakukan kesalahan apabila menyedari perkara itu adalah salah .. setelah diberitahu. Hanya pendekatan kita yang selalu mengundang kebencian dan menjauhkan kenalan. Teknik menegur kesalahan akan dibincangkan kemudian. Menegur dengan betul akan membuat kita lebih disayangi dan disegani.

Namun untuk setakat ini, latihlah diri menjadi seorang yang positif. Teliti kebaikkan yang ada pada diri orang lain. Sentiasa melihat sesuatu keadaan dari sudut yang positif. Kurangkan mengkritik dan lebihkan bersyukur dengan apa yang ada. Jangan cari salah, tetapi cari kebaikkan. Kita akan disayangi. Ramai yang akan menjadikan diri anda kenalan baik mereka. Dalam ramai-ramai kenalan yang ada, mungkin salah seorang adalah teman hidup kita. InsyaAllah.

  • Share/Bookmark

Pakej Baru myJodoh : Bagaimana Mendapatkan Maklumat Berhubung Pengguna

Assalamu’alaikum,

myJodoh memperkenalkan Pakej B. Khas untuk mereka yang :

- Ingin mendapatkan nombor telefon atau alamat emel seseorang di myJodoh.

- Orang tersebut mungkin lama tidak melayari myJodoh tetapi anda memang berminat untuk berkenalan dengan beliau.

Bagaimana Melihat Nombor Telefon & Alamat Emel ?
- Pilih mana-mana Maklumat Diri yang anda suka.
- Sekiranya terdapat Link “Dapatkan No Telefon & Alamat emel “, Klik pada link tersebut

Maklumat pembayaran untuk pakej B.

  • Share/Bookmark